Saturday, April 11, 2009

Kalut di Kelantan

Tiga Kawasan Pas di Kelantan Panas

PAS kini sedang sibuk mengadakan mesyuarat peringkat cawangan masing-masing. Sebahagian besar mesyuarat peringkat cawangan sudah pun selesai. Ada kawasan sudah pun menetapkan tarikh mesyuarat peringkat kawasan masing-masing. Mesyuarat kawasan dikatakan perlu selesai sebelum Jun depan.

Mesyuarat kali ini agak panas dan hangat, kerana ia melibatkan pemilihan barisan kepimpinan dalam parti itu di semua peringkat; baik di peringkat kawasan maupun di peringkat pusat.

Di Kelantan ada beberapa kawasan dikatakan akan berlaku perebutan jawatan Yang di Pertua (YDP) di peringkat kawasan. Elok juga kalau ketua yang sudah berkulat dan berlumut ditukar kepada muka baru yang lebih berkemampuan dan inovatif serta menepati suasana semasa. Lagipun jawatan dalam parti bukan harta pusaka yang boleh diwarisi dari satu keturunan ke satu keturunan seperti takhta raja-raja atau sultan.

Mana-mana YDP yang terlibat dengan kepimpinan sejak sebelum khatan, (di zaman datuk neneknya lagi) hingga dapat cucu, dan luruh gigi eloklah berhenti. Bukan saja Umno memerlukan perubahan, Pas juga perlu peralihan bagi memenuhi tuntutan perjuangan kontemporari.

Tidak molek kalau jawatan dalam jemaah dijadikan sebagai harta pesaka turun temurun. Orang lain juga ingin berjuang dalam Pas dan mahu menunjukkan kebolehan dan bakat terpendamnya. Jangan merendahkan kebolehan orang lain dengan merasakan kita paling hebat, bijak, pandai, tahu mengurus atau profesional. Paling malang lagi kalau ada yang merasakan Pas sebagai hak anak beranak sendiri dan mudah memandang serong kepada mereka yang baru mendekati Pas!

Setakat ini tiga kawasan Pas di Kelantan dikatakan akan berlaku pertandingan. Kawasan-kawasan itu ialah Pasir Puteh, Rantau Panjang dan Tumpat. Kedudukan Nik Mazian Mohamad sebagai YDP Pas Pasir Puteh akan ditentang oleh Saiful Bahari.

Jawatan timbalan YDP juga dikatakan akan turut dicabar. Zainuddin Awang Hamat yang juga Adun Limbongan akan diuji oleh cikgu Zarir Yaacob. Kawasan Pasir Puteh merupakan kawasan paling kontroversi sejak dulu lagi. Boleh dikatakan setiap kali mesyuarat pemilihan Pas kawasan ini tidak akan sunyi dari bertempur sesama sendiri. Pertandingan kali berlaku dikatakan untuk memantapkan Pas kawasan berkenaan.

Apakah mesyuarat Pas kawasan Pasir Puteh tahun ini juga akan panas dan geger? Kedua yang akan dicabar itu merupakan wakil rakyat. Manakala salah seorang pencabarnya juga wakil rakyat. Saiful Bahari adalah Adun Selising. Barang kali ada alasan dan sebab-sebab sendiri kenapa kedudukan YDP dan timbalannya itu dicabar.

Satu lagi kawasan yang dikatakan akan berlaku perebutan sengit ialah di Rantau Panjang. Abdul Fatah Haron YDP kini akan dicabar oleh Rushdan Mustafa, Ketua Penerangan. Walaupun ada usaha pihak tertentu untuk menghalang pencalonan Rushdan namun katanya Rushdan telahpun mendapat cukup pencalonan.

Dengan mendapat cukup pencalonan itu ia memberi petunjuk baik kepada Rushdan. Secara tidak langsung juga kejayaan Rusdhan itu memberi pukulan hebat kepada Abdul Fatah yang merupakan tokoh usang Pas Rantau Panjang. Walaupun ada usaha dan taktik untuk mengagalkan usaha Rushdan, namun Rushdan berjaya juga mengenapkan pencalonan. Ini menunjukkan ada cawangan-cawangan yang mahukan kepada Rushdan memimpin Pas Rantau Panjang.

Apa yang menariknya bekas YDP Rantau Panjang, Haji Hussein Ibrahim juga dikatakan memberi restu Rushdan mencabar Fatah. Begitu juga dengan timbalan YDP, Nasaruddin Daud turut memberi laluan kepada Rusdhan. Sebenarnya orang yang paling pantas untuk mencabar Abdul Fatah ialah Nasaruddin Daud, apa lagi dengan kedudukannya kini sebagai Speaker DUN Kelantan ia memberi kelebihan kepadanya berbanding Rushdan.

Lagipun Nasaruddin sebelum ini pernah bertelagah dengan Abdul Fatah di mana beliau bersama abangnya, Mansor Daud berpakat untuk menumbangkan Abdul Fatah. Tetapi disebabkan Nasaruddin kini sudah berada dalam keadaan selesa sebagai Speaker yang diperuntukan sebuah kereta dan elaun tambahan, beliau hanya bersikap tidak berkecuali dalam perebutan jawatan YDP Pas Rantau Panjang.

Satu lagi kawasan yang akan berlaku pertandingan ialah Tumpat. Kekosongan kerusi YDP kawasan ini berlaku ekoran kematian Wan Mohamad Jamil Mohamad sebulan lalu telah diambil kesempatan oleh mereka yang dikatakan sudah lama berminat untuk menakluki Pas Tumpat dan ingin menyingkirkan timbalan YDP, Ahmad Yaacob (Ustaz Mat).

Tradisi yang diamalkan oleh Pas selama ini iaitu timbalan YDP akan diangkat menjadi YDP seperti tidak berlaku di Tumpat. Walhal kalau hendak dikira timbalan sekarang Ahmad Yaacob orang paling sesuai untuk menyambung tugas Wan Jamil baik dari segi senioritinya dalam kepimpinan Pas Kelantan maupun dari segi ilmu dan kelulusannya.

Ahmad Yaacob adalah Timbalan Menteri Besar. Beliau juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan. Apabila tradisi ini tidak berlaku di Tumpat ia mencerminkan ada sesuatu yang tidak kena di Tumpat.

Orang yang disebut-sebut akan merebut jawatan YDP Tumpat ialah, Nawi Adam iaini Ketua Penerangan Pas Tumpat. Keinginan Nawi ini menjadi tanda tanya kerana dari segi senioritinya ia melanggar beberapa nama lain yang lebih sesuai dan berkemampuan juga untuk melawan Ahmad Yaacob boleh dipertikaikan.

Jika hendak dikira dari segi munasabah orang paling sesuai atau mampu untuk berdepan dengan Ahmad Yaacob ialah Adun Kelaboran, Zaki Ibrahim yang juga Naib YDP Pas Tumpat kini. Kalau Zaki paling munasabah untuk diadukan dengan Ahmad Yaacob. Zaki juga adalah bekas ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan.
Tapi Zaki khabarnya hanya berani untuk merebut jawatan timbalan YDP saja. Beliau akan berdepan dengan Che Lah Nawi yang juga Adun Wakaf Baru dan seorang berkelulusan ekonomi luar negeri. Ataupun Kamaruddin Jaaffar, ahli Parlimen Tumpat yang juga Bendahari kini. Kamaruddin lebih berpengalaman dan berkemampuan untuk diletak sebagai YDP.

Tetapi kenapa Nawi? Siapa Nawi? Dia ialah Ketua Penerangan Pas dan juga merupakan pegawai peribadi kepada Kamaruddin Jaaffar selaku ahli Parlimen Tumpat. Apakah Nawi hanya sebagai alat atau dijadikan umpan saja? Ada pendapat mengatakan Zaki sengaja menghantar bekas pembantunya dalam Pemuda itu berhadapan dengan Ahmad.

Melihat kepada ketidakmunasabah dan kemampuan Nawi yang hanya berpengalaman sebagai kerani di pejabat lawyer itu seolah perlawanan YDP itu sengaja untuk menyusahkan Ahmad Yaacob serta bagi menimbulkan kekalutan pada Pas Tumpat saja. Cabaran itu bagi merendah dan meremehkan Ahmad Yaacob. Ada kebenarannya kalau sekiranya wujud konspirasi untuk menyingkir atau memalukan Ahmad Yaacob.

Sebelum ini pun tertiup berita kononnya ada gerakan bawah tangga untuk memalu dan memperlekehkan Ahmad Yaacob sebagai TMB Kelantan. Katanya kedudukan beliau di situ dicemburui oleh seseorang yang berhajat pada kerusi itu. Apakah dengan menganggui beliau untuk menerajui Pas selepas ketiadaan Wan Jamil itu sebahagian daripada usaha untuk mencapai cita-cita itu?

Tidak menjadi kesalahan kalau sesiapa pun hendak merebut jawatan Pas Kawasan Tumpat. Pas mengamalkan demokrasi, setiap ahli yang mendapat sokongan dari cawangan boleh meneruskan hasrat masing-masing. Tetapi Pas juga ada mempraktikan syura dalam proses pemilihan pemimpin. Kalau sudah ada orang yang lebih baik, berilmu dan bertawakal dan beriman, maka dialah perlu didahulukan, kenapa harus dihalang.

Dalam kes Tumpat ini rasanya martabat dan ketinggian ilmu agama, dari segi dosa dan pahala Ahmad Yaacob rasanya lebih baik dan lebih putih berbanding dengan orang lain. Ahli Pas Tumpat tidak payah meninjau jauh untuk melihat kebaikan dan kerendahan akhlaknya. Tengok saja kepada satu peristiwa, walaupun ada seorang Exco tidak bersalam dan sering memperlekehkannya dalam mesyuarat namun beliau tidak pernah terasa hati dan tidak pernah membalas penghinaan itu.

Seawal menjadi TMB dulu beliau juga pernah ditawarkan wang rasuah balak sebanyak RM100,000. Ahmad tidak menerimanya dan terus memohon kepada Tok Guru Nik Aziz untuk berhenti menjadi TMB kerana takut dengan rasuah. Berapa ramaikan pemimpin yang sanggup berbuat begitu? Setahu kita setengah pemimpin lambat dihulur wang terus dicekup dan disimpan ke dalam bank atas nama orang lain. Ada yang terang-terang meminta komisyen dari pihak tertentu kononnya untuk tabung parti tetapi lesap dalam laci meja sendiri. Sebab itulah bila saja ada orang minta hutang ditarik laci meja terus dihulurkan wang cash berpuluh ribu ringgit.

Untuk ahli Pas Tumpat rasanya elok kalau bermahasabah diri masing-masing sebelum bertempur dalam muktamar yang dikatakan akan berlansung pada 14 April ini. Janganlah menjadi alat kepada individu yang bernafsu besar dan yakinlah bahawa segala yang berlaku atas ketentuan Tuhan belaka. [wm.kl. 10:00 am 11/04/09]

2 comments:

che mad said...

saya sudah lama kesian dengan TMB kita ni..walaupun beliau TMB tapi macam bukan..pernah ada orang luar dari kelantan yg ingat TMB orang lain..terkejut saya..Pas kelantan sepatutnya kalau nak cari pemimpin kena cari hati dan perangai bersih bukan hebat bercakap baru kena dengan dasar Pas iatu Islam..

Jamaluddin said...

PAS Tumpat masih waras,Insya Allah tidak ada pertandingan bagi jawatan Yang DiPertua yang pasti ada pertandingan ialah bagi jawatan-jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Pemeriksa Kira-Kira dan Ahlijawatankuasa sahaja.

JAMALUDDIN ISHAK
Setiausaha PAS Kawasan Tumpat