Thursday, April 30, 2009

Gelisah Penanti

Penanti: Najib Lawan Mahathir

UBN nampaknya benar-benar berubah dari biasa! Menjelang pilihan raya kecil Dun Penanti 31 Mei depan UBN masih belum membuat keputusan. Kali ini UBN tidak seghairah menjelang pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum ini. Kalau pilihan raya kecil Kuala Terengganu serta pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai, UBN mendahului Pakatan Rakayat dalam mengumumkan calon, tetapi tidak untuk pilihan raya kecil Penanti.

UBN masih terkila-kial dan belum ada kata putus samada ada ingin menyertai atau tidak pilihan raya berkenaan. Pandangan pemimpin UBN berbelah bagi. Dari segi moralnya UBN sudah kalah. Kekalahan dalam kesemua pilihan raya kecil itu kecuali Batang Ai menjadi UBN termenung jauh dan berfikir panjang.

Pakatan Rakyat, PKR telah mengumumkan calon mereka kelmarin. Bekas Pensyarah USM dan juga bekas Setiausaha Politik semasa Anwar Ibrahim jadi Timbalan Perdana Menteri, Dr Mansor Othman dipilih untuk bertanding di situ. Ini bermakna PKR telah membuat persiapan lebih awal dan mempunyai konfiden lebih.

Apakah sikap tidak agresif seperti biasa UBN ini menandanya parti menghadapi tekanan perasaan yang cukup hebat? Bahawa UBN telah mulai menyedari masalah dan kesuraman masa depannya berpandukan kepada perkembangan politik mutakhir?

Mohd Najib Razak mulanya telah menyatakan UBN tidak berapa minat untuk ikut sama bertanding pada pilihan raya itu. Najib seperti memberi klu mahu menyerah kalah kepada PKR. Alasan Najib kerana tidak mahu membazirkan wang dan tenaga rakyat. Sekali dengar alasan itu menarik dan menunjukkan kecerdikan Najib sebagai pemimpin. Sebenarnya elok bagi Najib menumpukan perhatian kepada pentadbiran kerajaan dan usaha mengislahkan UBN dan kerajaan.

Walaupun alasan sebenar kenapa Najib keberatan untuk meletakkan calon UBN bertanding kerana Najib sudah dapat membaca kilau dalam kilat, di mana kalau bertanding pun UBN akan kalah. Pendapat Najib itu ada logiknya. Tidak guna berbuat sesuatu yang sia-sia. Sebenarnya tidak ada guna kalau masuk bertanding semata-mata kerana ada peluang sedang peluang menang tidak ada.

Dalam konteks pilihan raya kecil Dun Penanti, kedudukan atau taraf UBN sama dengan taraf dan kapasiti 13 orang calon bebas di Bukit Selambau tempoh hari. Mereka bertanding bukan kerana pengaruh dan kekuatan tetapi kerana cukup wang deposit (RM5,000) serta tidak ada halangan oleh SPR. Itu saja, sedangkan kekalahan sudah mereka ketahui sejak dari azali lagi.

Jadi kerana tidak mahu nasib UBN menjadi sama seperti nasib calon-calon bebas itulah maka Najib melontarkan saranan demikian. Dun Penanti adalah merupakan kubu kuat PKR. Dalam pilihan raya umum lalu bekas penyandang Mohamad Fairus Khairuddin memperolehi 2,219 majoriti.

Mungkin juga pencapaian PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu masih bermain dalam kepala Najib. Kemenangan besar penasihat PKR, Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil itu menyebabkan UBN dan Najib yang menanggung malu besar masih belum hilang lagi. Mungkin Najib berbuat begitu kerana tidak mahu dimalukan dua kali di kawasan yang sama.

Bagaimana pun bukan mudah untuk Najib melaksanakan politik baru yang rasional itu. Ada pihak yang menentangnya. Penjolak Abdullah, Dr Mahathir Mohamad sudah memberi isyarat dan menunjukkan kukunya menentang hasrat Najib itu. Dr Mahathir beriya mahukan UBN meletakkan calon kononnya untuk menjaga maruah.

Katanya Mahathir telah memberi kesanggupan untuk mengepalai pilihan raya kecil berkenaan. Pandangan Mahathir itu sama sekali menutup pandangan dan hasrat jujur Najib. Mereka yang tidak memahami perasaan Najib juga turut sama terikut dengan keghairahan dan semangat padi Mahathir itu.

Masalahnya kini apabila pendapat Mahathir itu mulai disokong oleh orang-orang sewaktu dengannya ia menyulitkan Najib. Sukar untuk Najib membiarkan begitu saja keinginan Dr Mahathir atas sifat Mahathir sebagai orang tua. Mahathir pula sebagai orang tidak ada kerja suka kalau diberi tugas mengendalikan pilihan raya berkenaan. Kalau pun bukan sebagai seorang penceramah cukup sebagai penampak poster UBN pun jadilah.

Yang penting bagi Mahathir dia dapat jadikan pilihan raya itu sebagai dahan tempatnya berkokok untuk memuji anaknya Mukhriz dan dalam masa sama terus membelasah Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaluddin.

Melihat dan mengenalkan masalah dan pro kontra itu, Penanti kini seolah-olah menjadimedan perlawanan akal antara Mahathir dengan Najib. Mahathir sedang menjual pengaruhnya di situ apakah laku atau tidak. Tengoklah nanti akal dan pengaruh siapa yang menang. Kalau UBN tetap dengan keputusan awalnya seperti mana dihasratkan Najib, ini menunjukkan Najib lulus soalan lisan sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

Sebaliknya kalau UBN tetap menyertainya ini bermakna Najib gagal menjawab soalan lisan dan ia memberi satu setengah markah kepada Mahathir Mohamad. Seharusnya bagi Najib muncul sebagai pemimpin UBN yang baru dan tegas Najib hendaklah melaksanakan idea yang sudah dicampakkan itu. Elok kalau UBN jangan bertanding. [wm.kl 12:00 am 30/04/09]

Wednesday, April 29, 2009

Laporan Lewat

Syabas Dan Tahniah Untuk Fairus dan Dr Mansor

KEHADIRAN bekas Adun Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin pada majlis pengumuman calon pilihan raya kecil Dun Penanti malam tadi memberi petunjuk awal bahawa kerusi milik PKR itu akan dapat dikekalkan dengan mudah.

Fairus seperti mana ditunjukkan dalam gambar hadir dan berjabat salam dengan Dr Mansor Othman sebagai penggantinya itu diumumkan secara rasmi oleh Penasihat PKR, Anwar Ibrahim.

Semangat yang ditunjukkan Fairus itu adalah semangat ahli politik sebenarnya. Kehadiran bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga sekaligus menafikan desas desus sebelum ini mengatakan Fairus akan meninggalkan PKR dan akan menyertai Umno.

Sukar bagi Fairus untuk menerima hakikat yang berlaku itu, di mana beliau terpaksa mengosongkan kerusi dan melepaskan jawatan berprestaj selaku timbalan ketua menteri. Namun itu hakikat politik ia boleh berubah arah pada bila-bila masa saja.

Ahli PKR dan penyokong Pakatan Rakyat seharusnya berterima kasih dan tumpang berbangga atas sikap gentlemen Fairus itu yang ternyata masih setia dan akur dengan keputusan parti. Mudah-mudahan sahaja selepas ini Fairus yang dicalarkan dengan berbagai persepsi akan pulih dan kemudian muncul sebagai ahli politik baru yang lebih berjaya di masa akan datang.

Dr Mansor Othman yang diumumkan sebagai calon PKR pilihan raya kecil Dun Penanti pada bulan depan adalah bekas Setiausaha Politik kepada Anwar semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau juga bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) Pualau Pinang.

Sekiranya Dr Mansor menang pada pilihan raya nanti beliau dijangka bakal dilantik menjadi timbalan ketua menteri bagi mengganti tempat ditinggalkan Fairus. [jln pahang 12:00 29/04/09]

Tuesday, April 28, 2009

Berita Tengah Malam

Pengirim SMS Ugut Wakil Rakyat Berlindung di Bukit Keluang?

SEHINGGA kini tidak diketahui bagaimana kesudahan mengenai kejadian beberapa orang Adun UBN Terengganu yang diugut menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) menjelang sidang DUN Trengganu dua minggu lalu.

Semalam katanya polis telah pun membebaskan seorang lelaki yang disyaki terlibat mengirimkan SMS berunsur jenayah itu selepas direman beberapa hari.

Apakah polis sudah selesai mengadakan siasatan dan segala punca dan permasalahannya sudah diketahui? Apakah lelaki yang direman itu terlibat atau pun ada dalang lain yang menyuruh dan mengupah lelaki yang direman itu melakukan perbuatan berunsur jenayah itu? Persoalan ini perlu dijawab dan dihuraikan segera.

Siapakah lelaki yang direman itu? Menurut laporan awal dia juga seorang blogger yang banyak menulis cerita-cerita politik dari Terengganu. Mulanya saya ingat Mubin blogger "Jarang Anak Melayu" atau Zabidi Saidi blogger "Memobelakang", sebab mereka anak Terengganu yang rajin menulis dan mendedahkan kebusukan penyu-penyu mati dan cerita birai-birai pantai Terenganu yang penuh dengan sampah dan berbau hampak.

Tidak mereka rupa-rupanya tetapi orang lain. Identiti lelaki yang ditangkap itu tidak jelas dan pejabatnya juga kabur. Kebetulan kelamrin sambil minum di sebuah restoran di sebuah pusat membeli belah saya berjumpa dengan seorang yang arif mengenai politik Terengganu dan mendakwa mengetahui cerita dalam kilas politik negeri Tok Ku Paloh tersebut.

Sumber ini juga rapat dengan Umno dan kenal semua orang besar dan orang kecil dalam Umno baik di Kuala Lumpur maupun di Kuala Terengganu. Ada cerita mengejutkan saya yang terkeluar dari mulut kawan ini. Menurutnya rupa-rupa lelaki yang direman itu bekerja di ibu Pejabat Umno. Dia bekerja dengan salah seorang pegawai di situ?

Duk... duk hati saya bergeduk mendengar cerita ini. Apakah kisah SMS yang berlaku di Terengganu itu dimonitorkan dari ibu pejabat Umno? Kalau benar begitu kenapa pulak ianya jadi begitu. Apa yang tidak kena dengan Ibu pejabat Umno dengan Ahmad Said di Terengganu. Apakah ibu pejabat Umno sendiri ada peranan untuk menghuruharakan Umno Terengganu? Untuk apa?

Al Kisah berbalik kepada seorang pegawai bekas Menteri Besar yang kini dikatakan sedang diburu polis. Apakah ianya sudah menyerah diri ataupun sudah ditangkap? Mulanya berbelit sedikit cerita ini. Ada laporan dalam akhbar mengatakan polis tidak mencari bekas setiausaha kepada bekas MB ini. Tetapi kalaulah benar dia tidak dikehedaki kenapa menyembunyikan diri?

Selalunya orang yang berani lagi benar akan tampil ke hadapan dengan penuh bertanggungjawab. Dia akan pergi sendiri ke balai polis atau ke pejabat akhbar bagi menjelaskan dan membersih dirinya. Tetapi lain hal pula dengan yang seorang ini!

Manakala dari satu sumber di Besut Terengganu katanya orang ini kelihatan pernah muncul berdekatan dengan Bukit Keluang. Apakah dia berkelah atau berihat di situ ataupun buat apa? Bukit Keluang terletak dalam kawasan Besut. Ketua Umno Besut ialah Idris Jusoh. Apakah orang berkenaan sedang mencari suaka politik di Besut? Masakan sampai begitu sekali.

Elok juga kalau polis hantar anggotanya meninjau di sekitar Bukit Keluang. Cuba jenguk dalam gua di bukit itu takut-takut orang berkenaan ada menyorot di dalam guan itu.

Jangan rasa hairan dan anih, orang takut akan baut apa saja termasuk menyamar dan memperalatkan orang lain. Apa lagi orang politik mereka boleh lakukan apa saja. Mungkin kalau sudah terlalu takut mereka tidak peduli lagi kepada keluang atau tahi keluang yang memenuhi gua berkenaan.

Semoga polis akan menyelesaikan kes SMS ugut itu kerana kesian juga kepada Rosol Wahid dan kawan-kawannya, gara-gara SMS itu menyebabkan mereka mungkin takut untuk melaram di waktu malam kerana bimbang nyawanya terancam. [wm.kl. 11:30 pm 28/04/09]

Mengulik Rasa

Respon Kepada Komen Penjenguk

DI LUAR cafe berdekatan rumah saya ini hujan lebat. Lagak hujan macam marah saja! Angin yang sesekali yang menderu dan membawa jari jemarinya merembas cafe terbuka ini menjadikan permukaan laptop terpaksa diselimuti dengan tisu. Kenapa begitu sekali... jan?

Hujan turun sebaik saya melayari satu demi satu komen yang dilepas di bawa posting bertajuk; Hero Yang Tidak Ada Kuasa sebagai menenuhi janji yang dibuat sore tadi.

Sesekali saya tersenyum sendiri dan sesekali terasa juga senak bila dipalu oleh penjenguk budiman. Namun semuanya saya terima sebagai ilmu dan pengajaran untuk saya yang masih naif dalam segala-galanya ini.

Tidak sangka penjenguk blog termasuk blog Merah Tinta juga terdiri dari orang-orang cerdik. Ahli politik, profesional yang pakar dalam segala bidang. Golongan mahasiswa yang berdarah panas dan penuh bersemangat. Kekadang terasa malu untuk menulis kerana ia dibaca oleh mereka yang bijak bistari dan jauh lebih berpelajaran dan mengelumani dengan berbagai telaga ilmu sehingga jauh ke al- Kausar...

Iya orang bodoh nak mengajar orang cerdik.. kan songsang!

Sepatutnya saya mempunyai banyak masa dan mengurangkan menulis untuk menumpukan terhadap penulisan mereka yang hebat dan ilmiah itu sesetengah yang memberi komen di ekor posting untuk dijadikan panduan.

Tetapi kerana Allah s.w.t. telah memberi sedikit bakat, keberanian dan peluang, meskipun takut dan merasa hina, saya terus juga menulis. Gagahkan juga diri untuk melontarkan pandangan dan buah fikir sendiri bagi dikongsi dengan publik. Kerana jika tidak menulis, tidak tahulah kerja apa untuk dilakukan sedangkan amanah sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini perlu dipenuhi jua.

Saya tidak menyertai parti politik. Saya bukan partisan. Saya tidak mempercayai kepada dunia politik yang penuh dengan hipokrasi. Saya benci kepada gelagat dan ‘jorgon’ yang diputarkan oleh lidah politician. Saya menolak demokrasi sebagai satu sistem yang baik untuk membangun manusia dan kehidupannya.

Saya tidak percaya kepada sistem ini boleh memberi natijah yang baik. Bagi saya demorkasi dan politik tidak bersih. Jadi kalau sistem tidak bersih bagaimana kita mengharapkan satu pemerintah yang suci!

Tetapi saya hanya 'ralik' untuk menjadi nujum, pengulas maya politik. Saya gembira dan seronok dengan dunia dan profesyen ini. Rasanya penjelasan ini terang dan dapat ditangkap oleh penjenguk yang bijaksana laksana jauhari dalam mengenali saya yang hakiki.

Banyak komen yang masuk kali ini, melimpah dan sesetengahnya saya sengaja lepaskan untuk dijadikan sample bagi tetapan umum. Itulah cara kita berwacana dan berhujah. Sambil untuk mengajar supaya kita bersikap adil, bertanggungjawab sesama manusia dan diri sendiri, saya lepaskan setakat yang terizin. Meskipun ada yang membedal, namun ianya saya terima sebagai hanya libasan ekor lipas bukan libasan ekor buaya yang bahaya.

Ada juga yang memuji dan kesal dengan komen yang agak melampau. Mereka ini yang dapat menyelami dan benar-benar memahami diri saya. Terima kasih diucapkan dan didoakan semoga ada manfaat dan imbalan dari Allah s.w.t. untuk anda sekalian.

Apa yang saya dapat simpulkan, penjenguk ini datang dari berbagai fraksi dan membawa ideologi tersendiri yang penuh emotif. Fikiran mereka juga bervariasi. Mereka pula ada kayu pengukur sendiri; ada yang menggunakan mata saja, ada yang menggunakan deria bau saja dan ada juga yang hanya menggunakan kepala lutut dalam membuat penilaian ke atas sesuatu yang dilontarkan.

Saya kira mereka yang menggunakan kepala lutut asalnya bekas pemain bola yang mula asalnya juga adalah kaki baku!

Di kesempatan ini saya tidak berhajat untuk menjelas dan menjawab satu demi satu komen-komen itu. Cukup kalau saya menyimpulkan ada yang tidak dapat menyelami apa yang saya utarakan itu. Tidak faham dengan apa yang ingin saya sampaikan. Makrifah mereka tidak tercecah ke hujung sanubari maka keadaanya jadilah ‘samrawit’.

Kegagalan ini adalah dua kemungkinan; catatan itu tidak ada kualiti ataupun pembacanya membaca dengan 'otak kemetot' dan penuh 'emosi hijau'. Atau mungkin juga bila seseorang itu terlalu taksub kepada seseorang maka apa-apa kritikan dan teguran ia dianggap tidak rasional lagi.

Perihal orang taksub boleh dianologi kepada seseorang yang menggilai seseorang yang lain, perempuan dan lelaki. Dalam dunia perkasihan, dunia asyik maksyuk ini menyebabkan pasangan itu tidak ternampak apa-apa lagi kecuali orang yang dicintainya. Betapa buruk, berbau dan ada kecacatan pada pasangannya usahkan kecil, besar sekalipun mereka tidak akan melihatnya dan akan marah kalau orang bilang si kekasihnya itu tidak baik.

Pentaksub ini juga rela mati apabila mereka dengan penuh nafsu dan kebodohan akan melangkah ke lautan api!

Misalnya, apabila saya menggunakan istilah Pak Kadok, - ada yang menganggap saya menyamakan Nizar dengan kebodohan Pak Kadok. Sebenarnya saya tidak sampai meletakkan Nizar bodoh seperti Pak Kadok, apa yang dianalogikan keadaan atau natijah diterima Nizar kini ialah seperti Pak Kadok, yang menang dalam perjuangan, mendapat dokongan rakyat tetapi kuasanya hilang. Tidak ada!

Apakah anologi itu meletakkan Nizar sama dengan Pak Kadok?

Saya akui kehebatan, keberanian Nizar tetapi apalah untung dengan tidak mendapat kuasa. Ada yang beranggapan ia satu pemulaan ke atas pencapaian lebih tinggi hatta Nizar akan jadi Perdana Menteri. Saya setuju dan saya tidak pun menghalang itu. Pemujaan saya ke atas Nizar mendahului orang lain. Hal ini dapat dibaca dalam interviu saya dengannya dalam Siasah.

Apa yang kita bahaskan dalam skop dan di laman ini ialah apa yang berlaku hari ini. Realitinya kini Nizar bersama Pas dan PKR dan DAP mengalami kerugian meskipun ia mungkin untung berlori pada masa akan datang.

Ada juga penjenguk yang tidak faham dan marahkan kerana saya menyamakan Nizar dengan Idris Jusoh. ‘Tadika’ sangatlah saya kalau tidak dapat membezakan Idris Jusoh dengan Nizar. Perbandingan yang disebut itu dalam konteks krisis politik yang kedua-dua mereka depani. Idris berdepan dengan Sultan di Terengganu manakala Nizar dengan Sultan di Perak. Bukan perbandingan personaliti, seperti rambut, haemoglobin darah atau sebagainya. Tetapi situasi krisis politik. Samji...!

Memang Nizar baik, warak, pandai berkhutbah, berani, jujur, tidak rasuah dan ikhlas berbanding dengan Idris Jusoh yang dilihat sebagai korup. Tetapi hakikat yang ada hari ini kedua-dua mereka tidak memiliki kuasa dan jawatan kerana kemelut berkenaan. Di dalam politik atau apa juga perjuangan, tanpa kuasa tidak memberi apa-apa makna.

Kecuali seluruh kita menerima konsepsi Pas satu masa dulu bahawa kuasa bukan matlamat, tetapi dakwah (pahala) yang menjadi keutamaan. Namun pun begitu hari ini konsepsi berkenaan juga sudah berubah dan beralih. Pas pun sudah pandai mengira dan sesetengahnya bersikap materialistik.

Ada penjenguk yang berlidah lemah lembut meminta saya menjelaskan atau memberi jalan keluar dan bukan setakat melontarkan permasalahan dan memburukan hero mereka, Nizar. Matan kepada jalan keluar itu sudah ada, iaitu kebijaksanaan di dalam menyelesaikan masalah. Dalam konteks Nizar saya merasakan ia kurang bijaksana menyebabkan permasalahan di Perak terheret seperti hari ini. Kepada ahli Pas dan penyokongnya apakah mereka tidak pernah terfikir kalau ada tangan-tangan lain yang menggerakan Nizar? Kehebatan dengan kuasa magik adalah bukan kekuatan sejati. Tahyul....

Ingat, disebabkan tindakan kurang berhati-hati dan bijaksana negara sudah hilang ramai tokoh yang mapan dan tanggung untuk mengemudi negara. Lihat apa yang berlaku kepada Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Harun Idris dan paling mentrajiskan ialah yang menimpa ke atas wira semua bangsa, Anwar Ibrahim. Pada saya nasib politik yang menghumban mereka kerana kurang bijaksana dan terlalu ghairah.

Dengan tindakan hari ini, walaupun ia takdir, ingin saya ajukan apakah Nizar akan dapat kembali untuk jadi MB Perak? Ia amat mustahil. Di sinilah saya mengatakan Perak rugi kerana tidak dapat terus memiliki Nizar yang bersifat Hang Nadim itu dan ini bukan satu hal yang bijak bagi saya. Kerugian ini hanya akan terbalas apabila Nizar muncul sebagai pemimpin nasional kelak?

Sejarah sudah ada sebelum ini mana-mana krisis politik dengan istana ia tidak akan berpihak kepada tokoh politik. Kecuali apa yang berlaku di Kelantan tahun 1996, apabila Tok Guru Nik Aziz bermasalah dengan Tuanku Sultan Ismail Petra.

Tetapi harus diingat, krisis di Kelantan berbeza dengan apa berlaku di Perak. Di Kelantan Nik Aziz dan Pas sepihak saja bermasalah dengan istana. Berlainan di Perak, Nizar bergaduh dengan istana bersama Pakatan Rakyat yang di dalamnya ada PKR dan DAP. Jadi bagi penjenguk yang mempunyai rasa hati Nizar akan menang seperti mana Nik Aziz, ia memerlukan pengamatan mendalam mengenai “consequence” krisis berkenaan.

Ada juga yang marah bila saya kurang bersetuju bila Nizar yang dianggap sebagai hero lantas mahu dinobatkan sebagai pemimpin peringkat nasional. Untuk mengangkat seseorang menjadi pemimpin peringkat nasional di tahap naib presiden bukan semudah itu. Perkiraannya bukan kepada tindakan-tindakan populis semata-mata.

Masih ada beberapa kriteria lain lagi yang harus difikir dan didalami. Misalnya selain daripada latar belakangnya apa yang sering dilihat pencapaiannya. Nizar menjadi MB Perak tidak sampai setahun. Pencapainya sebagai MB masih belum membanggakan. Sebelum ini apa peranananya di dalam Pas khasnya Pas di Perak? Ia baru bermula. Jadi dengan permulaan itu tidak wajar kalau Nizar terus diletakkan di tempat tinggi, tanpa pemeriksaan teliti bimbang akhirnya ia memberi masalah kepadanya.

Sudah ada beberapa tokoh popular yang diangkat ke jawatan tinggi dalam Pas. Apa kesudahan, semuanya hilang lenyap begitu saja. Di sini menunjukkan kehebatan, kepetahan, pandai membaca doa dan khutbah belum tentu ia berjaya sebagai pemimpin. Politik satu permainan yang kronik dan berliku-liku. Kelebihan dan keistimewaan dalam sesuatu bidang tidak menjamin tokoh itu berjaya.

Politik memerlukan seorang tokoh yang lasak, tahan diuji dan telah melalui berbagai ujian. Selain itu ia juga bukan saja perlu kepada orang yang pandai mencetuskan kontroversi demi kon troversi tetapi mestilah juga pandai mengamankannya. Makanya Nizar perlu direkut untuk beberapa ketika kalaupun tidak bertahun sebelum dinobat pemimpin agung. Dari segi sirah pun Rasulullah terdidikan sekian waktu sebelum menjelma jadi Rasulul.

Jangan terlalu gaduh membuat penilaian. Saya tidak tahu mungkin kerana saya bukan pentasub kepada Nizar maka mata saya tidak memiliki manik yang besar untuk melihat kelebihan kepada Nizar selain dari ruang yang ada. Dan saya juga tetap berpegang kepada falsafah bahawa pandangan ramai itu tidak semestinya betul dan pandangan sedikit itu tidak bermakna salah.

Dalam hal ini saya pula membuat penilaian dari kaca mata saya sendiri, atas sifat sebagai mana tagline saya pakai; Hanya Kita Yang Memahami Diri Kita. Maaf dan wassalam. [d'kota 5:00 pm 28/04/09]

Ulasan Isu

Najib: Selepas Tamu Nak Balik Baru Nak Buka Pintu

KATA presiden Umno, Mohd Najib Razak, Umno sepatutnya tidak menjadi parti yang eksklusif sebaliknya bersifat inklusif. Apa yang dimaksudkan Najib Umno tidak boleh jadi parti dianggotai kaum elit sahaja sebaliknya ia perlu menjadi milik semua orang termasuk kaum lain dari semua lapisan masyarakat.

Apa yang Najib hasratkan Umno bukan saja menjadi hak orang Melayu tetapi semua rakyat Malaysia! Parti semua kaum dan etnik.

Selain itu katanya Umno juga tidak boleh mengekalkan budaya meminggirkan pihak tertentu yang dianggap tidak menyokong pihak tertentu. Ertinya Najib tidak mahu politik cantas mencantas atau cas kenting berlaku dalam parti berkenaan.

Apakah ini permbaharuan dan islah yang Najib nak bawakan? Najib sedang bergerak ke araha meliberalisasikan keahlian Umno. Menjadikan Umno parti majmuk untuk semua orang seperti mana slogannya Satu Malaysia.

Najib berkata demikian pada majlis makan malam disambutan 15 tahun Umno Cheras di Kuala Lumpur malam tadi.

Hasrat Najib itu memang bagus dalam tindakan untuk memperkasakan parti Umno. Umno perlu diselamatkan sekiranya ia tidak mahu kehilangan kuasa di atas muka bumi ini. Tetapi cadangan dan pembaharuan itu dilihat sudah terlewat. Keghairahan Umno kepada perjuangan Melayunya selama ini perlahan-lahan telah memakan diri Umno sendiri.

Pemulihan yang hendak dilakukan Najib menerusi pendekatan dan perubahan baru itu sudah begitu lambat. Kesedaran serius itu setelah Umno berada dalam keadaan parah dan hilang kepercayaan umum kini. Tidak ada apa-apa tali hayat lagi yang bisa menyelamatkan Umno.

Najib terpaksa membuat anjakan itu mungkin setelah beliau menyedari bahawa orang bukan Melayu tidak lagi boleh menjadi pemangking kepada kekuatan politik Umno. Manakala dari sehari ke sehari jurang di antara orang bukan Melayu dengan Umno semakin senggang dan menjarak. Sesetengah orang bukan Melayu melihat Umno sebagai zalim terhadap mereka.

Apa yang membuatkan keadaan ini ialah kerana dasar dan pendekatan diamalkan selama ini. Politik menyanjung bangsa meneteskan perasaan cemburu dan prejudis yang tinggai di kalangan kaum. Walaupun banyak teguran dan kritikan dilemparkan namun Umno supaya meninggalkan dogma itu ia tidak pedulikannya. Umno lebih percaya monopoli kuasa olehnya menyebabkan parti itu akan kuat selama-lamanya.

Hari ini keadaan berbeza sama sekali. Pihak pembangkang, begitu kuat dan semakin mendapat perhatian. Kemaraan pembangkang untuk menguasai Malaysia kini tidak boleh dihalang oleh apa-apa kuasa lagi melainkan berlaku bencana dan musibah besar kepada pakatan itu.

Hari ini orang Cina maupun India yang masih menerima Umno hanya mereka yang berkepentingan saja untuk menyelamatkan diri dan harta. Sokongan itu umpama menanam tebu di bibir mulut saja.

Lantaran itu cadangan dan hasrat Najib itu dilihat sebagai usaha Najib ke arah untuk meliberalisasikan Umno. Serentak itu ia sekaligus menggambarkan ianya sudah terdesak. Kerana masalah ini tidak mustahil kalau di masa depan Najib akan mencadangkan supaya semua parti komponen BN dibubarkan di BN didaftarkan sebagai sebuah parti.

Pembubaran atau perwujudan parti BN itu bukan dilihat sebagai jalan memperkuatkan Umno atau parti-partinya, sebaliknya ia memperlihat betapa Umno terpaksa mencari tali hayat dengan perubahan itu. Kalau tidak meleburkan Umno bersama komponen lain dalam BN, menyebabkan Umno semakin cepat akan berkubur.

Sepatutnya Umno sudah lama memikirkan ke arah itu menjadikan Umno tidak saja untuk orang Melayu dan menanggalkan semangat nasionalisme. Perwujudan parti-parti atas nama kaum inilah yang memecah belah perpaduan dan menguatkan sentimen perkauman. Jika Pas yang satu masa dulu dilihat bergitu taksub dengan agamanya boleh meliberalkan parti untuk menyesuaikan dengan perubahan masa apalah salah Umno. Umno lebih senang dinuteralkan berbanding dengan Pas.

Apabila baru kini Umno berfikir demikian ia menampakkan Umno sudah terlewat dan terdesak. Cara Najib nak buka pintu Umno kepada semua masyarakat dan lapisan itu tak ubah seperti gelagat tuan rumah yang baru hendak membuka pintu kepada tetamu yang sudah lama mengetuk dan memberi salam ditangga. Langkah itu sudah terlewat kerana tetamu sudah pun berpaling punggung untuk pulang.

Monday, April 27, 2009

Terpandang Ke depan

Hero yang Tidak Ada Kuasa

[perhatian saya akan beri respon terhadap posting ini] KETERUJAAN dan minat orang ramai kepada Menteri Besar Rakyat Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin bukan saja dari kalangan ahli Pas diperingkat cawangan di Gua Musang ataupun Pas kawasan di Kuala Lumpur, tetapi ia juga turut menarik minat seroang professor di universiti tempatan.

Bagaiamana ahli Pas bawahan menerima Nizar sebagai hero begitulah juga professor berkenaan menerima Nizar sebagai pemuka baru dalam persada politik, khasnya politik Pas. Malahan professor itu lebih "ke depan" lagi meramalkan Nizar layak untuk jadi presiden Pas di masa akan datang. Dengan aset semulajadi yang ada kepada bekas MB Perak itu, kata profesor berkenaan Nizarlah type presiden Pas yang sebenarnya. Nampaknya professor mengkagumi penampilan Nizar!

Saya tidak terkejut kalau ahli Pas mula mengkultus Nizar Jamaluddin selepas meletusnya krisis politik tempoyak di Perak. Keberaniannya untuk turun ke gelanggang menjadi penentang utama kepada kehilangan kerajaannya (jawatan MB dan kerajaan Pakatan Perak) boleh ditabik lebih dari dua kali.

Calang-calang orang yang berani untuk melakukan apa yang Nizar lakukan. Senario yang berlaku di Perak itu bukan saja dengan UBN tetapi dengan Istana, dengan Raja Perak sendiri, dengan Sultan Azlan Shah. Nizar berjaya membawa semula watak-watak dalam cerita Melayu klasik seperti Jebat, ataupun watak-watak penentang kolonial di zaman moden seperti Tok Saga, Mat Kilau, Tok Janggut dan sebagainya.

Nizar seorang berani dan begitu yakin dengan apa yang dilakukannya. Berani kerana kebenaran. Dan yakin dia akan menang di hujung harinya kelak. Atas kapasiti dan budi itulah maka kini beliau menjadi pujaan ramai. Kegemilangannya di Perak menenggerhanakan seribu tokoh lain. Kalau Panglima Bukit Gantang masih hidup dan berlawan dengannya, panglima itu juga akan kalah di bandingkan dengan populariti Nizar. Mungkin orang Cina tidak ada menyokong Panglima Bukit Gantang, tetapi ada Cina yang menjulang keberanian Nizar.

Populariti Nizar juga mengatasi segala yang lain. Buktinya, dia kini mula mendapat pencalonan dari kawasan Pas untuk menakhtai jawatan Naib Presiden. Bererti kemunculan Nizar dalam sekelip mata bukan saja menyusahkan UBN Perak, menganggui tidur orang-orang dalam Istana di Kuala Kangsar, tetapi turut mencuri peluang tokoh Pas yang hendak bertanding jawatan Naib Presiden.

Saya mengira kalau Nizar menerima pencalonan dia akan menang dengan undi tertinggi. Nampaknya fenomena dalam hiburan turut berjangkit ke dalam politik, di mana orang popular mudah mendapat sokongan dan akan menguasai parti. Apa yang berlaku ke atas Asmawi Ani (Mawi) akan berlaku ke atas Nizar Jamaluddin. Kalau kerajaan Kelantan juga terliur mengundang Mawi apa lagi dengan ahli bawahan yang muda nampak kepada objek-objek yang aneh dan mudah memantulkan cahaya.

Tetapi apakah ada yang sedar di sebalik kehebatan Nizar ini bahawa cara Nizar itu tidak ubah seperti Pak Kadok yang menang sorak kampung tergadai? Nizar menjadi pujaan tetapi kuasa hilang! Nizar disokong oleh rakyat namun jawatan tidak ada? Inilah perkara yang perlu ahli Pas khasnya kena menilai dan merenungi ke atas tindak tanduk Nizar.

Ditimbulkan ini bukan bermakna menolak kehebatan Nizar, tetapi apakah maknanya dari konteks politik kalau kita menang, mendapat kepercayaan rakyat tetapi kuasa tidak ada dan masalah itu akan berlarutan dan menjadi satu liabaliti pula kepada masa depan Pas dengan pihak lain.

Ada sesuatu yang Nizar atau orang yang mengkaguminya mempelajari dan mengesan natijah dari konteks politik dengan apa yang berlaku. Pada saya Nizar seharusnya lebih bijaksana meletakkan keberanian dan popularitinya. Beliau tidak seharusnya berani membuta tuli seperti mana yang berlaku kini. Kesannya kini sudah mula dirasai akibat kerana kurang bijak itu Pas Perak kehilangan seorang berbakat besar sepertinya. Tidak mungkin lagi Nizar akan dapat kembali ke jawatan MB selagi Raja Perak yang ada kini masih menjadi raja.

Hakikatnya untuk melahirkan seorang Nizar lagi di Perak bukan mudah. Mungkin 20 tahun lagi belum terjamin. Sayangnya kelahiran Nizar itu tidak dibentuk dan dijagai serapi mungkin yang mana ianya bersifat sementara saja. Pemimpin yang lahir dari krisis biasanya sekejap saja auranya. Pemimpin yang sejati ialah yang lahir secara nature dan mempunyai track record perkhidmatan yang gemilang dan dapat diperhatikan rakyat.

Bila teringat Nizar maka teringatlah saya juga kepada bekas MB Terengganu Idris Jusoh di negeri penyu menangis itu. Idris Jusoh juga macam Pak Kadok, parti menang tetapi tidak dapat jadi MB. Idris Jusoh juga seorang yang bijak, tidak 'cap ayam', tetap 'cap lembu' jika dibandingkan dengan MB Terengganu kini, Ahmad Said yang dilabelkan sebagai tidak ada kelas. Tetapi apa sudah yang berlaku kini. Orang 'cap ayam' menjadi MB, manakala orang 'cap lembu' melopong mulut jaja kekuatan ke sana ke mari.

Tidak ada guna kalau cerdik tetapi tidak ada kuasa dan menyusahkan parti. Idris Jusoh bukan main lagi hebat, berani melawan Sultan Terengganu. Sampai ada orang yang menyokongnya menaikkan sepanduk berbunyi; Kami Nak Deris, Natang. Rakyat UBN pun bertepok tangan memberi sokongan, menjulang Idris bagaikan Panglima Hitam yang berjaya membunuh 40 lanun di lautan Cina selatan.

Hebat! Bagaimana pun istana tidak ikhtiraf keberanian itu. Apalah gunanya kalau istana tidak iktiraf, maka apa yang dilakukan itu sia-sia saja. Apakah kita cukup untuk melihat keberanian itu sekadar dicatat dalam sejarah? Apa hasilnya yang kita dapat dari kehebatan yang begitu? Tidak ada apa kecuali kita terus haus dan merasa terkilan dengan apa yang berlaku.

Baik bagi Nizar maupun Idris Jusoh keduanya mereka sudah tidak ada lagi dalam lipatan jiwa istana di Perak dan Terengganu. Kecualilah ada wali yang turun dari langit mendoakan untuk mereka sehingga membuka kamar hati Raja atau Sultan menerima mereka balik. Harapan itu sangat mustahil sekali ianya tidak ubah seperti mengharap hujan naik ke langit.

Justeru dalam hal ini Idris Jusoh masih bernasib baik kerana menteri besar Terengganu adalah kumpulan yang sama dengannya. Idris boleh perbetulkan kesilapan yang dilakukan dengan merendah diri menerima Ahmad Said sebagai MB. Saya rasa Ahmad Said masih bersedia untuk membuka pintu taubat kepada Idris Jusoh. Sebaliknya Nizar tidak mungkin kerana Zambry Abdul Kadir dari kumpulan lain.

Ingatlah, kemenangan tidak akan dicapai dengan keberanian semata-mata, sebaliknya kemenangan akan diraih apabila ia disusuli dengan ketulusan dan kebijaksanaan. [wm.kl. 5:20 pm 26/04/09]

Susupan Petang

Penanti: Sejauh Mana Wibawa Najib?

SEMUA mata dan kepala orang politik kita mula tertumpu ke DUN Penanti, Pulau Pinang. Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa kerusi berkenaan sah kosong. Hari penamaan calon ditetapan pada 23 Mei manakala hari mengundi 31 Mei. Tempoh berkempen selama tujuh hari.

Pilihan raya ini merupakan pilihan raya kecil keenam dalam penggal parlimen ke 12. Dalam enam pilihan raya kecil itu lima dimenangi oleh Pakatan Rakyat, manakala satu kerusi dimenangi UBN.

Berdasarkan prestasi itulah UBN takut untuk menghadapi mana- mana pilihan raya kecil. Kekalahan menjadi bayangan hitam yang mengusik ilusi Umno. Sebab itu apabila semasa ura-ura DUN Penanti bakal dikosongkan UBN begitu gelisah. Ada usaha oleh UBN supaya kerusi itu tidak menjadi kosong.

Presiden Umno yang juga pengerusi BN, Najib Razak sudah memberi isyarat awal kemungkinan UBN tidak akan meletakkan calon. Atas alasan untuk menyelamatkan wang rakyat kata Najib UBN tidak perlu bertanding.

Itu alasan sahaja. Apa yang sebenarnya terbuku di kepala Najib ialah takut untuk menghadapi pilihan raya berkenaan. Lagipun DUN Penanti terletak dalam Parlimen Permatangan Pauh di mana merupakan kubu Parti Keadilan Rakyat (PKR). Di atas kertas 70 % kerusi itu akan dimenangi semula oleh Pakatan Rakyat menerusi PKR.

Persoalan kini apakah cadangan awal Najib itu menjadi kenyataan dan sedia akan dituruti oleh rakan-rakan UBN yang lain? Sebaik Najib memberi mesej itu berbagai pihak telah memberi reaksi berbeza. Ada yang bersunggut cara Najib itu tidak pratikal dan menjatuhkan imej berani UBN sebelum ini. UBN Pulau Pinang terang-terang menolak cadangan itu dan mahukan UBN menyertai pilihan raya kecil berkenaan.

Dr Mahathir Mohamad juga turut melontarkan bantahan kepada Najib dan memberi jaminan dia bersedia untuk mengepalai jentera pilihan raya UBN di Penanti itu. Alasan Mahathir kenapa UBN kena bertanding ialah kerana maruah. Kata Mahathir UBN tidak perlu pilihan kawasan yang kuat saja untuk bertanding manakala kawasan lemah tidak disertai. Cara itu kata Mahathir menyebabkan lama kelamaan UBN akan kehilangan semua kerusi.

Timbul perbezaan pandangan dan fikiran antara Najib dengan Mahathir di sini dan setengah yang lain dalam UBN. Apakah dalam perbezaan ini fikiran dan cadangan Najib akan diketepikan? Sama-sama kita tunggu. Sekiranya UBN tetap juga menyertai pilihan raya Penanti itu maka jelas bagaikan disuluh Najib terpaksa akur kepada kehendak Mahathir. Ia juga menunjukkan idea Najib tidak bernas dan boleh ditolak.

Perubahan dan reformasi yang hendak dilakukan oleh Najib ke atas UBN dengan mengambil pendektan baru termasuk tidak bertanding dalam pilihan raya di mana-mana kerusi yang nyata UBN akan kalah tidak dapat dilakukan. Dan kegagalan untuk Najib membawa pendekatan politik baru ini menejaskan beliau telah terjerut dalam hegemoni Mahathir yang masih tersisa. [wm.kl. 4:15 pm 27/04/09]

Sunday, April 26, 2009

Menjelang Muktamar 6

Jawatan Ketua Pemuda Pas Kelantan
Anak Haji Droman Nak Lawan Anak Nik Aziz

APABILA Nik Abduh menyerang para wazir otak kemetot ayahandanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat apakah beliau ingin menghantar mesej tertentu? Kenapakah beliau mendedahkan pekerjaan sesat di jalan Allah itu (istilah Nik Abduh) yang melagakan ayahnya dengan Abdul Hadi Awang sewaktu ayahnya di Makkah?

Kalau di zaman politik budak-budak dulu, bila hendak serang atau melancarkan perbalahan dengan kawan dicari waktu dia tidak bersama ayahnya. Ataupun ketika ayahnya ke tempat kenduri atau meninggalkan kampung, saat inilah serangan akan dibuat.

Apakah Nik Abduh kini sedang diserang oleh sesiapa atau mana-mana kumpulan yang mencari masa ketika ayahnya tidak berada dalam negeri? Sebelum ini semasa Tok Guru Nik Aziz ada di Kelantan tidak pun Nik Abduh membuat apa-apa pendedahan mengenai para wazir otak kemetot ayahnya itu.

Apakah setelah Tok Guru berangkat ke tanah suci baru ada sesuatu yang menganggu Nik Abduh sehinggakan beliau kena kubang mendedahkan peranan para wazir otak kemetot itu? Mungkin juga Nik Abduh membuat pendedahan itu sebagai untuk membalas serangan ke atasnya ketika ayahnya tidak ada.

Begitukah?

Maklumat dari Kota Bharu menyebut, sehari dua hari ini makin jelas kedengaran kokokan kalangan ahli dewan pemuda Pas Kelantan mengatakan akan berlaku perebutan jawatan kerusi ketua dewan berkenaan. Kerusi yang akan dikosongkan, Adun Kelaboran, Zaki Ibrahim akan berlaku pertandingan.

Sebelum ini katanya telah ada syura untuk kerusi berkenaan, di mana ianya akan diserahkan kepada Nik Abduh yang kini menjadi timbalan ketua dewan pemuda Pas Kelantan. Nik Abduh dikatakan bersetuju untuk tidak menentang Zaki dua tahun lepas lalu kerana atas dasar kompromi secara tiak rasmi itu. Beliau dikatakan akan diserahkan kerusi itu sebaik Zaki berundur tanpa perlawanan.

Orang yang disebut-sebut akan berhadapan dengan Nik Abduh ialah Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan Abdul Latiff Abdul Rahman. Latiff ini juga Adun Mengkebang. Ironisnya,dia seorang anak tok guru seperti Nik Abduh. Ayah Latiff ialah Haji Abdul Rahman yang juga pengasas pondok Sungai Durian dan seorang tokoh ulama yang dimalui di Kelantan.

Sekiranya Latiff berdepan dengan Nik Abduh, maka berlakulah pertembungan dua orang anak tok guru! Pertembungan itu bukan perbezaan mazhab ataupun dalam soal khilafiah mengenai hukum tetapi kerana mencari ruang politik. Ia sungguh mengaibkan.

Seperti dikatakan tadi, kenapa cerita Latiff nak melawan Abduh ini timbul setelah tok guru pergi ke Makkah? Apakah ianya diambil peluang untuk mengusik Nik Abduh ketika ayahnya tidak ada? Yang anehnya sikit, kenapa Latiff nak lawan Abduh. Jika diukur dari segi usia, pengalaman, Nik Abduh jauh berpengalaman. Usia juga Nik Abduh lebih tua daripada Latiff. Kalau pun kelebihan yang ada kepada Latiff dia wakil rakyat, manakala Nik Abduh tidak.
Itu bukan boleh dikira. Kalau Nik Abduh bertanding baru-baru ini dia pun akan menang. Malahan kalau tanding 2004 pun dia menang dan sudah bergelar ahli Yang Berhormat. Latiff pernah pun kalah tahun 2004. Kedua ini saya kenal. Malahan semasa nak bertanding tahun 2004 Latiff ada datang ke rumah bersama abangnya Shukeri bekas menantu Tun Abdul Rahman Yaacob. Saya memang memberi galakan dan dorongan agar beliau menceburi dalam politik.

Apakah kerana sudah jadi Adun maka Latiff merasakan dia besar dan sudah keras ubun-ubun untuk berlawan? Ataupun ada orang yang tukang jolok dan tukang kipas supaya Latiff menentang Nik Abduh.
Saya percaya kalau tidak ditolak Latiff tidak akan tergamak untuk berlawan dengan Nik Abduh. Kalau dia tidak malukan kepada Nik Abduh tetapi dia kena malu kepada Nik Aziz orang yang memberi tauliah agar beliau boleh bertanding. Latiff juga seorang yang berakhlak tinggi dan tahu adat-adat serta hukum syarak. Saya tidak fikir kalau hasrat untuk beradu kekuatan dengan Nik Abduh itu tumbuh dari dhamirnya sendiri.

Memang Nik Aziz tidak akan halang perlawanan itu. Siapa nak lawan berlawanlah asalkan mengikut peraturan. Begitu juga Nik Abduh tidak bermaksud untuk berlindung di balik maunah ayahnya. Bagi tok guru dia terbuka. Hatta dia sendiri pun kalau Latiff dan orang-orang mendokong Latiff nak lawan tidak ada masalah. Lawanlah.
Tetapi kalau Latiff masih berpegang kepada adat dan kesopanan sebagai seorang anak pondok dia tidak akan tergamak untuk melangkah kitab tok gurunya sendiri.
Katanya hasrat Latiff itu bukan lahir dari dirinya sendiri. Ada pihak-pihak tertentu yang menyuruh dan memberi semangat kepadanya. Orang berkenaan tidak mahu kalau Nik Abduh menjadi ketua pemuda kerana beliau secara automatik akan menjadi ahli Dewan Harian Pas.
Nik Abduh dikatakan seorang yang agak ekstram dan tidak mudah bertolak ansur dengan khilas-khilas politik sekular.

Nik Abduh juga seorang yang tidak suka kepada pemanipulasian dan dia bercakap berdasarkan nas dan dalil-dalil qatae'i. Mana-mana yang tidak ditunjuki oleh nas dan dalil akan ditolaknya. Sikap Nik Abduh yang tegas dan keras inilah menakutkan orang tertentu bila dia menjadi ahli Dewan Harian kelak. Khabarnya Nik Abduh juga sesekali berdebat dengan ayahnya sendiri bila dia merasakan pandangan ayahnya diselewengkan.

Makanya bagi mengelakkan Nik Abduh berada dalam Dewan Harian dan bakal menyulitkan orang tertentu elok kalau beliau dilawan dengan harapan kalah maka tidak masuklah Nik Abduh dalam Dewan Harian. Manakala Latiff pula dikira akan akur sahaja kepada apa yang diputuskan dan diharap menjadi pembela kepada orang berkenaan dalam Dewan Harian.

Keadaan ini jelas bahawa Latiff hanya dijadikan alat dan perkakas sahaja dan bukan bertanding kerana atas kemahuan dan berlandaskan apa-apa idealisme perjuangannya sendiri. Lainlah kalau Latiff ada gagasan dan wawasan sendiri, mungkin pertandingan itu boleh dibenarkan berlaku.
Latiff masih muda dan masih mentah. Dengan menjadi Adun bukan bermakna beliau sudah menyiapkan dirinya untuk menjadi seorang pemimpin kepada sebuah sayap parti. Tempat paling baik ialah berada di kerusinya sekarang, naib ketua. Beliau perlu banyak belajar dan mengenali erti politik serta sepak terajangnya. Jangan mudah jadi buah sepak. Latiff juga tidak seharusnya ‘lorat’ – mau cepat naik. Pengalaman dan sejarah yang menimpa sepupunya, Zulkefli Yaacob perlulah dijadikan iktibar.

Apa jadi dengan bekas Adun Guchil itu sekarang ini? Jadi Adun sepenggal, kalah. Kemudian beralih kepada perniagaan memelihara kambing Jamnapari juga katanya sudah lingkup. Pengajaran yang menimpa Zulkefli itu adalah cukup baik bagi Latiff menelitinya supaya dia tidak akan tergelecah ke dalam lembah yang sama.

Dalam pada itu terdengar pula cerita, sekiranya Latiff turut menawarkan diri untuk merebut jawatan itu Nik Abduh akan tarik diri. Alasan Nik Abduh katanya kerana Latiff anak tok guru. Tindakan ini tidak betul. Kalau Latiff boleh berbangga dengan ayahnya seorang tok guru, apa kurangnya Nik Abduh. Malahan dalam konteks parti politik darjat dan martabat ayahnya (Nik Aziz) lebih tinggi daripada Haji Abdul Rahman.

Seandainya Nik Abduh mengambil keputusan itu ia sesuatu yang tidak bijak. Beliau harus tahu dalam politik demokrasi membenarkan apa juga helah dan muslihat untuk menang. Sekiranya beliau menarik diri ini bermakna beliau memberi kemenangan percuma kepada Latiff. Paling malangnya membiarkan dewan pemuda Pas Kelantan menjadi alat politik peribadi orang tertentu.
Tindakan Nik Abduh undur itu nanti menyebabkan orang itu akan beraya hindu.
Dalam politik seseorang itu tidak boleh terlalu jujur, ikhlas dan mengikut peraturan ketika berperang merebut jawatan. Sesiapa yang jujur, ikhlas dan sedia menurut jawatan ia akan tewas dan kalah. Sebab kejujuran dan keikhlasan itu akan diambil kesempatan oleh lawan untuk membunuh kita.

Dan sekiranya Nik Abduh mahu kekal dengan prinsip-prinsip terpuji tidak bersedia bermain dengan khilaf dan muslihat, eloklah Nik Abduh menukar wadah perjuangan malam ini juga. Jangan menyertai politik tetapi carilah jemaah lain yang tidak mengambil sistem menguruskan parti dan pemilihan pemimpin seperti Pas. Jemaah paling baik ialah Tabligh.

Apapun kepada mereka berdua, Nik Abduh dan Latiff yang saya anggap adik-adik, carilah jalan terbaik dan elakkan bertembung sesama sendiri. Ingat anda berdua anak kepada ulama yang dihormati dan disegani. Kalau anak ulama pun tidak boleh berkompromi dan saling merebut jawatan, ia memberi gambaran buruk kepada kepimpinan ulama itu sendiri. Jangan pula nanti orang berkata, kalau anak tok guru pun berlawan, apalah kita dari golongan Prolib ini... makin boleh berlawan. [wm.kl. 9:00 pm 26/04/09]

Ragam Media

Mingguan Malaysia Tidak Profesional?

TIDAK dapat dipastikan apakah wartawan Mingguan Malaysia yang melapor di Kota Bharu silap ataupun penyunting dan editornya di Jalan Chan Sow Lin di Kuala Lumpur yang mengubah laporan sebenarnya. Sebagai sebuah akhbar berbahasa Melayu yang tertua, saya tidak fikir kalau Utusan mempunyai pelapor standard stringer di zaman-zaman tahun 40-an dan belum profesional sepenuhnya.

Hal ini saya rujuk kepada laporan di muka surat 4, keluaran hari ini, 26 April di bawah tajuk "Pas batal kerajaan Perpaduan".

Di bawah tajuk ini dilaporkan mengenai tindakan beberapa buah badan perhubungan Pas negeri tidak mencalonkan semula Abdul HAdi Awang sebagai presiden. Laporan ini amat meragukan sekali.

Dari mana pelapor akhbar berkenaan mendapat maklumat itu? Atau pun pelapor itu disalah beri maklumat oleh orang tertentu dengan niat tertentu pula? Belum ada mana-mana badan perhubungan Pas negeri yang mengumumkan pencalonan mereka.
Biasanya badan perhubungan akan mennyerahkan kepada pihak jawatankuasa pemilihan mengenai sesiapa yang dicalon oleh mereka. Jadi macam mana akhbar berkenaan boleh melaporkan demikian dengan memetik beberapa badan perhubungan negeri?

Jadi dari mana maklumat berkenaan ataupun ia sengaja memutarbelitkan fakta sebenar. Mungkin apa yang dimaksudkan ialah beberapa kawasan yang tidak mencalonkan Abdul Hadi, tetapi bukannya badan perhubungan. Kawasan ialah bahagian dalam istilah Umno yang bukannya menggambarkan sebuah negeri.

Mungkin pelapor akhbar berkenaan merujuk kepada apa yang berlaku di Bukit Bintang di mana Pas kawasan itu telah telah mencalonkan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Itu pun tidak sampai tiga kawasan yang tergamak berbuat demikian?

Apakah akhbar berkenaan ada agenda tersendiri untuk melihat keadaan kelam kabut dalam Pas menjelang muktamar tahun ini? Ini tidak menghairankan kerana akhbar ini sudah beberapa kali di pulau oleh Pas, tetapi tetap dibaca oleh ahli-ahlinya. Ia juga masih menjadi kepercayaan pemimpin untuk terus merujuk kepada akhbar berkenaan.

Ahli Pas hendaknya tidak mudah terkeliru dengan pemanipulasian ini dan diharap banyaklah mendapat maklumat untuk mempastikan keadaan sebenarnya. [wm.kl. 10: 30 am 26/04/09]

Susupan Pagi

Fakhry dan Monahara Menjawab Selaga Persoalan

SAHIH segala tuduhan tidak benar dan ianya jelas mempunyai motif tersendiri. Kemunculan Tengku Mohammad Fakhry bersama isterinya Monahara Odelia Ponit di dua majlis umum semalam menjelaskan segala-galanya. Pasangan berkenaan ternyata bahagia dan sedang melalui kehidupan baru penuh membiru.

Tengah hari kelmarin Fakhry bersama Monahara menghadiri majlis kenduri kahwin anak Exco Kelantan, Husam Musa, Ahmad Syafi dengan Indah Purnamasari Didin di kampung Kota, Kota Bharu Kelantan. Kehadiran pasangan itu dilaporkan dalam kebanyakan media hari ini.

Sebelah malamnya pula Fakhry dan Monahara ke stadum nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan yang bertarung dengan Selangor dalam perlawanan akhir piala FA. Kesudahan perlawanan itu Selangor menjuarai piala FA dengan tendangan penalti 4 - 1.

Seperti mana di Kota Bharu, mereka juga kelihatan gembira dan bahagia. Kemunculan di stadium yang sudah diketahui itu cukup menjelaskan keadaan sebenarnya. Khalayak di stadium lebih ramai dari khalayak di rumah Husam menjadi saksi kebahagiaan pasangan berkenaan.

Semoga segala tohmahan jahat terhadap Fakhry kononnya menyeksa isterinya itu akan berakhir. Semua pihak khasnya ibu Monahara, Daisy Fajarina terimalah keadaan yang ada. Jangan lupa usaha pulihkan hubungan ibu dan anak, mertua menantu dan besan sekali. Selamat. [wm.kl. 10:55 am 26/04/09]

Saturday, April 25, 2009

Rasar Dasar

Awas Najib Akan Lancar Perang

SEMALAM Presiden Umno, Najib Razak telah menyusun semula Umno di seluruh negera. Penyusunan ini sudah pasti sesuai dengan pertukaran nokhoda baru dan juga bagi memperkuatkan Umno. Target Najib ialah pilihan raya umum ke 13.

Penyusunan itu menyerlahkan keazaman tinggi Najib untuk merampas balik empat lagi negeri yang ditakluki rakyat pada pilihan raya umum lalu selepas berjaya mengambil Perak secara sihir awal tahun ini. Najib sendiri mengepalai Umno Selangor dengan tidak meneruskan khidmat Muhammad Mohd Taib atau mengembalikan semula kepada Khir Toyo yang terjeler-jeler mahukan jawatan itu.

Muhyiddin Yassin pula mengepalai Umno Wilayah Persekutuan, yang sebelum dikepalai oleh Zulhasnan Rafique. Ahmad Zahid Hamidi pula mengepalai Umno Pulau Pinang. Najib nampaknya melupai Abdullah Badawi dalam proses pengukuhan Umno Pulau Pinang dan lebih percaya kepada orang harapannya Zahid.

Shafei Afdal pula ditugaskan mengemudi Umno Kedah. Mahadzir Khalid tidak diberi peranan lagi. Manakala Terengganu pula diserahkan kepada Hishamuddin Hussein. Semua orang besar dalam Umno kini memiliki negeri masing-masing dan diberikan tanggungjawab besar.

Beluam pernah berlaku sebelum ini kesemua orang besar diberikan tugas dan tanggungjawab. Paling-paling presiden atau setiausaha agung parti saja diberikan tugas mengemudikan sesuatu negeri yang mana Umno bermasalah.

Cara Najib menyusun pengurusan Umno itu memperlihatkan perubahan dalam pengurusan dan pentadbiran parti berkenaan. Ia kini menggambarkan seolah-olah Umno diuruskan secara bersepadu dan central dari Kuala Lumpur. Arahan-arahan akan dibuat dari ibu pejabat Umno dan bukan lagi pejabat perhubungan negeri seperti sebelum ini. Umno negeri hanya melaksanakan apa yang diarah saja.

Dalam pada itu apabila lima negeri mendapat ketua yang bukan dari tokoh bahagian menunjukkan Umno bermasalah besar. Ketidakpercayaan kepada tokoh dalam negeri itu juga menunjukkan Umno bankrup pemimpin yang boleh dipercayai rakyat. Langkah Najib itu menunjukkan keberanian beliau dan satu kelainan yang diharap memberi kesan kepada Umno.

Kelantan juga negeri yang sudah lama ditakluki Pas, tetapi Najib tidak mengirim orang Kuala Lumpur menguruskannya. Najib memberi kepercayaan kepada Mustapa Mohamed untuk mengemudikan Umno Kelantan semula. Seperti mana dijangkakan Annuar Musa kini sudah menjadi botol air mineral kosong.

Apakah dengan mengekalkan pengerusi Umno Kelantan kepada anak Kelantan itu petanda Umno tidak yakin bahawa Kelantan mampu dirampasnya? Mungkin begitulah sifir politik Najib.

Dengan kesimpulan tadi, impian Najib untuk menawan semula negeri-megeri yang ditakluki rakyat itu bukan perkara mudah. Pengubahsuaian itu sebaliknya menambahkan lagi ketidak yakinan rakyat kepada Umno di bawah pengurusan baru. Rakyat dibawah yang terbiasa dengan pemimpin setempat akan merasakan kehadiran pengerusi baru itu sebagai jeneral askar yang cuba menguruskan kawasan mereka.

Bagaimana pun dalam pada itu, apabila Najib memberi tugas dan tanggungjawab kepada para jeneralnya tidak mustahil ada perkara besar yang akan berlaku. Apakah penempatan para jeneral di negeri-negeri strategik itu sebagai persiapan Najib akan melancarkan perang? Dalam seronok mengelakkan Umno Pakatan Rakyat harus berwaspada dan senantiasa menguatkan para soldadunya. Segala-gala boleh berlaku. [wm.kl. 11:30 ama 25/04/09]

Friday, April 24, 2009

Selepas Asar

Nik Abduh Dan Para Wazir Otak Kemetot

SEORANG penjenguk blog Merah Tinta bernama Muhammad Khairuddin Awang telah forward tulisan terbaru Nik Abduh Nik Abdul Aziz (foto) yang diambil dari blognya berjudul: Kerja bodoh dalam Pas ke dalam email saya dan minta saya ulas. Intipati tulisan Nik Abduh menceritakan perihal para wazir (pembantu) ayahandanya yang tidak menjalankan tugas dengan betul dan cuba main kelong, atau main kayu tiga. Salah satu kerja wazir itu ialah melagakan ayahandanya dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Siapakah para wazir Tok Guru Nik Aziz? Panggilan itu umum sangat. Dalam konteks kerajaan negeri, mereka ialah para pegawai kerajaan negeri. Dalam konteks politik ialah ahli Dewan Harian Pas. Manakala dalam konteks tugas sebagai Menteri Besar ialah pegawai-pegawai yang bertapa di pejabat MB ditingkat 1, bangunan SUK dalam Kota Darulnaim.Di situ ada pegawai akhbar, ada pegawai khas, ada setiausaha sulit khas dan ada setiausaha politik. Ada juga pembantu khas. Inilah para wazir Tok Guru. Apakah kesemua mereka ini menasihati secara tidak betul, main kayu tiga ataupun duduk di situ kerana melaksanakan agenda politik sendiri?

Kalaulah saya yang menulis topik ini pasti berasap kena hambur oleh penjenguk yang taksub kepada orang tertentu di Kelantan. Saya akan dituduh sebagai mereka-reka cerita dan cuba meretakkan hubungan Nik Aziz dengan Abdul Hadi Awang. Nasib baiklah topik itu diulas dan disorot oleh Nik Abduh, anak Tok Guru Nik Aziz sendiri. Tahniah dan terima kasih Abduh.

Kalau saya yang menulis begitu, akan adalah tuduhan ke atas saya, kononnya saya menulis kerana urusan perniagaan kambing Japnapari tidak bereslah, projek depu tidak menjadilah ataupun kerana projek wang dinar tidak laku. Tidak terkecuali juga tuduhan paling popular kalangan spy Pas (spy mata sebutir) ialah saya ini adalah mata-mata gelap Umno! Tuduhan itu menggambarkan kedangkalan spy mata sebutir Pas dan mereka yang tidak kenal saya sekenal-kenalnya.

Biasalah manusia suka menghukum tanpa menanti apakah nokhtah terakhir mengenai sesuatu tulisan atau pun topik yang dibicarakan. Semua itu dilakukan kerana taksub, taksub kubra... maka mereka sudah tidak waras lagi.
Pada saya orang yang taksub kubra kepada sesiapa pun hatta kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi Awang adalah orang yang kekurangan kornea atau manik dalam mata dan pertumbuhbesaran akalnya juga terbantut. Jenis akal 'kemetot''. Tuhan tidak menyuruh kita taksub melulu kepada sesiapa pun hatta Nabi Muhamamd s.a.w. melarang supaya memuja berlebihan.

Baik Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz atau sesiapa juga tetap tidak terelak melakukan kesalahan dan mereka ada kalanya perlu petunjuk dan maklumat serta teguran. Dalam hal ini kedua hamba Allah dan pemimpin agung ini tidak melenting pula bila ditegur atau dikritik sebaliknya pentaksub berakal kemetot yang sibuk-sibuk.


Sepanjang saya kenal dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz beliau tidak pernah menengking atau pun marah kepada saya, begitu juga Abdul Hadi Awang walaupun saya mengkritik mereka berdua. Tetapi apa yang sering berlaku orang lain yang menjadi galang gantinya, ini termasuklah pengomen otak kemetot dalam blog. Berbeza dengan tokoh baru Pas yang baru kenal alif ba tha tidak boleh ditegur akan melenting macam guli mata kucing jatuh ke simen... ting... ting... ting...


Berbalik kepada topik diangkat oleh Nik Abduh tadi, memang sukar untuk mempercayai kalau Tok Guru Nik Aziz boleh 'berselehen' atau berkadas akal dengan Abdul Hadi Awang. Mereka ulama yang sarat dengan ilmu. Tetapi kerana ada tukang hasut dari pembantu sesat itu maka timbullah pertelagahan. Tujuan pencanggahan itu ditimbul supaya dua tokoh itu bergaduh agar senang mereka menyelit untuk mencuri kesempatan. Saya sudah lama menyedari peranan sang wazir sesat ini. Kalau baca dalam posting saya sebelum ini sudah pun saya tulis dan ulaskan. Merekalah yang merosakkan ukhwah dalam Pas. Kerana untuk mencapai hajat seseorang mereka sanggup merogol amanah yang diberikan kepada mereka menerusi tanggungjawab itu. Jenis muka tidak malu, akal kemetot.

Sebenarnya kalau mereka nak ampu dan nak percepatkan proses kenaikan taukeh mereka majulah secara mendada dan jangan mencelah dan mencari kesempatan dan menjadi parasit. Apakah orang berkenaan menerima pakai teori ataupun amalan parasit seperti dedalu tumpang orang kemudian hisap darah orang sampai orang kojol?

Ada fahaman dan ajaran politik demikian dipraktikan oleh sesetengah kelompok di negara ini. Dan kelompok ini yang berkembang pada tahun 70-an kini sudah menyerap masuk ke dalam Pas dan gerakan Islam lain. Kalau diteliti kepada background dan harakah yang disertai sebelum menyertai Pas maka ditemuilah kelompok ini. Ianya sangat merbahaya disamping menimbulkan huru hara menyebabkan mereka hanya kutip hasil dengan meriba tangan saja.

Kelompok ini juga menerima doktrin kaedah matlamat menghalalkan cara. Bagi mereka rasuah, manipulasi, lempar batu sembunyi tangan dihalalkan dan perlu dipraktikan. Mereka ini juga membilang bukan bermula dari 1 tetapi ia boleh bermula dari 8, 5, atau pun terus 10 baru kembali kepada 3, 2, dan 1.

Alhamduliah seperti mana kata Nik Abduh, ayahandanya sudah faham duduk perkara sebenarnya. Mudah-mudahan sekembali beliau (Tok Guru Nik Aziz) dari mengerjakan umrah, tidak ada sesiapa lagi yang akan cuba main dan membohongi Tok Guru demi kepentingan diri. Ingatlah Tok Guru baru balik dari umrah penuh dengan wap kenabian dan setanggi Kaabah yang harum itu masih melekat di badannya. Hormatlah.


Semoga Nik Abduh akan terus bercerita tentang ayahandanya kerana ia memberi banyak manfaat untuk orang di luar. Sekarang ini cerita-cerita dari mulut second hand tidak boleh dipercayai lagi. [wm.kl. 7:30 pm 24/04/09]

Warkah Petang

Nasihat Kepada Zambry dan Mat Said

SAMA tetapi tiak serupa. Itulah perumpamaan atau konotasi yang tepat untuk digambarkan kepada nasib dua Menteri Besar UBN, Ahmad Said (Mat Said) di Terengganu dan Zambry Abdul Kadir di Perak. Dua-duanya ada masalah tersendiri, dihinggapi penyakit bisul.

Zambry tidak mendapat kepercayaan rakyat, manakala Mat Said pula tidak mendapat kepercayaan partinya sendiri. Rakyat Perak yang masih hangat dengan keindahan dan kebahgaiaan (honey moon) dengan kerajaan Pakatan Rakyat masih terkenang-kenang kepada Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai MBnya menyebabkan mereka merasakan Zambry hambar dan tak ubah persis maling saja.

Walaupun berbagai keputusan mahkamah yang dibuat memihak kepada Zambry sebagai MB yang sah namun rakyat tidak dapat menerimanya. Dakwa dakwi masih berlaku sampai sekarang, belum ada keputusan tuntas. Keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang yang lalu juga memberi mesej jelas yang Nizar Jamaluddin diterima rakyat Perak!

Zambry pula sudah habis cara dan mekanisme untuk menyakinkan rakyat bahawa beliau adalah menteri besar yang patut disanjung dan dijunjung. Mahkamah, NGO – Badan Bertindak dan Perpaduan Melayu, istana dan sebagainya semua digunakan Zambry untuk mengesahkan jawatan itu.

Bomoh juga turut sama digunakan; Bomoh Siam, Melayu, Cina, India dan Orang Asli tidak terkecuali semuanya digunakan bagi mengatasi kemelut politik di Perak. Ikhtiar katakan! Namun rakyat yang ditunggangi pembangkang masih tetap menolak Zambry sebagai Menteri Besar.

Terbaru Zambry mahu meminta mahkamah membuat pengisytiharan yang beliau adalah MB Perak. Mungkin itu jalan terbaik dan jalan terakhir. Sangat jelas sekali apabila beliau meminta jasa baik mahkamah bermakna beliau sudah benar-benar terdesak dan ‘tertohok’.

Tetapi percayalah biarlah seribu mahkamah buat keputusan, namun beliau tetap akan ditolak rakyat. Mahkamah dari London, India atau Ethiopia sekalipun membuat keputusan yang memisahkan kepada Zambry ia tidak mengalih sikap rakyat yang mencemuhnya.

Apa yang berlaku di Perak bukan bermakna mahkamah tidak adil dan saksama lagi tetapi kerana rakyat sudah dituba dan diracuni dengan persepsi politik. Persepsi adalah satu penyakit politik yang sukar untuk diatasi mungkin sama jenis dengan darah tinggi, kencing manis atau pun gout.

Rakyat Perak juga tidak dapat membaca maknawi politik yang berlaku, mereka hanya mentafsirkan apa yang ada dipermukaan daratan sahaja. Hal-hal yang zeni dan terahsia (penuh muslihat) di bawah sana rakyat tidak peduli.

Demikian juga halnya dengan Mat Said di Terengganu. Lakukan apa juga tindakan Umno Terengganu seluruhnya akan menghormati dan menolak Mat Said. Kumpulan 10 Adun yang kini sudah menjadi 18 tetap akan menolak Mat Said.

Terbaru satu aku janji dibuat bagi menyatakan sokongan kepada Mat Said. Aku janji itu hanya sandiwara saja yang nilainya lebih rendah daripada janji budak atau janji isteri tua yang menuntut itu ini sebagai syarat membenarkan suaminya kahwin satu lagi. Apabila semua syarat dipenuhi si isteri akan mencari alasan-alasan lain untuk menghalang si suami kahwin satu lagi.

Maka jalan terbaik bagi Mat Said dan Zambry ialah pulangkan mandat kepada rakyat. Bubar DUN biar rakyat menentukannya. Kalau mereka mengharapkan kepada simpati dan sokongan isteri mendokong mereka, selama manalah sangat kuasa itu akan berpihak kepada mereka.

Istana akan melakukan yang terbaik untuk rakyat. Istana tidak memihak kepada mana-mana. Sekiranya istana melihat kuasa yang ada itu; kedudukan Mat Said dan kerajaan BN tidak mampu membawa kedamaian akhirnya Sultan akan membubarkan juga Dewan Undangan Negeri.

Jadi sebelum mendapat malu besar elok kalau Mat Said dan Zambry Abdul Kadir mengambil langkah bijak meletak jawatan atau membubar dewan sebelum rakyat menggelarkan kita sebagai hidung tidak mancung pipi pula tersorong-sorong. [wm.kl 10:00 pm 23/04/09]

Angin Dari Istana

Kebatilan Umpama Embun, Musnah Selepas Suria Menjenguk

KEBENARAN tetap akan menjelma dan kebatilan akan sirna juga akhirnya. Kekeliruan dan sikap kita tidak mahu menyelidik terhadap sesuatu laporan atau khabar menyebabkan kita jadi terkeliru dan akhirnya terjerumus ke dalam fitnah yang boleh menyebabkan keadaan menjadi huruhara.

Begitulah apa yang dapat disimpulkan mengenai tuduhan kononnya Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra yang cuba diaibkan dengan satu laporan liar yang dipetik dari Indonesia mendakwa Tengku Fakhry melarikan isterinya, Monahara Odelia Pinot,17 dan melakukan penyeksaan fizikal.

Bukan saja saya, semua orang mungkin tidak mengerti apakah motif berita berkenaan? Yang menyebabkan saya menggaru kepala ialah, macam mana seorang ibu yang berstatus mertua boleh menuduh menantu melarikan isterinya! Aneh.

Sekali ingat boleh bikin filem Keluarga 69 versi baru pula.

Seperti mana dijelaskan, bahawa Fakhry telah mengahwini Monahara dengan sah. Mengikut syarak Fakhry berhak membawa isterinya walaupun mencecah ke langit hijau sekalipun. Tidak siapa boleh menghalangnya lagi. Dan sesudah menjadi seorang isteri, Monahara berkewajiban mentaati suaminya selagi suaminya mentaati syarak. Manakala status ibu yang melahirkannya sudah berada di urutan ke bawah. Betapa si ibu, ibu Daisy Fajarina, 44 menyayangi anaknya namun hukum tidak dapat dibatasi.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Jika seseorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, isterinya tidak datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, malaikat akan melaknat isteri berkenaan sehingga Subuh." Saya kira ibu Daisy mengerti dan arif dengan hadith berkenaan. Justeru apa yang Monahara lakukan itu benar dan betul belaka dan menepati hukum syarak dan juga mengikut perikemanusiaan dan kasih serta cintanya kepada Tengku Fakhry. Terlebih dari itu ialah Monahara mengikut syarak.



Tidak wujud di sini kalau bintang peragawati itu dilarikan dan diseksa di dalam istana. Nampaknya cerita-cerita di zaman klasik dahulu hendak dihidupkan semula semata-mata mahu glamour dan gimik, atau ada motif tersirat yang tersendiri. Apakah ada agenda untuk memburukkan istana Kelantan dalam episod ini?

Tentunya Tengku Fakhry seorang anak raja di zaman moden, yang luas pergaulan tidak masuk akal kalau masih bersikap seperti raja-raja di zaman dahulu seperti mana dinukilkan dalam filem-filem Melayu. Bukan begitu! Malahan kekanda Tengku Fakhry, Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra begitu mengambil berat hal-hal keagamaan dan adat dan budi sudah tentu Tengku Faris menjaga sebarang kejadian buruk dari mecacatkan nama baik istana Kelantan.

Cuma apa yang mungkin berlaku di sini, ada sesuatu yang ibu Daisy mahukan namun sukar untuk dilaksana mereka suami isteri. Sedia maklum, Fakhry adalah pangeran. Mungkin dalam kepala ibu Daisy pangeran mempunyai harta yang bertimbun dan berkarun yang boleh dikongsi bersama.

Apakah ada berlaku tuntutan harta sebagai ganjaran kerana membenarkan Monahara berkahwin dengan Fakhry? Kemungkinan tidak boleh dinafikan.

Untuk penjelasan ibu Daisy, setakat saya ketahui sebagai anak Kelantan yang berada jauh di luar pagar istana, istana Kelantan tidak sekaya seperti mana yang digembar gemburkan. Kehidupan istana Kelantan sederhana saja, orang Indonesia bilang biasa-biasa saja, dong...

Istana Kelantan tidak tamak mencari harta dan mereka hidup sekadar yang termampu saja. Sering kali salah anggap bila disebut raja, menyebabkan orang berfikir semua raja tamak haloba, suka mengaut harta rakyat dan sebagainya. Tetapi tidak begitu di Kelantan. Tidak ada seorang rakyat Kelantan kebuluran disebabkan semua kekayaan Kelantan dipunggah ke istana!

Sudahlah, cerita sensasi kononnya Tengku Fakhry melarikan Monahara dan diseksa di istana semuanya tidak betul dan merupakan satu garapan karut semata-mata. Hakikat ini bukan ilusi saya, tetapi ada bukti jelas menunjukkan ianya tidak benar.

Lewat malam tadi saya menerima beberapa keping gambar terbaru Monahara bersama Tengku Fakhry yang dikirimkan oleh seorang kerabat di raja Kelantan. Gambar ini dirakamkan semasa mereka dan rombongan bercuti di Bukit Fraser dua minggu lepas. Gambar-gambar ini mencerminkan bagaimana kehidupan mereka yang sebenarnya.

Apakah Monahara dipaksa untuk bahagia di samping suaminya. Dipaksa tersenyum riang untuk dipotret? Saya tidak mahu mengulas, tetapi tataplah kesemua gambar yang saya postkan ini dengan mata hati perasaan dan bukan dengan prejudis. Kata orang gambar menceritakan segala-galanya.

Dan saya percaya sehari dua lagi semua cerita ini akan usai. Embun akan kering sebaik suria menjenguk alam. Khabarnya malam esok Tengku Fakhry dan Monahara akan muncul di stadium Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak antara Kelantan dengan Selangor. Nah... mari kita ramai-ramai mencuri intai bagaimana intim dan mesranya mereka berdua di pintu masuk stadium itu.

Kepada ibu Daisy Fajarina yang terhormat, rakyat Malaysia khasnya Kelantan sangat berbangga dengan ibu kerana memiliki seorang puteri secantik Monahara yang bisa mengalahkan kejelitaan Puteri Saadong. Kami di Kelantan menerima Monahara sebagai bintang kejora yang mengambang selepas fajar siddik. Kami di Kelantan menyambutnya dengan harapan kejora yang satu ini dapat memberi cahaya kepada kami semua.

Tenang, dan marilah kita bersama meraikan kebahagiaan mereka. Silaturahim yang sudah ditakdir terjalin antara keluarga ibu dan istana Kelantan hendaklah dihormati dan diteruskan. Bukankah kita semua bersaudara. Ingatlah kepada pesanan Tuhan (Allah), bila aku berkehendakkan sesuatu cukup aku mengatakan kun fayakun, jadi maka jadilah ia.

Tuhan telah melapazkan begitu antara Fakhry dan Monahara, kun fayakun kahwinlah kamu maka kahwinlah mereka. Dan apalah kita sebagai hambaNya yang hina lagi lemah ini tentu tidak dapat mengatasi kehendak dan kemahuanNya yang sarat dengan hikmah.

Didoakan semoga Allah s.w.t. mengurniakan cahaya mata kepada pasangan di raja itu dan dengan itu akan bertambah seri dan cerialah istana Kelantan dengan tangisan kelahiran zuriat yang bakal meruntuhkan segala tohmahan dan kepalsuan yang berlaku kini.

Selamat pengantin baru yang lewat daripada saya dan keluarga untuk Fakhry dan Monahara. [wm.kl. 10:00 am 24/04/09]

Thursday, April 23, 2009

Panas Jiwa

Penyelewengan Pentadbiran Kewangan Negeri Kelantan!

PENTADBIRAN kewangan negeri Kelantan dikatakan berada dalam keadaan tidak begitu kemas dan teratur menyebabkan kemungkinan berlaku pembaziran wang rakyat seperti bayaran yang dibuat ke atas tuntutan-tuntutan yang tidak wajar dan munasabah.

Beberapa amalan tidak telus dikatakan berlaku yang melibatkan jumlah puluhan juta ringgit.

Apa yang dikatakan berlaku ialah tuntutan-tuntutan tidak wajar ke atas sesuatu kontrak di mana nilai yang diluluskan tidak sepadan dan tempoh kelulusan juga begitu cepat di mana ini menyalahi prosuder kewangan yang diamalkan sebelum ini, di mana pembayaran biasanya dibuat dalam tempoh selepas tiga bulan.

Ada tuntutan dikatakan dibuat disebelah pagi diluluskan sebelum pukul 3:00 petang!

Sebagai contohnya bayaran yang dibuat oleh sebuah agensi kerajaan negeri berjumlah RM36 juta dalam tempoh lebih dua tahun dari tahun 2006. Pembayaran itu dianggap tidak munasabah kerana aktiviti agensi berkenaan bukan agensi bersifat komersial.

Keadaan ini menyebabkan pihak tertetu yang berhak untuk menjaga dan mengawal kewangan negeri Kelantan untuk rakyat dikatakan terpaksa masuk campur bagi memastikan perbelanjaan dijalankan dengan betul.

Pihak berkenaan dikatakan sedang meneliti hal ini termasuk telah memanggil Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah Tanah dan Galian yang bertanggungjawab dalam soal-soal tanah dan sebagainya untuk memberi penjelasan lanjut.

Dikatakan ada sendiket kalangan kontraktor mengguna nama pihak berkuasa lain untuk mendapat kontrak ataupun mendapat kelulusan tanah dengan mudah serta dikenakan bayaran cukai atau premium yang rendah.

Misalnya premium dikenakan ke atas satu kawasan lombong emas di negeri itu jauh lebih rendah daripada jumlah sepatutnya kerana ia dikatakan ada kaitan dengan pihak tertentu lain. Hal ini katanya sangat dikesali dan ia mula dipertikaikan sendiri oleh pihak dalaman kerajaan negeri.

Dalam tujuan ini nama istana Kelantan juga dikatakan telah dijadikan kambing hitam bagi mendapat perlepasan atau pun untuk mempercepatkan sesuatu proses permohonan.

Justeru pihak kerajaan negeri khasnya menerusi Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Negeri yang bertindak sebagai Menteri Kewangan dan juga Menteri Besar perlu memantau dan menyelidiki hal ini.

Sekiranya dakwaan ini didapati benar tidak sewajarnya kerajaan negeri mendiamkan diri kerana ia tidak memberi keuntungan kepada kerajaan apa lagi disaat negeri mengalami kemelesetan ekonomi kini. Apa lagi kalau sikap diam diri itu kerana takut atau kerana menghormati mana-mana pihak ia dianggap sebagai tidak patut kerana telah membelakangkan kepentingan rakyat.

Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) juga hendaklah memainkan peranan menyiasat perkara ini. Tujuan ia diwujud ialah bagi menjadi badan pemantau bagi pihak seluruh rakyat Kelantan. PAC berhak memanggil mana-mana pihak membabitkan perbelanjaan wang negeri untuk diteliti. Tidak ada gunanya PAC ini diwujudkan kalau ia setakat diwujudkan untuk memenuhi prosuder sesebuah kerajaan saja.

Seelok ‘penyelewengan’ dan kelemahan salah tadbir ini dikesan dan diambil tindakan segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk lagi. Natijah daripada membiarkannya menyebabkan wang rakyat akan disalah gunakan akan lebih berleluasa. [wm.kl. 2:40 pm 23/04/09]

Celoteh Murai 40

Murai Bersetuju Dengan Salentia

SALENTIA terus bercakap dan bercakap walaupun apa yang dicakapkan beliau sendiri tidak faham apa lagi orang lain. Kadang-kadang dia cakap di luar topik dan ilmunya. Kadang-kadang juga dia bercakap mengenai dia sendiri. Memang ada sejenis Salentia akan memakan ekornya sendiri apabila dia sudah kelaparan! Nama klsik salentia jenis ini ialah 'brahakunikoni'.

Tidak lama dulu Salentia bercakap fasal muqabalah. Dia mencadangkan dalam Parlimen supaya ahli-ahli Parlimen bersumpah muqabalah untuk mengelakkan berlakunya lompat parti. Jelas dia tidak faham dan tahu mengenai falsafah dan tujuan muqabalah. Maka cadangan yang dibuat secara sambrono itu dikritik oleh dua tiga orang Mufti.

Terbaru yang Murai dengar Saleintia mencadangkan supaya digubal satu undang-undang untuk mengenakan hukuman sebat ke atas mana-mana orang yang menghina institusi raja. Wah... hebat macam hukum hudud pula bunyinya... kok pakai sebat segala dong!


Cadangan itu menunjukkan betapa hormat dan tingginya keangungan Salentia kepada raja. Apakah dia lupa satu masa dulu dia pernah mengkritik raja? Kekalahannya dalam satu pilihan raya di kerusi Parlimen Pasir Mas menyebabkan beliau menuduh ianya disebabkan peranan Raja Perempuan Kelantan. Dengan 'menjeler lidahnya' beliau pernah meminta supaya raja masuk bertanding dalam pilihan raya.

Sekiranya kes itu diback dated dan undang-undang sebat terlaksana maka Salentia juga tentu kena dijatuhi hukuman menderhaka dan kena sebat.

Mungkin dia lupa, tetapi sejarah tidak boleh disapu begitu saja. Hatta kertas sejarah kalau disapu tahi pun orang akan cuci, basuh dan akan membacanya untuk menggali kebenarannya. Jangan cuba sesekali bermain dengan sejarah kelak merana diri!

Murai setuju sangat kalau undang-undang digubal bagi menjamin keutuhan institusi raja. Buatlah. Nak sebat pun sebatlah. Mudah-mudahan apabila amalan sebat sudah dimulakan, maka ia tidak akan menjadi asing lagi selepas ini. Mungkin ia akan membuka mata orang ramai untuk memahami hukum sebat. Kalau kerana perbuatan derhaka kepada raja, menghina institusi raja yang berbentuk subjektif itu dicadangkan sebat, maka apalah tidak kenanya kalau para penczina juga dikenakan sebat!

Bagaimana pun di sini kalau kerajaan bersedia mendengar dan merasakan cadangan Salentia itu relevan, Murai hendak cadangkan supaya kerajaan menggubal sama undang-undang sebat ke atas wakil rakyat yang melompat parti ataupun yang sanggup menggadai prinsip untuk menjaga perut dan poket baju dan poket seluar.

Maksud Murai gubal undang-undang lompat parti dan kenakan mereka yang lompat dengan hukuman sebat pakai rotan sebesar betis. Dalam undang-undang ini bolehlah difikirkan untuk menyebat orang yang lompat parti dibuat di hadapan para pengundi di kawasan yang diwakilinya itu. Biar semua rakyat melihat untuk dijadikan iktibar.

Murai rasa memandang kejadian lompat parti ada kalanya lebih hina dari berzina, lebih memberi kesan buruk kepada negara dari menderhaka kepada raja elok kalau hukum sebat pelompat parti ini didahulukan dulu baru diikuti dengan hukuman ke atas penderhaka yang dicadangkan Salentia itu.

Seperkara lagi, hukuman sebat ini pula bolehlah dibuat berdasarkan berapa kali seseorang wakil rakyat itu melompat parti. Misalnya kesalahan lompatan pertama dihalalkan. Kesalahan lompatan kedua dikenakan sebatan sebanyak 40 kali, kesalahan ketiga 80 kali, keempat 120 kali. Semua sebatnya perlu menggunakan rotan sebesar betis.

Murai: Hanya sebat dengan batang pena saja.

Analisa Isu

Pilihan Raya Dun Penanti Mungkin Tidak Ada?

PILIHAN raya kecil Dun Penanti, Pulau Pinang yang diharap dan dinanti-nanti ramai peminat politik untuk melihat persilatan seterusnya antara Pakatan Rakyat (PKR) dengan UBN mungkin tidak akan diadakan.

Ada tanda-tanda besar menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mencari seribu helah untuk tidak mengada pilihan raya itu walaupun Adun berkenaan Mohamad Fairus Khairuddin telah menyerahkan surat mengosongkan kerusi berkenaan kepada Speaker DUN Pulau Pinang.

Speaker DUN Pulau Pinang pula telah pun memaklumkan mengenai hasrat Fairus itu untuk tindakan SPR selanjutnya.

Tanda pertama ialah, semalam SPR sepatutnya mengumumkan mengenai status kekosongan kerusi berkenaan dan dijangka turut mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi tetapi ditunda kepada minggu depan.

Penundaan tarikh mengumumkan status itu tentulah ada penemuan baru yang mengubah cadangan asal SPR itu. Belum pernah SPR berlengah-lengah dalam mengistyharkan mengenai status sesuatu kerusi yang dikosongkan oleh penjawatnya.

Kedua, semalam juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjelaskan bahawa tidak ada kes terhadap siasatan tuduhan rasuah membabitkan Fairus. Penjelasan SPRM itu agak kontras dengan tindakannya sebelum ini yang begitu ghairah kalau berdepan dengan individu atau tertuduh di sebelah pembangkang.

Masih ingat lagi ke 'tuan-tuan dan puan-puan' apa terjadi kepada Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan oleh Gerak kononnya Khalid melakukan penyelewengan berhubung pemberian lembu korban kepada rakyatnya.

SPRM menerusi Pengerusinya, (lupa nama), telah menjelaskan bahawa ada bukti kukuh menunjukkan Khalid melakukan penyelewengan. Penjelasan pengerusi (lupa nama) itu betapa SPRM ghairah untuk memburukkan Khalid Ibrahim dan damagekan kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat.

Tetapi dalam kes Fairus ini SPRM bersikap adil, beretika dan penuh profesional pula menjelaskan bahawa Fairus bebas dari rasuah.

Apa yang dilakukan oleh SPRM itu ada makna dan motifnya tersendiri.

Dua tanda itu merupakan tanda besar menjelaskan pilihan raya tidak akan diadakan. Kemungkinan SPR yang akan bermesyuarat minggu depan menentukan status kerusi itu akan mengistyharkan bahawa tiada berlaku kekosongan pada kerusi berkenaan.

Mungkin SPR sekali lagi menggunakan surat perletakan Fairus itu sebagai tidak sah kerana sebab-sebb tertentu, misalnya tidak diserahkan sendiri, dikesan sebagai dibuat atas desakan pihak tertentu dalam PKR ataupun kerana tersalah meletakkan tanda bacaan koma dibuat nokhtah, nokhtah dibuat nokhtah bertitik dan sebagainya.

SPR dipercayai akan mencari seremeh-remh alasan untuk tidak mengistyahrkan kerusi berkenaan sebagai kosong bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Kenapa SPR berbuat begtu kena sedia maklumlkan! Bukankah Perdana Menteri, Najib Tun Razak awal-awal memberi isyarat pilihan raya itu tidak perlu diadakan kerana ia membazir dan membuang waktu. Walaupun itu hanya alasan tetapi SPR yang selama ini dianggap sebagai komponen UBN yang ke 15 faham mengenai 'maknawi' yang termaktub dalam hati perdana menteri.

Kesediaan Najib untuk tidak meletakkan calon UBN itu semua difahami bahawa UBN takut untuk berhadapan dengan neraca rakyat sekali lagi di Penanti. Kekalahan di pilihan raya kecil di Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan lebih-lebih lagi di Permatangan Pauh amat-amat menakutkan UBN.

Menganliasa apa yang berlaku dalam kes ini kemungkinan UBN sudah berjaya memujuk Fairus supaya mengekalkan kerusi berkenaan dengan imbuhan kes rasuah ke atasnya diumumkan sebagai selesai. Sekiranya tindakan SPM itu berlandaskan atas kehendak seorang manusia dan bukan prinsip kewujudannya maka SPR terus akan dikecam dan dibenci selamanya.

Manakala sekiranya Fairus pula bersetuju menarik balik surat perletakan itu atas teknikal disetujui SPR maka terdedahlah segala yang misteri mengenainya selama ini. Jika tidak ada mengadakan masakan semudah itu untuk SPRM dan SPR melepaskannya. Lebih-lebih kepada SPRM yang memburu Fairus sehingga jauh di Johor. Masakan...

Bagaimana pun sekiranya semua insiden yang berlaku ini benar belaka, dan kenyataan Fairus semalam ikhlas di mana dia akan serahkan kedudukannya kepada pucuk pimpinan PKR, seharusnya PKR menerima Fairus sebaik mungkin kerana dia sudah pun dibersihkan dari tohmohan buruk itu. [wm.kl. 9:45 am 23/04/09/

Wednesday, April 22, 2009

Menjelang Muktamar 6

Mohamad Sabu Tanding Timbalan Presiden

WALAUPUN penyandang jawatan Timbalan Presiden, Nasaruddin Mat Isa dan orang yang dikatakan berbakat besar untuk merebut jawatan itu si Baju Petak-Petak Merah (BPPM) masih belum membuat keputusan sama ada bertahan atau berlawan, namun bagi Mohamad Sabu sudah mengatakan pendiriannya beliau akan turut merebut jawatan berkenaan.

Dalam percakapan dengan Mohamad Sabu sekejap tadi beliau mengesahkan akan bertanding timbalan presiden. "Ya saya akan bertanding jawatan timbalan presiden dan tidak lari ke jawatan lain lagi," kata Mohamad Sabu tegas.

"Marilah bersama abang Mat, membantu kemenangan abang Mat," katanya dengan memesrakan dirinya sebagai abang Mat. Menurut Mohamad beliau bertanding kerana ingin membantu presiden, membawa Pas mendekati pemuda, mendekati orang miskin dan mendekati semua lapisan masyarakat.

Sebelum ini Mohamad dikatakan akan berkompromi dengan BPPM, namun penegasan hari ini menunjukkan Naib Presiden Pas itu ingin berganjak ke atas. Mungkin beliau merasakan ada kekosongan yang boleh diisi menyebabkan beliau ingin bergeser ke atas.

Dengan jaminan itu kini jawatan timbalan presiden mungkin akan menjadi rebutan tiga penjuru. Seorang dikatakan berminat untuk ikut sama ialah Menteri Besar Kedah, Azizah Razak.

Semetara dalam risikan awal menunjukkan Mohamad Sabu kini mendapat pencalonan lebih dari 10 kawasan mengatasi Nasaruddi dan BPPM. Bagaimana pun pencalonan itu masih belum disahkan kerana kebanyakan mesyuarat Pas Kawasan menyerahkan kepada ahli jawatankuasa membuat pencalonan.

Dalam perkembangan lain dakwaan mengatakan Kelantan cenderong untuk mencalonkan BPPM adalah tidak benar. Kenyataan individu yang dipetik oleh sebuah akhbar di Kelantan tidak boleh dipertanggungjawabkan dan ia lebih bersifat pandangan peribadi di mana mungkin individu berkenaan ada motif tersendiri membuat kejutan itu.

Setakat ini daripada lima kawasan yang telah mengadakan mesyuarat hanya dua kawasan sahaja yang telah mencalonkan BPPM. Kawasan Kubang Kerian di mana beliau sendiri sebagai Yang Dipertuanya dan satu lagi kawasan Rantau Panjang.

Kawasan Ketereh, Pasir Mas, Tumpat yang telah mengadakan mesyuarat kawasan bagaimana pun tidak menamakan sesiapa untuk merebut jawatan berkenaan. Mesyuarat menyerahkan kepada jawatankuasa Kawasan membuat keputusan.

Di Kelantan Pas mempunyai 14 kawasan. [wm.kl. 4:30 pm 22/04/09]

Kisah Dari Istana

Benarkah Monahara Diculik Suaminya Sendiri?

ADA berita panas dan berat tersebar dalam internet di Indonesia mengenai Tengku Temenggong, Tengku Mohamad Fakry Sultan Ismail Putra anak Raja Kelantan yang dikatakan melarikan model cantik Indonesia, Monahara Odelia Pinot, 17.

Berita ini geger dan hangat dalam blog-blog sosial dan politik di serata Indoensia. Media massa cetak juga sudah mula turut sama menyiarkan berita ini. Rupa-rupanya kisah percintaan Fakry dengan Monahara yang mesra dipanggil Pinot sudah jadi bahan terlaris di Indonesia sejak beberapa bulan sebelum ini lagi.

Ini tidak menghairankan sebab Pinot kacutan Bugis dan Perancis merupakan seorang model hebat di Indonesia yang disenaraikan dalam 100 model tercantik musim ini.

Sebaba itu apa-apa berita mengenainya mudah hangat dan disensasikan. Apa lagi kalau ia ada hubungan dengan pengeran (anak raja) ia makin menjadi tumpuan.

Saya sendiri mula menyedari berita ini selepas membaca laporan protal berita tribahasa semalam. Laporan protal berita itu yang memetik laporan sebuah majalah (Syura) sungguh mengejutkan dan ini menyebabkan membuka selera untuk membuat serch di beberapa engin internet.

Beratus blog di Indonesia memainkan berita berkenaan. Nampak begitu marah sekali rakyat Indoneisa terhadap apa yang berlaku. Paling memedihkan hati bila membaca komen yang dikirimkan sampai ada yang mahu ganyang Malaysia. Rakyat Indonesia begitu menyayangi warganya dan mudah menunding jari kepada kita.

Ada sebab bagi rakyat Indonesia kalau mereka merasa marah dan kesal atas laporan itu. Mereka tidak mahu kalau warga mereka diculik kemudian diseksa! Bukan saja mereka, kalau terjadi ke atas rakyat kita juga kita akan bertindak demikian. mungkin lebih dahsyat lagi.

Bagaimana pun apakah laporan atau dakwaan ibu Monahara itu, Daisy Fajarina, 44 itu benar belaka? Ada sesuatu yang perlu dicungkil mengenai dakwaan yang dibuat itu. Ada beberapa perkara yang menimbulkan keraguan dan terasa anih.

Menurut Daisy anaknya diculik ketika selesai mengadakan umrah awal Mach lalu. Beliau yang turut mengerjakan umrah mendakwa perpisahan alias diculik dengan anaknya berlaku di lapangan terbang. Kayanya Monahara dilarikan dengan pesawat lain manakala beliau bersama seorang anaknya, Dewi menaiki pesawat lain. Macam cerita Hindustan bunyinya!

Selepas itu beliau tidak mengetahui di mana Monahara berada. Maklumat yang beliau perolehi seperti dipetik mengatakan Monahara di dera oleh Fakry. Sumber maklumat itu dari dalam istana Kelantan sendiri.

Dakwaan Fajarina itu boleh dipersoalkan kesahihannya. Apakah wujud cerita yang dilaporkan itu? Dan apakah perpisahan itu boleh dikelasfikasikan sebagai culik?

Bukankah Monahara telah bernikah secara sah dengan Fakry? Kalau sudah menjadi isterinya apakah boleh dikatakan Fakry membawa isterinya itu sebagai diculik?

Majlis perkahwinan Fakry dan Monahara diadakan secara besar-besaran di Kota Bharu Kelantan. Monahara juga telah dibawa ke majlis-majlis yang melibatkan rakyat. Acara ringkas memperkenalkan menantu raja itu kepada rakyat diadakan. Gambar-gambar mengenai majlis itu juga turut sama disebarkan dan membuktikan perkahwinan itu berjalan lancar dan dalam keadaan baik.

Mengenai Monahara diseksa dan dicalar di dada, sebaiknya Daisy dan pihak berkuasa Indonesia lain mendapat laporan tepat dan jitu mengenai keabsahannya. Jangan percaya kepada sumber gelap dari mana-mana sudut. Ingat syaitan suka melagakan manusia di mana-mana saja tanpa mengira warna kulit dan bangsa.

Hubungan baik antara dua negara boleh manfaatkan bagi menyelesaiakan krisis dua individu ini. Dan kisah ini juga seharusnya tidak dijadikan maslaah dua negara melainkan kisah rumah tangga saja yang membabitkan keluarga di Raja Kelantan dan keluarga Daisy dan Pinot.

Sehubungan itu elok juga kalau pihak istana Kelantan membuat penjelasan mengenai perkara ini. Tuduhan yang dilemparkan dalam blog dan mungkin media Indonesia sedikit sebanyak menjejaskan kemuliaan istana Kelantan yang sekaligus akan mengaibkan anak-anak Kelantan di mana saja berada.

Jangan biarkan perkara ini berpanjangan penyelesaian tuntas hendaklah dibuat sebelum ianya menjadi lebih kusut dan dieksploitasikan oleh pihak-pihak yang sengaja mahu mencari kesempatan mengeruh dan memburukkan suasana. (Tunggu catatan dalam diarymaya). [wm. kl 9:00 am 22/04/09]