Tuesday, July 28, 2015

Zahid Hamidi TPM Malaysia yang baru

TERKINI

Dalam sekelip mata jawatan Timbalan Perdana Menteri berubah. Mohd Najib Razak telah mengumumkan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamid sebagai timbalan perdana menteri dan sekaligus menyaksikan Muhyiddin Yassin digugurkan.

Katanya perubahan yang dibuat satu keputusan yang berat dan terpaksa dilakukan untuk membolehkan jemaah menteri bergerak sebagai satu pasukan.

Muhyiddin malam semalam meneruskan serangan ke atas Najib dimana serangan itu adalah paling parah berhubung isu 1MDB.

Di sini apa pula yang saya hendak katakan tindakan Najib itu satu keberanian. Kira-kira berberapa jam lepas saya menulis dalam blog ini berbunyi; "saya tidak fikir nama Muhyiddin digugurkan dari Kabinet dan kalau Najib berbuat juga, bermakna Najib sudah menunjukkan keberaniannya dalam politik.

"Keberanian yang akan membawa padah besar kepadanya. Keberanian yang luar biasa dalam sejarah politik Najib kerana selama lebih 30 tahun terjun dalam kancah politik belum ada keputusan besar dan kritikal dilakukan Najib."

Tidak ramai menduga Najib benar-benar bersikap pahlawan Bugis dalam menyingkirkan Muhyuddin yang dianggap sebagai duri dalam daging sejak kebelakangan ini. Keputusan Najib hari ini juga mungkin tidak diduga oleh Muhyiddin.

Saya bertukar buku dengan Pak Habib petang semalam.
Bagaimana pun Najib perlu bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan dengan keputusan beraninya itu, beliau mungkin diserang balik oleh Muhyiddin dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Apa yang berlaku - tindakan Najib itu ia mungkin menempati apa yang saya duga, Najib ada hubungan "diplomatik" dengan orang di Sungai Buloh sebagai penimbalan atas keputusannya itu.

Jika ini benar bermakna satu senerio baru akan berlaku dalam politik Malaysia.
Sebagai rekod petang semalam semasa berbicara dan minum petang dengan Syed Hussein Alattas (Pak Habib) di Wangsa Walk saya ada menyebut dalam keadaan negara (Umno) huruhara dan Najib diserang sesamanya, Ahmad Zahid Hamidi adalah orang yang boleh menyelamatkan keadaan.

"Bib kalau ikut saya Zahid Hamid yang boleh menyelamatkan Najib, tetapi si anak Jawa ini nampak kurang berani. Dia lebih setia dan sangat berhati-hati," kata saya.

"Anak Jawa Ustaz, (Pak Habib memanggil saya ustaz), memang begitu, dia seorang yang play safe," balas Syed Hussein menyetujui apa yang saya ungkapkan.

Selain menggugurkan Muhyiddin, Najib juga menggugurkan dua menteri, Mohd Shafei Afdal (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Hassan Malik (Menteri KPDNKK) dan membawa masuk Salleh Said Kruak dan Azalina Othman Said, sebagai menteri Komunikasi dan Media (Salleh) dan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Azlina).

Beberapa orang timbalan menteri juga dinaikkan pangkat dan berubah porfolio.

Mereka yang lain dikekalkan tetapi bertukar kementerian, Ahmad Shabery Chik, berpindah ke kementerian Pertanian dan Asas Tani, Hamzah Zainuddin ke kementerian KPDNKK manakala Ismail Sabry Yaakob ke kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Mereka yang dinaikan pangkat menjadi menteri, Mahadzir Khalid Menteri Pendidikan, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Nama presiden Pas Abdul Hadi Awang yang mungkin diimpikan oleh sesetengah orang tidak termasuk dalam senerai kabinet baru Najib.

Ulasan kabinet baru Najib akan menyusul ikut rasa. [wm.kl.3:12 pm 28/07/15]

No comments: