Wednesday, December 17, 2008

Celoteh Murai 20

Lantik Saleintia Jadi Presiden Bebas Perkasa

PILIHAN RAYA kecil Kuala Terengganu turut menarik minat bekas calon bebas Parlimen Rantau Panjang, Isma Airfath Hasanuddin yang juga seorang taukeh sekerap atau pot getah. Beliau menawar diri bertanding kerana ingin membersihkan dirinya yang dituduh telah mengambil upah untuk bertanding bebas dalam pilihan raya lalu.

Beliau nak bertanding untuk membuktikan dia ada duit untuk bayar deposit sebanyak RM10,000 dan apa yang dilakukan dulu adalah atas kehendaknya dan bukan disuruh dan diupah oleh sesiapa. Demikianlah manusia sanggup menghabiskan duit poket untuk menyucikan diri!

Wa Mun atau Maimun Yusuf bekas calon bebas pilihan raya lepas juga ingin bertanding lagi. Katanya dia cadang nak buka blog untuk cari duit. Yalah Wa Mun.... zaman ini zaman dapatkan duit melalui internet katakan...

Begitu juga Hanafi Mamat yang bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan hanya dapat 96 undi turut sama menyatakan hasrat untuk ikut sama. Jadi kalau Hanafi, taukeh pot dan Wa Mun bertanding ini bermakna ada lima calon nanti campur dengan Pas dan BN yang akan berentap di pilihan raya kecil itu.

Maka meriah sakanlah pilihan raya berkenaan.

Bila mengenangkan telatah hidup manusai ini, Murai tidak terkata apa-apa. Tersenyum tidak ketawa pun tidak. Negara ini bebas dan mengamalkan demokrasi. Sesiapa pun boleh bertanding dan menyertai mana-mana pilihan raya. Sebab syarat-syarat yang ditetapkan bagi melayakkan seseorang calon ialah, tidak gila, (tidak termasuk gila babi), tidak muflis, tidak hilang warganegara atau kerakyataan negara ini. Ada penyokong dan pencadang dan duit deposit cukup boleh jalan...

Syarat-syarat lain tida temasuk misalnya suka melompat, cakap bohong, hipokrit, rasuah, gedebe dan seumpamanya. Bahkan kalau kita bukan ahli sesebuah parti pun tetapi boleh juga bertanding atas lambang atau simbol parti lain. Ini dah pun berlaku dan terjadi di negara ini.

Malahan kalau menang kita boleh tidak menyokong parti yang mensedekahkan simbolnya itu sebaliknya boleh pula mengkritik parti berkenaan atas dasar profesional atau kebebasan kononnya. Perubatan itu tidak menjadi kesalahan mengikut piawaian SPR negara ini melainkan ianya akan dikeji oleh orang ramai saja. Manakala bagi orang yang mempunyai intergriti tentu sekali tidak tergamak melakukannya kerana ianya sungguh buruk dan busuk.

Jadi kepada ketiga mereka itu bertandinglah kalau sudah cukup wang pertaruhan sebanyak RM10,000. Jangan peduli apakah kita layak, relevan, mampu atau sebagainya.

Cuma di sini Murai ingin mencadangkan. Kalau sudah ada lebih daripada satu calon bebas elok kalau ditubuhkan pakatan bebas bagi memastikan bebas menang atau jangan sampai hilang deposit. Untuk tujuan ini misalnya boleh melantik Salientia untuk menjadi presidennya. Pakatan itu nanti boleh dinamakan pakatan Bebas Perkasa.

Lagipun kalau sudah ada pakatan itu bolehlah Saleintia ikut sama berkempen nanti pada pilihan raya itu. Tidaklah nanti ia akan meracau dan bercakap dan mengomen itu tidak betul ini tidak betul dan hanya dirinya saja betul di serata kedai kopi semasa pilihan raya itu kelak.

Dengan adanya pakatan itu Saleintia boleh jadikan flatform untuk beliau bersyarah dan berceramah serta melepas gian politiknya. Manalah tahu berkat kepimpinannya yang mendakwa dirinya profesional, telus, jujur, ikhlas, berani itu salah seorang calon bebas itu akan menang dan dapatlah pula menjadi rakannya di Parlimen.

Murai: Sudah tempah tiga bilik di Kuala Terengganu.

No comments: