Sunday, May 10, 2015

Mat Sabu pertahan, Hadi dicabar jawatan

SANGKAAN                                                                                                   

Mohamad Sabu telah mengesahkan akan mempertahankan jawatan timbalan presiden Pas pada muktamar Jun depan. Kesediaan Mat Sabu itu sudah dijangka. Dua hari lepas ketika dihubungi wartawan akhbar Oriental Daily, saya membuat tanggapan yang Mat Sabu akan mempertahankan jawatan yang disandang itu.

Mat Sabu pertahan jawatan,
Bagi saya tidak ada sebab untuk Mat Sabu akur kepada mana-mana tekanan, agar beliau tidak mempertahankan kedudukannya apa lagi memberi laluan mudah kepada sesiapa sahaja untuk memikul jawatan itu. Keadaan Mat Sabu "dicagak" itu kini cukup sesuai dan membantu Pas terutamanya dalam mengolahkan sokongan bukan Melayu kepada Pas.

Mat sabu bukan sahaja dikenali dan terlebih dikenali, tetapi gaya politik berani, terbukanya sesuai dengan kehendak semasa. Mat Sabu membawa politik gaya anak muda kandati dia sudah berusia lebih separuh abad.

AA beri isyarat kepada Hadi.
Akhbar berbahasa Cina itu menghubungi saya kerana ingin mengetahui pandangan saya berhubung muktamar Pas yang dijangka hangat kerana melibatkan pertandingan diperingkat jawatan tertinggi. Saya memberi tahu akhbar itu, walaupun Mat Sabu mendapat pencalonan kurang 20 kawasan, tetapi itu tidak menjadi faktor kenapa beliau harus berundur dan mengangkat bendera putih awal.

Sebagai seorang pejuang dan aktivis berpengalaman dan gentlemen serta tidak tahu penat lelah menghadapi tribulasi perjuangan beliau sedia menghadapi apa sahaja selagi ia dibenarkan oleh demokrasi. Mat Sabu seorang demokratik.

Selain Mat Sabu dua orang lagi layak untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden. Mereka Mohd Amar Nik Abdullah alias Nik Amar, dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Dipercayai Husam Musa juga dicalonkan untuk merebut jawatan nombor dua itu, dan layak.

Jelas saya kepada akhbar itu walaupun Tuan Ibrahim mendapat pencalonan jauh lebih besar daripada Mat Sabu iaitu kira-kira 100 kawasan, tetapi itu bukan menjadi penghalang untuk Mat Sabu dari terus mempertahankan jawatannya. Pencalonan tidak menggambarkan sokongan sebenar kepada mana-mana calon. Apa lagi beberapa muktamar kawasan yang berlangsung sebelum ini dan kempen-kempen menaik dan menjatuhkan pemimpin tertentu dilakukan dalam keadaan "nifas"

Dalam masa sama saya berpendapat perebutan jawatan timbalan akan berlaku antara Mat Sabu dengan Tuan Ibrahim. Nik Amar saya tidak fikir dia akan meneruskan hajatnya. Dia akan bertanding jawatan lain yang dikira sesuai dan padan dengannya. Mungkin Nik Amar akan beradu kekuatan dan pengaruh di kerusi naib presiden kerana itu lebih berpeluang dari jawatan presiden.

Logik kenapa saya kata Nik Mohd akan bertanding jawatan naib presiden, kerana kalau dia ikut sama bertanding jawatan timbalan presiden, ia akan menganggu Tuan Ibrahim. Perlawanan tiga penjuru ia memberi kelebihan kepada Mat Sabu, justeru ia akan dielakkan. Nik Amar dan Tuan Ibrahim berada dalam saf yang sama.

Proses pertukaran jawatan antara kedua mereka sedang dilakukan. Tempat Tuan Ibrahim sebagai naib presiden cuba hendak disumbatkan dengan Mohd Amar. Nik Amar memerlukan jawatan itu untuk menjaga imej dan pengaruhnya kerana imej dan pengaruhnya boleh memperkukuhkan kedudukannya dalam jawatan kerajaan di Kelantan.

Berkenaan dengan Husam walaupun beliau juga dicalonkan untuk merebut jawatan timbalan presiden, tidak ada sebab untuk beliau berbuat demikian. Husam pernah kalah dalam merebut jawatan ini pada tahun pertengahan tahun 2000 dulu. Saya tidak fikir Husam sedia mengambil risiko, apa lagi dia cuba ditonjolkkan sebagai presiden.

Apabila ditanya oleh akhbar berkenaan siapakah lebih berpelung antara Mat Sabu dan Tuan Ibrahim sebagai menjadi orang nombor dua, saya tidak memberi andaian berlebihan. Cuma menyata dalam bentuk pertanyaan apakah keperluan untuk menurunkan Mat Sabu yang cemerlang khidmatnya sebagai timbalan presiden Pas? Keresionalan Pas untuk meletakkan semua golongan dianggap agamawan bukan satu kebijaksanaan politik kentemporari.

Di sini ingin ditegaskan jumlah pencalonan bukan petunjuk mutlak. Atas hakikat itulah juga saya berasakan Mat Sabu berani mengumumkan dia akan pertahanakan jawatan itu walaupun pencalonannya sedikit. 

Akhbar berkenaan juga bertanya saya mengenai siapakah yang akan mencabar Abdul Hadi Awang untuk kerusi presiden. Ada dua nama yang layak mencabar Abdul Hadi, Husam Musa dan Ahmad Awang (AA). Walaupun dari segi pencalonan Abdul Hadi mendapat pencalonan terbanyak, tetapi sekali lagi pencalonan bukan menjadi kayu pengukurnya dalam soal ini.

Untuk jawatan ini saya berkeyakinan Ahmad Awang akan dijadikan sandaran untuk mencabar Abdul Hadi. Adapun Husam yang mendapat pencalonan lebih banyak daripada Ahmad Awang dan sosok yang dilihat sesuai menerajui Pas dalam kontes Pakatan Rakyat, tidak akan berbuat demikian. Husam sudah terikat dengan kata-kata dan jaminannya sebelum ini yang beliau tidak akan cabar presiden dan akan memastikan Abdul Hadi akan jadi PM walaupun sehari.

Husam tidak akan khianat kepada kata-kata itu. Pun Husam bertegas dengan kata-kata tidak bermakna Abdul Hadi akan menang dengan percuma. Ahmad Awang akan memberi isyarat kepada Hadi bahawa presiden Pas itu sudah tidak berapa disukai lagi.

Mengenai perlawanan ini Ahmad tahu dia bukan mudah untuk menumbangkan Hadi, tetapi bereganag kepada semangat demokrasi serta "qada" dan "qadar" tidak salah beliau berbuat demikian. Gerakan dan aktiviti Ahmad ke belakangan ini menjelaskan beliau akan sedia menjadi taruhan mereka yang tidak sukakan Hadi. Kalau Hadi ditonjolkan sebagai ulama dunia, Ahmad Awang juga bertaraf ulama dunia.

Kalau Ahmad lawan Abdul Hadi bukan bermakan bekas presiden PUM itu gilakan kuasa, tetapi cabaran itu dilihat sebagai islah kepada Hadi agar memkoreksi diri dan aksinya politiknya yang dilihat ada kecatatan. [wm.kl.8:33 am 10/05/15]

No comments: