Monday, June 13, 2016

Tulisan kecil mengenang Abdullah Ahmad

BELASUNGKAWA

Saya bersama Allahyarham di satu majlis di KL.
Sebagai seorang wartawan dan penulis kecil saya mempunyai ruang yang agak baik untuk mendekati, berkenalan seterus menerima dan bertukar-rukar pandangan politik dengan beliau yang boleh dianggap sebagai Vvip politik Malaysia.

Sejarah dan denai-denai politik dilaluinya menjadi beliau seorang yang hebat kalaupun tidak boleh diiktiraf sebagai tokoh besar negara. Namun bagi saya apa yang digalasnya itu sangat dikagumi dan disanjung. Di Kelantan hanya beliau yang saya kira sampai ke tahap itu.

Saya menganggap beliau adalah seorang tokoh yang merangkumi tiga aspek atau benua kehidupan; politik, kewartawanan dan diplomatik. Gelar ini bukan mudah untuk dimilikinya, di Malaysia hanya beberapa orang sahaja boleh dinobat begitu. Ada wartawan yang menjadi ahli politik tetapi tidak sampai menjadi diplomatik.

Dia yang saya maksud itu ialah Tan Sri Abdullah Ahmad, yang lebih dikenali dengan panggilan Dollah Kok Lanas (DKL). Beliau sendiri senang dengan nama dan gelar berkenaan. DKL telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya dengan membawa segala catatan dan kitab hidupnya di dunia yang ditulis selama 79 tahun tengah hari semalam, 12 Jun 2016. Al Fatihah.

Saya mengenali DKL sejak beliau menjadi ahli Parlimen Kok Lanas. Mula reti menyebut namanya dan memberi perhatian apabila beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan terlibat dengan fahaman komunis. Penahanan itu juga menyebabkan beliau dikenali sebagai Dollah Komunis, penahanan itu sedikit sebanyak mencalarkan dirinya. Beliau bagi saya seorang tokoh kontroversi.

Kesan diterima dari penahan itu negatif kepada dirinya sebagai orang Melayu beragama Islam. Pemahaman komunis di Malaysia sesuatu yang sangat busuk dan dibenci. Beliau menerima kesan itu walaupun keabsahan pesepsi yang dianggap itu boleh dipertikaikan. Ada semacam penahannya itu bermotifkan politik?

Mengimbau kenangan mula mengenalinya, suatu hari saya diajak oleh seorang teman yang ingin menemuinya di pejabatnya SPKB - Sharikat Permodalan Kebangsaan Bhd (SPKB) di Bukit Bintang. Beliau ketika adalah pengerusi syarikat itu. Teman saya itu asal Kok Lanas dan merupakan salah seorang "pegawai" politik - orang harapannya, di Kok Lanas. Abdullah menjadi Ketua Umno Bahagian Kok Lanas.

Di situlah bermula perkenalan, atau jabat salam pertama dengan beliau seterusnya menjadi kami sudah tidak asing lagi. Ada waktu-waktu kami berhubung dan bertemu. Saya mengenali beliau seorang yang ringkas cara hidupnya dan tidak membesarkan dirinya walaupun beliau boleh dianggap jutawan atau korporat. Kedudukannya sebagai bekas Setiausaha Politik kepada PM kedua Allahyarham Tun Razak Hussein, kesempatan berkawan adalah membanggakan.

Allahyarham juga mempunyai fikirah politik yang agak jauh (modern) ke depan dan cuba merombak fahaman konservetif. Ini mungkin berlaku kerana pengaruh alam pendidikan yang diterimanya. 

Berbagai-bagai jawatan yang disandang dan diserahkan kepadanya, baik di peringkat nasional dan international, seperti Duta Khas ke PBB, sebelum itu timbalan mrenteri telah meletakkan dirinya bukan sembarangan orang atau tokoh. Pemikirannya juga dianalisa bukan sahaja di Malaysia, tetapi luar negara juga. Berbagai-bagai universiti dan badan pemikir dunia mengundang beliau menyampaikan ceramah dan menjadi penal dalam pelbagai forum antarabangsa.

Namun kehebatan itu tidak pernah menjadikan dirinya lupa daratan. Hidupnya sebagai orang kampung dan anak Kelantan, Machang tetap kekal. DKL mempunyai dua identiti serentak, orang kampung dan orang kota. Disamping gemar memakai topi dia juga pakai kopiah dan songkok. Itu yang saya nampak dan mentafsirkan dalamannya daripada bentuk pakaiannya.

Saya memerhati dan merasai sendiri akan kerendahan dan keringkasan hidupnya. Misalnya beliau masih gemar masakan ikan singgang disamping steak. Paling disukai ialah singgang kepala ikan aya (tongkol). Mungkin ramai yang menganggap Allahyarham seorang yang berprotokol dan sukar untuk didekati. Tanggapan itu sebenanrnya salah, jika pengalaman saya dijadikan sebagai bukti. Beliau seorang mudah didekati dan dimesrai, juga boleh dikritik secara berdepanan.

Beberapa kali saya diundang makan olehnya. Bukan sahaja di kedai, warung, restoran besar, bahkan pernah suatu hari diajak untuk bersarapan pagi di rumahnya di Jalan U-Than. Undangan itu telah meletakkan saya berasa penting baginya dan mempunyai nilai tersendiri. Sambil makan kami, (sebenarnya beliau) memberi beberapa pandangan dan idea politik untuk saya nukilkan. Saya menganggap kesempatan itu sebagai ruang kuliah politik dan diplomatik olehnya kepada saya.

Kejadian atau hubungan rapat saya dengan beliau ini berlaku selepas beliau mengetahui kerjaya saya, sebagai seorang wartawan dan penulis politik. Dan saya rasakan paling "merujakan" dia kepada saya ialah apabila mengetahui saya menerbitkan akhbar Siasah dan menjadi Pengarangnya. Dia juga memanggil saya dengan nama komersial saya, MSO. Itu sebagai tanda dia menghormati saya.

Ketika itu beliau sudah tidak lagi menjadi penakluk kepada media arus perdana, khasnya The New Straits Times apabila beliau berhenti menjadi Ketua Pengarang Kumpulan. Perkembangan politik, perubahan kepimpinan dalam Umno menganjakkan dirinya keluar dari kalangan penting dalam Umno. Pemikirannya atau penglibatannya dalam pencaturan politik, pentadbiran kepimpinan baharu sudah tidak diperlukan lagi. Era Najib Razak tidak menyeronokannya?

Justeru beliau kehilangan ruang dan kolom dan juga kuasa media dan propaganda sekaliguas. Sebagai seorang wartawan atau penulis sangat dahagakan kolom dalam akhbar atau ruang bercakap dalam telivisyen. Namun segala kemudahan itu ternafi untuknya. Saat inilah apabila beliau mengetahui saya ada akhbar (Siasah) beliau mendekati saya sedekat-dekatnya.

Beliau mengajak untuk berkongsi menerbitkan Siasah menjadi sebuah akhbar yang lebih bernilai daripada apa yang ada. Beliau pernah menawarkan modal. Namun saya menolaknya dengan penuh diplomasi kerana saya tidak mahu membataskan pergerakan atau pun pemikiran media saya dibatas olehnya mengikut acuan dan ideologi siasahnya. Beliau tidak berkecil hati. Dan akhirnya Allahyarham sempat juga menjadi kolomnis dalam Siasah. Siasah menjadi wadahnya bukan sahaja untuk melontarkan pemikiran politik, tetapi ditulis beberapa kenangan politiknya.

Beliau berhenti menulis dalam Siasah apabila ditawar atau mendapat tempat untuk menjadi kolomnis disebuah akhbar lain. Berkebtulan juga saya menghentikan tulisannya apabila salah sebuah tulisannya agak bertentangan dengan nilai pemikiran saya (Siasah).

Apabila beliau tidak lagi menulis untuk Siasah, jarang kami berjumpa. Selama menjadi kolomnis beliau sering berjumpa dan ada kalanya datang ke pejabat pada saat deadline hatta tengah malam. Begitulah kemesraan Allahyarham dan beliau seorang yang tidak mengambil mudah dalam kerjanya. Walaupun Siasah sebuah akhbar tabloid, akhbar nyamuk tetapi cara dia melayani kami seolah Siasah sebuah akhbar yang perestaj sama dengan akhbar arus perdana lain yang pernah dikuasainya dulu.

Kali terakhir berjumpa dengan beliau ialah di rumah Tengku Razaleigh Hamzah, semasa hari kematian isteri Tengku Razaleigh. Beliau juga turut menziarahi dan solat jenazah. Pada pertemuan itu kami tidak sempat untuk berbual seperti biasa. Kalau tidak pantang berjumpa beliau akan menarik tangan, mengajak ke pojok untuk berbual-bual dan beliau akan mencurahkan pandangan dan ideanya serta teori-teori politik dan sosial untuk dilakarkan.

Allayharam dalam apa keadaan akan menggunakan ilmu diplomatiknya untuk mempengaruhi pemikiran kita dengan apa yang difahaminya. Sifat lain yang ada kepada beliau menjadikan bukan sahaja saya, tetapi orang lain yang mengenalinya menerima dan hormat kepada sikap keterbukaan pemikirannya, sedia dikritik serta kerendahan dirinya sebagai orang kampung yang pernah hidup di luar negara tetapi tidak pernah berasa dirinya tinggi melangit.  [wm.kl.6:29 pm 13/06/16]

1 comment:

Unknown said...

Merujuk perenggan tujuh tulisan Sdr: "Mengimbau kenangan mula mengenalinya, suatu hari saya diajak oleh seorang teman yang ingin menemuinya di pejabatnya SPKK di Bukit Bintang. Beliau ketika adalah pengerusi SPKK."

Apa yang saya tahu, Allahyarham adalah pengerusi SPKB (Sharikat Permodalan Kebangsaan Bhd), manakala pejabatnya pula ialah di Jalan Sultan Ismail (di luar dari kawasan Bukit Bintang).

Maafkan saya kalau tersilap.