Sunday, January 11, 2009

Selepas Subuh

Umno Baju Lama Yang Perlu Ditukarkan!

PETANG semalam saya didatangi oleh empat orang mahasiswa Kolej Universiti dari Selangor dalam rangka mereka menyiapkan tugasan untuk mendapat diploma dalam bidang Masscom - Perhubungan Awam. Beberapa bulan lalu team pelajar ini sudah mengunjungi saya. Tugasan yang diberikan untuk meninjau penerbitan akhbar dan pengalaman sebagai editor atau penulis bebas.

Fokus mereka ialah membuat kajian kecil berhubung peranan media massa alternatif dan peranannya mempengaruhi pesepsi politik rakyat. Dalam masa sama mereka ingin mengetahui pengalaman saya lebih 25 tahun sebagai penulis politik bebas serta selaku pengendali akhbar Siasah yang dianggap sebagai akhbar alternatif dan dari ukuran akademik mereka.

Pemilihan topik itu dan saya sebagai sumber analisa/kajian memberi gambaran penulis politik atau akhbar alternatif ada bobot dan tidak di kesampingkan dari pengamatan akademik. Bahawa sudah ada kesedaran peranan 'kami' dalam mengocak arus kemudian mengolah arus politik negara dan merasakan ia penting bagi dinilaitinjau fungsinya.

Maka timbulah berbagai topi dan sudut pandangan dari perbualan dengan empat siswa dua lelaki dan dua perempuan itu. Dalam banyak-banyak topi dan sudut itu apa yang menarik hati saya bila mereka bertanyakan soal pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu yang sedang berlangsung kini. Nampaknya empat siswa yang berusia 20-an ini ada minat mendalam dengan politik mungkin ia membantu pengajian mereka.

"Sejauh mana tuan fikir media alternatif akan mempengaruhi pemikiran pengundi Kuala Terengganu?" begitulah kira-kira soalan yang keluar dari mulut salah seorang siswa perempuan itu.

Saya tidak langsung menjawab apa yang berlaku di Kuala Terengganu. Sebaliknya mengulangi apa yang saya jelas sebelum itu. "Sejauh mana media berpangaruh, you boleh tengok apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu. Empat buah negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rayat - pembangkang. Sudah pasti kalau bukan kerana media massa memberi maklumat dan menyuntik kesedaran kepada rakyat, negeri-negeri itu tidak akan jatuh, rakyat masih kemas berpegang kepada Umno dan BN.

"Kalau hendak ikut peratusan, saya kira lebih 65 peratus ianya disebabkan peranana media massa bebas atau alternatif. Akhbar, internet, blogger dan sebagainya. Selebihnya ia disokong oleh ialah akiviti ceramah dan kegiatan parti yang lain serta peribadi seseorang calon dikemukakan parti."

Mengenai pilihan raya kecil Kuala Terengganu, kata saya, walaupun peratusan media tidak sebesar semasa pilihan raya umum lalu namun peranan media ini menentukan aliran pengundi di Kuala Terengganu nanti. "Saya yakin kalau media berperanan dengan baik calon yang ditunjuki atau dikempen oleh media akan menang," tambah saya.

"Bagaiaman pula dengan akhbar mainstream?" tanya seorang lagi siswa lelaki?

Saya menjawab; "Surat khabar mainstream semakin hari semakin hilang kewibawaan mereka. Rakyat sudah tidak mahu membacanya kerana menyiarkan berita yang stereotaip, tidak menggugahkan minda dan tindakannya sebagai propagandis kepada parti memerinta nampak sangat.

"Rakyat atau pembaca sekarang ingin keluar dari kepompong isu-isu atau persembahan secara lama. Keadaan hari ini dipengaruhi oleh dunia luar. Globalisasi mempengaruhi pemikiran umum. Rakyat makin hari makin cerdik dan kritis mereka tidak boleh diasak dengan bentuk propaganda murahan yang berbentuk menipu mereka bulat-bulat.... "

"Tuan fikir kenapa orang mula menolak Umno, bukankah Umno parti yang membawa kemerdekaan kepada bangsa kita? Soalan ini terpantul dari siswa lelaki. Pemikiran seperti inilah yang satu masa dulu menjadi azimat kepada kebanyakan orang Melayu untuk terus memberi kemenngan kepada Umno bahawa Umnolah satu-satu parti boleh membantu orang Melayu.

Bagi saya soalan itu satu yang menarik dan memberi ruang untuk menjelaskan mitos mengenai itu. Jawab saya; "Umno bukan tidak baik, Umno adalah parti yang baik. Banyak jasa dan bukti yang telah ditaburkan. Tetapi kita tidak boleh menafikan sifat atau naluri semulajadi manusia yang memerlukan perubahan. Manuisa... kehidupan mansia tertakluk kepada perubahan, ingin permbaharuan (islah) ataupun ingin merasai sesuatu hidangan baru.

"Umno telah terlalu lama, sudah setengah abad. Sesuatu yang lama mencemuhkan dan kita tidak boleh bernostalgia dengan sesuatu yang usang. Sebagai contoh baju, walaupun ianya masih baik, elok dan mahal harganya, tetapi kalau sudah lama ia mencemuhkan juga. Apa lagi kalau baju itu sudah lusuh, buruk dan ada carit di mana-mana menyebabkan kita berusaha untuk beralih angin. Tambahan pula ada fesyen baru diperbuat daripada material baru yang bagus di pasaran menyebabkan orang makin ingin merasakan yang baru.

"Pakatan Rakyat adalah baju baru yang berada di pasaran hari ini. Hendak tidak hendak orang akan mahu mencubanya. Tidak kisah harga berapa. Jadi sekarang ini semua orang nak mencuba baju baru.

"Percubaan itu tidak ada masalah kerana ia fitrah, alamiah. Sekiranya baju baru ini tidak sesuai, pemakai boleh meninggalkannya dan mereka boleh kembali memakai baju lama yang dikatakan baik itu. Dan manusia yang tidak berani berusaha untuk melakukan perubahan adalah manusia yang malang. Bangsa yang tidak mahu melakukan perubahan adalah bangsa yang membinasakan diri sendiri.

"Kesedaran ini sudah ada, dan kesedaran inilah menyebabkan Umno semakin ketinggalan dan dibenci oleh orang ramai," jelas saya panjang lebar dan sedikit beranalogi.

Saya kurang pasti apakah ke empat remaja ini dapat menangkap apa yang saya maksudkan. Mereka hanya mengangguk-angguk saja dan sesekali tersenyum serta mengerutkan kening. Mungkin mereka tidak dapat menerima atau sukar untuk menghadamkannya?

Tetapi minat dan kecenderungan segera yang mereka tunjukkan membanggakan. Setidak-tidaknya remaja kini sudah mempunyai benih pemikiran baru melampaui pemikiran datuk nenek mereka terhadap Umno si baju lama itu. [wm.kl 7:30 am 11/01/09]

No comments: