Wednesday, March 3, 2010

Menghimpit Sukma

Bara PKR Masih Terus Menyala

APABILA berurutan ahli parlimen PKR bertindak meninggalkan parti sedikit sebanyak ia memberi kesan psikologis kepada ahli-ahli dan penyokongnya. Penyokong yang setia dan meletakkan harapan besar kepada pemimpin mereka, kecewa dengan tindakan itu. Apa lagi penyokong yang menjadi pengundi merasakan sokongan dan pengorbanan mereka sia-sia saja. Tidak mustahil kalau ada penyokong yang tidak kuat semangat akan menangis dan pengsan dengan apa yang berlaku sehari dua ini. Nampaknya UBN berjaya mengkucar kacirkan keadaan!

Kenapa tidak, betapa dalam pilihan raya umum lalu, merelah yang bekerja keras untuk memastikan kemenangan. Mereka para penyokong marhainlah yang mrenyingsing lengan baju dan seluar atau kadang kala terpaksa beradu lengan dan keng dengan lawan demi mempertahankan maruah parti dan menjamin kemenangan calon PKR termasuk yang hari ini sudah 'tungging punggung' kepada mereka.

Penyokong PKR maupun Pas dan DAP tidak semewah penyokong atau pekerja parti UBN. Mereka tidak mendapat apa-apa imbuhan dan kalau dapat pun tidak sebanyak pekerja dan penyokong UBN. Kalau penyokong UBN dapat 'jabil' duit tetapi mereka hanya dapat supik air sirap dan sebutir karipat sejuk saja.

Malahan ada yang berkorban mengeluarkan wang ringgit sendiri menyediakan pelbagai postar ataupun logistik kempen yang lain. Mereka bukan menerima tetapi mereka banyak memberi dan menghabiskan harta sendiri.

Mereka lakukan itu semua itu ialah kerana sayang dan kasih mereka kepada pemimpin. Mereka meletakkan harapan tinggi. Hasrat untuk melihat sinar baru yang membawa satu negara baru berkobar dalam jiwa mereka. Kerana itu mereka sanggup berhabis, sedia letih dan rela penat tidak peduli.

Makanya apabila pemimpin yang mereka sangkutkan harapan tiba-tiba 'teweng', dan munafik, siapa yang tidak marah! Semua akan marah dan benci. Ianya sungguh mengilankan mereka.

Tidak mustahil ada yang berputus asa dan hilang kepercayaan kepada politik lagi. Nun jauh di kampung sana para penyokong marhain merasakan mereka tertipu. Mereka fikir UBN adalah harimau yang mengganas, tetapi rupa-rupanya PKR (setengah pemimpinya) adalah buaya darat yang sedia membahan pemangsa lain hidup-hidup. Mereka ini lebih kejam dari pemakan bangkai.

Apa yang hendak saya jelas dan tegaskan di sini, apa yang berlaku itu perkara biasa dalam dunia politik yang menerima pakai rukun 4C. Pengkhianatan kepada parti atau perjuangan adalah lumrah. Ia bukan saja berlaku dalam PKR tetapi dalam parti-parti lain. Cuma kebetulan PKR parti baru yang belum mantap maka mudah ia digoyangkan. Ia bukan saja di zaman IT ini tetapi di zaman pasca purbalakala dulu pun begitu juga.

Kita semua tentu ingat dengan watak-watak jahat dan bajingan dalam sejarah Melayu. Watak-watak seperti Patih Karmawijawa, Datuk Mendaliar, Deraman dan sebagainya sebenarnya masih hidup dalam masyarakat Melayu dan politiknya. Kalau mereka itu adalah tukang fitnah nombor wahid dan pengkhianat perjuangan dan kerajaan di zamannya, maka anak cucu cicit mereka masih juga ada di dunia ini dan terus membawa sifat celaka keturunannya itu.

Makanya jangan teruja dengan itu semua. Betapa pun kita berhati-hati namun mereka akan mampu juga menyelinap masuk ke dalam rumah kita dengan berbagai tektik yang mengelirukan kita. Mereka akan menyamar dengan berbagai watak dan peribadi yang sama sekali menyebabkan kita tidak menduga akan niat busuknya.

Jadi kepada penyokong PKR jangan teruja dengan apa yang berlaku itu. Ia bukan berakhirnya segala-gala. Api perjuangan masih membara dan akan terus menyala kalau di antara penyokong terus meniupnya dan tidak mudah berputus asa. Dua tiga kerat pengkhianat itu akan berlalu begitu saja ditelan angin. Percaya dan yakinlah kebatilan itu akan kalah juga bagaimana licit dan hebat mereka dan kebenaran itu akan menang.

Bagi saya, saya menyifatkan penghijrahan keluar dua tiga orang ahli parlimen PKR dan ahlinya yang lain umpama sampah yang sedang hanyut ke hulu sungai dengan sendiri. Selepas sampai ini hanyut sungai itu akan bersih, ceria dan airnya akan jernih. Selepas itu ikan-ikan akan hidup segar dan sungai berkenaan juga akan terus menjadi daya tarikan mempersonakan dunia luar. Sungai bernama PKR itu juga akan sihat. Begitulah.

Jika kita pandai mencari hikmah Allah di sebalik apa yang menimpa PKR itu kita akan menemui apa maknwinya. Dengan apa yang berlaku itu ia mengujui kekuatan mental dan jiwa para penyokongnya. Apakah dengan ujian kejiwaan yang kecil itu kita sudah mengaku kalah? Ingat Keadilan menghadapi ujian lebih besar sebelum ini tetapi mereka berjaya melawan dan menentangnya.

Jadi masakan dengan hanya dua atau tiga orang meninggalkan Keadilan dan mereka pun bukan pemimpin yang memegang panji Keadilan, maka penyokong sudah lemah dan goyah! Perjuangan Keadilan dan Keadilan hidup kerana memakai roh kehebatan Anwar sebagai pemimpin. Jadi selagi Anwar masih ada dan berfungsi selama itulah perjuangan Keadilan hidup.

Kehebatan dan pamor Anwar tidak boleh dinafikan ia masih merupakan ancaman besar kepada UBN dan para pemimpinnya. Sekiranya Anwar sudah tidak ada pamor dan kekuatan lagi, serangan ke atas beliau dan PKR tidak sehebat hari ini. Sejauh mana kehebatan serangan itu maka setinggi itulah kehebatan yang ada kepada Keadilan. Penyokong PKR juga tidak perlu risau kerana dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran ini Anwar bukan berseorang. Beliau disokong oleh Pas dan DAP.

Ingatlah kemenangan di dalam perjuangan bukan semata-mata kerana kita berjaya mendapat kuasa, tetapi kemenangan sebenar bila kita dapat mempertahankan prinsip dan matlamat perjuangan kita itu ! Apakah kita sudah memperolehinya!
[jln phg 8:00 pm 03/03/10]

2 comments:

psychedelicmundo said...

Betul saya percaya ini adalah proses pemutihan.Semua yang keluar parti sama ada memang tak layak menjadi wakil rakyat ataupun sememangnya punya masalah peribadi.dan saya juga faham para penyokong yang memang tak kenal erti penat lelah.mereka ini lah yang disembur asid,bom pemedih mata dan dipukul belantan polis.mereka tak harap apa2.cumanya perbuatan khianat ini lambat akan makan tuan juga ahirnya.percayalah.

Pak Mat Tempe said...

salam Tuan,

Kalau mereka keluar atas alasan prinsip sepatutnya mereka letak jawatan sebagai MP sekali. Kerusi itu atas mandat pengundi melalui parti PKR. Itu barulah dinamakan menjunjung prinsip. Kelakuan orang2ini menjatuhkan lagi pandangan rakyat biasa terhadap orang politik kerana cepat berubah pendirian. Nampaknya PAS dan DAP masih dipandang tinggi kerana kekentalan pendirian pemimpin dan ahlinya.

Bagi UBN tidak lah boleh mendabik dada kerana yang pergi pemimpin sorang satu parlimen bukan pengundi sekali. Mereka ini mungkin akan dihukum oleh pengundinya di PRU13 nanti jika dicalonkan semula. Jika betul nak test kekuatan kosongkan kerusi dan jika UBN menang PKR kena terima hakikat sokongan mereka merosot atau pengaruh berkurangan.

Walaubagaimana pun sebaimana pendapat tuan ada hikmahnya disetiap kejadian. Belajar dari kesilapan.

PKR disarankan supaya memilih pejuang2 refomasi yang banyak berkorban dan berjuang sebagai calon dimasa PRU13 nanti. Mereka ini sebenarnya yang sepatutnya menikmati sedikit faedah dari hasil perjuangan mereka, Hentikan melantik bekas2 pemimpin dari parti lawan yang ada nama tetapi tidak terlibat dengan gas pemedih mata, dikejar dan ditahan. Mereka ini tidak tahan uji dan masih berkereta besar dan mewah. Jika susah sikit cepat boleh berubah haluan.

Biar lah calon2 akan datang dari mereka2 yang layak digelar pejuang parti kerana mereka faham erti perjuangan yang memerlukan pengorbanan, semangat yang kental, mewakili rakyat madani.

Akhir sekali biarlah calon itu ada pelajaran atau ijazah pertama tak mengapa(tidak perlu ada Degree berjela2,Master dan lain2) kerana mereka ini kekadang ego tak mahu mendengar pendapat orang atau ahli. Parti perlukan orang jujur , amanah, mesra rakyat, tidak bermewah seperti yang ditunjukan oleh TGNA.

Pemimpin2 disetiap lapisan ini hendaklah juga ditarbiah secara berkala dengan adab ,dosa pahala dalam bersiasah. PKR dan PAS mempunyai pakar2 motivasi yang mengguna pendekatan ugama/rohani seperti Dr. Hassan Ali, Dr. Badrul Amin dan lain2. Setidaknya proses ingat mengingat itu sentiasa berjalan secara sistematik dan tinggal didalam kotak pemikiran masing2 didalam mengharungi dugaan2kearah kesinambungan perjuangan.

Sekian, wassalam