Saturday, March 7, 2009

Lepas Sebak

Apa nak jadi dengan negaraku?
Hendak Jumpa Raja Pun Dihalang!


APA nak jadi dengan Malaysia? Kebebasan sudah tidak ada lagi. Suara rakyat sudah dipancung. Rakyat boleh bersuara jika ada permit. Percakapan rakyat perlu dijaga dan dikawal oleh undang-undang. Kehidupan rakyat seolah-olah berada dalam kawalan rejim komunis.

Apa-apa kegiatan perlu dikawal atas nama keselamatan! Walhal keselamatan yang dijaminkan itu bukan untuk keamanan, tetapi membuka ruang kepada satu mala petaka. Atas nama keselamatan jiwa dan kalbu rakyat terus sakit dan marah. Marah...

Rakyat hendaklah dibisukan dari bercakap mengenai apa saja. Apa-apa cakap yang tidak senada dengan kerajaan, akan disekat dan dihalang dan dianggap sebagai menghasut yang boleh didakwa di bawah akta Hasutan 1948. Atau kalau perlu kepada yang keras dan degil di penjara di bawah ISA.

Cakap-cakap mestilah senada dengan kerajaan dan yang baiknya membodek kerajaan. Jadi cina buta kepada kerajaan. Dalam masa sama kerajaan melaungkan kebebasan, melaungkan keadilan dan melaungkan ketelusan. Hakikinya kebebasan sudah mati, keadilan sudah lama pincang dan ketelusan sudah lama ditambak dengan kuasa yang ada; polis, mahkamah dan kemudian penjara. Pintu penjara negara ini tidak pernah terkatup melainkan senantiasa dingangakan seluasnya.

Jangan cakap mengenai apa-apa pun. Diam atau gamkan mulut! Kerajaan sedang mengajar rakyat menjadi beruk yang bisu yang tertenggek atas dahan mati yang hanya perlu merasa seronok bila tuan menghulurkan pisang separuh masak. Kemudian beruk perlulah menghingguk-hingguK batang pokok menandakan terima kasih kepada penghulur pisang separuh masa itu. Jangan tungging jubur nanti ditembak. Inilah negaraku Malaysia di bawah kerajaan Umno Barisan Nasional (UBN).

Apa yang berlaku hari ini adalah konklusi ke atas segala kekejaman kerajaan. Manusia dari benua mana pun kalau melihat apa yang berlaku hari ini akan terkejut dan hairan. Masakan rakyat tidak boleh menemui rajanya untuk menyampaikan bantahan jiwanya yang bimbang mengenai masa depan anak bangsanya sendiri. Bukankah itu gila namanya kalau bukan babuk?

Kalau rakyat berhimpun hendak memaki hamun raja-raja dan sultan ada ‘kulihah’nya kalau mereka dihalang, disekat kemudian ditembak dengan gas pemedih mata. Hatta kalau guna peluru hidup pun tidak mengapa. Tembaklah anasir yang merosak negara, boleh dibenarkan dan seluruh rakyat akan memuji dan memuja kerajaan.

Misalnya kalau rakyat berhimpun hendak runtuhkan istana, tembaklah mereka, bomlah macam Israel bom rakyat Palestin biar hancur kepala dan terburai tali perut mereka. Tidak mengapa itu wajar sebab mereka pengkhianat. Di mana-mana dan sesiapa saja pengkhianat perlu ditembak sampai mampus tanpa mengira darjat, keturunan dan kedudukan mereka.

Kalau mereka berarak hendak robohkan Parlimen, lambang keunggulan institusi demokrasi negara ini, tak mengapa, halang dan sekatlah mereka. Kalau perlu tembak mereka, tembak dan pancunglah kepala mereka sekali. Usahkan air gatal (water cannon) atau gas pemedih mata, hatta C4 yang digunakan untuk meletupkan Altantuya Shariibuu pun halal digunakan. Bunuhlah...

Tetapi hari ini rakyat berhimpun hendak menyerahkan sekeping kertas kepada rajanya – Yang di-Pertuan Agong, apakah itu perbuatan salah? Salahkah? Apakah itu satu dosa dan satu penderhakaan? Puluhan ribu yang berarak ke istana hari ini kerana ingin membela bahasa mereka, Bahasa Melayu. BAHASA MELAYU?

Mereka bukan berarak untuk membela bahasa penjajah, tetapi berarak untuk membela bahasa mereka, bahasa Melayu. Mereka melakukan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Mereka buat untuk kebaikan bangsa Melayu dan juga negara ini bukan untuk kepentingan sesiapa atau mana-mana golongan. Manfaat yang diperjuangkan itu untuk kepentingan bersama.

Kenapa harus dicurigai niat suci mereka. Kenapa tidak reti membaca hati putih rakyat? Perarakan hari ini bukan bermotif politik. Apakah pihak kerajaan, penguasa buta mata hati dan suduh tertutup sanubari mereka. Begitu mudah pihak polis membuat andaian kononnya ianya didalang parti politik. Kenalkah mereka kepada Dr Hassan Ahmad, A Samad Said, Ainon Mohamad, Dr Hassan Mohamad, Dr Shahrir Md Zain, Baha Zain dan lain-lain. Mereka bukan aktivis politik, mereka adalah pencinta dan pejuang sastera dan bahasa.

Kenapa kerja suci mereka diragui? Kenapa? Apakah perbuatan mereka itu salah? Apakah di zaman ini rakyat tidak lagi boleh mengadu hal-hal masalah kepada raja-raja mereka. Apakah raja-raja hak sesuatu golongan saja? Atau raja-raja hanya sedia mendengar dari golongan tertentu yang boleh memberi apa-apa nafkah untuk kehidupan mereka saja. Begitukah? Dan bukankah sokongan rakyat jelata adalah jaminan keunggulan institusi raja dan keselamatan keturunan mereka?

Seharusnya tidak ada sekatan dan halangan ke atas perarakan membawa memorandum untuk menghapuskan PPSMI itu. Mereka perlu diberi jalan seluasnya. Mereka bukan perlu dinanti dan dihalang dengan gas pemedih mata, gari, belantan atau kamera tetapi mereka perlu diiringi dan dikawal daripada pengacau lain. Itu sepatutnya.

Pembawa memorandum itu adalah mereka yang suci dan bersih. Tangan mereka putih daripada rasuah dan gila kuasa politik atau membunuh manusia lain. Mereka tidak ada apa-apa ambisi untuk berkuasa. Mereka membawa sekeping hati rakyat Melayu untuk ditunjukkan kepada raja mereka, betapa remuk, bera dan birunya hati rakyat kerana bahasa mereka diinjak-injakkan. Yang membuka kaki menginjanya orang yang mengaku Melayu juga. Jadi salahkah? Salahkah? Salahhhhhhhkah?

Kepada para penembak tepat dalam pasukan polis, FRU, SB dan segala macam, apakah mereka sedar apa yang GMP lakukan itu untuk siapa? Untuk mereka, anak-anak mereka juga. Mungkin mereka boleh beralasan kerana itu arahan ketua mereka. Siapa ketua mereka? Apakah ketua mereka juga tidak ada akal budi dan akal fikir bagi menilai apa yang GMP lakukan itu.

Semuanya kini sudah jadi haru biru dan tidak tahu hujung pangkal. Kedudukan rakyat pun cuba dipisahkan dari raja dan istana. Atas nama nak menjaga kemuliaan raja tetapi mereka menyimpan motif untuk menjauhkan rakyat dengan rakyat. Mereka mahu memonopolikan raja sebagai hak mereka saja.

Yang salah di sini bukan raja. Tetapi para pengawal raja yang zalimnya. Para penasihat yang ada kepentingan. Raja sebagai raja berperlembagaan mengikut saja lembaga yang menentukan gerak geri mereka. Bagaimana pun diharap raja sesekali perlu menjenguk jendela untuk menghirup udara di luar dan melihat realiti yang riuh randah di luar istana.

Namun kita percaya keadaannya tidak seperti itu. Kini memorandum PPSMI itu sudah pun ditangan Yang di-Pertuan Agong ia diserahkan oleh A Samad Said dan Dr Hassan Ahmad. Kita berharap baginda akan meneliti dan menatapnya dengan penuh prihatin, insaf dan sedia menimbangkan.

Suara Perdana Menteri dikejauhan kedengaran hari ini juga satu perkembangan yang baik. Kata Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang hendak bersara esok lusa itu, masalah PPSMI perlu ditangani dengan segera kerana ia semakin mendapat tekanan. Kata Abdullah kalau ia tidak ditangani segera ia akan menjadi masalah besar. Jadi, tunggu apa lagi?

Hairan, apakah perdana menteri itu sudah tidak ada kuasa lagi? Atau kuasanya telah dirampas oleh timbalannya? Kalaulah beliau serius dan ikhlas kenapa beliau tidak arahkan hari ini juga Menteri Pelajaran, Hishmuddin Hussein agar memansuhkan PSPMI? Kenapa harus bermadah helah lagi. Atau suara perdana menteri itu sebagai hendak memujuk dan menyejukkan hati para pejuang bahasa dan sastera saja. Sesungguhnya Abdullah perlu menyengolahkan semula Hishamuddin.

Perarakan hari ini tidak akan menjadi kalau perdana menteri prihatin dan peka, dan tidak pekak. Wang kerajaan yang digunakan untuk membeli gas pemedih mata boleh diselamatkan. Wang petrol atau diesel trak dan kereta peronda polis dan helikopter boleh diselamatkan. Rakyat juga tidak berpedih mata dan pegap-pegap urat kerana lari menyelamatkan diri semasa perarakan tadi. Keadaan negara juga tidak menggambarkan seperti huru hara yang menakutkan pelabur.

Namun kerana PM kurang cerdik, lambat bertindak, teragak-agak, berfikir terlalu panjang, lembab dan lemah maka jadikan apa yang sudah terjadi. Apakah makna seorang PM mengatakan ia perlu diselesaikan segera? Dalam konteks hari ini ialah mengarahkan supaya PPSMI dimansuhkan. Dan bila PM tidak dapat bertindak maka ia menggambarkan seolah kuasanya sudah tidak ada.

Untuk apa Abdullah bersuara menyatakan masalah itu kalau ia sudah kehilangan kuasa sebelum jawatannya terlepas? Kalau hanya setakat bermadah untuk menarik simpati dan memberi keseronokan kepada rakyat tidak payahlah. Rakyat tidak lagi mengharap apa-apa harapan kepada Abdullah. Rakyat tidak lagi menaruh apa-apa keyakinan kepada Abdullah. Rakyat semuanya sudah cemuh dan menganggap Abdullah kini sedang persis koma sebelum jasadnya dibawa ke kuburan untuk ditalqinkan Najib.

Tahniah dan syabas kepada semua rakyat yang berarak hari ini. Yakin dan percayalah penderitaan yang dikecapi hari ini adalah penawar dan peristiwa yang akan menjadi manis selepas ini. Dan parut yang berbekas hari ini adalah bukti kepada anak bangsa bahawa kita adalah seorang pejuang. [***kl 7:00 malam 07/03/09]

8 comments:

Anonymous said...

jumpa jerr raja kapal"Singh is the king"
akm saudara..
1.saya sedih melihat bangsa saya berduyun di jalanan mempertahan kan bahasa melayu.sedangkan sewaktu mula-mula dasar ini di laksanakan NGO-NGO cina dan parti politik mereka yg kuat mendesak, tapi hari ini seorg pon tiada"Batu yg pegi taiwan Pon tak dak"

2.Dulu bangsa saya pernah di jajah selama 446 tahun tapi sayang moyang-moyang saya tidak mengambil kesempatan untuk belajar bahasa Portugis,belada,inggeris dan jepun.sepatut nya mereka boleh belajar sebab pada masa itu belum ada lagi DBP,Gapena dan saterawan negara,Yang akan membawa Keranda.

3.Alangkah seronok nya jika dulu mereka belajar,tentu nya saya secara tidak langsung boleh jugak bercakap bahasa ini.

4.Saya melihat perarakan ptg tadi ialah "pukul anak sindir menantu"Pinjam ayat sasterawan.Sebab pa saya berkata demikian,ini adalah usaha mungkin terakhir Ds AAB nak memukul TUM M.

5.Sebab dasar ini di cadang dan di laksanakan pada masa TUN jadi secara tak langsung TUN akan malu.

6.Sebab itu kita tengok TV3 suku beria-beria mengulas berita ini,tetapi tidak untuk perarakan bersih,demo di batu buruk,demo hindraf,dan demo di perak.

7.Apa yang di buat oleh TUn banyak dan rakyat nampak,mungkin satu dua usaha akan dilenyapkan oleh kebaikan yg banyak.

8.sebab itu DSAAB terus memberi media statement ke atas isu ini.

9.tok wan saya kata masa org putih dulu org melayu baca yassin dan berdoa supaya Jepun masuk,kata nya beras murah last-last bila jepun masuk penampar yang murah.

p/s saya masih lagi ingat sewaktu tingkatan 3 saya be lajar Kemahiran hidup dan cikgu suruh pegi beli "Pena Ujian" satu pekan saya tawaf tak dak jual pastu esok bawak buku K.Hidup dan tunjuk gambar kat kedai di situ,tokey tu ni "test pen"

lalat

Pasong said...

salam… statement dari hishamudin sungguh bangang.. langsung tak memahami kehendak rakyat bawahan.. sama gak dgn statemen najib semalam.. ada sapa2 nak ulas apa yg diorang kata??

Anonymous said...

saya rasa rakyat telah dipermainkan oleh kerajaan umno-bn. apakah kita boleh mengajar kerajaan dengan memboikot acara yang dianjurkan oleh kerajaan bn sebagai tanda protes untuk meyatakan ketidakpuasan terhadap dasar kerajaan? bolehlah bermula dengan sambutan meyambut maulidul rasul isnin ini.

matkapan.

Anonymous said...

sabar ajelah pak mso....

polis telah menipu dr hassan ahmad yg telah membenarkan perarakan krn ia adalah strategi
jadi kita kena sabar atas dasar strategi juga

apa yg dibuat polis adalah nak menyebabkan rakyat malaysia rasa meluat dan menyampah kpd mereka semua

dengan ini mereka berharap bahawa rakyat malaysia akan menganggap mereka sbg perosak keamanan dan anti kemajuan dan pembangunan tanpa mereka mengetahui kebenarannya

adalah diharap rakyat malaysia takkan tertipu dan seterusnya dapat membaca akan maksud sebenar perarakan GMP ini

saya yakin rakyat malaysia takkan dapat diperbodohkan sedemikian rupa..


firdaus

Anonymous said...

para pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan kpd rakyat. Terdapat sesetengah pemimpin yang masih tak fasih berbahasa melayu malah ada sesetengah dari mereka masih menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan seharian. Sepatutnya selepas ini apa sahaja pertuturan samada diwawancara wartawan atau dalam ceramah mestilah mengutamakan b. melayu.
di Negara maju spr Perancis, Jepun umpamanya mereka tidak perlukan b.inggeris dalam mengejar kemajuan malah keupayaan b inggeris mereka adakalanya lebih hebat dari kita tapi mereka tak menggunakannya dalam pertuturan seharian. Sepatutnya org asing yang berkunjung ke malaysia ini juga wajar berbahsa melayu krn apb kita ke negara mereka sudah pastilah kita terpaksa belajar bercakap dlm bahasa mereka juga. rasa hormat adalah penting.



halim, kuantan

Anonymous said...

Pak MSO, macam mana rakyat nak merasa institusi raja dan sultan itu sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian mereka ? Kita lihat sendiri akhir-akhir ini apa yang berlaku.

Benar kata Pak MSO, rakyat begitu payah untuk bertemu sultan kerana terlalu banyak prosidur dan halangan yang diada-adakan untuk membezakan darjah sultan dan rakyat pada pandangan manusia. Sesetengah kita lupa bahawa sultan dan rakyat sama dipandangan ALLAH SWT, malah rakyat itu lebih baik darjatnya disisi ALLAH sekiranya ia menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.

Sultan sendiri terlalu sukar untuk mencemar duli turun dari singgahsana dan melihat nasib rakyat tuanku. Tuanku sultan sendiri tidak pernah menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada rakyat jelata walaupun rakyat tidak putus-putus mendoakan baginda tuanku sepanjang minggu. Tanya diri baginda tuanku sendiri bila kali terakhir tuanku sultan mencemar duli mengunjungi rakyat yang sakit dan merasai kehidupan rakyat yang melarat ? Adakah tuanku sedar masih ada anak kecil yang menangis kelaparan dan sang ibu hanya mampu menggoreng batu untuk menyedapkan hati si anak dengan harapan si anak akan tertidur kerana keletihan menangis mengharapkan sesuap makanan dinegeri dibawah naungan baginda ?

Bagaimana untuk rakyat merasa sultan dekat dihati mereka kalau sultan sendiri yang menjarakkan diri mereka dari rakyat.Tembok istana terlalu tinggi memisahkan Sultan dengan rakyat. Tembok istana terlalu tinggi untuk Tuanku Sultan melihat kesengsaraan dan keperitan hidup rakyat. Laman istana mungkin terlalu luas sehingga sukar untuk tuanku sultan datang ke pagar utama bertemu ribuan rakyat yang datang untuk bertemu baginda. Atau rakyat marhain itu terlalu rendah darjatnya sehingga tidak layak bertemu tuanku sultan. Segalanya hanya diserahkan kepada pegawai istana dipintu utama.

Melayu itu tinggi adatnya. Adat itu mencermin peribadi. Adat melayu kita untuk bersambut, menjemput dan meraikan tetamu yang datang bertandang ke rumah, bukan sekadar berjumpa dipagar rumah yang bermangga tanpa menjemput sang tetamu berteduh sementara di teratak kita.

Sultan dianggap payung oleh sekelian rakyat yang diharap melindungi mereka, keluarga dan keseluruhan hidup mereka dari tindakan-tindakan biadap mereka yang tidak mengenal untung. Rakyat masih meletakkan harapan tinggi pada istana meskipun mereka sedar payung yang memayungi mereka selama ini telah bocor.

jab sp said...

Tuan Haji MSO
Pendek saja ulasan saya.Rujuk ulasan lalat.
Selagi ada manusia macam lalat yang tak paham dan cuba buat paham,selagi itulah ulasan bodohan akan terdapat dalam laman Tuan Haji.
Mereka memutarbelikan seolah penentang PPSMI adalah penentang pengunaan bahasa lain ,selain BM.Padahal yang ditentang adalah PENGUNAAN KHUSUS BI PADA MATH DAN SAINS.Jika nak jadikan BI sebagai satu pelajaran yang diwajibkan belajar,tiada siapa pun akan halang.

Anonymous said...

mana pergi Ibrahim Ali, penjuang Melayu dan Raja-Raja Melayu?

Sepatutnya Ibrahim Ali duduk staf depan sekali....

Sedih.. dewan rakyat makin hebat dan lantang sekali isu mencabar Melayu....

jangan esok menyalak lagi kat dewan rakyat.. kata polis tidak bertindak ganas ler...

kan GMP kata perarakan terbuka untuk semua termasuk parti politik

dan sedih tidak nampak kelibat pemuda, putera dan puteri UMNO untuk memperjuang bahasa Melayu

yelah kan Bahasa Malaysia bukan Bahasa Melayu...