Monday, April 13, 2015

Setuju dengan gesaan Tuan Ibrahim

ULAS BICARA                                                                                 

Gesaan yang bernada rayuan oleh Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man agar ditutup mana-mana akaun facebook yang boleh memecahkan ukhwah sesama ahli Pas adalah satu seruan mulia yang perlu dipatuhi dengan penuh rasa tanggungjawab.

Memang tidak ada banyak manfaat hasil daripada penglibatan akaun hantu yang tidak dikenali itu dalam memberi teguran, kritikan kepada Pas, yang mana sifatnya lebih untuk melaga-lagakan antara satu sama lain.

Seperti kata Tuan Ibrahim kerana sikap kurang hat-hati dan bertanggungjawab menyebabkan berlaku pergeseran dan rasa sakit hati antara satu sama lain disebabkan apa yang diutarakan oleh akaun facebook berkenaan.



Tuan Ibrahim ada menyebut secara langsung salah satu akaun facebook yang dianggap melampau dan tidak wajar diteruskan dan perlu ditutup segera. Saya bersetuju kalau rayuan itu juga terbabit kepada akaun facebook lain dan ini termasuk grup WhatsApp yang tidak membantu memperkukuhkan parti.

Ke belakangan ini wujud berpuluh-puluh grup WhatsApp yang dibangunkan dengan kononnya niat baik untuk bertukar-tukar maklumat dan percambahan ilmu, tetapi sayang ia tersasar kepada perbuatan memperli, menuduh, memfitnah, mengadu domba antara satu sama lain. Saya tidak nampak grup seperti itu membantu perjuangan kerana ia bercerita ibarat dalam selimut.

Saya suka menambah kalau hendak mengkritik hatta membuat provokasi sekali pun biarlah secara berterus terang. Tunjuklah muka dan nyatakan latar belakng biar orang dapat membuat penilaian apakah kritikan atau pun ulasan itu berwibawa atau pun tidak berintegriti atau pun pelesit?

Sejajar dengan itu juga bagi mengelak dan memberi kesuburan kepada kegiatan-kegiatan media baru begini, orang ramai khasnya ahli parti boleh mengabaikan sahaja mana-mana akaun facebook yang tidak bertanggungjawab atau keluar dari grup yang suka main dalam selimut. Salah satu cara ialah tidak memperpanjangkan apa-apa yang diposkan itu, jauh sekali membuat print skrin.

Ia mendatang keburukan kerana apa-apa yang dikritik ataupun ditegur dalam grup-grup dalam selimut itu kepada orang tertentu ia tidak memberi peluang untuk dijawab balas oleh orang yang menjadi mangsa. Bukankah tindakan begini adalah satu doa?

Apabila Tuan Ibrahim membuat gesaan begitu mungkin beliau sudah dapat merasakan betapa bahayanya kewujudan media baru seperti itu kepada perjuangan parti. Semoga kita terbuka menerima gesaan itu. [wm.kl.11:24 am 13/04/15]

No comments: