Sunday, June 14, 2015

PasMa tidak jadi organisasi politik, satu tindakan bijak

POJOK TENGAHARI                                                                                         

Keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Pertubuhan Ummah Sejahtra Malaysia (PasMa) untuk kekal menjadi badan Ngo dan tidak bersedia untuk mengubah status itu kepada sebuah parti politik sebagai mengganti Pas dalam Pakatan Rakyat adalah satu keputusan bijak dan berpandangan jauh.

Keputusan itu juga menjelaskan apa yang diperjuangkan oleh PasMa bukan untuk kepentingan individu tertentu apa lagi tergilakan jawatan, tetapi untuk memastikan Pakatan Rakyat kekal menjadi wadah kepada rakyat setidak-tidaknya untuk pilihan raya umum akan datang.

Keputusan itu diumumkan oleh Presidennya, Phahrolrazi Mohd Zawawi semalam selepas parti itu mengadakan perbicangan meja bundar di Shah Alam Selangor yang dihadiri oleh pimpinan Ngo itu dari seluruh negeri.

Pertemuan semalam juga mengambil keputusan PasMa akan mendokong atau pun bersama menjadi pengerak kepada kemungkinan menubuhkan parti baru bagi menggantikan Pas dalam Pakatan Rakyat, apabila Pas kini dilihat cuba hendak "bercium mulut" dengan Umno.

Menurut Phahrolrazi, PasMa menyokong penuh penubuhan parti baru bagi mengganti Pas dan bergabung dengan Umno. Parti baru itu diharap akan memegang prinsip dan konsep Pas sebelum ini ketika dikuasai oleh golongan Prolib yang mengamalkan politik profesional, progresif, terbuka bukannya fahaman konsevertif dan ortodoks yang dilakukan dalam Pas waktu ini.

Apakah bentuk dan nama parti itu akan diketahui paling awal menjelang Syawal hadapan. Yang pastinya pelbagai Ngo dan individu ternama dalam Pas yang menyokong Pakatan Rakyat mengalu-alukan kewujudan parti baru itu.

Dalam hal ini mana-mana pihak yang bertanggungjawab untuk mewujudkan parti baru, perlulah berhati-hati dan melakukannya penuh sistemetik. Pendapat secara koletif daripada semua pihak yang tidak dapat menerima stail dan hala tuju Pas kini hendaklah diambil dan diperhalusi.

Seeloknya kalau sebuah parti baru hendak diwujud sebagai mengganti Pas, biarlah keputusan kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat sudah putus. Hari ini kedudukan Pas dalam pakatan itu masih kabur ekoran sikap Majlis Syura Ulama yang sorong tarik dengan keputusan berhubung usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Kandati pun dari segi hakikat apabila usul itu diterima tanpa dibahas, tetapi dari segi tekniknya kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat masih valid, kerana Pakatan itu sendiri terjalin bukan sahaja antara Pas dengan DAP, tetapi dengan PKR juga. PKR buat masa ini masih berada dalam Pakatan Rakyat dan menjadi rakan Pas.

Apabila sudah sah Pas dibuang dari Pakatan Rakyat atau meninggalkan Pakatan, ketika itulah gagasan mewujudkan sebuah parti baru itu baru boleh dilakukan. Kedudukan hari ini PKR juga masih belum memutuskan apakah parti itu bersikap seperti DAP terhadap Pas atau sebaliknya.

Dengan mengambil kira pandangan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, beliau masih belum membuat keputusan sama ada hendak berkolobrasi dengan DAP atau pun Pas. Kenyataan itu menunjukkan Azmin belum dapat memutuskan sikapnya.

Jadi soal untuk menubuhkan parti baru, sekali lagi ditegaskan biarlah ia dibuat dengan penuh sistemetik dan mendapat pandangan dan sokongan bulat khas dari pendokong akar umbi. Jangan menubuhkan parti baru di atas rasa marah dan niat hendak mengajar Pas yang sudah kiian hilang harga diri itu. [wm.kl.2:30 pm 14/06/15]

No comments: