Wednesday, December 10, 2008

Ulasan Isu

Kayveas Tunggu Apa Lagi...

UGUTAN berasas Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) M Kayveas untuk keluar dari BN jika Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) tidak dilakukan pindaan mana-mana yang perlu nampaknya tidak dilayani oleh Pengerusi BN, Abdullah Ahmad Badawi. Sebaliknya Abdullah menyerahkan kepada Kayveas samaada hendak keluar BN atau tidak.

"Terserah kepada PPP jika pemimpinnya mahu berbuat demikian (meninggalkan BN)," begitulah kata Abdullah. Kata-kata itu boleh difahamkan sebagai Abdullah sudah menghalau Kayveas dari BN. Mungkin beliau tidak ada masa untuk melayan tuntutan-tuntutan begitu kerana beliau sendiri pun sudah berada di penghujung waktu.

Kayveas (foto) baru-baru ini membayangkan partinya akan keluar dari BN sekiranya kerajaan tidak pinda akta berkenaan. Menurutnya ISA perlu dipinda pada tempat-tempat tertentu mengikut kesesuaiannya. Permintaan Kayveas itu lebih lunak sedikit berbanding dengan tuntutan pembangkang yang mahu akta berkenaan dihapuskan terus kerana ianya dianggap zalim dan kejam.

Nah.. sekarang ini apa yang Kyveas hendak fikirkan lagi. Perahu sudah di air dan dayung sudah ditangan. Ugutan beliau tidak dipedulikan oleh kerajaan. Penjelasan dibuat Abdullah selepas mesyurat Dewan Tertinggi BN semalam itu sudah jelas mengenai layanan kepada PPP itu.

Begitulah nasib parti kecil dalam gobok bernama BN ianya dilayan mengikut sejauh mana suara yang ada tanpa melihat kepada keperluan dan kepentingan isu yang dibangkitkan. Jadi kalau parti kecil seperti PPP hendak memperjuangkan sesuatu untuk rakyat dalam BN, ibarat kata samalah seperti lagak anjing yang menyalak bukit.

Persoalan kini selepas permintaan dan syarat dikenakan Kyveas itu tidak dilayan, apakah Presiden PPP itu akan mencari hujah dan alasan lain pula untuk terus kekal dalam BN? Kayveas terkenal sebagai seorang yang berani dan berterus terang. Sebelum ini pun macam-macam kenyataan yang beliau lakukan.

Kalau beliau tiba-tiba berpandangan lain dan mencari hujah baru bagi terus kekalkan dalam BN nampak sangatlah Kayveas bermain politik untuk dirinya sendiri dan gesaan itu bukan bertolak dari hati dan dasar perjuangan sebenarnya. Jika beliau tidak tunaikan apa yang dikatakan itu sedikit sebanyak maruahnya sebagai ahli politik terhakis.

Sekiranya Kayveas hendak bertindak, keluar dari BN dan memulakan perjuangan baru inilah ketika dan masanya. Kayveas tentu juga menyedari akan kedudukan dan suasana dalam BN kini. Komponen itu dalam keadaan lemah dan terumbang ambing. Mereka yang menyuarakan rasa tidak senang kepada BN bukan saja PPP tetapi parti lain juga termasuk MCA dan Gerakan.

Jadi untuk dilihat sebagai pemimpin yang berpandangan jauh elok sangatlah kalau Kayveas mengotakan kata-katanya itu - bawa PPP keluar BN. Pada hemat saya mungkin Kayveas pun tahu yang tuntutan beliau itu tidak akan dilayani. Cuma kenapa beliau membuat syarat itu mungkin dia sudah ada perancangan lain dan memikirkan masa depan partinya.

Kalau Kayveas benar-benar ingin membawa PPP keluar BN, nah masanya ketika inilah. Kayveas boleh buktikan kehebatan partinya. Selama ini PPP dilayan sebagai hendak tidak hendak saja dalam BN. Parti itu hanya mendapat peruntukan satu kerusi saja dalam pilihan raya lalu.

Apa kata menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 6 Januari nanti Kayveas membuat pengistyharan PPP keluar BN dan menunjukkan komitmen pertamanya dengan Pakatan Rakyat pada hari pernamaan calon. Kayveas boleh gunakan pilihan raya itu sebagai testimoni samada partinya tidak berpengaruh atau sebaliknya.

Dan saya percaya kalau Kayveas bergabung dengan Pakatan Rakyat ianya diberikan kedudukan yang lebih baik daripada apa yang yang diterima semasa berada dalam BN. Yang pastinya jumlah kerusi untuk PPP dalam pilihan raya tentulah bukan satu seperti dilakukan BN ke atasnya sebelum ini.

Adalah elok sangat elok kalau Kayveas membuat keputusan untuk keluar BN pada saat ini. [wm.kl 10:00 am 10/12/08]

No comments: