Thursday, January 1, 2009

Berita Terkini

Mohd Abdul Wahid Endut Calon Pas di Kuala Terengganu

(ralat) Foto yang dipakai sebelum ini bukan foto Mohd Abdul Wahid Endut. Atas kesalahan itu dipohon maaf, al maklumlah tengah malam dan sukar pula untuk mendapatkan foto Mohd Abdul Wahid. Kepada penjenguk janganlah emosi sangat dan kalau sesiapa memiliki gambar beliau silalah emailkan kepada saya. Saya seboleh-bolehnya tidak suka 'mencuri' gambar dari blog atau wesite lain. Harap maklum.

TEKA teki siapa calon Pas pada pilihan raya kecil P36, Kuala Terengganu terjawab kira
-kira 15 minit lalu apabila Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengumumkan Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, 52 sebagai calon Pas.

Pengumuman nama Abdul Wahid itu menamatkan spekulasi beberapa hari mengenai siapakah calon yang akan diturunkan Pas untuk merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan sekali gus berjaya memadakam semua andaian dan ramalan yang dibuat oleh berbagai pihak sebelum ini.

Pengumuman itu dibuat jam 10:55 malam ini di hadapan kira-kira 5,000 orang di stadium tertutup di Batu Buruk Kuala Terengganu. Waktu ini Abdul Wahid dilaporkan sedang menyampaikan ucapan.

Mohd Abdul Wahid Endut, merupakan bekas Pegawai Pertanian berkelulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi kerusi Dun Wakaf Mempelam dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2,193 mengalahkan calon BN, Othman Awang. Abdul Wahid memperolehi 9,645 manakala Othman mendapat 7,452.

Beliau juga sebelum ini penyandang Adun berkenaan selama empat penggal. Majoriti diperolehi Abdul Wahid merupakan tertinggi kalangan dua Adun, Batu Buruk dan Ladang dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Antara turut hadir di majlis pengumuman itu ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Pas, Ahmad Awang, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustapa Ali, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw mewakili DAP ahli Kepimpinan Tertinggi PKR, Mustafa Kamil Ayub.

Ikut sama hadir ialah Naib Pesuruhjaya Pas Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, ahli Exco Kerajaan Kelantan, Mejar Nizam Abdul Rahman, kepimpinan PAS Terengganu lain yang hadir Haron Taib, Bakar Chik dan Pengerusi Keadilan Terengganu.

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden Pas, Husam Musa bagaimana pun dilaporkan tidak kelihatan di pentas utama. [wm.kl 11:10 pm 01/02/08]

1 comment:

Anonymous said...

Siapa pun calon pilihan PAS, pastinya mereka ada alasan sendiri. Jika YB Wahid Endut merupakan calon yang berwibawa dan disenangi oleh penyokong PAS maka itu merupakan satu cabaran hebat kepada UMNO. Apapun, itu bukan beerti PAS boleh menang mudah. Tanpa usaha dan kempen yang kuat dan bersungguh-sungguh, mereka takkan menang...