Thursday, June 2, 2011

Firasat Terakhir

Nasharudin Masih Belum Kalah?
"Mat Sabu Mengharapkan Berlaku Perpecahan Besar Undi Nasha dan Tuan Ibrahim Man, Tuan Ibrahim Mengharapkan Undi Husam dan Undi Nasha. Nasha Pula Mengharapkan Undinya Kekal".

KEMENANGAN Nik Abduh untuk jawatan timbalan Dewan Pemuda Pas sedikit sebanyak memberi gambaran apa yang berlaku dalam muktamar penuh esok, pemilihan pemimpin.

Walaupun kemenangan itu atau barisan kepimpinan Pemuda bukan menunjukkan mereka menyokong mana-mana calon namun selera di dalam pemilihan dewan itu boleh dijadikan gambaran kepada apa yang akan berlaku esok. Dalam hal ini nampaknya selera orang tua tidak jauh bezanya dengan selera anak muda.

Bahawa ada selera untuk 'mengulamakan' Pas nampak jelas. Berdasarkan itu bahawa tokoh yang bermirip kepada ulama atau agamawan berpeluang untuk menang. Dengan mengambil kira keadaan ini, bermakna Mohamad Sabu kini sudah ketinggalan di belakang.

Kata seorang penyokong Mat Sabu yang 'ralik' membaca blog saya, kedudukan Mat Sabu kini sudah tenat. Ibarat kata kalau digunakan jet tiga tan pun Mat Sabu sudah tidak boleh naik. "Sheikh pada ana Mat ni sudah teruk, kalau buh (bubuh) jet tiga tan pun dah tak naik dah?" begitulah katanya.

Saya tanya dia kenapa mudah berputus asa, Mat masih ada peluang. Beliau terus menjawab; "susah sheikh Husam pun sudah mainkan dia," katanya. Saya terkejut tidak faham kenapa Husam sudah mainkan Mat Sabu. Dalam keadaan sama-sama karam tidak ketahuan siapa sebenarnya yang merukah belakang siapa.

"Dulu kawasan dia calonkan Mat kemudian dia pula nampak seperti sokongan Tuan Ibrahim Tuan Man, dah berat dah Mat... buh jet tiga tan pun dah tak naik," katanya sambil ketawa bergereket, ket ket kettt. Penyokong ini bukan marahkan Husam tetapi merasa lucu dengan nasib dialami Mat Sabu.

Terkeduh juga saya dengan kata-kata penyokong Mat ini. Dia... saya kenali sejak awal mahukan Mat bertanding jawatan tinbalan ketua. Dia optimis Mat Sabu akan menang kalau berdepan satu lawan satu dengan Nasharudin kerana penyokong Husam akan menyokong Mat. Itulah sebenarnya formula mudah yang dihisabnya, mengatakan Mat akan menang.

Namun apabila Tuan Ibrahim masuk senario berubah. Mat Sabu ditinggalkan menangis sendirian. Ini politik. Kan saya sudah kata perjanjian dalam politik bukan untuk ditunaikan tetapi untuk dimungkiri.

Apa yang dialami Mat Sabu ia memberi kesan sampingan kepada calon lain. Kalau penyokong Mat ingin membalas dendam mereka akan mengajar Husam pula yang bertanding jawatan Naib Presiden. Kini kedudukan atau harapan untuk menang bukan saja tidak ada kepada Mat tetapi Husam juga akan merasai demikian.

Bukan saja penyokong Mat Sabu itu yang melihat harapan Mat Sabu sudah menipis tetapi orang lain. Portal berita yang sebelum ini jelas berkempen untuk Mat Sabu nampaknya sudah mengalih arah dan kiblat memberi kepada Tuan Ibrahim. Gambar Tuan Ibrahim sudah mula dibesarkan. Ini ada petanda-petanda jelas bahawa Mat Sabu dalam suasana tenat sedang di bawa ke ICU.

Berbeza dengan Nasharudin walaupun diasak kuat oleh para penyokong atau orang yang mengharapkan Tuan Ibrahim boleh menjadi alternatif kepada Mat Sabu untuk bertempur dengannya, tetapi beliau steady sahaja. Nasharudin masih boleh tersenyum dan menerima apa yang dilakukan ke atasnya dengan tenang. Dia tidak nampak tertekan apa-apa. Bagi Nasharudin seolah-olah mengira kekalahan sudah dalam tangan, kemenangan merupakan bonus. Jadi dia tidak begitu give-up. Dengan usaha dilakukan wajar dan tidak terkejut kalau beliau tewas.

Tapi dalam masa sama asakan dan berbagai cara memperlecehkan beliau yang agak melampau kini menjadi modal kepada beliau, bila mana sudah timbul simpati kepadanya. Walaupun mulanya beliau dirasakan perlu berundur, tetapi kerana silap langkah dan teknik, perasaan itu sudah bertukar menjadi simpati. Simpati ini berlaku bila mana timbul gerakan untuk menyingkirkan dengan cara tidak terhormat.

Misalnya pujukan atau tekanan mental dikenakan kepadanya agar berundur dan memberi laluan kepada Tuan Ibrahim. Pemerhati dan perwakilan mengira kenapa harus dilakukan begitu kepada. Kenapa perlu ditolak beliau (Nasharudin) pada saat akhir selepas beliau membuat keputusan untuk betanding. Jarang orang membuka semula kain kafan setelah ikatan dikemaskan di kepala dan di kaki.

Tindakan itu bertentangan semangat demokrasi. Semacam ada niat untuk memberi kemenangan percuma kepada Tuan Ibrahim. Kita persoal kalau betul hendakkan Tuan Ibrahim kenapa tidak disyurakan? Tindakan atau usaha untuk mengangkat Tuan Ibrahim ini pada saya kurang bijak kerana ia memberi impak kepada dua calon selain Nasharudin ialah Mat Sabu.

Mat Sabu beriya untuk menentang Nasharudin selepas diberikan kibaran bendera hijau yang kemudian disentap diganti dengan bendera merah semula. Apa yang berlaku dan dilakukan ke atas Mat Sabu ini boleh menyebabkan Mat Sabu juga bertukar arah dan fikiran mengarah orangnya agar memberi kemenangan kepada calon lain yang dimaksudkan.

Pada perkiraan saya Nasharudin masih mampu mempertahankan kedudukannya. Jika diambil kira jumlah undi yang diperolehinya dalam muktamar dua tahun lepas, beliau masih mampu bertahan, Dalam muktamar dua tahun lalu beliau mendapat 480 undi mengalahkan Husam Musa yang mendapat 281 undi dan Mohamad Sabu 261.

Katakan undi dasar beliau itu merosot sampai 15 persen ini bermakna beliau masih ada undi asas sebanyak 408 undi. Katakan Tuan Ibrahim akan meraih kesemua undi yang diperolehi Husam 261 dan dicampur dengan undi Nasharudin yang merosot 15 persen (72), ini beerti Tuan Ibrahim baru menngumpul sebanyak 353 undi. Katakan undi Mat Sabu pula merosot sebanyak 10 peratus (26) undi dan undi itu pergi ke Tuan Ibrahim ini bermakna Tuan Ibrahim baru memperolehi 379 undi.

Undi sebanyak itu masih belum berjaya menumbangkan Nasharudin kerana beliau masih berkelebihan sebanyak 29 undi.

Soalnya apakah kedudukan ini berlaku dan Nasharudin dapat mengekalkan undinya? Ada pendapat mengatakan undi yang diperolehi Nasharudin itu adalah undi golongan agama, di mana undi ini (480) akan terbelah dua apabila Tuan Ibrahim masuk 'menggantikan' Husam. Sekiranya berlaku pecah undi, semisalnya lebih 30 peratus undi asas Nasharudin lari kepada Tuan Ibrahim menyebabkan kedudukan itu akan berubah di mana Tuan Ibrahim akan menang sekitar 50 undi.

Perkembangan saat-saat akhir atau kalau ada sesuatu kejutan saja boleh mengubah senario itu. Kalau suasana hari ini masih berterusan, Nasharudin dijangka akan dapat mengekalkan kedudukannya untuk penggal ke empat. Sementara kedudukan Mat Sabu pula akan terselamat sekiranya Tuhan menghendakkanya jadi begitu. Kemenangan Mat adalah satu kejutan dan pembaharuan. [wm.kl.8:21 pm 02/03/11]

No comments: