Sunday, February 12, 2012

Susupan Malam

Majlis Temu Mata Anak Kelantan
Jajahan K Krai dan P Puteh Meriah


Tengah hari tadi saya sekali lagi menghadiri majlis Temu Mata dan Bewah anak Kelantan. Kali ini giliran Jajahan Pasir Puteh pula yang bergabung dengan Kuala Krai. Dari beberapa majlis temu mata yang saya hadir, majlis bertempat di Taman Bolton Seri Gombak tadi sungguh meriah dan berjaya.

Lebih dua ribu yang ada pada majlis tersebut yang berlangsung dalam suasana kekeluargaan. Tetamu dijamu dengan masakan nasi gulai kawah. Satu peringkat nasi kehabisan kerana kehadiran di luar jangka.

Paling merujakan saya semua barisan kepimpinan Pas Pasir Puteh dan Kuala Krai hadir pada majlis itu. Turut sama hadir ialah pemimpin PKR dan juga bekas calon UBN untuk kerusi Parlimen Kuala Krai, Prof Che Musa. Lebih nostalgik lagi Che Musa duduk bersebelahan dengan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

Saya sempat menyaksikan bercanda penuh mesra dan seolah-olah mereka tidak pernah bertembung dalam pilihan raya. Akhir-akhir ini Prof Che Musa katanya begitu jinak dengan Pas dan sering menghadiri majlis-majlis Pas terutamanya yang diadakan di Kuala Lumpur.

Apakah pensyarah itu akan menyertai Pas tidak lama lagi? Sukar untuk diramalkan buat masa ini. Tetapi kalau Pas mahu memanfaatkan ilmu dan kepakaran yang dimiliki Prof Che Musa apa salahnya. Che Musa adalah salah seorang tokoh pendidik terkenal di negara ini.

Manakala antara pemimpin Pas kedua-dua kawasan itu yang sempat ditemui pada majlis tadi ialah Yang Dipertua Pas Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman yang juga Adun Mengkebang, Yang Dipertua Pas Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamed yang juga Adun Gaal.

Lain-lain pemimpin ditemui Drs Zainuddin Awang Hamat, Wan Hassan Wan Ibrahim dan lain-lain.

Turut sama hadir ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan Ustaz Ahmad Yaacob. Majlis pertemuan itu diuruskan oleh Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (Perakan). Dalam ucapan alu-aluan Pemangku Presiden Perakan Ir Hamzah mengucapkan terima kasih atas bantuan anak-anak Kelantan di perantauan yang menjayakan program berkenaan. [wm.kl.8:00 pm 12/02/12]

No comments: