Sunday, May 31, 2015

Sarjana bayang kerajaan Pas akan tumbang

SEMBANG                                                                                                          

Tiga hari lalu saya turut minum tea bersama beberapa anak Kelantan yang terdiri daripada sarjana dalam pelbagai bidang. Ada sarjana dalam bidang sejarah, ekonomi, politik dan budaya. Walaupun saya bukan seorang sarjana Ph.D tetapi diajak sama untuk minum tea bersama mereka. Terima kasih.

Antara yang hadir dalam sembang kedai kopi di Bangi.
Antara sarjana yang hadir ialah Dr Muhammad Agus Yusof, pensyarah di UKM, Dr Shamsul Adabi Mamat juga dari UKM, Dr Mustapa Ahmad, pengawa yang satu-satunya memegang title (tangkai nama) Doktorat, Dr Wan Suhaimi Wan Daud, Ketua PKR Pasir Mas, dan lain-lain yang saya tidak begitu mengenali mereka, yang juga merupakan sarjana Ph.D. Seorang peguam juga turut hadir.


Yusuf Comel dan Mohd Sobree Shafii juga turut sama hadir. Walaupun beliau, (Yusof) tidak menggunakan "tangkai nama" Dr di pangkal namanya tetapi butir bicara, buah fikiran dan hujah yang dikeluarkan menunjukkan dia sebenarnya layak untuk menjadi pensyarah dalam bidang Ilmu kemanusiaan dan Sains Politik. Assumption dibuatnya melewati wataknya dimilikinya.

Menarik hujah yang dikemukakan Yusof, apa lagi gaya cakapnya berterus terang dan jujur menyebabkan orang suka mendengarnya walaupun terasa sikir lubang telinga. Bagi saya Yusof seorang yang out spoking dan bercakap ada hujah-hujah tersendiri yang sukar untuk ditepis.

Sembang politik sambil kacau kopi itu berlangsung di Bangi, Selangor.  Adapun mauduk dan tujuannya ialah untuk bercakap fasal politik Kelantan khasnya dan politik bangsa Melayu amnya saling memesrakan antara yang ada.

Apa yang hendak saya ceritakan di sini, rumusan yang dicapai dimeja kedai kopi malam itu ialah, bahawa kedudukan Pas dan Umno Kelantan hari ini tidak menentu. Pas tidak boleh menjamin ianya kuat manakala Umno pula tidak jamin dan yakin yang ianya boleh mengambil alih kerajaan Kelantan. Dalam keadaan Pas (Kelantan) kini bermasalah, (ada masalah dalaman yang timbul pasca pemergian Nik Aziz), namun Umno seakan belum sedia dan tidak percaya peluang yang ada dapat dimanfaakan. 

Bagaimana pun, menurut Dr Mustapa dan Dr Agus, sekiranya pilihan raya diadakan hari ini, kerajaan Pas Kelantan akan tumbang. Alasan yang dikemukakan ialah berpandu kepada pelbagai masalah yang dihadapi di Kelantan waktu ini yang tidak dapat dituntasi dengan jitu. Mereka tidak menjelaskan secara mendalam segala masalah itu, tetapi apa yang boleh difahami ianya bersangkutan dengan kelemahan kerajaan pimpinan Ahmad Yaakub dan Mohd Amar Nik Abdullah (AYMA) dan kehilangan "ummpp" selepas ketiadaan Nik Aziz.

Dr Agus sebelum ini pernah membentangkan lebih 20 masalah atau perkara yang perlu dihadapi oleh kerajaan Kelantan dengan serius. Masalah itu termasuklah mengenai air bersih, sampah, jalan raya, pembangunan di majlis daerah, masalah sosial dan lainnya.

Sewaktu Dr Agus membentangkan masalah itu, Banjir Emas, yang besar berlaku Disember 2014, masih belum menimpa Kelantan. Saya percaya kalau banjir sudah berlaku, masalah banjir diletakkan pada urutan teratas. Ini kerana walaupun sudah lima bulan tragedi itu berlalu, namun penyelesaian ke atas mangsanya masih belum selesai. Walhal Ahmad menjanjikan masalah banjir akan beres dalam masa tiga hingga enam bulan sahaja.

Sekiranya tidak ada individu yang bertindak menjadi MB swasta, masih banyak mangsa banjir yang tidur dan berlepak dalam khemah. Alhamdulilah kerana adanya MB swasta yang membantu MB segonti, sedikit sebanyak masalah mangsa banjir dapat diatasi, ini juga dengan bantuan khidmat dan bakti NGO. Menerusi projek dibangunkan MB swasta, kira-kira 40 buah rumah berjaya dibina dan dalam proses. Sedihnya usaha MB swasta itu seakan tidak direstui oleh Ahmad Yaakub.

Saya bersetuju dengan pandangan Dr Agus dan Dr Mustapa itu yang membayangkan kerajaan Pas akan tumbang jika diadakan pilihan raya dalam masa terdekat berdasarkan kepada hujah dikemukakan itu. Dan saya lebih yakin kedudukan kerajaan Kelantan akan tergugat apabila dicampur dengan masalah mutakhir yang berlaku kini dan tidak dibendung dengan baik. Saya sendiri meletakkan Umno akan menambah 12 kerusi lagi pada pilihan raya akan datang menjadikan jumlah kerusi Umno 24 kerusi.

Sebenarnya kelemahan kerajaan Kelantan kini bukan sahaja, tertakuk kepada pelbagai masalah yang tidak selesai dan berdaya diatasinya itu, tetapi ada hambatan-hambatan lain lagi yang masih belum terungkap ke tengah masyarakat.

Misalnya hari ini, tabung kewangan negeri Kelantan berada dalam keadaan tenat sekali. Disebabkan masalah kewangan ini masalah sensitif, maka kesulitan ini tidak didedahkan kepada umum dan jika ada pihak yang mengungkitkan ia cepat-cepat disangkal dengan mengatakan ia fitnah dan jahat bukan mahu menerimanya sebagai teguran konstruktif. Pentadbiran AYMA hari ini suka menyembunyikan sampah di bawah tikar.

Gambaran menunjukkan tabung kewangan Kelantan kekeringan, boleh diperhatikan apabila banyak rombongan pelaburan dan perdagangan Kelantan dihantar ke luar negari untuk mencari pelaburan. Boleh dikatakan selang dua bulan, akan ada rombongan pencari pelabur kerajaan Kelantan ke luar negeri. Misalnya pada bulan lepas sahaja, dua rombongan mencari pelabur ke Timur Tengah yang diketuai oleh TMB dan diserta beberapa exco.

Hampir semua exco terlibat dalam rombongan mencari pelabur termasuklah exco penerangan yang tidak pun perlu ke luar negeri. Apakah natijah daripada kerancakan rombongan itu, ianya menandakan kewangan negeri tenat? Mudah sahaja untuk memahami masalah ini, orang miskin akan ke luar meninggalkan rumah dan kampung halaman untuk bekerja apabila dapurnya sudah mulai tidak berasap dan kepala lutut anak-anak jadi lebih besar daripada kepala. Begitulah juga dengan kerajaan negeri Kelantan dan juga kerajaan Malaysia.

Rombongan dan lawatan ke luar negara untuk menarik pelaburan ini bukan baru, ia bermula sebaik sahaja Ahmad Yaakub menjadi MB. Malahan MB sendiri ke Milan, Italy untuk mencari pelabur tidak sampai sebulan selepas beliau angkat sumpah sebagai MB. Pemergian itu dalam satu rombongan yang berskla besar juga. Apakah segala pencarian itu berjaya atau tidak. Ada orang bersenda, belanja untuk hantar rombongan mencecah puluhan ribu, hasil yang diperolehi beberapa kupang sahaja. Yang untungnya bukan kerajaan negeri agen pelancungan yang jual tikit dan pakej pelancungan.

Satu lagi bukti menunjukkan pentadbiran AYMA ketenatan dengan wang apabila sudah dua kali MB mengunjungi Putrajaya menemui Najib Razak. Pemergian itu bukan untuk "memadah" kerana dia akan mengadakan kenduri kahwin anaknya, tetapi mencari mekanisme macam mana kerajaan Persekutuan dapat membantu kerajaan negeri yang kian terjempit. Apakah kunjungan Ahmad Yaakub yang dianggap sebagai melanggar pantang dan prinsip itu berjaya batau tidak? Atau ia sudah dijadikan modal oleh Najib dan Umno untuk "bergelar" kepada Ahmad? Walahu'alam.

Kelemahan atau masalah yang dihadapi Pas Kelantan yang membolehkan dua sarjana itu bersetuju kerajaan Pas Kelantan akan tumbang, juga disebabkan masalah yang berlaku dalam Pas Kelantan. Kedudukan hubungan sesama ahli dalam Pas hari ini tidak semantap dahulu. Ia makin terasa selepas Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia. Suka atau tidak, nafi atau tidak realiti yang ada dalam Pas kini ia terbahagi kepada tiga puak. Apa yang saya analogikan sebagai "tanah rancangan" dahulu masih berlaku dalam Pas.

Pas Kelantan kini diibaratkan sudah kehilangan roh atau tunjang. Kalau diibaratkan kepada pokok, Pas jadi seperti pokok Tar (lodoicea maldivica) yang berbadan besar, berdaun lebat tetapi tidak berakar tunjang. Ia berkedudukan dalam keadaan rapuh dan tidak stabil. Keadaan ini berlaku kerana tindakan diskiriminasi atau pun menyisihkan sesama sendiri disebabkan kerana dengki ataupun dendam. Kejadian cantas menantas dan pemandulan pemimpin sedang berlaku di Kelantan.

Saya rasa tidak perlu huraikan disini, tetapi pemuka-pemuka Pas di Kelantan memahami apa yang saya sebutkan ini. Jadi bertolak dari situasi Pas yang tidak berpadu inilah juga yang tambah membenarkan andaian dibuat oleh dua orang sarjana tadi yang dipersetujui dalam sembang itu, bahaya kerajaan Pas bakal kecundang.

Apapun Pas masih ada jalan keluar bagi mengelakkan kecelakaan ini. Bagi saya faktor atau penawar paling utuh ialah Pas Kelantan kena bersatu. Ahmad Yaakub tidak perlu membiarkan kiambang di dalam kolam bernama Pas terus berpecah pecil. Beliau harus menjadi pemimpin laksana biduk yang menangkupkan semua kiambang-kiambang itu. Kalau beliau tetap "dedir" dan degil juga, nantilah untuk beliau dan Pas menerima natijah seperti mana dirumuskan dalam sembang sambil kacau kopi yang saya cerita ini.

Peluang terbaik untuk Pas mengukuh dan mengadakan tunjang kepada pokoknya yang dikatakan rapuh itu ialah pada muktamar yang akan berlangsung beberapa hari lagi. Perwakilan daripada Kelantan harus sepakat dan ikhlas menyokong semua calon dari Kelantan. Jangan pecah dan asingkan mereka dengan undi anda yang berdasarkan emosi atau pun mazhab yang sengaja dibentuk bertujuan memecahkan parti itu. Dan Ahmad sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan boleh memainkan peranan ini jika beliau sedar dan ikhlas.  [wk.kl.10:04 am 31/05/15]

No comments: