Wednesday, May 27, 2015

Elok PAC juga soal Najib

SEBUKA MATA                                                                               

Cadangan Rafizi Ramli supaya Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) memanggil sama Najib Razak dalam siasatan terhadap 1MDB berhubung isu yang berbangkit dalam syarikat pelaburan strategik itu merupakan satu cadangan terbaik dan tepat. Najib tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, kerana selaku pengerusi kepada syarikat itu beliau mesti tahu apa yang berlaku di dalamnya.

Apa lagi Najib adalah perdana menteri, apa-apa yang berlaku dalam negara ini terutama berkaitan negara mesti dalam pengetahuannya. Tidak ada satu pun yang terlepas dari pengetahuannya. Apa lagi mengikut Rafizi perjalanan syarikat 1MDB itu sama dengan perjalanan atau peraturan syarikat "culikannya" Lembaga Pelabuhan Terengganu (TIA).

Menurut memorandum dan tatacara syarikat TIA, semua keputusan dan kegiatan syarikat itu mestilah dibawah penegathaun perdana menteri. Ertinya apa-apa yang hendak dilakukan mesti mendapat persetujuan perdana menteri. 1MDB adalah penamaan semula daripada syarikat TIA. 

PAC harus lebih telus dan terbuka serta berani dalam hal ini untuk memanggil sama Najib. Mungkin Najib boleh memberi penjelasan sejauh mana beliau tahu mengenai perjalanan syarikat berkenaan. Mungkin juga beliau hanya mendapat laporan dan maklumat daripada lembaga pengarahanya tanpa mendalami kesan dan akibatnya. Ada kemungkinan Najib tertipu atau ditipu dalam hal ini.  

Kepercayaan Najib kepada mereka yang diberi tanggungjawab menguruskan 1MDB tanpa ada semakan sesuatu yang merbahaya. Kita juga tahu sejauh mana kebolehan dan arifnya Najib dalam soal perniagaan ini. Tidak ada rekod menunjukkan Najib cemerlang dalam perniagaan dan pengurusan keeangan. Latar belakang ini memberi ruang besar untuk orang pertikaikan sejauh mana kemampuan Najib memantau syarikat dibawahnya itu. 

Sebaik-baiknya Najib tidak perlu sampai dihantar surat oleh PAC memintanya hadir, tetapi sebaiknya dia hadir secara terhormat untuk memberi apa-apa penjelsan berhubung isu dalam 1MDB untuk menyelamatkan dirinya serta menangkis tuduhan buruk ke atasnya terutama yang dilemparkan oleh Dr Mahathir Mohamad. 

Tanpa Najib dipanggil dan Najib memberi penjelasan mengenai apa-apa tentang 1MDB itu, Najib tetap berada dalam keadaan misteri dan beliau tetap dituduh terlibat dan bertanggungjasab tehadap apa yang berlaku. 

PAC pula diulang sekali lagi tidak perlu "malu alah" dengan Najib. Dan pengerusinya walaupun dilantik dengan persetujuan Najib beliau harus meletakkan kepentingn awam mengatasi kepentingan lain. Jawatan PAC itu adalah demi orang ramai bukannya memelihara sesiapa. [wm.kl. 9:10 am 27/05/15]

No comments: