Saturday, September 29, 2012

Ezam dan Hasan Akidah Bakal MB Selangor?

SUSUPAN MALAM

Is Noh bin Omar kata Umno Selangor ada banyak tokoh yang boleh dilantik menjadi menteri besar. Ada tokoh korporat, ada tokoh agama, ahli akademi dan juga profesional. Jadi katanya Pakatan Rakyat tidak perlu heboh bertanya fasal siapa bakal dilantik menjadi MB Selangor.  Yang penting katanya biar menang dulu. Iya tak iya juga kalau sebelum menang tak perlu heboh fasal siapa MB.

Mungkin mengikut firasat Is Noh sendiri bahawa sukar untuk Umno merampas balik Selangor. Penerimaan rakyat kepada Khalid Ibrahim dan simpati umum kerana selalu dipermainkan pihak tertentu menyebabkan kedudukan Khalid semakin kukuh dan mantap. Simpati tinggi dari rakyat diterima Khalid.

Mengenai siapa MB, Noh sendiri disebut-sebut untuk dilantik menjadi MB Selangor. Kedudukannya sebagai timbalan pengerusi Umno Selangor adalah sesuai dan 'tanggung' untuk dilantik menjadi MB. Tetapi soalnya Is Noh sendiri tidak yakin dia dapat menang di salah satu kerusi DUN dalam parlimen Tanjung Karang.

Katanya dalam PRU 12 lalu nama Noh sudah dicalonkan untuk bertanding disalah satu kerusi DUN dalam parlimen Tanjung Karang dan diura-urakan untuk dilantik jadi MB, tetapi beliau tidak mahu. Mungkin Noh dapat merasai Umno akan kalah dan Selangor terlepas. Ternyata rasa hati kecil Noh itu benar apabila Umno tertumus makan pasir di Selangor.

Kalau dia bertanding DUN baru-baru ini dan menang paling tinggi kedudukannya sebagai ketua pembangkang di DUN Selangor sahaja. Jadi kerana masih dihinggap trauma itu menyebabkan Is Noh sendiri tidak begitu ghairah untuk bertanding DUN meskipun disebut-sebut akan dijadikan MB.

Apabila Is Noh mengatakan Umno Selangor ada tokoh untuk dilantik menjadi MB, kita dapat mengenali nama-nama atau tokoh itu. Ia tentu sekali bukan Mohd Zain Abdullah atapun ketua pembangkang di DUN sekarang ini yang bernama "bin Diman" itu. Kedua mereka ini jauh lebih rendah martabatnya dari Is Noh sendiri.

Nampaknya Mohd Zain Abdullah yang dikenali dengan nama Mohad Zain Badak di kalangan Umno seakan cuba capture dirinya untuk dijadikan MB Selangor. Acap juga dia bangkit membuat kenyataan akhbar mengkritik kerajaaan Selangor. Namun semua kritikannya tidak ada ummppp dan diketawa oleh budak-budak.

Selain Mohd Zain Badak, dan ketua pembangkang Bin Diman itu, ada dua lagi yang dilihat berhajat dan mempunyai nafsu besar untuk menjadi MB Selangor. Mereka merasakan layak kerana status dan juga latar belakang mereka. Secara tidak langsung dua orang ini juga termasuk dalam kategori disebut Is Noh itu.

Mereka ialah Mohamad Ezam Mohd Noor bekas ketua angkatan muda Keadilan dan seorang lagi Hasan Akidah. Ezam lebih tua berbanding Hasan dari segi tempoh menyertai Umno. Kononnya beliau menjadi harapan anak muda Selangor untuk dilantik menjadi MB. Manakala Hasan Akidah lebih muda bahkan masih pun belum menyerahkan borang Umno meskipun kalau sudah diisi.

Atau pun keahlian Hasan sebelum ini, sebelum dia menjadi ahli Pas masih ada atau dihidupkan semula. Elok kalau Umno mempertaruhkan Hasan Akidah untuk jadi MB. Kerana sebelum ini pun dia begitu terhingin untuk menjawat jawatan itu dan merasakan dia lebih layak kerana sedari kecil lagi sudah membaca khutbah Jumaat serta merasai lebih Islami dari orang lain.

Apakah bila Is Noh Omar mengatakan partinya ada tokoh dari berbagai bidang untuk dilantik menjadi MB itu ia termasuk dua tokoh politik imigran atau nomad ini? Ezam boleh dikategorikan sebagai seorang ahli pofesional. Kebijaksanaannya boleh dilihat bagaimana enam kotak kosong boleh dihidupkan menjadi isu. Namun usaha untuk membawa Ezam ke tempat itu nampaknya layu sebelum berkembang. Orang Umno Selangor tidak dapat menerima pelarian nomad seperti Ezam. Ezam sendiri sebenarnya tersalah lorong ketika masuk Umno kerana orang yang hendak dijadikan god father berundur lebih awal.

Sementara Hasan Akidah pula boleh dikategorikan sebagai ulama kerana betapa obsesnya dia hendak memperbetulkan dan memurni aqidah umat Islam. Tidak ada tokoh didalam Umno yang memiliki kepakaran seperti Hasah Akidah itu. Hanya orang berada di tahap mutakim saja boleh mencheck akidah orang lain. 

Soal dia masih belum menjadi ahli Umno tidak menjadi masalah, Umno boleh mengambilnya menjadi winnable candidate di dalam pilihan raya akan datang dan letaklah bertanding di Gombak Setia kerusi yang dimenanginya atas tikit Pas sekarang ini.

Ezam hendak letak di mana pula? Kerusi paling sesuai bagi Ezam ialah Bukit Antarabangsa berdepan dengan Mohamed Azmin Ali yang juga antara orang yang disebut-sebut bakal dilantik menjadi MB Selangor kalau Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kekuasaan di Selangor. Kalau Ezam dapat menewaskan Azmin lantiklah dia sebagai MB Selangor. Ezam juga merasakan dia lebih perfect dalam politik berbanding dengan Azmin. Urkhhhhhhh.... khabarnya Mat Said yang sakit telinga sudah beransur pulih. [wm.kl. 7:22 pm 29/09/12]

No comments: