Tuesday, August 15, 2017

Azmin jangan berperahu dalam gelombang

SUSUPAN SUBUH

Azmin teramat rapat dengan Hadi, kenapa?
1. Azmin Ali mengakui ada rundingan tidak rasmi antara beliau dengan parti agama (Pas). Beliau tidak menjelaskan bila rundingan itu berlangsung dan melibatkan sesiapa. Katanya dia akan memberi tahu apa-apa perkembangan mengenai rundingan berkenaan kepada rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

2. Usaha itu katanya untuk mengelakkan berlaku pertandingan tiga penjuru. Azmin menginsafi kalau berlaku pertandingan tiga penjuru (di Selangor) ia boleh mengugat stabiliti kerajaan dipimpiannya kini.

3. Usaha Azmin itu baik dan semua orang bersetuju Pas dibawa ke dalam Pakatan Harapan kalau mahu melihat Selangor kekal di bawah Pakatan Harapan. Juga kalau mahu memastikan kesemua 15 kerusi dimenangi Pas dalam Piraum 13 lalu di Selangor dapat dikekalkan. Jika berlaku pertandingan tiga penjuru dan Pas bersendirian 15 kerusi dimenangi itu hangus.

4. Kata Azmin, rundingan -- usaha untuk bawa Pas itu akan dikongsi bersama dengan parti komponen Pakatan Harapan. Yang melaksanakan rundingan itu kini hanya dia bersendirian. Dia juga akan memaklumkan apa-apa perkembangan dan progresnya.

5. Sedikit konfius macam mana Azmin boleh melakukan rundingan tanpa penyertaan bersama parti komponen lain khasnya DAP dan Amanah di Selangor. Apakah formula yang bakal dikemukakan Azmin kepada Pas? Apakah tanpa bersama dua parti itu Pas sedia untuk akur dengan apa-apa isi dirundingkan. Rundingan atau inisiatif Azmin itu dilihat bukan mudah untuk mencapai kejayaan. Ia sangat komplikated.

6. Apa perlu dielakkan, jangan usaha Azmin itu menimbulkan keraguan di kalangan komponen Pakatan Harapan yang lain. Kerja Azmin itu secara bersendirian dan bersembunyi itu juga boleh menjejaskan kesepaduan Pakatan Harapan untuk bergerak menghadapi pilihan raya. Orang ramai juga keliru dengan apa dilakukan Azmin tanpa persetujuan bersama itu.

7. Apakah kesediaan Pas melayani Azmin itu sebahagian daripada tektik dan strategi parti itu untuk melemahkan perpaduan dalam Pakatan Harapan melambat-lambatkan kerja menyusun jentera pilihan raya dalam PH? Ada kebenaran kemungkinan ini kerana sampai sekarang struktur PH Selangor masih belum wujud. Azmin perlu bertegas dalam hal ini dan tidak terus bermain dengan "perahu" buruk di arus bergelombang. Silap-silap hari bulan arus itu bukan sahaja menenggelamkannnya tetapi PH seluruhnya.

8. Lebih parah rundingan dengan Pas itu tiada deadline, ini membuka peluang dan harapan permainan songlap menyonglap itu berpanjangan. Keadaan ini menjadikan masalah kepada PH. Sepanjang rundingan itu berjalan sudah tentu Azmin kekok untuk menyelesaikan tanggungjawabnya di Selangor untuk menyusun kepimpinan PH. Keadaan ini disukai oleh UBN.

9. Mungkin Pakatan Harapan, DAP, Amanah dan PBBM boleh membentuk kepimpinan PH Selangor tanpa mengharapkan dan menunggu Azmin? Menanti Azmin seperti menanti seorang penumpang yang entah berada di setesen mana, keadaan ini meresahkan.

10. Jangan semua orang melihat Azmin terbaik dan tukang sihir politik yang handal oleh kerana kerana dia kebetulan menjadi MB, individu berkuasa dan mempunyai kedudukan yang ampuh. Jangan kerana itu maka Azmin diletakkan ditempat yang tinggi dan menjadi penggantung harapan. Azmin bukan segala-galanya dan kegahannya tidak sama seperti Anwar dan Dr Mahathir.

11. Duit bukan segala-galanya, dan ia bukan datang dari kedudukan seperti dipanggungi Azmin itu. Kalau rakyat sudah jelira, sudah yakin,  rakyat akan menghulurkan bantuan dan derma kepada PH bagi menghadapi pilihan raya seperti mana yang berlaku ke atas Rafizi Ramli. Rakyat dari segenap lapisan golongan menghulurkan bantuan untuk Rafizi. Orang yang berfikir duit boleh menggerakkan segala-galanya, kekuatan parti, persahabatan dan sebagainya adalah silap. Hanya Mat Lela Gila sahaja beranggapan ada wang semua boleh jadi.

12. Azmin diharap jangan sangat bermain silap mata politik untuk menjaga diri sendiri tetapi perlu lebih peka kepada politik untuk semua. Dan sekiranya beliau benar-benar jujur beliau kena mendedahkan siapa dua pemimpin tertinggi Pas yang datang menemuinya. Saya difahamkan dalam rundingan (pertemuan) itu pemimpin Pas berkenaan telah mengemukakan beberapa syarat kepada Azmin untuk Pas memberi jaminan tiada berlaku pertandingan tiga penjuru, teristimewa di Selangor.

Jika beliau enggan mendedahkan namanya, tunggulah saya menyebut nama dua pemimpin tertinggi Pas itu. [wm.kl.10:40 am 15/08/17]

2 comments:

Quantum Metal Consultant said...

Azmin perlu dilihat sebagai Pengarah PRU Pakatan Harapan yang mrmpunyai kuasa penuh bagaimanapun terikat kepada Majlis Presiden.

Azmin harus sedar, Tun dan Anwar tetap mempunyai mata dan telinga dalam setiap pergerakannya dan Azmin tidaklah cekap dalam semua perkara.

Azmin boleh mulakan dengan Selangor untuk tiada tiga penjuru, jika formula itu diterima PAS ia boleh digunapakai di Kedah, Johor dan negeri² lain. Sudah pasti ada pembahagian negeri yang akan dikuasai PAS dan PH.

Perbincangan hati ke hati ini sudah tentu turut didukung kuat oleh pemimpin dalaman PAS sendiri yang tidak perlu didedahkan.

Juga ada pemimpin dalaman PAS yang perlu dihindarkan dalam perbincangan ini kerana secara diam mereka sudahpun termakan budi umno.

Akhirnya, apakah tawaran Azmin akan lebih mewah dan hebat kepada PAS, berbanding dengan Najib, rasanya tidak.

Azmin akan meletakan kepentingan dirinya sekurang kurangnya kekal sebagai MB di Selangor melebihi kepentingan lain.

Tetapi Najib juga mempunyai kepentingan diri yang lebih terdesak, tawaran antara hidup dan mati.

Secara bahasa politik, Azmin juga adalah calon PM Pakatan Harapan dalam pembikinan.

Unknown said...

Bimbang talam 2 muka. Depan mata angguk2, tapi dibelakang main kayu tiga. Kalau dulu tiba2 boleh ada 3 penjuru PAS vs PKR vs BN, kalau dulu boleh ada arahan dalam gelap untuk pangkah UMNO bukan PKR, tak mustahil perkara tu akan berlaku lagi.