Tuesday, February 10, 2009

Ulasan Isu

Bukit Gantang Dan Bukit Selambau
Mampukah Membela Maruah Pakatan Rakyat

PEMERGIAN mengejut ahli Parlimen Bukit Gantang, Ruslan Shahrum semalam serta perletakan jawatan (juga mengejut) oleh Adun Bukit Selambau, V Arumugam sebagai anggota Exco Kedah dan wakil rakyat kerusi itu merubah momteum politik di Perak. Takdir yang menimpa ke atas kedua wakil rakyat itu seperti diatur untuk menenangkan suasana di Perak yang 'menghawa' beberapa hari ini.

Dengan takdir itu kini tidak semena-mena permerhatian politik berpecah kepada kedua bukit itu – Bukit Gantang dan Bukit Selambau dan tidak tertumpu sangat kepada Perak. Takdir itu juga turut merubah konsentrasi umum kepada pergolakan politik di Perak.

Kebetulan, Bukit Gantang terletak dalam negeri Perak yang politiknya bergolak. Manakala Bukit Selambau pula terletak di Kedah sebuah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat yang juga berkeadaan nyawa-nya ikan. Situasi itu menjadikan keduanya diberi perhatian dengan penuh minat khasnya oleh Pas dan PKR.

Pemerhatian kepada pilihan raya kecil di kedua kawasan itu tidak boleh dielakkan kerana keperluan itu mengikut peraturan yang jelas. Baik Pas atau PKR tidak dapat untuk berhelah apa-apa berhubung dengan pilihan raya kecil bakal diadakan melainkan kena menerima hakikatnya.

Dengan adanya pilihan raya kecil itu menyebabkan perhatian dan fokus Pakatan Rakyat kepada masalah di Perak agak berkurangan sedikit. Pas kini lebih menumpukan soal pilihan raya kecil Bukit Gantang daripada masalah Niazar Jamaluddin ingin memohon mahkamah mengistyharkan pemecatan beliau dan perlantikan Zambry Abdul Kadir sah atau pun tidak.

Pakatan Rakyat Kedah kena pastikan kerusi yang dikosongkan Arumugan itu dapat dikekalkan. Kegagalan untuk mempertahankan kerusi berkenaan ia memberi petanda buruk kepada Pakatan Kedah. Umno akan terus mengeksplotasinya sebagai kuasa Pakatan sudah lemah.

Untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil itu ada baiknya juga kalau Pas dan PKR tidak begitu menumpukan kepada masalah di Perak. Apabila kes Nizar itu telah diserahkan kepada mahkamah maka biarlah mahkamah menentukannya. Kalaupun mahkamah tidak bersedia mendengarnya disebabkan hal-hal yang sudah sedia maklum, biarkan begitu saja.

Pas dan Pakatan Rakyat lebih perlu menumpukan kepada pilihan raya kecil Bukit Gantang. Pilihan raya itu boleh dijadikan ukuran sejauh manakah rakyat Perak bersama Pakatan atau pun Barisan Nasional.

Satu hakikat yang perlu disedari, bukan senang untuk Pas mengekalkan kerusi Bukit Gantang. Majoriti sebanyak 1,650 yang diperolehi Allahyarham Roslan dalam pilihan raya lalu bukannya besar. Jika dilihat kepada taburan pengaruh di parlimen Bukit Gantang menjelaskan kekuatan Pakatan Rakyat dan BN seimbang.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri; Kuala Sepetang yang dimenangi PKR hanya dengan kelebihan sebanyak 564 undi saja; Changkat Jering dimenangi PKR dengan kelebihan undi 1,102 undi; dan Terong dimenangi oleh BN dengan majoriti 916 undi.

Realiti hari ini selepas berlaku kejadian berpaling tadah, dua dari tiga DUN itu kini menjadi milik BN.

Fakta lain di parlimen Bukit Gantang ialah mengenai peratus pengundi mengikut kaum di mana Melayu mempunyai 63.48% berbanding dengan Cina 26.77% dan India 1.9 %. Komposisi ini tidak berpihak kepada Pakatan Rakyat memandangkan pengundi Melayu dalam pilihan raya lalu masih kekal mengundi calon-calon BN.

Justeru Pakatan tidak boleh merasa selesa bahawa kerusi ini akan dapat dikekalkan. Kejayaan rampas kuasa pada 6 Februari lalu juga menyebabkan pengundi boleh membuat penilaian semula dan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan baru itu. Pengalaman selama 11 bulan kerajaan Pakatan Perak yang lalu mungkin memberi pengajaran kepada pengundi Melayu untuk terus memilih Umno pada pilihan raya kecil itu.

Bertolak daripada hepotesis itu maka cadangan untuk meletakkan Nizar Jamaluddin sebagai calon Pas pada pilihan raya itu harus difikir dari setiap sudut. Jangan kerana tergoda dengan gambaran luar menyebabkan Pas akan tewas dan Nizar akan mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

Sudah pasti dipihak Umno - Barisan Nasional juga mereka akan menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai indikator penerimaan rakyat kepada mereka. Mereka akan menggunakan apa juga cara untuk memenanginya kerana kemenangan menjadi penanda aras untuk merasakan mereka kuat.

Pada saya kurang elok kalau Nizar dicalonkan di Bukit Gantang. Kita kena faham sikap dan fiil orang Melayu yang marah mereka hanya sekejap saja. Selepas ini mereka lihat peralihan kuasa itu berjalan seperti biasa, Zambry Abdul Kadir dan Exconya masuk ke pejabat, turun ke bawah menemui rakyat maka akan sejuklah hati orang Melayu.

Mana-mana Melayu yang sebelum ini menyokong Pas atau Pakatan dalam pilihan raya lalu mungkin akan mengubah semula sikap mereka dengan berpandukan apa yang berlaku kini.

Bagaimana pun dari kalangan orang Cina saya yakin mereka tidak akan berubah malahan mungkin lebih ramai Cina yang akan memberi sokongan kepada Pas.

Catatan ini bukan bertujuan melemahkan semangat Pakatan di Perak tetapi biarlah mereka berpijak di bumi nyata. Harus diingat kebenaran tidak pernah ada dalam politik walaupun siapa dia yang menjadi pemainnya! [wm.kl. 2:00 pm 10/02/09]

7 comments:

Lyza's Shoppe adalah bertitik tolak dari perniagaan secara sambilan tetapi serius dan amat mementingkan kepuasan pelanggan said...

benar, orang melayu diperak kebanyakkannya taat kepada raja.dan saya percaya dengan masih banyak kawasan kampung , media perdana sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemikiran orang melayu diperak. jangan lupa pengaruh umno yang kebanyakannya menang dikebanyakan kerusi melayu.

Bukit Gantang sinonim dengan elemen kemelayuan sehingga adanya darjah kebesaran "panglima Bukit Gantang, satu darjah yang simbolik didalam kebangsawanan negeri perak.
Mudahnya corak pemikiran orang melayu perak seperti melayu Johor.penuh kemelayuan dan tradisi.Pas dan pakatan rakyat jangan over konfiden lagi .saya pasti mereka akan mengarap isu yang terkini untuk mencapai kemenangan . BN pasti akan memainkan isu Nizar derhaka untuk meraih sokongan.Ini pasti.Apa pun kita lihatlah nanti kesudahannya.

Pak Mat Tempe said...

Wak setuju sangat dengan pendapat Pak MSO diatas kerana pada pendapat wak undi pada PRU12 tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan PR sebab undi yang diperolehi PR dlm PRU12 bercampur dengan undi protes melayu(BN) kepada calon BN. Sekarang senario dan teraju pemerintahan Negeri dah bertukar kemungkinan mood rakyat sedikit sebanyak berubah ditambah lagi dengan isu Karpal(PR) dengan Sultan. Orang melayu tetap akan mempertahankan sultannya. Laluan agak sukar bagi PR. Walaubagaimanapun itu hanya pendapat wak sebab kekadang tak boleh diramal pendirian pengundi muda.
T.kasih, Pak MSO teruskan menulis hal ehwal politik semasa

Anonymous said...

salam tuan mso.

saya salah seorang penyokong PR (tegar mungkin). namun saya terpaksa bersetuju dengan tuan mso berkenaan amat sukar untuk mencari kebenaran di dalam politik, baik dalam PR mahupun BN. itulah realiti sebenarnya politik demokrasi.

harapan saya mudah-mudahan tuan mso terus memberikan reaksi yang sebegini di dalam setiap posting tuan. salam hormat.

Anonymous said...

Melalui congak kasar, saya berpandangan PAS memerlukan sekitar minima 1/3 undi Melayu untuk menang di Bukit Gantang. Kalau dapat 50% undi Melayu, inshaAllah menang selesa.

Bukit Gantang lebih rapat untuk dinisbahkan kepada Permatang Pauh daripada Kuala Trengganu. Kedua2nya di utara semenanjung, dan kedua-duanya di negeri Pakatan Rakyat. Komposisi kaum jugak hampir serupa (malah di Bukit Gantang lebih ramai non-Malays daripada Pmtg Pauh). Non-Malays di utara (atau lebih umum di Pantai Barat) mempunyai persepsi yang tidak sama seperti Cina di Kuala Trengganu.

Kalau Permatang Pauh dijadikan ukuran, saya yakin 80% undi Non-Malays akan berpihak kepada PAS, inshaAllah. Ertinya sekitar 30% daripada undi keseluruhan berada dalam zon selamat untuk PR. PR memerlukan sekitar 20% lagi daripada undi orang melayu, yakni 20% daripada baki 63% peratus undi keseluruhan, iaitu satu pertiga.

InshaAllah, ada harapan, tapi kena kerja kuat dan berhati-hati jangan terlepas cakap lancang pasal sultan. Minda Melayu masih tegar menyokong Sultan.

Anonymous said...

Di sini,saya mencadangkan beberapa stategi utk mempertahankan kemenangan PAS kpd jentera dan petugas kempen PR semasa PRK Bukit Gantang:
1. Pastikan calon solat 5 waktu, suka bersedekah, tidak sombong, mesra, ada ilmu pengetahuan bersih, berkaliber dan mempunyai "track record" yg baik sebagai pemimpin masyarakat.

2. Calon mestilah disukai dan diterima oleh semua komponen PR iaitu PAS-PKR-DAP. Jika x disukai, payah jugak nak berkempen. (takut disabotaj mcm Wan Farid di PRK KT)

3. Kempen yg dijalankan harus mendapat manfaat golongan sasaran. Golongan itu ialah golongan yg mahu perubahan, keadilan dan kestabilan ekonomi.

4. Pastikan petugas kempen mensasarkan pengundi saluran 2, 3 dan 4. Statistik menunjukkan bahawa pada PRU lepas, saluran 3 dan 4 berpihak kpd PR. Ternyata golongan muda tidak mengimpikan kerajaan BN kerana golongan muda dihimpit oleh kesempitan hidup akibat dasar2 kerajaan seperti kenaikan harga minyak, tol, yuran sekolah yg mahal, pengangguran, PPSMI. (Pastikan saluran 3 dan 4 turun mengundi)

5. Jangan terlalu menumpukan pada isu Peralihan kuasa secara bacul oleh BN di negeri Perak. Tumpukan kepada kebejatan dan penipuan yg dilakukan oleh BN

6. Menangkis segala tipu daya MSM ( Mainstream Media). UMNO-BN sudah pasti akan menggunakan isu Demo Di Kuala Kangsar dan "sembah derhaka".
Caranya mudah sahaja. Jentera kempen menggukan blog dan segala bahan media dengan menyiarkan semula "penderhakaan" UMNO terhadap Raja sejak krisis Perlembagaan.

7. Pastikan pemimpin PR tidak mengeluarkan kenyataan yg bercanggah. Nescaya kenyataan yg bercanggah akan menjadi senjata UMNO-BN utk memanipulasikannya bagi meraih undi.

Itu sahaja dpt saya kongsikan. Sekiranya ada komen2 yg lain utk memberikan cadangan, sila tambah2 apa yg patut bagi menguburkan UMNO-BN.


Moga Allah memberikan kemenangan kpd pihak yg benar

manns'gor said...

Salam Tuan,

Saya berpendapat rakyat majoritinya telah tahu untuk menilai, siapa yang seharusnya mereka undi...serahkan sepenuhnya pada rakyat untuk menentukan pemimpin mereka..pada parti yang bertanding, bertandinglah dengan jujur dan ikhlas janganlah buat sesutu yang tidak jujur untuk menang.

wassalam
mannsgor.blogspot.com

Anonymous said...

Harus diingat kebenaran tidak pernah ada dalam politik walaupun siapa dia yang menjadi pemainnya!

- apakah selepas ini orang melayu, umno khususnya boleh bermimpi utk bercakap tentang dosa pahala keadilan dan kesaksamaan selepas apa yg diorang lakukan dlm negeri perak dan malaysia keseluruhannya...
hakikatnya hanya rakyat peraklah yang boleh berdoa agar dosa - dosa mereka boleh diampunkan...


firdaus,
k.kangsar