Saturday, February 18, 2012

Susupan Pagi

Masih Ada Segelintir Orang Johor
Berfikiran Selat?


Saya menjadi sedikit konfius apabila memikirkan ragam segelintir orang-orang Johor khasnya yang berdaftar sebagai ahli Perkembar. Saya konfius bukan apa, satu sisi umum menerima orang Johor sebagai masyarakat yang ada kelas berbanding dengan rakyat negeri-negeri lain. Kedudukan geografi negeri itu dengan Temasik menyebabkan orang menganggap rakyat Johor ada kelas atau standard, pengaruh Temasik memasuki Johor?

Saya juga tidak tahu apakah kelas dan standard itu hanya terpakai untuk aspek tertentu sahaja? Mislanya pandai bergaya, pandai menyanyi lagu-lagu Pop Yeh Yeh 60-an ataupun dari segi soal cakap, orang Johor terkenal dengan cakap menggunakan sebutan (bahasa Melayu) Riau yang betul.

Mungkin di dalam aspek itu tetapi bukan dari aspek politik dan siasah. Dalam bidang ini orang Johor masih ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain. Orang Johor masih terpinggir dan mempunyai pemikiran 'selat', pemikiran yang selorong dan tepu untuk menerima gelombang semasa serta berpecah-pecah dan mewujudkan celah-celah tak sekata.

Pemikiran selat ini saya maksud bila mana ada kalangan orang Melayu Johor tidak boleh menerima kehadiran orang luar untuk berpolitik di negeri berkenaan. Mereka masih bersifat tertutup dan tidak menerima dunia sudah berubah atau dasar lagi terbuka. Menutup kampung halaman kita kepada orang luar menggambarkan penduduk kampung itu masih bersikap 'liar' belum mesra alam atau tidak mempercayai kepada kekuatan diri sendiri.

Ini saya rujukkan kepada tindakan segelintir orang Mersing dan Endau Johor yang mengadakan tunjuk perasaan membantah kunjungan Anwar Ibrahim ke daerah mereka besok. Orang Johor berfikir selat telah menaikkan sepanduk membantah kunjungan Anwar. Mereka mendakwa kononnya kunjungan Anwar itu boleh memecah belahkan rakyat.

Bantahan itu sungguh memalukan. Apakah mereka fikir negeri Johor itu sebuah negara yang terpisah dengan Persekutuan Tanah Meayu? Tindakan rakyat Johor itu menunjukkan betapa sombongnya mereka. Tindakana seperti itu tiak pernah berlaku di negeri-negeri lain. Kelantan yang rakyatnya dianggap gedebe tidak pernah menghalang orang Johor masuk ke negeri berkenaan.

Melarang orang untuk berpolitik di negeri kita atau memberi penjelasan kepada rakyat menunjukkan mereka tidak gentlemen, kolot dan mereka juga jahil mengenai demokrasi.

Kalau mereka faham demokrasi mereka tidak akan membuat tindakan tidak bertamadun itu. Mereka menggunakan alasan Anwar boleh memecahbelahkan rakyat Johor tetapi mereka tidak sedar dengan tindakan mereka itu yang boleh menyebabkan rakyat Johor membenci sesama sendiri.

Mereka yang cuba menghalang Anwar itu perlu faham bahawa di Johor bukan semua rakyat Johor menolak Anwar dan menganuti parti Umno. Masih ada yang rasional dan menerima apa yang cuba diperjuangkan oleh Anwar atau pun Pakatan Rakyat. Bahkan senario hari ini menunjukkan rakyat Johor generasi muda sudah mula mahukan perubahan dan menolak Umno.

Tindakan mereka yang menunjuk perasaan itu secara tidak langsung telah menjatuh maruah dan martabat orang Johor yang selama ini dianggap berkelas tinggi. Saya percaya sebahagian rakyat Johor lain merasa malu dan tidak bersetuju dengan protes golongan berfikiran selat itu.

Sementara itu tindakan mereka berfikiran selat itu jelas menunjukkan Umno Johor sudah terdesak dan terjempit. Mungkin juga mereka telah terikut dengan gaya dan sikap Ahmad Maslan yang menunjuk sikap atau nilai longkang apabila membuang Buku Jingga ke dalam tong sampah. [wm.kl.10:59 pm 18/02/12]

1 comment:

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan.

Nak tanyalah satu soalan penting. Orang Johor sekarang kenal ke dengan PERKEMBAR tu? Presiden PERKEMBAR pun tak pernah guna nama tu. Rasanya mereka dah tak tahu nama tu.