Sunday, July 31, 2016

Husam akan umum sertai Amanah?

BERITA SABTU

Teka teki parti mana yang menjadi pilihan bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa (foto) sebagai wadah penyambungan perjuangannya akan terjawab tidak lama lagi. Husam membayangkan beliau akan mengumumkan parti yang akan disertai itu dalam masa terdekat.

Katanya mungkin orang ramai sudah dapat mengagak parti mana yang akan disertainya. Sebelum ini Adun Salor itu memberi tempoh enam bulan untuk beliau meneliti dan mendapat pandangan orang ramai sebelum beliau membuat pilihan menyertai wadah baharu penerus perjuangan membela rakyat.

Tempoh yang dijanjikan itu sudah pun tamat.
Husam menyatakan perkara itu dalam ceramah umum di Tumpat malam tadi. Walaupun beliau tidak menyebut secara berterus terang nama parti itu, tetapi analogi yang beliau kisahkan mengenai pendapat seorang tua mengenai perihal memasak nasi ia sudah boleh diagakkan parti yang akan disertai.

Katanya, menurut seorang tua kalau kita mahu nasi kita masak molek, berilah kepada seorang yang ber"amanah" untuk melakukannya.

Anologi itu menjelaskan bahawa Husam akan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah). Kemungkinan ini dikukuhkan lagi apabila beliau juga membayangkan parti yang akan disertai itu, sebuah parti Islam dan bertanggungjawab serta amanah.

Adalah dipercayai Husam akan membuat pengumuman yang dinanti-nantikan itu dalam satu majlis khas yang akan diadakan di Putrajaya, di mana di kawasan inilah dalam pilihan raya lalu beliau bertanding untuk kerusi parlimen dan mencipta gelombang anak muda untuk menyelamatkan kerajaan pimpinan Tokguru Nik Aziz di Kelantan.

Husam berharap apabila mengumumkan penyertanaan nanti anak-anak muda dan mereka yang mengharapkan kepada sebuah perjuangan (parti) yang berunsurkan Islam akan bersamanya. Tunggu perkembangan lanjut. [wm.kl.11:05 am 31/07/16]

No comments: