Sunday, May 24, 2015

Elak pemilihan bermazhab dalam Pas

HAYATI JIWA                                                                                 

Ambang muktamar Pas ke 63 kini sudah masuk ke fasal kedua. Fasal pertama kempen atau pun desakan (percaturan) agar tokoh-tokoh tertentu bertanding untuk merebut jawatan tertentu sudah pun berlalu. Proses pencalonan sudah dibuat peringkat mesyuarat kawasan. Sebahagian besar Pas kawasan telah selesai bermesyuarat.

Kini sudah diketahui siapa bertanding untuk merebut apa-apa jawatan. Semua jawatan penting dalam Pas untuk sesi 2015 - 2017 kali dipertandingkan atau ada perebutan, satu sejarah yang belum pernah terjadi.

Fasal kedua kini sedang berjalan untuk memenangi tokoh-tokoh yang dicalonkan. Kempen bagi memastikan calon tertentu menang atau naik, sedang rancak dijalankan dengan berbagai cara. Mekanisme paling ketara ialah menerusi ruang-ruang media baru, twiter, blog, facebook dan lain-lain. Manakala kempen secara senyap sampai memburuk-buruk orang tertentu juga dilancarkan menerusi grup WhatsApp. Inilah fitnah bisu diera ini. Banyak orang yang berani menulis dan menghemburkan idea tetapi dibuat dalam gelap.

Kempen merebut jawatan dalam Pas selama ini, berbeza dengan Umno. Kalau beberapa dekad lalu, perebutan hanya berlaku dalaman sahaja tanpa diketahui oleh masyarakat umum, tetapi kini berbeza. Perebutan jawatan dalam Pas sudah mendapat liputan pelbagai media dan ikut sama dianalisa oleh pihak musuh besar Pas, Umno.

Dulu hanya jawatan presiden yang menjadi tumpuan dan fokus, tetapi kini bukan sahaja jawatan timbalan presiden, jawatan naib-naib presiden, atau ketua-ketua dewan tetapi jawatan pemeriksa kira-kira juga diambil kira. Dahulu akhbar dan tv tidak tergiur pun untuk membuat liputan muktamar Pas, tetapi hari ini sampai tidak cukup ruang, muktamar Pas disesaki oleh media dari dalam dan luar negeri. Ini menunjukkan Pas sudah menjadi parti besar dan penting. Mungkin kerana sebegitulah Pas maka ia menjadi tumpuan dan jawatan menjadi rebutan.

Demikian hebatnya perebutan jawatan dalam Pas hari ini. Sepatutnya kehebatan ini dijagai dan dibanggai oleh seluruh pendokong Pas. Dan dalam masa sama awasi perebutan agar tidak menimbulkan perbalahan dan musibah.

Bagaimana pun memerhati kepada kempen atau perebutan jawatan dalam Pas kini agak membimbangkan. Keghairahan sesetengah individu atau kumpulan untuk memegang jawatan ini sudah menjadi matlamat utama, bukan lagi suatu amanah dan tanggungjawab yang diberi. Jawatan sudah mulai direbut secara berleluasa. Apakah perubahan ini sesuatu yang baik bagi Pas dan ia sekaligus menunjukkan kematangan kepada parti itu?

Paling ketara ialah bentuk kempen dilakukan hari ini, yakni secara berpasukan atau bermazhab. Pemilihan kali ini ditawarkan secara pakej bukan lagi secara individu. Kebolehan individu, atau "individu skil" sudah tidak diutamakan lagi, tetapi ia slogan secara berpasukan yang diwar-warkan.

Cara atau kaedah ini menyebabkan pemilihan akan dibuat secara berkas atau mazhab dan mereka yang menawarkan kebolehan dan kepakaran sendiri tidak akan berlaku lagi. Cara ini tidak praktikal dan bahaya. Apa yang dilakukan Umno pada tahun 80an dan 90an tampaknya menjadi ikutan kepada Pas. Umno pernah terbinasa dengan perebutan secara kumpulan team A dan team B, dan juga team Wawasan.

Ertinya kalau pun seseorang itu ada kepakaran dan kewibawaan berdasarkan pengalaman dan latar belakang (track record) tidak semesti menjadi ukuran dan boleh jadi tidak terpilih langsung kalau dia kebetulan tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan dan mazhab. Kecenderongan bentuk pemilihan sebegini merugi dan membahayakan Pas.

Kenapa dikatakan rugi dan bahaya, sebab, rugi orang yang cerdik dan layak menjadi pemimpin mungkin akan terbung dan aset yang ada kepada mereka terbiar begitu sahaja, apabila mereka kalah. Sebaliknya mereka yang tidak layak boleh diangkat menjadi pemimpin asalkan mazhab mereka menang.

Bahaya lagi, apabila pihak yang kalah berpakat untuk melakukan tindakan kepada Pas seperti keluar parti dan sebagainya. Ia boleh terjadi apabila kebetulan pula puak yang menang tidak mempedulikan mereka, dengan menawar apa-apa jawatan dan membahagikan ghanimah kedudukan dan pangkat sesama mereka sahaja. Kekecewaan dan kekesalan sering membawa manusia menjadi hilang akal.

Kemungkinan berlaku begini ada kerana dendam yang mungkin terbibit semasa kempen akan mencambahkan pergaduhan besar. Jika diperhatikan kepada perjalanan kempen hari ini ia sangat dahsyat apabila sampai ada yang menuduh dan memfitnah antara satu sama lain. Fitnah dan pemburukkan ini boleh membawa kepada perpecahan sampai kucar kacir dan mencerai beraikan persaudaraan separti. Saya tidak mahu memberi contoh disini kerana yakin orang-orang Pas memahami dan mengetahuinya.

Selain itu pemilihan secara mazhab atau puak ini juga bukan pemilihan yang praktikal dan rasional. Ia bukan kaedah pemilihan mengukuh dan menambahkan kualiti parti jauh sekali bersifat Islamik. Bahkan ia akhirnya menatijahkan kelompok pengurusan atau penguasaan Pas nanti secara streotaip. Apa dinamakan check and balance dalam jawatankuasa keraja Pas tidak akan berlaku lagi. Apabila semua jawatakuasa sama mazhab atau satu kepala maka tidak ada pandangan kedua, atau pun ketiga, melainkan ia sejalur sahaja. Apa-apa cadangan mudah diluluskan dan ini termasuk untuk mengubah dasar dan pendekatan parti.

Situasi ini sangat-sangat bahaya kepada Pas yang diharap menjadi parti progresif dan dinamik. Apa lagi kalau ketua kumpulan itu telah meletakkan dirinya sebagai pemimpin bertaraf "Mulla" yang harus ditaati dan ditunduk tanpa ada atau boleh dibantah dan ditegur, lagi bahaya. Keadaan ini akan mewujudkan pentadbiran autokrasi yang akan membawa kemusnahan kepada Pas.

Hakikat apa yang dibayangi ini sudah nampak jelas. Kalau diperhatikan kepada kemeriahan kempen di media baru menunjukkan sudah ada pembahagian mazhab atau puak dalam Pas. Sudah berlaku pengasingan. Gambar atau banner mengenai calon yang dibangunkan sudah mencerminkan berlaku kepuakan atau pemisahan calon.

Gambaran yang ada kini sangat menakut dan membimbangkan. Perebutan jawatan yang berlaku kini adalah seolah-olah dari dua mazhab atau kabilah yang berbeza, ada kadang-kalanya sampai ke peringkat perbezaan akidah bukan sahaja dari pemahaman (khilaf) syariat.

Justeru perwakilan perlu meneliti dan membetulkan keadaan selagi masa masih ada. Keterpesongan agenda ini boleh dibetulkan oleh para perwakilan sahaja. Hendaknya perwakilan ke muktamar nanti tidak terikut dengan kempen atau pun slogan-slogan busuk yang dicanangkan yang bersifat asobiyah. Perwakilan hendaklah bertindak lebih waras daripada mereka yang membina dan membentuk puak atau grouping.

Hancurkan atau alpa pemilihan secara bermazhab atau puak ini kerana ia bakal membawa kemusnahan kepada Pas. Jangan jadi alasan Pas bukan seperti Umno yang pernah berpecah kerana pemilihan, kerana alasan itu tidak relevan lagi bila mana hari ini Pas juga sama ghairah dengan Umno dalam soal ini. Keadaan Pas hari ini boleh diselamatkan oleh perwakilan yang bijak, rasional, ikhlas dan sayangkan parti.

Peristiwa dan tragedi lalu yang pernah menimpa Pas, khasnya pada era Mohd Asri Muda, era Muhammad Nasir hendaklah diamat-amati agar tragedi itu tidak akan berulang kerana ia membawa kecelakaan besar kepada Pas. Walahu'alam. [wm.kl.12:53 t/hari 24/05/15] 

No comments: