Wednesday, January 13, 2010

Ulasan Peristiwa Kapak Melayang

Kedah Yang Aman, Terengganu Yang Terlepas dan Kapak Yang Melayang!

SEMASA di Alot Star kelmarin dulu (Isnin) saya menerima pemakluman dari isteri, katanya seorang bloger kena kapak? Saya terkejut besar dan mengucap panjang... eis...eis. Dalam kepala.. kena tetak! “Bukan kena kapak, rumahnya orang lontar kapak, terkena keretanya, habis cermin bertabur, tv ada tunjuk tadi,” jelas isteri saya panjang lebar. Penjelasan beriya-iya itu meredakan goncangan jantung saya. Syukur kerana tiada kecederaan kalau tidak terlantar di hospitallah bloger berkenaan.

Saya tidak banyak bertanya lanjut dan dunia siber hari itu saya lupakan kerana mahu menumpukan kepada pemandangan di sekitar Alor Star, yang pada saya nyaman, berseri dan aman sahaja. Kedah Darulaman memanglah nyaman sampuk kawan yang mendengar desahan saya yang bertindak sebagai pemandu.

Entah perasaan saya 'tergui gai' bila melewati bandar Alor Star. Saya nampak dan terasa situasinya bersih, ceria dan bersemangat. Melihat kepada masjid Zahir, menara tinjau dan kompleks kerajaan Persekutuan yang cantik terasa semacam semuanya sepakat di Kedah dan tidak ada pergaduhan! Semuanya mengambil semangat padi semakin masak semakin tunduk.

Ketika itu tak semena-mena teringat saya kepada Ternegganu, juga bersih, indah dan permai. Pemandangan dan alam sekitarnya di sepanjang jalan dari Kemaman ke Kuala Terengganu sungguh indah dan mengasyikkan. Setiap kali perjalanan ke Terengganu saya ingin cepat sampai ke lokasi berkenaan. Suasana begitulah yang didambakan, apa lagi dalam usia sudah sudah mencecah separuh abad.

Kisah bloger dilempar kapak saya biarkan, tunggu sampai rumah baru saya nak check. Biarlah bloger itu mengurus sendiri mengenai 'bangkai' kapak itu. Saya akan baca dan akan cuba ‘kaji’ mengenai kejadian itu, sejauh mana keseriusan dan kebenarannya. Almaklumlah bloger politik sedikit sebanyak ada perangai orang politik, hipokrit, bersikap lempar batu sembunyi tangan, tidak mengaku kesalahan dan ego sepanjang masa.

Saya teringat apa yang pernah diucapkan oleh seorang pensyarah media massa semasa belajar dulu. Katanya seorang pemberita kena mencari berita dan pandai menulis berita. Kalau seharian itu kamu tidak mendapati apa-apa berita maka hendaklah kamu mereka berita untuk membolehkan hari itu kamu mempunyai sebarang berita.

Seorang kawan dari Indonesia, asal Medan pula pernah menceritakan bagaimana dia kebuntuan berita suatu hari. Akhirnya dia membakar sebuah rumah kemudian menulis berita kebakaran itu. Berita itu lumayan disiarkan sebagai berita utama? Jadi berita yang ditulis dan gahkan namanya hari itu berita yang dia kreat sendiri.

Saya tidak mahu menyifatkan peristiwa kapak melayang ke rumah bloger itu dilontar sendiri olehnya seperti mana ulah teman dari Medan itu, bakar kemudian lapor?

Saya tidak pelik dengan apa yang berlaku itu. Bukan bloger itu saja menerima ancama begitu, orang lain juga. Saya sendiri juga pernah menerima ancaman tetapi mungkin tidak sehebat itu dan tidak menguar-uarkan dalam media/blog. Kalau setakat polis datang mengelidah rumah atau orang tunggu di luar hotel dengan batang kayu, sudah saya lalui. Setakat ini Alhamudlilah Allah selamatkan saya dan mudahan akan terus dilindungi-Nya.

Ancaman sebegitulah risiko kepada seseorang penulis. Ugutan, upahan, cacian, sumpahan adalah asam garam. Kalau menulis benar orang yang tak suka kebenaran akan marah. Kalau menulis bohong orang yang cintakan kebenaran akan marah. Pendeknya kiri kanan penulis kena hentam. Dalam hal ini kita kena pandai menjaga dan mengolahkan diri. InsyaAllah kalau menulis kerana Allah, Allah akan jaga.

Bukan kalimah Allah jaga kita tetapi diri kita yang baik, mesra dan bersahabat dengan Allah akan dijaga oleh-Nya. Jaga kalimah Allah tetapi kalau kita tidak beriman dengan-Nya, yakin dengan-Nya tidak ada guna walaupun sesuku dinar emas Kelantan yang kini sudah kesusutan nilai!

Berbalik ke Alor Star. Entah bila mengingatkan Alor Star saya teringatkan kepada Terenegganu. Dulu ketika Pas menguasai negeri itu diri jadi bersemangat. Bila menjejaki kaki ke bumi penyu itu, semangatnya lain macam saja. Kebetulan masa Pas memerintah Terengganu (1999 - 2004) saya kerap ke negeri itu kerana anak perempuan kedua belajar di MRSM di sana. Jadi walaupun jaraknya jauh dari KL tetapi kerana semangat lain macam itu kepenatan tidak terasa.

Bila setiap kali mengenangkan Terengganu saya mencari sebab kenapa Terengganu tiba-tiba melayang ke tangan BN semula. Pemimpin Pas Terengganu memberi alasan kerana wang ehsan yang ditaburkan dan juga pengundi hantu yang diwujudkan. Inilah alasan yang diberikan tanpa melihat kepada kesalahan diri sendiri. Susah juga saya nak justifikasi antara dakwaan Pas dan realiti politik menyebabkan Terengganu kembali semula ke tangan BN.

Tetapi bila saya berbual dengan ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kasim yang juga Pengerusi Perhubungan Keadilan Kedah, mengenai keadaan dan stail pemerintahan Pakatan di Kedah terutamanya Azizan Razak baru saya dapat merasakan sebab-sebab kenapa kerajaan Pas Terengganu tumbang. Dari cerita Ahmad Kasim itu jelas ada perbezaan stail dan pendekatan diambil Azizan Razak dengan Abdul Hadi Awang walaupun mereka sama-sama dari Pas.

“Ustaz Azizan ni bagui, dia tidak banyak politiking. Misalnya dengan pegawai kerajaan dia tidak kontrol dan diberi kebebasan. Dalam majlis-majlis penerangan beliau memberi jamainan pegawai kerajaan bebas berkerja... jangan terikat dengan sesiapa.....masa pejabat jadilah pegawai kerajaan Kedah lepas pejabat terserah... apa yang pegawai nak sokong...sokonglah tak kisah", cerita Ahmad Kasim.

Kata Ahmad Kassim sikap inilah menyebabkan pegawai kerajaan senang dengan Azizan Razak dan mereka selesa. Ini menurutnya berbeza sama sekali di zaman Sanusi Junid menjadi MB dulu, tidak sampai sebulan masalah dengan pegawai kerajana sudah timbul kerana Sanusi cuba kontrol pegawai kerajaan.

Cerita Ahmad lagi, Azizan juga mengambil sikap berbaik dengan semua orang. "MB kita ini baik dengan semua pemimpin Umno. Sikap ini menyebabkan tidak ada sapa nak marah dengan dia. Kalau pun mereka tidak sokong tetapi mereka tak ganggu Ustaz Azizan, ini satu kelebihan saya rasa," tambahnya lagi.

Bagaimana mesranya Azizan Razak dengan pemimpin Umno cerita Ahmad, semasa MB itu kahwinkan anaknya, beliau turut jemput sama MB Perlis, Mohamad Isa Sabu. "Bukan saja setakat hadir tetapi diminta MB Perlis itu berada di atas pentas utama diumumkan lagi supaya meminta Mohamad Isa naiki ke pentas," tamabah Ahmad lagi.

Seperkara lagi menurut Ahmad kenapa Azizan tidak menghadapi banyak masalah ialah kerana beliau tidak mengambil sikap bermusuh dengan Umno. Bagi Azizan apa Umno nak buat buatlah asal jangan sampai mengacau kerajaan. Beliau juga tidak mengusik apa-apa kepentingan Umno dan banyak bertolak ansur. Salah satu mengenai premis kerajaan yang diduduki oleh Umno untuk dijadikan Tadika Kemas. Azizan tidak kacau dan dibiarkan saja kepada Umno menggunakan perimis berkenaan.

Bila Ahmad sebut ini saya nampak perbezaan satil pentadbiran Azizan dengan Abdul Hadi Awang di Terengganu dulu. Begitu saja Pas mengambil alih Terengganu hampir semua premis kerajaan yang digunapakai Umno ditarik balik. Ini termasuklah premis yang dijadikan sekolah Tadika Kemas dirampas dan dikunci. Keadaan ini tidak berlaku di Kedah. Bagi saya inilah kebijaksanaan Azizan Razak sebagai MB dan mengapa beliau disenangi ramai.

Tentang Terengganu ini, selain daripada kelemahan itu.. kegagalan Pas menguasai Terengganu semula khasnya pada tahun 2008 juga disebabkan para komandernya kini sudah tua dan tidak bergetah lagi. Adalah menghairankan dalam keadaan Pas kuat di negeri lain tiba-tiba ia malap di Terengganu. Katanya faktor komander tua inila menjadi penyebab utama. Justeru ada yang mengira sudah sampai kalau para komander tua ini dibersarakan secara paksa kalau mereka liat untuk berundur.

Sampai di rumah saya buka blog untuk mengetahui cerita lanjut mengenai kapak melayang. Terkejut juga tatkala melihat gambar kapal itu yang dipaparkan dalam blog blogger berkenaan. Ia bukan kapak plastik tetapi kapak besi. Rupanya salin tidak tumpah seperti kapak jangak milik Ramli Abdul Halim. Harap-harap yang melayang itu jangan kapak Meli sudahlah.

Seperti saya kata tadi isu kapak melayang itu perkara biasa dalam dunia kehidupan orang-orang 'gedebe', berani dan sanggup mati. Kapak adalah senjata lama di mana tempatnya kini sudah diambil oleh peluru, pistol, cocktail atau bom. Cuma dalam keberanian itu kita hendaklah waspada agar sesuatu yang buruk tidak menimpa diri. Semoga Allah terus selamatkan Kedah dan kita semua dari segala bencana dan ancaman sesama manusia dan kepada bloger itu simpan kapak itu sebagai cenderamata abadi. [wm.kl. 8:15 am 14/01/10]

No comments: