Tuesday, April 7, 2015

Najib jadilah lelaki berani, pemimpin bertanggungjawab

SURAT TERBUKA                                                                          

YAB Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia,
Wilayah Persekutuan,
Putrajaya.

Assalamualaikum warahamatullahiwabrakatuh,

Datuk Seri.

Saya mulai surat ini dengan menghulurkan salam takziah kepada Datuk Seri atas nasib malang yang menimpa seorang rakan baik dan dua pegawai penting Datuk Seri dua hari lalu dan beberapa hari lepas. Dalam masa sangat pantas Datuk Seri kehilangan orang-orang tersayang, dimana pemergian mereka khasnya kawan baik Datuk Seri itu seolah-olah tidak sepadan dengan usia persahabatan yang Datuk Seri bina dengannya sejak berdekad lalu. Saya difahamkan Datuk Seri amat baik dan intim dengannya.

Sesungguhnya kemalangan dan takdir yang menimpa ke atas ketiga-tiga mereka itu memberi kesan kejiwaan mendalam kepada Datuk Seri. Seolah-olah kegembiraan Datuk Seri sekeluarga mendapat menantu baru dari Kazakhstan dengan diadakan beberapa majlis kenduri penuh gilang gemilang yang menelan belanja bukan sedikit, tidak memberi kegembiraan panjang dan tidak meninggalkan kenangan manis kepada Datuk Seri.



Kenapa tidak, kerana setiap kali Datuk Seri melihat album perkahwinan anak Datuk Seri itu, Datuk Seri akan terkenang kepada tragedi berdarah tersebut. Dan kalau takdir Datuk Seri menerima kedatangan cucu baru dari menantu Kazakhstan itu, pasti Datuk Seri juga akan terkenang makam pahlawan dimana jasad rakan Datuk Seri disemadikan di situ.

Tragedi yang berlaku itu, seolah-olah juga kemeriahan dan kegemilangan majlis perkahwinan anak Datuk Seri itu, terpaksa dibayar dengan kehilangan enam nyawa sekaligus. Ertinya pesta kenduri perkahwinan bertaraf "Perkahwinan Negara" anak Datuk Seri itu dibayar dengan darah dan nyawa. Saya percaya mereka yang terbunuh dalam nahas helikoptar di Sungai Pening, Semenyih itu sempat menghadiri kenduri dan menjamah jamuan makan istemewa kenduri Datu Seri di Pekan.

Datuk Seri, percayalah sesuatu kejadian itu membawa makna dan erti tersendiri, apa lagi kalau tragedi itu di luar jangka. Tuhan tidak mentakdirkan semua itu sia-sia melainkan untuk dijadikan panduan dan iktibar. Penganjaran besar daripada peristiwa itu sangat memerlukan pengamatan dan penelitian daripada Datuk Seri serta keluarga dari hati kecil yang suci dan insaf. Nyawa adalah satu mahkota kehidupan, tanpa nyawa tiadalah kehidupan. Walaupun proses pengambilan atau kehilangan nyawa itu perkara biasa, (lumrah) tetapi ia tetap ada sebab dan musababnya dan mempunyai "maknawi" tersendiri.

Apakah yang boleh Datuk Seri mengambil iktibar daripada nasib malang yang menimpa rakan dan dua pegawai Datuk Seri itu? Apakah bagi Datuk Seri kehilangan mereka tidak memberi apa-apa salam dan pesan buat kehidupan Datuk Seri? Ianya tidak membentuk satu ruang kosong dalam jiwa Datuk Seri? Saya yakin kehilangan itu khasnya kawan baik Datuk Seri itu tidak akan terganti sampai ke bila pun. Mungkin pemergian dua pegawai Datuk Seri dapat dicari ganti, tetapi bukan orang bernama kawan dan sahabat itu. Kawan mungkin banyak tetapi sahabat hanya sedikit.

Maaf Datuk Seri kalau apa yang hendak saya tabirkan ini satu kesilapan dan melukakan hati Datuk Seri. Tetapi saya terpaksa nyatakan ini secara terus terang sebagai bahan renungan Datuk Seri. Bagi saya takdir yang menimpa itu ada kaitan dengan situasi dan kondisi dihadapi atau mengelilingi Datuk Seri kini. Kejadian itu adalah satu isyarat jelas. Justeru kejadian itu perlu diambil iktibar dan diinsafi sebaik mungkin dengan harapan mudah-mudahan ia memberi rahmat dan membawa hikmah.

Datuk Seri, Tuhan boleh mengambil nyawa orang lain pada masa dan dengan keadaan yang sama. Tetapi kenapa Tuhan mengambil atau memilih rakan dan pegawai Datuk untuk meninggalkan Datuk Seri seperti itu. Bukankah ketiga orang itu adalah insan penting dalam hidup dan kehidupan Datuk Seri. Mereka adalah teman tempat bergurau, mencatur politik dan juga pegawai yang mengatur urusan pentabdiran Datuk Seri sebagai perdana menteri. Justeru ia adalah semacam disengajakan untuk diambil iktibar, agar ianya mendatang pengajaran dan tindakan susulan. Betul kita tidak mampu berlawan dengan takdir, tetapi takdir membawa mesej kepada kita.

Justeru apa yang berlaku itu saya melihat kerana ada beberapa perkara yang berlaku disepanjang pentadbiran Datuk Seri tidak diurus dengan baik sehinggakan sesetengah ia nampak seperti satu kezaliman pula. Datuk Seri seakan tidak mempedulikan langsung kepada teguran dan juga memahami perasaan serta sukaduka orang lain, terutamanya rakyat kebanyakan. Akibat daripada itu Datuk Seri dimaki hamun dan dicemuhi rakyat. Cemuhan dan maki itu pula merupakan doa daripada rakyat yang merasa terseksa dan teraniaya. Tuhan memakhbulkan doa orang yang lemah.

Beberapa peristiwa besar atau senario yang penting di sekeliling Datuk Seri.

Pertama, tragedi pembunuhan janda Mongolia Altantuya Shaariibuu. Walaupun mahkamah sudah membuat keputusan mengikut prosuder undang-undang dimana mereka yang didakwa dijatuhi hukuman mati, ia dikira setimpal, tetapi timbul rasa tidak puas hari kepada keluarga mangsa dan juga orang ramai. Ada berbagai-bagai kepelikan di sebalik kejadian itu dan perbicaraannya juga dipersoalkan.

Mula-mulanya pembebasan Abdul Razak Baginda daripada dituduh terbabit dengan penbunuhan itu tanpa ada rayuan daripada pendakwa. Kejadian ini sudah memelikkan. Kenapa semudah itu Razak Baginda yang juga rakan kongsi Datuk Seri dilepaskan. Abdul Razak Baginda adalah orang bertanggungjawab menyebabkan Altantuya datang ke negara ini, bukannya oleh dua orang yang dituduh membunuhnya itu.

Selain itu orang juga berasa pelik apabila salah seorang yang dituduh membunuh dan dijatuhi hukuman mati berada di luar negara. Paling pelik dan suspen lagi Sirul Azhar Umar mendedahkan dia diarah agar melakukan pembunuhan itu bersama Azilah Hadri. Cerita atau pengakuan Sirul ini menunjukkan dia hanya menjalankan tugas kejam itu. Maka persoalan kini timbul siapakah dalang disebalik pembunuhan kejam itu?  Siapakah master mindnya. Apa yang diungkitkan oleh Sirul itu menjadikan pembunuhan misteri itu semakin misteri dan kusutnya belum lengsai.

Kedua, apa yang menjadi persoalan dalam pentadbiran Datuk Seri ialah mengenai kelemahan daya politik Datuk Seri dalam membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan aman. Datuk Seri gagal menjadi seorang perdana menteri untuk semua bangsa di negara ini. Isu-isu melibatkan perkauman dan agama dibiarkan bergerak tanpa dibentur sebaik mungkin. Gara-gara kelemahan dan kegagalan itu maka negara berada dalam situasi yang kucar kacir dan gegak gempita. Kini berlaku krisis agama dan krisis perkauman. Agama menjadi isu manakala perkauman menjadi sensitif.

Kesan daripada kelemahan Datuk Seri menangani semua itu negara tidak aman dan ini mengheret negara dalam masalah lebih besar dan mencabar. Satu kesilapan pula apabila untuk mengatasinya Datuk Seri membentuk dan menggubal berbagai-bagai undang-undang. Sehingga kini sudah banyak akta diwujudkan dan terbaru ialah Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) diluluskan di parlimen malam tadi bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebelum daripada itu Datuk Seri meralatkan balik untuk tidak menghapuskan Akta Hasutan 1948 yang sudah dijanjikan untuk dihapuskan.

Lebih 50 orang menjadi mangsa akta draconian berkenaan dalam tempoh sebulan. Semuanya dilakukan untuk mengukuhkan kedudukan dan kuasa Datuk Seri. Datuk Seri mungkin sedar atau tidak cara Datuk Seri bertindak itu menyebabkan Datuk Seri menjadi tidak popular dan dilihat sebagai seorang PM yang sangat lemah, yang senantiasa memakai baju besi untuk ke mana-mana.

Datuk Seri, saya nak tegaskan akta tidak boleh mengikat manusia. Begitu juga dengan penjara. Dalam dunia langit terbuka ini dimana manusia tidak lagi takut kepada tekanan dan gertakan, tindakan menerusi akta dan undang-undang tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan ia semakin menghuruharakan keadaan. Akta adalah tali ikatan ditangan menjadikan orang yang kena ikat terus akan meronta dan meronta. Anak-anak muda kini pula menjadikan gari sebagai gelang kesihatan.

Ketiga, selain daripada kelemahan Datuk Seri menguruskan rakyat, kelemahan lain yang ketara ialah dalam bidang ekonomi. Sebagai Menteri Kewangan Datuk Seri gagal mencari sumber kewangan negara dan juga biul menjaga kewangan negara. Pewujudan syarikat pelaburan strategi 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diilham oleh Datuk Seri telah membawa beban besar kepada negara apabila syarikat itu belum berjaya membawa balik lebih RM42 billion yang diberi pinjaman pelaburan. 1MDB telah menjadi beban berat kepada Datuk Seri dan sekaligus menyerlahkan kegagalan Datuk Seri dalam menjana kewangan negara.

Walaupun ada usaha bagi pihak Datuk Seri hendak melindungi kerugian itu, tetapi ia tidak mampu ditusuk selindung lagi.

Sehubungan dengan kerugian itu, menyebabkan Datuk Seri mengambil langkah baru melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menambahkan pendapatan negara yang membebankan rakyat. Hari ini Datuk Seri dapat merasai riuh randahnya rakyat bercakap fasal GST. Dalam facebook dan twiter dipenuhi dengan resit-resit pembelian untuk mempamerkan cukai GST dikenakan dan tidak menyenangkan. Ternyata janji dan jaminan sebelum GST dilaksanakan yang dibuat "para menteri musang berjangut" Datuk Seri bohong belaka. Cis...menate.

Langkah-langkah pemulihan ekonomi dan menambahkan pendapatan diambil Datuk Seri adalah langkah tidak mampan, sebaliknya menjadi cemuhan rakyat. Malang dan merugikan Datuk Seri langsung tidak menerima pandangan pihak di luar "geluk pemikir dan penasihat" ekonomi Datuk Seri wujudkan. Walhal mengenai GST sejak awal-awal lagi pembangkang menyatakan kebimbangan ianya bakal memberi bebanan kepada rakyat. Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Menteri Kewangan dan pakar ekonomi juga mencadangkan agar GST ditangguhkan. Demikian juga dengn Dr Mahathir Mohamad lebih skeptikal lagi melihat percukaian baru itu akan meranapkan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang. Tetapi sayang teguran dan ingatan itu semua Datuk Seri tidak pedulikan.

Keempat, ini agak sensitif tetapi saya terpaksa juga menyebutnya kerana ia menjadi viral dalam pemikiran umum, iaini mengenai isteri Datuk Seri. Nampaknya kebencian orang ramai kepada isteri Datuk Seri sudah tidak boleh dihadang lagi dan makin menjadi-jadi. Kalau pun sejuta kebaikan isteri Datuk Seri lakukan tetapi ia tidak boleh menyapu kebencian dan rasa muak dan berbulu dalam kepala  dan kain kepada isteri Datuk Seri.

Semuanya adalah kerana sikap boros isteri dan sikap mengada-ngada isteri Datuk Seri yang bertindak lebih sudu daripada kuah. Ada orang beranggapan perdana menteri Malaysia bukan Datuk Seri tetapi isteri Datuk Seri. Persepsi ini bukan sahaja dimainkan oleh pihak pembangkang tetapi bekas PM Dr Mahathir Mohamad juga menerima persepsi ini bila mana akhir-akhir ini beliau cuba mengaitkan kegagalan Datuk Seri memimpin kerana ada campur tangan isteri Datuk Seri.

Kelima, selain daripada sebab-sebab di atas itu tadi yang menyumbang kepada kelemahan Datuk Seri sebagai perdana menteri, isu-isu atau kejadian lain juga wajar difikirkan kenapa ia berlaku di zaman Datuk Seri menjadi perdana menteri. Selain kejadian terbaru melibatkan helikoptar kelmarin dulu itu sebelum ini negara bahkan dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang sampai kini entah ke mana ghaibnya. Tidak reda dengan kejadian itu sebuah lagi pesawat MH17 jatuh kerana ditembak di Ukraine.

Kejadian-kejadian itu adalah merupakan pesan secara simbolik kepada kepimpinan Datuk Seri yang tidak boleh dianggap sebagai satu kebetulan dan lumrah alam. Mungkin kejadian sebelum ini yang membawa kejatuhan kepimpinan masa lalu boleh dijadikan panduan dan iktibar. Misalnya kejadian Memali tahun 1986 menyebabkan berlaku kehilangan nyawa dizaman Dr Mahathir, kejadian Al Maunah di Bukit Jenalik Gerik, yang berlaku di zaman Abdullah Badawi yang mana rentetannya membawa kejatuhan pemimpin itu boleh diguna pakai Datuk Seri untuk berwaspada.

Akhirnya, Datuk Seri, adalah lebih baik sebelum keadaan lebih parah, berdasarkan kepada sebab-sebab dan senario tadi Datuk Seri mengambil jalan keluar untuk menyelamatkan diri dari ditempa bahana yang lebih terkutuk dengan berundur diri menjadi perdana menteri. Untuk mengambil tindakan ini Datuk Seri perlu menjadi lelaki yang berani dan pemimpin yang bertanggungjawab. Jangan hendaknya sejarah menyumpah kita sepanjang zaman. Jangan Datuk Seri.

Salam hormat,
MOHD SAYUTI OMAR.
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
[wm.kl.10:10 am 07/04/15]

6 comments:

aku said...

Satu lagi yang Pak Sayuti tak masukkan bala dizaman DS Najid ialah tentera Sulu menceroboh Lahat Datu sehingga mengorbankan 9 anggota keselamatan. Isteri mereka telah menjadi janda dan anak menjadi yatim.

tarantula said...

JENIS PANDAI BERCAKAP PENJILAT NUAR

mohd sayuti omar said...

Katanya Najib tak baca surat ini. Surat ini juga bukan minta Najib baca, tetapi suruh rakyat Malaysia baca. Tetapi ada juga rupanya pendokong Najib baca surat ini. Baguslah. Masih ada rakyat Malaysia yang tidak faham dengan maksud surat terbuka, hehe. Kesian.

mohd sayuti omar said...

Untuk maklumat sejak surat ini diposkan sudah lebih 4,000 orang yang membacanya. Itu dari blog ini sahaja. Agak2nya mereka bukan orang Najib, tetapi orang Mahathir dan Anwar, kok. Hehe... mari rasa nak ssuka pulak.

Unknown said...

Sokong. Bravo MSO.

rimba sanggora said...

Artikel ini nampak prejudis.... ada benda yang perlukan penjelasan, bukan setakan mengiyakan sahaja. Dalam kes Altantuya.. kenyataan oleh Razak Baginda , Sirul dan Azilah adalah sama iaitu... Razak baginda mahukan supaya penyelesaian dilakukan terhadap Altantuya tanpa menspesifikkan cara penyelesaian.. Bagaimana mahkamah nak pastikan ungkapan "Selesaikan" bermakna bunuh??.. banyak kemungkinan lain.. hantar balik monggolia, bagi duit dan sebagainya,... tetapi mereka yang tamak .. demi melihat perhiasan yang dipakai altantuya. Sebab tu terdapat banyak barang milik altantuya di rumah kedua2 pembunuh itu.
Untuk 1MDB.. biarlah Auditor selesaikan penugasan .. kalau x setuju boleh tubuhkan PAC..