Wednesday, February 9, 2011

Bedalan Jiwa

Samrawik Mahthir dan Nik Aziz

SEPERTI juga cara Dr Mahathir bermain dengan kata-kata, jangan layan kerenah Nik Aziz kerana ia membuang masa, begitu juga dengan saya, tidak mahu layan kerenah Mahathir kerana ia membuang masa dan tidak ada kesudahan. Tidak ada siapa boleh menghentikan Dr Mahathir dari bercakap walaupun tempoh untuknya bercakap sudah lama habis.

Orang seperti Mahathir dan Nik Aziz tidak akan khatam bercakap. Sebab bercakap adalah sebahagian daripada nadi mereka. Orang-orang ini kalau tidak bercakap mereka akan demam. Kebolehan bercakapan adalah anugerah Allah buat mereka.

Dan yang menentukan apakah mereka masih bernyawa atau tidak apabila mereka tidak bercakap. Sorilah..

Makanya untuk apa dan perlu apa Mahathir hendak layan Nik Aziz bercakap, yang dalam istilahnya mengeluarkan fatwa poolitik yang menimbulkan pecah belah dalam kalangan masyarakat. Mahathir tidak sedar bahawa tindakan politiknya, solusi politiknya juga merupakan fatwa yang menimbulkan pecah belah dan mengheret negara memasuki kancah 'samrawik' hari ini. Mahathir lupa apa yang dia buat kerana terlalu asyik mengatakan orang lain mudah lupa sehingga terlupa untuk melihat kelupaan sendiri. Cinama!

Kalau perut kita buncit sangat maka kita tidak akan nampak bagaimana bentuk ibu jari kita. Gemula mak sepulu saya (seorang bidan) memberi petua kalau hendak tahu bila perempuan nak beranak apabila dia berdiri dia sudah tidak nampak lagi ibu jarinya maka itu tandanya perempuan itu sudah hendak bersalin.

Mahathir pula bila dia sudah tidak dapat melihat ibu jari kakinya sendiri dia merasakan dia besar, bekas PM selama 22 tahun maka dia merasakan tindakannya benar dan betul belaka. Perangai dan sifat diktator begitulah merasakan semua tindakannya benar. Walhal isyarat itu menunjukkan apa juga kata-katanya selepas jadi PM sudah tidak relevan lagi. Perangai Mahathir tidak ubah perangai biawak menyapu mucung selepas membaham telor.

Soal perpecahan siapa yang menimbulkan perpecahan? Kaji kronologinya. Kedua-duanya menimbulkan perpecahan. Di isni Mahathir jangan saja tuduh Nik Aziz tetapi dia juga kena mengaku akan kesalahan dan kesilapannya. Setahu saya hanya satu benda yang Mahathir mengaku dia gagal iaitu untuk membangun Kampung Baru. Tetapi hakikatnya banyaklah rekod kegagalan Mahathir selama 22 tahun. Sila rujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam dan lain-lain termasuk beberapa orang Raja Melayu.

Orang politik susah nak mengaku kerana di mulut mereka ada getah nangka menyebabkan sukar untuk membuka mulut untuk apologetik. Macam juga Nik Aziz banyak kesalahan dan kegagalannya tetapi ia dilindungi dengan title tok guru. Gelaran tok guru seakan menyelamatkan Nik Aziz dari dilihat bersalah.

Kalau Nik Aziz menggunakan agama sebagai modal dan membuat fatwa, nah begitu juga dengan Mahathir. Beliau menggunakan Melayu sebagai modal dan sebagai fatwa sehingga memecah belahkan bangsa Melayu ini. Melayu dan Islam sama-sama ada kekuatan. Nik Aziz membuat berdasarkan keyakinannya yang berladaskan ilmu dan latar belakang pendidikannya.

Mahathir pun begitu, membuat itu berdasarkan ilmu yang berteraskan kepada latar belakang pendidikannya. Kedua mereka tidak akan ada titik temu, macam ril keretapi kerana mereka dibezakan oleh latar belakang, ilmu dan juga kefahaman. Mahathir berpendidikan sekular, Nik Aziz berpendidikan agama.... Mahathir membicarakan soal fizik manusia soal kepentingan duniawi, Nik Aziz meperkatakan soal hati dan soal hubungan dan peranan manusia dengan penciptaNya.

Inilah perbezaan besar di antara keduanya menyebabkan mereka tidak dapat duduk satu saf dalam perjuangan ke atas bangsa, agama dan negara. Saya yakin perbezaan dan perkadasan ini tidak berlaku kalau mereka mempunyai latar belakang dan mardarah pendidikan yang sama.

Jadi kalau Mahathir enggan layan Nik Aziz, maka Nik Aziz juga harus begitu. Tidak perlu layan Mahathir. Yang jadi masalah kedua mereka ini menghidap sindrom gatal mulut untuk bercakap. Pantang ada salah seorang mengomen maka akan dibalaslah komen dengan hujah-hujah yang kadang kala bersifat peribadi.

Nik Aziz akan membalas kata-kata Mahathir dan Mahathir pula akan membalas balik. Kerana itulah dada akhbar dipenuhi dengan gambar mereka berdua. Hasilnya pembaca dihidang dengan cerita politik mereka berdua yang tidak banyak membangun minda.

Dari sudut lain kedua-dua mereka sama hebat dan sama-sama agung. Dan atas keyakinan ada hari pembalasan mereka pasti akan dipanggil menjadi saksi utama di akhirat besok dalam perbicaraan salah laku rakyat Malaysia yang mereka pimpin. Kedua mereka akan bertanggungjawab dan akan dimasukkan ke dalam kandang orang salah bersama Najib, Anwar dan Abdul Hadi Awang.

Jalan mudah dan ringkas, semua orang jagan layan kedua mereka bercakap dalam soal politik. Lepaskan mereka berlaga dalam gelanggang. Jadikan mereka seperti ayam laga yang akan berhenti bertarung apabila salah seekor daripada mereka tewas dan mati.

Selagi mereka ada kudrat maka merea akan bercakap seperti mana jalak akan membaham di antara satu sama lain hanya kerana dihala (disuruh) oleh tuan dan kaki judi yang mengelilingi gelanggang.

Walhasil balik asal orang politik tidak kira bekas PM atau MB lebih kurang si jalak yang kuat berkokok sehingga melupai ekor mereka sudah lama bergelumang tahi. Huhhhhh....! [wm.kl.10:50 am 09/02/11]

No comments: