Thursday, May 21, 2015

Rohingya belayar menuju liang lahad...

RINTIHAN RASA                                                                          

Ketika kita enak tidur berlapikkan mimpi, mungkin ada sebahagian kita tidak sedar bahawa ada saudara kita sedang dilambung gelombang di tengah lautan. Kita enak berteduh dalam bilik hawa dingin, tetapi mereka kepansan di tengah-tengah samudara luas tanpa mengira lapar dan haus dahaga.

Beginilah nasib ibu dan anak Rohingya.
Atau pun ketika kita senang dan enak bersarapan pagi baik makan ubi ataupun roti disapu planta, tetapi ada saudara kita yang mati kebuluran di tengah lautan. Lupakah kita kepada hadith yang bermaksud, tipis iman kita kalau jiran sebelah mati kerana lapar.

Kita hanya bertarung dengan hutang dan cukai GST yang membebankan, atau pun menjadi bingung ke manakah wang sebanyak RM42 billion dilaburkan oleh 1MDB, tetapi mereka bertarung nyawa dan bercanda dengan maut. Saudara kita dimaksudkan itu ialah etnik Rohingya yang melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa dari ditindas penguasa Myanmar yang tidak berhati perut dan telah lupus perikemanusiaan.

Paling mendukacitakan, nasib mereka tidak menentukan antara hidup dan mati. Mereka seperti sedang berjalan mencari liang lahad dalam sebuah pelayaran yang dipaksa demikian rupa. Bayangkan dengan kapal atau bot, (bedal), yang tidak ada bumbung mereka merempuh gelombang. Di bawah dijulang ombak dari atas dipanah terik mentari. Senja dipupuk bayu malam direnyai hujan.

Suasana dalam bot pelarian Rohingya.
Di dalamnya terdiri orang wanita tua dan kanak-kanak yang tidak berkeupayaan. Mereka seharusnya tidak bertarung nyawa, tetapi keadaan memaksa mereka berbuat begitu.

Persiapan untuk menempuh gelombnag.
Hidup dan nasib mereka bagaikan berada antara dua keadaan, hidup dan mati. Tidak mengungsi pun akan mati, dan kalau mengungsi pun berdepan dengan bahaya dan maut. Kejahatan dan kezaliman yang ditimpakan ke atas mereka dan bumi kelahiran, tidak tertanggung lagi. Mereka harus melarikan diri mengelak dibunuh secara mentah dan kampung mereka dibakar hidup-hidup.

Dan tanpa kita sedari sudah ratusan ribu saudara mereka maut sama ada karam, tenggelam ataupun ditembak. Paling menyayu dan menyedihkan apabila mereka ditembak hidup-hidup setelah diberi perlepasan penuh dengan mesra (konon) tetapi terlindung niat kebusukan.

Tidak pasti berapa banyak sebenarnya jumlah saudara kita di Arakan itu. Ada mengatakan sekitar 3 juta, ada yang beranggapan kurang dan lebih daripada itu. Yang jelas mereka adalah monoriti di Myanmar. Sesuatu yang menimpa diri mereka adalah kecelakaan yang diwarisi dari penguasa-penguasa zalim sebelum ini bertaraf Firaun. Sejarah pengusiran dan penbunuhan manusia berlaku sejak ratusan abad lalu bermula di zaman jahiliah hingga kini dan diteruskan oleh Myanmar.

Mereka sangat mengharap simpati membela nasib mereka.
Kita dan juga dunia nampaknya seperti kurang mempedulikan nasib saudara kita Rohingya itu. Perasaan sebak kita terhadap Rohingya tidak sekuat sebak dan "murih" kita kepada Israeil yang membantai rakyat Palestin. Begitu juga kita tidak menjadi seprihatinan kepada nasib rakyat Bosnia ketika saudara kita itu dibantai dan dibunuh oleh Serb. Kenapa?

Apakah kerana etnik Rohingya tidak secantik orang-orang Bosnia atau seanggun orang Pelestin? Kalau benar, kenapa rupa parah menjadi penilaian dan ukuran, Sepatutnya simpati kita bukan kerana itu tetapi kerana kemanusiaan dan keimanan dan ketahidan mereka kepada Allah.

Lambaian selamat tinggal untuk menuju ke mana, entah.
Saya tidak salahkan kepada sesiapa, tetapi saya sendiri juga alpa dan seakan tidak mempedulikan apa yang berlaku di Arakan selama ini. Darah yang mengalir di Arakan semacam tidak cukup merah di mata saya. Saya berdosa! Bahawa mereka sudah lama menghadapi penindasan, dan melayani kezaliman dilakukan oleh penguasa Myanmar. Dari catatan sejarah dan laporan, kezaliman ke atas Rohingya bermula sejak lebih setengah abad lalu.

Selagi kapal tidak karam penumpang dipunggah naik.
Penindasan ke atas etnik Rohingya ketara pada tahun 1948 apabila Inggeris memberi kemerdekaan kepada Burma yang kini dikenali dengan nama moden, Myanmar. Awal-awal lagi penguasa Burma sudah mula bertindak ke aras saudara kita di Arakan itu apabila memungkiri janji Inggeris yang meminta etnik Rohingya juga akan diterima sebagai warga negara Burma yang merdeka. Bagaimana pun penguasa Burma ketika itu dibawah Junta tentera melanggari janji dan semangat kemerdekaaan berkenaan. Dalam kata lain mereka tidak menjadi sejujur pemerintah kita di Malaysia.

Tindakan awal dilakukan penguasa Burma dalam proses menyingkirkan etnik Rohingya ialah dengan melalukan tindakan Burminisasi ke atas etnik Rohingya. Mereka menghalang etnik Rohingya daripada melaksanakan syariat, berkahwin, mendapat pendidikan atau pun pekerjaan. Malahan bumi mereka dinafikan daripada menikmati kebebasan kemerdekaan yang diberikan oleh Inggeris. Tenaga dan jiwa Rohingya dipergunakan sepenuhnya melalui tindakan perhambaan. Mereka disuruh bekerja diperah keringat tetapi upah tidak diberikan.

Lanjutan itu maka penguasa Burma melancarkan operasi ketenteraan dinamakan Na Sa Ka. Tindakan ketenteraan inilah menghebatkan kesadisan dilakukan di Arakan, dimana anak-anak gadis dan perempuan Rohingya dirogol, orang lelaki diseksa dan dibunuh serta kampung halaman dan harta benda mereka dibakar. Banyak ulama atau pendakwah Islam dibunuh, masjid dan surau juga dibakar. Penguasa Myanmar tidak mahu melihat bekas Islam disana. Bermula dari operasi itu kezaliman itu berlaku sehingga hari ini.

Tidak cukup itu mereka diusir dari kampung halaman sendiri. Pengusiran itulah menyebabkan mereka mengambil tindakan nekad menyeberangi lautan untuk mencari tempat perlindungan nyawa.

Dunia yang celik dan tahu menghormati sejarah akan menumpahkan simpati kepada etnik Rohingya. Sejarah telah mencatatkan bumi Arakan adalah hak mereka. Rohingya atau juga dikenali dengan orang Arakan, mulai menduduki bumi itu sejak abad ke-7 lagi semasa zaman pemerintahan Harum Amiru Rasyhid (1430 - 1748 Masihi).

Golongan pedagang dari Arablah yang bertanggungjawab membawa dan mengembang Islam di bumi Arakan. Sehinggalah apabila Inggeris menguasai Asia Tenggara dan berkuasa di India, Arakan dimaksukan ke dalam wilayah India. Ia dibebaskan semula dan menjadi sebahagian negeri Burma selepas Inggeris memberi kemerdekaan tahun 1948.

Etnik Rohingya terdiri daripada beberapa suku kaum, termasuk Arab, Pasthum, Persi, Benggali dan Bangladesh yang menguasai Arakan. Di Burma terdapat 135 suku kaum, termasuk Shan, Kashen, Shanne, Kaya, Rakhine dan lain-lain.

Membaca pergolakan di Myanmar mengenai nasib Rohingya itu menimbulkan persoalan kepada kita (saya) apakah konflit atau permasalahan sebenar sehingga berlaku pengusiran dan pembunuhan itu atau lebih tepat disebut sebagai pembersihan etnik (ethnic cleansing) jika diukur kepada skala perbuatan itu yang sangat zalim. Persoalan ini timbul kerana, dunia tidak faham atas kebencian penguasan Myanmar itu. Apakah ianya berasas kepada perbedaan agama, atau pun apa?

Ada setengah pihak dengan mudah beranggapan apa yang berlaku itu bertitik tolak atas perbezaan agama. Umum tahun Buddha adalah agama yang terbesar di Myanmar. Tetapi apabila menyedari bahawa agama bukan konflit dalam hidup manusia berasaskan kepada mesej agama ialah untuk perdamaian, menyebabkan kita terfikir, konflit di Arakan itu bukan berdasarkan agama? Dan jka ia berasaskan agama maka jelas ajaran Buddha itu salah. Mana-mana agama melarang membunuh sesama manusia.

Tidak ada bukti jelas untuk membuat tuduhan sedemikian, bahawa kekejaman itu dibuat atas nama agama.

Mungkin mereka beranggapan demikian kerana memaling kepada sejarah lampau, di mana apabila kerajaan Buddha, menyerang Arakan dan menguasai bumi itu banyak para ulama dibunuh. Tetapi sejarah itu sukar untuk ditarik dan dijadikan asas kepada apa yang berlaku hari ini. Apa lagi jika diperhatikan tidak ada laporan yang Rohingya memperjuangkan hak dan bumi mereka menerusi kekerasan ketenteraan. Parti politik atau apa-apa pertubuhan juga tidak wujud untuk membawa ke arah itu.

Sebenarnya, kita menjadi bingung menyaksikan aksi zalim penguasa Myanmar ke atas Rohingya hari ini. Kerana kekaburan itu boleh dianggap bahawa mereka kerasukan sebagai mengesahkan akan berita al kitab bahawa di akhir zaman ini pembunuhan berlaku tanpa sebab seperti mana yang menimpa Altantuya Shaarribuu. He he.

Apabila bercakap mengenai nasib saudara kita itu, apa perlu kita tanda dijiwa kita apakah bantuan dan pertolongan yang kita harus lakukan. Kita bukan boleh setakat memanjatkan doa atau mengutuk perbuatan penguasa Myanmar yang zalim itu menerusi khutbah Jumaat. Ia tidak cukup setakat itu dan tindakan itu selemah-lemah iman.

Negara kita harus berbuat sesuatu yang lebih bermakna. Untuk hari ini bantuan kemanusiaan sangat diperlukan. Malaysia sebagai jiran Asean dan jiran seagama seharus bertindak lebih daripada apa yang dilakukan sekarang ini. Jika perlu ia bukan sahaja dihantarkan bot penyelamat, tetapi harus menyediakan penempatan sementara buat mereka sebelum mereka diuruskan ke negara ketiga oleh UNHCR. Apakah kita hanya bertindak membantu Rohingya seperti Thailand yang setakat memberi air mineral kepada mereka.

Kalau tahun 1970an dahulu Malaysia boleh menyediakan sebuah pulau, Pulau Bidong di Terengganu untuk menempatkan pelarian Vietnam, kenapa tidak untuk Rohinya? Bukalah mana-mana pulau untuk dijadikan bumi perlindungan sementara kepada mereka. Malaysia harus bertindak lebih prihatin daripada Turki yang telah menghantarkan kapal untuk menyelamatkan nyawa saudara Rohingya.

Tindakan-tindakan susulan bersifat kemanusiaan dan menjaga suadara seagama boleh dilakukan selepas itu. Kerajaan Malaysia boleh memikirkan apakah jalan terbaik untuk membantu mereka. Kekayaan Malaysia yang dianugerahkan Allah bukan sahaja untuk dikecapi oleh rakyat negara ini tetapi ia juga perlu dikongsi dengan saudara kita yang lain juga.

Barang kali bagi merealisasi perkara ini elok kalau parti-parti politik di Malaysia melakukan cease fire, buat seketika untuk menumpukan mencari akal bagaimana hendak menyelamatkan Rohingya atas kemanusiaan dan agama.

Dr Mahathir Mohamad berhenti sekejap berusaha untuk menyingkirkan Najib Razak, Abdul Hadi Awang rehat sekejap dari mengata sesama sendiri dalam Pas, atau pun Ahmad Maslan, senyap berbohong sekejap mengenai GST, dan PKR juga beradu membela untuk Anwar, sebaliknya semuanya hendaklah bercakap fasal Rohingya.

Mungkin kalau semua pimpinan politik memberi pandangan dan pendapat bagaimana untuk menyelesai dan membantu Rohingya, akan terhasil satu natijah yang tuntas untuk menyelamatkan Rohingya. Dan saya percaya kalau Rosmah Mansor membuka mulut mengenai hal ini Najib berani memberi komitmen yang lebih bererti lagi untuk membantu Rohingya.

Lebih-lebih kerajaan Malaysia yang kini menjadi pengerusi Asean harus ke hadapan dan lantang lagi memperjuangkan nasib Rohingya. Piagam Asean Aman, Bebas dan Berkecuali hendaklah dihayati sebaik mungkin. Piagam itu jangan sesekali menjadi tali atau gari yang membelenggu Malasya untuk hanya menjadi peneropong untuk melihat kapal Rohingya terumbang ambing dan malu alah dengan Myanmar untuk bersuara keras.

Seruan awal, Aman yang menjadi piagam atau tagline Asean itu hendaklah dihayati, Aman maksud disitu, ia memberi keamanan kepada semua manusia bukannya diam melihat kezaliman rakan sejiran ke atas saudara sebangsa dan seagama kita. [wm.kl.10:06 am 21/05/15]

No comments: