Friday, June 2, 2017

Speaker Dun Kelantan perlu cadang Pirake Nenggeri diadakan

PANDANGAN JUMAAT

Semalam Speaker Dun Kelantan Abdullah Yakob mengistyharkan kerusi Dun Nenggeri dalam Parlimen Gua Musang menjadi kosong setelah menerima notif dari pejabat Insolvensi mengatakan wakil rakyat kawasan itu, Mat Yusoff Ghani (foto) telah menjadi muflis.

Abdullah membuat pengistyharan itu mengikut Perkara 31(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, yang menyebut mana-mana wakil akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila diistyharkan muflis.

Kejadian ini macam kanser sahaja. Tidak pernah timbul sebelum ini wakil Nenggeri itu ada mengidap "penyakit" itu. Perintah muflis ke atas Yusoff dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam 9 Nomber 2016 atas permohonan sebuah bank kepada jabatan itu.


Tidak menjadi keperluan Speaker untuk memperincikan kenapa Yusoff diistyharakan muflis. Berapa nilai kemuflisannya. Namun apa yang berlaku mengejutkan, apa lagi ia berlaku kepada wakil rakyat BN. Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed juga tentu terkejut?

Selalunya BN akan membantu menyelamatkan wakil rakatnya yang "sakit" berkaitan masalah kewangan. Di Kelantan sendiri pernah ada wakil rakyat sudah disiap sedia untuk ditarik ke kandang mahkamah oleh SPRM tetapi diselamatkan. Persiapan itu dibatalkan begitu sahaja, maka jadilah kerja-kerja SPRM menyoal siasat dan menyediakan dokumen pertuduhan sia-sia sahaja. Semuanya boleh diurusaturkan.

Dalam kes Yusoff ini kenapa dia tidak diselamatkan. Nyanyanlah si Yusoff itu. Apakah jumlahnya tersangat besar sehingga menghampiri jumlah RM2.6 billion yang mana tidak mungkin untuk dicari wang sebanyak itu? Tidak masuk akal pula.

Saya difahamkan nilai kemuflisan Adun Nenggeri itu sekitar RM30 juta sahaja. Itu pun bukan menjadi tanggung jawabnya bersendirian, tetapi bersama dengan beberapa yang lain.

Yusuf dikatakan tertanggung hutang mengikut saham dalam syarikat yang bankrup itu sekitar RM3 juta sahaja. Nilai itu terlalu sedikit kalau hendak dikira dengan maruah dan moral BN (baca Umno Kelantan). Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan sepatutnya mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan masalah Yusoff bukannya sekadar mengatakan ia perlu dijadi teladan sahaja.

Tetapi seperti diagakkan tadi mungkin beliau (Mustapa) tidak pernah diberi tahu mengenai masalah ini. Sebab itu beliau sendiri terkejut. Semasa berbuka puasa di rumah Tengku Razaleigh Hamzah malam tadi, saya mengajukan pertanyaan fasal Yusoff itu kepada beliau. Tengku pun juga menyatakan tidak tahu menahu dan Yusoff tidak pernah memaklumkan kepadanya.

Sepatutnya Yusoff tidak menyembunyikan "kanser" itu dan merawatnya secara bersendiri, ia perlu diceritakan kepada pengetahuan orang lain juga, kalau pun tidak dapat membantu dengan material sekurang-kurang dengan doa dan solat hajat.

Biarlah persoalan Yusof dan Umno itu diserahkan kepada parti itu. Apa yang hendak diberi pencerahan dan pandangan di sini ialah kepada Speaker Dun Kelantan. Kekosongan yang berlaku di Nenggeri itu bukan boleh dianggap takdir dan dibiarkan berlaku begitu sahaja. Sebenarnya kekosongan itu satu peluang baik buat kerajaan Kelantan yang kini diperintah oleh Pas dan sepatutnya ia diambil kesempatan sebaik mungkin.

Kenapa saya kata ianya peluang baik, kerana kekosongan itu boleh dijadikan testimoni kepada Pas untuk membuktikan kekuatan dan ia masih mendapat sokongan rakyat seperti 22 tahun lalu semasa ia dipimpin oleh arwah Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat dulu. Jadi elok kalau Speaker menggunakan budi bicaranya meminta SPR memanggil pilihan raya kecil di kawasan itu.

Tidak berbangkit, penggal Dun kekantan sudah mencapai tiga tahun di mana kalau mengikut peraturan, mana-mana kerusi kosong tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil lagi sekiranya kekosongan itu tidak mengugatkan kedudukan kerajaan. Tetapi dengan mengambil kira pandangan Pengerusi SPR Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab, pilihan raya kecil boleh diadakan sekiranya Speaker Dun Kelantan berkehendakkan demikian. Ertinya tempoh tiga tahun itu bukan mutlak untuk tidak diadakan pilihan raya.

Memanglah keperuan untuk diadakan pilihan raya kecil tidak relevan dan sesuai lagi memandangkan Piraum -- pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi, (ke'nya) masanya masih ada kalau Pas ingin menjadikan pilihan raya kecil Nenggeri itu sebagai medan menguji kekuatannya, dan dalam masa sama medan untuk menguburkan seteru baharunya Parti Amanat Negara (Amanah). Para pemimpin Pas mendakwa parti Amanah tidak ada kekuatan dan ia akan hanyut begitu sahaja. Pilihn raya kecil itulah peluang keemasan untuk mencacatkan Amanah.

Nah, sila adakan pilihan raya untuk dijadikan medan pertarungan dan menguji kekuatan. Dengan adanya pilihan raya itu Pas juga dapat membuktikan bahawa sokongan rakyat kepadanya masih utuh atau pun tidak. Ia akan memberi indikator apakah segala penyelewengan dan kelemahan kerajaan yang dibongkar ke belakangan ini diterima rakyat atau tidak.

Pas juga tidak perlu gentar dan takut untuk berhadapan dengan pilihan raya berkenaan. Walaupun kerusi itu dimenangi BN menerusi Yusoff majoriti besar 3,849 dengan apa yang berlaku kepada Yusoff itu sedikit sebanyak telah mencalar balarkan maruah Umno. Nah masa inilah untuk Pas mengambil kesempatan untuk merampas kerusi berkenaan.

Bukan itu sahaja, sekiranya pilihan raya kecil diadakan di Nenggeri banyak keuntungan dan laba bakal dikutip oleh Pas dan kerajaan negeri sendiri. Sudah tentu Umno akan bermati-matian mempertahnakn kerusi berkenaan dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk menang. Seperti berlaku dalam pilihan raya kecil sebelum ini, Umno akan menaburkan wang mewujudkan pelbagai projek sebagai kempen. Sudah pasti jika pilihan raya kecil diadakan projek ratusan juta akan dijanjikan.

Manfaat besar yang saya nampak kalau pilihan raya kecik diadakan di kawasan itu ialah, beberapa projek segera akan diwujudkan dan juga mana-mana projek terbengkalai akan disiapkan. Ada dua projek terbengkalai yang terdesak untuk disiapkan oleh BN, jambatan di Sungai Setelu dan juga rumah-rumah mangsa banjir yang masih belum siap sepenuhnya.

Pasti jambatan yang runtuh dibaham banjir tahun 2014, kemudian jambatan sementara yang dibina dibahan banjir tahun lalu, akan diganti dengan jambatan baharu. Umno pasti akan mengistyhrakan peruntukan khas untuk membina jambatan itu. Bukankah ini menguntungkan rakyat dan membantu kerajaan negeri sekaligus memberi kemudahan kepada rakyat. Pas perlu bijak bermain politik dengan mengambil kesempatan yang ada.

Demikian juga dengan rumah-rumah mangsa banjir yang masih belum siap sepenuhnya. Jika diadakan pilihan raya sudah pasti Umno akan menghulurkan peruntukan khas menyiapkan rumah mangsa banjir. Demi undi mereka akan lakukan apa sahaja, kebetulan pula pembinaan rumah itu sesuatu yang diperlukan. Umno akan bermatian kerana ia menang dan kemenangan itu boleh dijadikan modal bagi menunjukkan parti itu disokong rakyat.

Jadi dalam masa sama Pas seharusnya mengambil kesempatan dalam masa Umno terdesak untuk menampak ianya disokong rakyat. Soalnya apakah ada fikiran ini dalam kotak fikir orang-orang Pas yang menguruskan parti itu di Kelantan hari ini?

Banyak lagi manfaat kepada rakyat Kelantan jika pilihan raya kecil diadakan di Nenggeri. Selain daripada itu Pas juga dapat jawaban terhadap sikapnya terhadap Orang Asli di kawasan itu yang mana tanah dan kawasan mereka dicerobohi sebelum ini. Kerajaan Pas mendakwa mereka tidak menganggu Orang Asli dan Orang Asli masih bersama mereka, jadi kita mahu tahu apakah jika diadakan pilihan raya, Orang Asli akan bersama mereka?

Itulah antara manfaat atau pun kesan kalau Pirake -- pilihan raya kecil diadakan. Apapun yang paling besar dan penting ialah untuk Pas melihat sejauh mana kekuatan Amanah yang kini bersungguh untuk melanggarnya. Jika pilhan raya dibuka, Amanah pasti akan meletakkan calonnya. Dan HARAPAN, yang mengandungi tiga buah parti, Amanah, PPBM, DAP dan PKR hendaklah beri laluan kepada Amanah meletakkan calonnya.

Biarlah pilihan raya itu nanti berlaku perebutan tiga penjuru, BN, Pas dan Amanah (Harapan). Rakyat Kelantan pasti mahu lihat parti mana yang mendapat sambutan. Pirake di Nenggeri atau di mana-mana di Kelantan akan menjadi indikator kumpulan manakah yang akan membentuk kerajaan selepas Piraum ke-14 kelak.

Adakah Pas berani? Saya kira Pas tidak sanggup menyelam ke dalam air tanpa persiapan yang lengkap atau pun dalam keadaan tubuhnya lemah dan melupai ilmu berenang sekarang ini. Alasan yang akan dikeluarkan sebagai menjawab pandangan saya ini tentulah; tidak perlu pilihan raya kecil diadakan di Nenggeri kerana pilihan raya umum sudah hampir tiba. Kita tidak mahu mengikut syaitan yang suka membazir, kerana pilihan raya yang tidak memberi impak kepada kedudukan kerajaan itu adalah kerja sia-sia. Itu jawabannya.

Padahal apa yang tersendak dalam hati, "kita tidak perlu mengadakan pilihan raya kerana, kita bimbang kalah, lagi pun kerusi itu adalah kerusi kawan baharu kita daripada Umno biarlah ia kosong sehingga di isi dalam Piraum nanti. [wm.kl.12;44 pm 02.06/17]

3 comments:

azrul adhar said...

Rasanya PAS tak akan adakan PRK tu..mgkn bimbang akan kalah..tp rugilah klw tak buat PRK sbb duit & projek org kelantan tak masuk..sepatutnya PAS kena istihar PRK supaya najib berbesar hati menyalurkan duit yg banyak utk rakyat kelantan..

Mali Muyung said...

Salam Ramadan bro.Bila mengenangkan DNA Pas yg berdarah ugama tidak terfikir bahawa satu hari kelak pas boleh duduk semeja dgn umno.
Memang d luar dugaan.Barangkali ini yg d maksudkan dgn hadis Nabi Muhammad bahawa akan tiba satu masa kelak ugama d jual untuk kepentingan dunia.

Suhaimi Sneijder said...

Tak perlu adakan. PRU sudah hampir. Mandat tinggal tak lebih setahun sahaja.Hanya membazir wang pembayar cukai jika diadakan. Ambil berkat bulan Ramadan,kurangkanlah pembaziran.