Friday, September 9, 2011

Analisa Proses Pencalonan

Pas Kelantan Perlu Tingkat Kaedah Pilih Calon

MAKENISME pemilihan calon pilihan raya di dalam Pas perlu ditingkatkan sesuai dengan tuntutan semasa. Kaedah lama rasanya tidak relevan lagi untuk masa kini apa lagi kalau parti itu mahu mencari calon yang berwibawa bagi mengimplimentasi aspirasi parti. Kaedah yang digunakan pakai sekarang adalah kaedah lama yang kurang berkesan untuk memajukan Pas sebagai persediaan menjadi kerajaan penerus.

Keadah pemilihan biasa ialah Pas akan meminta Yang Dipertuan (YDP) kawasan membuat pencalonan kemudian diserahkan kepada perhubungan bagi diputuskan. Kawasan pula biasanya akan meminta nama dari cawangan-cawangan. Sebuah jawatan kuasa peringkat perhubungan yang dinamakan Dewan Harian akan menentukan calon-calon berkenaan berdasarkan yang dihantarkan oleh Pas kawasan.

Penentuan dan pemilihan itu bergantung kepada syarat-syarat yang digariskan parti, misalnya berperibadian baik, berilmu dan memahami syariat Islam. Syarat-syarat lain adalah tambahan yang dibuat oleh Pesuruhjaya seperti pandai baca khutbah, tidak merokok, kurang tambah bini dan sebagainya. Calon-calon itu pula perlu diluluskan oleh Majlis Syura Ulama yang menjadi filter akhir untuk menapis calon.

Sekarang ini Pas memperkenalkan pula mekanisme baru iaitu Kajian Awal Pilihanraya (KAP). Badan ini akan turun ke kawasan membuat kajian terhadap seseorang untuk dipilih sebagai calon. Kajian termasuk soal kemampuan dari segi kewangan, pengaruh dan populariti setempat. Tidak terlupa mengkaji mengenai liabiliti kepada seseorang yang hendak diangkat menjadi calon. Kerja ini dilaksanakan di bawah keloalan Jabatan Pilihan Raya (JPN) Pas Kelantan yang kini diketuai oleh Wan Nik Wan Yusuf selepas ketua lama Fatah Haron dibuang kerana kurang berjaya dan gagal melaksanakan tugas dengan sempurna.

Kalau dilihat sekaligus cara itu bagus dan bersistemetik. Tetapi cara pemilihan oleh sebuah badan yang sudah tentu mendapat 'conduct' dan enderscoment sepenuhnya oleh YDP kawasan tidak begitu baik kerana ia tidak bebas dan telus. Walaupun KAP untuk mencari calon secara adil tetapi bila ianya diconduct oleh peringkat kawasan ia tidak dapat lari akan berlaku ketirisan!

Selalunya nama-nama yang ditunjukkan oleh YDP kawasan adalah nama-nama yang di kalangan mereka saja, kepimpinan semasa kawasan. Manakala pemimpin diluar hirearki itu tidak akan ditunjuk. YDP hanya akan memilih nama-nama di sekelilingnya saja. Selalunya nama yang akan diberi perhatian ialah timbalan YDP, Ketua Pemuda, Muslimat dan para pegawai parti Bendahari, Setiausaha dan Ketua Penerangan dan tidak lupa para pak sanggup dan tukang angguknya.

Sering juga berlaku tokoh atau nama-nama yang berkelayakan tidak dihantar langsung. Apa lagi kalau tokoh itu ada 'berseleheng' dengan YDP namanya dipadam terus walaupun ada desakan peringkat cawangan mahukannya. Pernah terjadi pencalonan dari cawangan disonglapkan oleh peringkat kawasan khasnya oleh YDP yang ada perangai gong dan sifat komunis. Cadangan itu disimpan dalam laci di rumahnya saja atau terperap dalam deskboard kereta.

Pemilihan calon dari kalangan kepimpinan kawasan bukan ketentuan mutlak ia hanya kebiasaan. Pemimpin yang baik pula bukan semestinya berada dalam hiarerki kawasan. Kadang kala mereka tidak berpeluang menjadi pemimpin kerana berlaku penyelewengan dan sebotaj dalam muktamar pemilihan. Pemilihan secara rakit atau grup mendedahkan akan kelamahan itu di mana pemimpin buta huruf juga turut terpilih sebab dia berada dalam rakit yang sama.

Kajian calon oleh panitia KAP yang mengharapkan dari YDP juga menyebabkan sering kali berlaku pemilihan kroni. Mereka yang berada di luar kroni walaupun layak tidak akan berpeluang dinilai. Cara pemilhan begini maka terhasilkan pemilih calon yang lemah, tidak berwibawa dan merugikan masa dan tenaga parti. Selalunya calon begini boleh menang sepanggal saja dan akan kalah dipenggal kedua.

Disebabkan kaedah itu ada kelemahan, maka Pas perlu berani mempertingkatkan kaedah pemilihan calon ini. Tujuannya untuk membolehkan Pas memilih calon yang benar-benar berwibawa, berkarismatik dan sekiranya menang nanti dapat berkhidmat kepada parti dan kerajaan. Hari ini akibat pemilihan hanya ikut telunjuk YDP dan pemilihan kroni wujud beberapa orang wakil rakyat yang hanya menjadi wakil rakyat tetapi tidak memberi impak langsung kepada parti.

Komitmen dan partisipasi mereka kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan parti tidak sampai sesuku daripada apa yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz walaupun dalam usia lanjut dan sering kezuruan dan lelah namun tetap menunjukkan prestasi cemerlang. Gelembung mereka ini baru nampak sehari dua ini saja setelah gendang Parlimen hendak dibubarkan.

Sebenarnya orang-orang yang berkhidmat kepada Pas dan berada di luar kawasan atau diluar jawatankuasa kawasan masih banyak. Mereka lebih berkualiti dan tulus membantu parti. Tetapi kerana tidak agresif dalam perlawanan mereka berada di luar obit kepimpinan itu. Atau kalau bertanding mereka kalah kerana ada agenda mengalahkan mereka atas berbagai alasan. Kebetulan mereka ini pula bukan orang yang agresif mencari tempat dalam kawasan. Atau pun kalau mereka bertanding perlawanan itu dijadikan sebab untuk mereka didendam dan dipulaukan. Mereka tidak lagi akan dilantik untuk memegang apa-apa jawatan.

Walhal mereka ini ada kepakaran dan kelebihan yang diperlukan parti dan dapat membantu kerajaan.
Orang inilah yang sepatutnya dinilai sama untuk menjadi calon. Sebenarnya mereka lebih layak dan berkemampuan daripada wakil rakyat sudah menang lebih dari dua penggal tetapi tidak menunjukkan prestasi memuaskan.

Untuk melihat perubahan didalam Pas. Badan Perhubungan Pas khususnya Persuhajaya Pas, Tok Guru Nik Aziz harus berani merombak stigma lama ini kalau mahu melihat Pas progresif. Mereka yang berada di luar parti perlu difikirkan sama untuk berkhdimat kepada parti. Tidak timbul mereka tidak menunjukkan komitmen kepada parti kerana itu boleh dinilai selepas mereka diberi peluang atau menilai track rekod mereka sebelum ini dalam bidang yang diunggulinya.

Jangan lupa ada yang memegang jawatan dan sudah menjadi wakil rakyat tetapi tidak pedulikan rakyat. Atau yang masuk kawasan sebulan sekali waktu ada kenduri, tetapi menghilangkan diri waktu rakyat dibaham banjir atau malapetaka.

Dalam konteks ini saya melihat ada segugus nama-nama baik yang ada dalam hierarki Pas kawasan atau diluar yang boleh dipertimbangkan untuk dipilih menjadi calon. Mereka ini ada kepakaran tersendiri dan tergolong dalam ketagori yang saya nisbahkan 40:30:30.

Antara nama-nama itu ialah, Ariffin Mahmood (Pin Atira) seorang ahli perniagaan pembangunan perumahan, Rushdan Mustafa aktivis masyarakat bekas Ketua Penerangan Pas Rantau Panjang.

Yuganus Yunus, aktivis sosial yang kini Timbalan YDP Pas Pasir Puteh. Mohd Fadzli Shaari, Setisuasaha Akhbar MB, Abdul Hamid Aziz, bekas Pengarah Dun Tendong dan kini pegawai di PMBK Sawit, Abdul Rahman Yunus, seorang ustaz kini Pengarah Urusetia Kerajaan Kelantan.

Nik Abdul Nik Aziz seorang lulusan pengajian dan dakwah Islam yang kini Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Dr Izani Daud, seorang doktor dan bekas Bendahari Pas Kelantan, Ariffahmi Abdul Rahman tokoh yang dikontrovesikan di Kelantan bekas CEO PMBK, Dr Rosli Askali, bekas Pegawai Exco Kanan Husam Musa,
Hasmimah Deraman pengerusi tetap Dewan Muslimat, Dr Johari Mat yang baru dilantik senator, Sobree Shaffi tokoh pemuda Umno Kelantan yang kini dibuka pintu hidayah oleh Allah berjihad tenaga dan harta dalam Pas serta beberapa nama lain lagi.

Mereka ini setengahnya bukan pemegang jawatan dalam Pas kawasan tetapi saya kira ada kelebihan tersendiri untuk dipertimbangkan menjadi calon. Mereka ini sangat wajar kalau dipilih menggantikan beberapa wakil rakyat yang tidak
perform dan sekarang ini sering keluar masuk hospital.

Disamping Pas perlu membuat perubahan memilih mereka diluar obit Pas kawasan itu, Pas juga perlu membuat peralihan atau tukar tempat kepada beberapa orang calon. Misalnya Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf boleh ditukarkan ke Dun bagi persiapan Pas melantikannya menjadi Exco.
Performance yang ditunjukkan selama menjadi MP Rantau Panjang sudah cukup kalau Zailah diberikan peranan dalam kerajaan selaku Exco.

Begitu juga ahli Parlimen Tumpat kalau Pas masih memerlukan khidmatnya elok kalau Kamarudin Jaafar diturunkan state bagi membantu kerajaan Kelantan. Peranannya dibuat tidak begitu membantu parti apabila setelah beliau tidak dilantik menjadi Setiausaha Agung. Untuk tujuan ini Pas, khasnya Tok Guru tidak perlu bertanya mereka secara langsung tetapi boleh membuat arahan secara veto.

Saya cukup yakin kalau Pas berani membuat peningkatan itu Pas akan menjadi lebih kemas dan mantap. Apa yang perlu difikirkan bahawa Pas setelah 20 tahun menjadi kerajaan bukan lagi perlu menumpukan kepada penampalan slogan atau untuk memberi tahu rakyat mengenai pendekatan Pas yang memerintah secara Islam -
Membangun Bersama Islam, tetapi yang penting mengisi pembangunan Islam itu dengan pembangunan manusia dan duniawi. Kepesatan yang ada sekarang ini perlu dipertingkatkan terutamanya menyelesaikan masalah air, kebersihan dan kebajikan yang meluas lagi.

Dengan barisan pemimpin yang sedia ada; Ahmad Yaaob, Husam Musa, Mohd Amar, Takiyuddin Hassan, Wan Ubaidah Omar dan lain-lainnya yang kini dibantu oleh Exco muda yang saya melihat mempunyai potensi untuk muncul sebagai tokoh disegani seperti Dr Mohd Fadzli Hassan, Fatah Mahmod dan lain-lain insyaAllah Kelantan akan terus memancu kejayaan yang bersimbolkan kepimpinan spritualnya yang tidak asing lagi,
Tokguru Nik Aziz. [wm.kl.10:29 am 09/08/11]

No comments: