Thursday, July 14, 2016

Menterjemah cadangan gencatan senjata oleh Tuan Ibrahim

SESUDAH SUBUH

Cadangan berupa gesaan dibuat oleh Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man agar parti-parti pembangkang melakukan gecatan senjata bagi menumpukan untuk menghadapi BN bolehlah dianggap sebagai ole-ole hari raya Aidifitri daripadanya. Cadangan itu juga menunjukkan keterbukaan politik (kewarasan fikrah politik) orang nombor tiga dalam parti agama itu.

Saya sedikit terkejut, tetapi banyak tersenyum apabila membaca laporan mengenai hal itu. Berbagar-bagar dalam kepala saya kenapa dan mengapa beliau tiba-tiba membuat gesaan itu. Yang pastinya tentu ada nawaitu atau sebab-sebab tertentu kenapa ia dilontarkan.

Dari sudut politik parti-parti pembangkang cadangan itu sesuatu yang sangat pratikal dan ditunggu-tuggu. Itulah yang sepatutnya pembangkang lakukan bagi kepentingan rakyat, menyifarkan pertelagahan sesama sendiri - penentang UBN. Tanpa gabungan di kalangan pembangkang, UBN tidak akan tumbang dan Najib Razak akan terus bermaharajalela, melakukan apa saja mengikut nafsunya kalau sikap diambil pembangkang kini, berpecah, bersuku sakat sehingga menjelang Piraum akan datang.

Namun apabila mengenangkan timbul kecelaruan tindakan dan pendekatan dalam parti Tuan Ibrahim itu akhir-akhir ini menyebabkan saya tersenyum, konfius dan menganggap cadangan Tuan Ibrahim itu tidak lebih daripada cubaan hendak menjual tapai basi sahaja.

Ia hanya sebuah retorik politik yang tidak normal jika dipadankan dengan apa yang sedang dilakukan oleh para mulla dalam Pas hari ini. Umum tahu kini para mulla dalam Pas sedang bergerak atau membentuk tauhid politik tersendiri, malahan menunjukkan kebencian kepada pembangkang khususnya DAP dan Amanah. Jadi apabila Tuan Ibrahim sedar dengan cadangan itu menyebabkan timbul kepelikan.

Parti itu kini mahu bersendirian (menakluki Syurga tanpa bekerjasama dengan orang lain) dengan menggunakan slogan perjuangan (politik), bukan mahu kemenangan tetapi mengharap keredhaan Allah. Jadi lontaran idea Tuan Ibrahim itu dilihat ada kontradik dengan slogan berkenaan. Apabila beliau meminta pembangkang bergabung bermakna beliau juga mengharap kemenangan dalam pilihan raya.

Justeru sebelum memberi reaksi atau menganggap cadangan itu satu lontaran idea yang sempurna dan perlu dibahas dan diambil tindakan, maka ia perlu dikaji dan diterjemahkan terlebih dahulu apakah maksud tersirat Tuan Ibrahim membuat cadangan itu. Tepatlah kalau Timbalan Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub enggan memberi ulasaan atau reaksi segera terhadap kenyataan Tuan Ibrahim itu.

Alasan Salahuddin enggan memberi reaksi kerana beliau mahu kepastian terlebih dahulu, apakah cadangan itu merupakan idea rasmi pemimpin Pas atau pun ia hanya sebagai pandangan peribadi Tuan Ibrahim sahaja. Kalau ia pandangan peribadi Tuan Ibrahim tidak ada faedah untuk Salahuddin menyambung menyuburkan idea itu kerana ia membuang masa. Betapa kalau Tuan Ibrahim berfikir ke arah itu kalau tanpa membawa sama para mulla ia tidak menjadi kenyataan. Bijak cara Salahuddin melayan isu tersebut.

Dalam hal ini saya melihat cadangan dan gesaan itu lebih merupakan pandangan Tuan Ibrahim secara peribadi sahaja. Kalau idea itu adalah idea kolektif (pinjaman istilah sering digunakan Guru Hadi), pemimpin Pas, pasti ia dikeluarkan dalam sidang akhbar khas bagi menunjukkan ia adalah gagasan baharu Pas. Semolek-molek masa mengeluarkan cadangan itu ialah selepas Pas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa kerja tertingginya.

Tetapi apa yang dikesani, Tuan Ibrahim mengeluarkan padangan iu melalui catatan dalam media sosial sahaja kemudian diketengahkan oleh media massa sebagai bahan berita.

Mari kita fikir dan tilik, apakah tujuan dan maksud beliau berbuat begitu -  mencadangkan pembangkang bergabung. Tentu ada nawaitu tersendiri bagi Tuan Ibrahim. Di sini saya melihat begini; boleh jadi beliau sudah mulai sedar mengenai nasib dan masa depan Pas apabila parti itu mengambil keputusan seperti hari ini. Tauhid baharu politik Pas itu dikira tidak menguntungkan parti berkenaan dan mensia-siakan kejayaan lampau.

Mungkin dalam hisabnya, kedudukan Pas dalam "bertaawun" dengan Umno kini, tidak memberi jaminan apakah Pas akan maju ataupun menjadi mundur. Tentu sejarah yang pernah dilakari oleh kedua parti itu dalam apa dinamakan kerjasama menakutkan beliau. Keris panjang yang dijulang semasa muktamar Pas baru-baru tidak menyakinkan beliau mampu membawa Pas maju ke depan.

Dalam kata lain Tuan Ibrahim tidak yakin taawun itu memberi laba besar kepada Pas yang ghairah untuk melaksanakan Islam itu. Apa yang saya sebut agar Pas tidak menjadi Lebai Malang, "kaki kiri terpijak kencing dan kaki kanan terpijak tahi" dalam berhadapan dengan Umno, mungkin ada dalam kepalanya.

Boleh jadikan juga keputusan dua Pirake di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang baharu lalu menyedarkan Tuan Ibrahim. Bahawa dengan keputusan itu memberi natijah dan petunjuk akan kelayuan masa depan Pas. Kerana bimbang bulan akan terus seban dan mengelam, maka satu langkah perlu diambil segera. Lantaran itu sebaik-baik cara ialah dengan meminta pembangkang bergabung.

Adalah bijak bagi Tuan Ibrahim untuk membina kekuatan Pas, menjadikan Pas ampuh sebagai wadah altarnatif rakyat di masa depan. Ini kerana selepas ini dengan kedudukannya sebagai timbalan, dialah yang akan mengelek dan memikul "jabil" Pas. Kalau terjadi apa-apa kepada Guru Hadi, maka beliaulah yang akan mengambil tanggungjawab. Beliau akan mempusakai Pas.

Sebagai penggati tentu ada rasa gusar dan bimbang bersarang dalam hatinya. Tuan Ibrahim tentu tidak mahu memikul biawak hidup yang ditinggalkan Guru Hadi. Sebagai seorang yang ada cita-cita dan semangat jihad, tentulah Tuan Ibrahim mahu melihat Pas lebih progresif dan dinamik daripada apa yang ada kini. Mungkin kerana bimbangkan keadaan itulah beliau memikirkan perlunya Pas berada dalam barisan pembangkang yang mantap.

Jadi intipati atau mesej cadangan dibuat Tuan Ibrahim itu bagi hemat saya memberi petunjuk yang mula merasai bahan kekalahan ialah Pas bukan parti pembangkang lain. Sebab pembangkang lain khasnya DAP, PKR dan Amanah tidak perlu kepada seruan itu kerana mereka sudah bergabung membetuk Pakatan Harapan.

Cadangan Tuan Ibrahim itu juga secara tidak langsung memansuhkan idea Blok Ketiga yang dicanangkan oleh sesetengah pemimpin Pas sebelum ini. Kalau Blok Ketiga menyakinkan kenapa harus dicadangkan supaya Pas berkolabrosi sama dengan pembangkang? Dukunglah blok ketiga itu.

Atau boleh jadi juga tujuan Tuan Ibrahim melontar cadangan itu untuk memberi tahu kepada para mulla dalam Pas, yang mengagaskan tauhid baharu politik Pas sedia bersendirian dan hanya mengharap keredhaan Allah tanpa mahukan kemenangan dalam pilihan raya. Boleh jadi beliau melontar cadangan itu bagi melihat sejauh ana reaksi mereka dan juga ahli bawahan Pas. Dalam kata lain, lontaran cadangan itu untuk mendapat pandangan atas dan bawah, bagi Pas mengkaji semula keberkesanan tauhid politiknya dan apakah ia terus dijadikan akidah politik.

Kalau bukan begitu, seelok-eloknya (atau apakah Tuan Ibrahim sudah) berbincang dengan para mulla sebelum menulis cadangan itu dalam media sosialnya. Atau pun beliau sudah pun berbincang dan itu adalah sikap terbaru Pas dan idea itu kini dalam proses pemasaran. Namun kalau ianya ia begitu, kenapa pandangan itu dibuat secara lisan dan bukan rasmi?

Dari sudut lain pula ini lebih penting, cadangan Tuan Ibrahim itu selain menunjukkan beliau bimbang dengan situasi yang ada, menjelaskan sikap ketidaksetujuan beliau dengan tauhid politik yang digagaskan oleh golongan mulla dalam Pas itu. Jadi cadangan itu membawa siratan maksud dan mesej halusnya menunjukkan penentangan beliau kepada tauhid politik Pas itu.

Kerana kurang berani untuk mendada, maka ia dibuat secara bersimbolik berupa cadangan itu, meletakan pembangkang perlu bergabung untuk menghadapi UBN, walhal yang harus bergerak ke arah penggabungan dan perlu bergabung ialah Pas. Inilah tafsiran dan terjemahan saya terhadap maksud tersirat apa yang dilontarkan Tuan Ibrahim itu. Semoga ia akan ada susulan sokongan cadangannya itu dari mana-mana fraksi dalam Pas.

Kalau ianya selepas ini sejuk dan diam begitu sahaja, atau disemilirkan saja di angin lalu, maka cadangan Tuan Ibrahim itu tidak lebih daripada cuba menjual tapai basi sahaja yang tidak akan dibeli oleh sesiapa pun. Ianya buat berat bahu memikul, memeritkan tekak melaungkan barangan dangangan yang basi itu. Walahu'alam. [wm.kl.6:30 am 14/07/16]

No comments: