Monday, April 6, 2015

Mengimbau 16 tahun KeADILAN

CATATAN                                                                                        

Kelmarin saya menerima mesej daripada sdr Mustapa Kamil Ayub yang mengundang saya ke rumahnya. Menurut mesej itu ada sedikit majlis di rumahnya. Saya sama sekali tidak fikir majlis itu bersempena dengan ulang tahun ke 16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Keadilan walaupun isi mesej itu jelas.

Mustafa Kamil mengimbau sejarah Keadilan.
Setiba di rumahnya, tatkala melihat banner kecil terpampang di atas pentas terpojok di laman rumahnya baru saya memahami akan tujuannya majlis itu diadakan.

Banner itu memaparkan gambar Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail, disulami dengan tiga patah perkataan, Menyatu dan Membina Keadilan dengan simbol mata berada di bahagian atas.

Rupa-rupanya parti Keadilan atau PKR sudah pun berusia 16 tahun. Penubuhan pada 4 April 1999. Kata salah seorang yang hadir, usia sebegitu menjadikan PKR sudah baligh. Bila sudah baligh tambah hati saya, setahun dua lahi parti itu akan kehilangan "kesuntiannya" kemudian boleh berumah tangga dan hidup sebagai sebuah keluarga!

Sebahagian yang hadir dalam pertemuan silaturahim.
Bagus juga majlis atau pertemuan silaturahim di rumah Mustapa Kamil malam itu. Walau yang hadirnya tidak mencecah ratusan, tetapi wajah-wajah yang hadir mencerminkan ketulusan dan kejituan semangat mereka yang hadir.

Semua mereka adalah penggerak atau pejuang awal bersama Keadilan. Mereka adalah golongan awal yang menyinsing lengan baju dan kaki seluar berjuang membela rakyat. Ada yang hadir dari Seremban, Ipoh dan beberapa kawasan di Selangor menunjukkan komitmen mereka kepada Keadilan serta setiakawan dengan Mustafa Kamil khasnya sebagai rakan yang baik dan profesional.

Mereka yang hadir adalah orang yang berani, gigih dan ikhlas. Kenapa saya berkata begitu kerana mereka berjuang dan berani menghadapi apa juga tribulasi, tidak gentar kepada ugutan dan sedia merempuh halangan. Jauh lebih besar pengorbanan mereka sanggup menghabiskan wang. Mereka gigih kerana perjuangan mereka bermula sebelum wujudnya PKR, iaitu menerusi NGO bernama ADIL dan GERAK.

Mereka juga ikhlas, kerana walaupun tanpa jawatan dan kuasa, tetapi masih bersemangat dan istiqamah dalam perjuangan membela rakyat. Mereka tetap tersahut dengan seruan untuk berjuang. Tidak dinafikan ada sesetengah mereka diasing dari arus perdana parti kerana sebab-sebab tertentu, namun mereka sedikit pun tidak mempedulikan tindakan itu kerana bagi mereka perjuangan lebih diutamakan dari segala-gala. 

Sesungguhnya apa yang diusahakan Mustapa Kamil itu sesuatu yang baik dan perlu dicontohi. Majlis memperingkat detik bersejarah disamping menebalkan ikatan silaturahim tidak nanti dalam jumlah yang ramai dan lokasi yang eksklusif. Cukup kalau diadakan di anjung rumah dengan mengadakan sedikit solat dan berdoa untuk memperteguhkan perjuangan, itu lebih bererti daripada majlis grand di hotel-hotel mewah.

Aktiviti pengukuhan silaturahim begitu penting. Saya tidak tahu apakah ia juga diadakan di tempat-tempat lain? Cuma apa yang saya maklum ialah di rumah Mustafa Kamil sebab ia memberi tahu saya. Mungkin ada.

Seperkara yang semua ahli dan pendokong Keadilan hatta pemimpinnya kena menyedari bahawa hubungan sesama ahli dan pimpinan dalam parti itu ke belakangan tidak sekompak dulu. Yang gara-gara berlaku pemilihan dan perebutan jawatan yang diledaki dengan emosi dan dendam (sesetengahnya) menjadikan PKR seperti dicaing-caing. Wujud kelompok-kelompok tertentu pula.

Saya tidak pasti berapa fraksi yang ada dalam PKR itu. Apakah ianya tiga atau empat, atau lebih daripada itu. Perkara ini kalau diajukan kepada pucuk pimpinan teratas, mereka akan menafikan. Tetapi hakikat ia berlaku perpecahan dan kerenggangan tidak boleh dinafikan. Tengok sahaja keberadaan jaguhan-jaguhan pejuang Keadilan dalam barisan jawatan penting hari ini, seakan ada yang sengaja diasingkan.

Kenapa Keadilan harus diuruskan seperti Umno parti yang telah dianggap busuk dan dipulaukan?

Golongan baru yang berambisi nampaknya mendominasi dimana mereka kurang disemai dengan semangat perjuangan. Mungkin kalau ditanyakan sejarah kelahiran Keadilan itu sendiri mereka kabur. Justeru ada yang menyesali situasi ini, tetapi itu adalah lumrah. Sebab penanam sayur tidak akan memakan sayur mereka tanam sendiri, tetapi pembeli si oportunis lah yang akan meratah sayuran itu.

Sebenarnya PKR tidak mempunyai kekuatan untuk berpecah. Parti itu harus berpadu sepanjang zaman. Apa lagi dalam suasana hari ini mereka "kehilangan" unggun api apabila tokohnya Anwar Ibrahim terpaksa menjalani hukuman penjara lima tahun.

Musibah yang menimpa Ketua Umum PKR itu seharusnya difikir bersama. Ia perlu diinsafi serta diadakan daya tindak untuk mengatasinya. Seperti mana kata Mustafa Kamil malam itu seharus ada idea untuk mengolahkan Keadilan menjadi kuat dan menjadi pencabar kepada UBN seperti mulanya. Ada juga yang menyebut istilah Keadilan yang sudah hilang keadilan?

PKR adalah sebuah parti yang sangat relevan dengan suasana dan masyarakat negara ini. PKR bukan sebuah parti otordok dalam fahaman kebangsaanya. Begitu juga ia bukan fanatik dan bersifat konsenvetif mengenai agama. Kelainan inilah saya kira PKR kalau ia diolah dengan baik dan fatanah berpotensi untuk tampil sebagai sebuah parti besar yang menjadi harapan kepada rakyat Malaysia. Atas keistimewaan itu maka semua pendokong PKR perlu melakukan sesuatu mulai saat ini.

Waktu ini pemimpin dan ahli PKR bukan masa untuk mencari peluang dari kekuasaan yang ada. Apa lagi memetak-metakkan suasana dalam PKR kepada lot-lot kecil. Semua golongan dan puak harus disatukan dalam lot besar PKR. Mereka harus mengejapkan langkah perjuangan. Jangan ada ansir yang cuba mahu memecahkan lot dalam PKR menjadikan lot komersil.

Usaha yang dibutuhkan kini ialah berusaha untuk membebaskan Anwar dari penjara. Jangan menerima takdir menimpa Anwar itu sebagai suratan Ilahi dari luh mahfuz yang harus dilayan dengan berulik (meriba) tangan. Bila disebut membebaskan Anwar bukan bermakna merombak tembok penjara, (nanti Khalid Abu Bakar marah pulak), tetapi terus menyalakan api perjuangan membela rakyat yang dihidupkan Anwar. Penjara bukan pusara bagi Anwar dan seluruh pendokong keadilan dan kebenaran.

Pemimpin pelapis pemegang panji keagungan PKR, seperti Mohamed Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar, Mohd Rafizi Ramli, Tian Chua, Saifuddin Nasution Ismail, Shamsul Iskandar Md Akim, dan lain-lain harus mengenepikan rasa dan haloba diri (jika ada), sebaliknya mereka perlu meluruskan langkah perjuangan dan mensederapkan larian tindakan.

Semoga sahaja sempena 16 tahun Keadilan akan diingat dan ditoleh generasi baru mengingati sejarah penubuhnya yang penuh sentimental value. Kemurnian aspirasi yang dihasratkan jangan dikhianati. Perjuangan rakyat yang diapikan oleh PKR bukan untuk mendapat kemenangan peribadi, tetapi membebaskan rakyat yang sudah kesekian lama dibelenggu cemati kezaliman oleh kerajaan yang ada.

Diterima atau dibenci, hakikatnya PKR dengan kesempurnaan wawasannya ialah yang menguatkan DAP dan PAS, nilai dirinya ini seharusnya disedari semua orang. Tanpa PKR tiada Pakatan Rakyat. Horas PKR. [wm.kl.7:14 pm 06/04/15]

No comments: