Tuesday, August 12, 2008

Sebelum Tidur

Bermuktamarlah Kerana Allah

MENURUT anak perempuan saya di Ipoh, Bandaraya Ipoh kini sudah bermadian dengan bendera Pas dan banting mengalu-alukan para muktamir ke muktamar Pas ke-54 yang akan diadakan di Stadium Indra Mulia Ipoh.

Sepanjang jalan utama menuju ke stadium berkenaan dihiasi dengan bendera Pas. Banting gambar dua Tok Guru Pas, Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tersenyum bergantungan di tiang-tiang lampu laksana sedang menanti kehadiran para muktamir penuh mesra.

Muktamar ke - 54 itu adalah pertama kali diadakan di negeri Perak Darul Ridzuan. Muktamar itu memberi makna tersendiri kepada Pas Perak. Selain ianya sebagai meraikan kemenangan Pas dan perlantikan Adun Sungai Panjang, Muhammad Nizar Jamaluddin menjadi MB Perak, ia juga untuk mengembalikan nostalgia penubuhan Pas di Gunung Semanggul, Perak.

Mudah-mudahan muktamar di Perak itu membawa rahmat dan memberi perkembangan positif kepada perjuangan Islam. Diharap muktamar itu akan memberi gambaran kepada rakyat Perak khasnya bahwa Pas kini bukan lagi parti pinggiran tetapi bakal muncul sebagai parti yang akan medominasikan politik Melayu Malaysia di masa mendatang.

Selepas Umno kini lemah dan makin kehilangan gah dan taring Pas muncul mengambil tempat dan menjadi harapan baru kepada rakyat Malaysia. Seharusnya Pas memelihara peluang yang dimilikinya kini sebaik mungkin!

Justeru adalah diharapkan muktamar yang berlangsung selama lima hari bermula 13 hingga 17 Ogos berjalan dengan lancar dan tidak ada perkara-perkara yang menjatuhkan martabat Pas di mata umum berlaku. Sekiranya ada pihak yang cuba mengungkitkan sesuatu yang boleh mengeruhkan suasana hendaklah batalkan nawaitu buruk itu.

Meskipun muktamar tidak akan terelak dari membincangkan isu-isu panas semoga ahli dapat membendung perasaan masing-masing. Semua ahli muktamir akan meletakkan kepentingan parti di hadapan dan membelakangkan kepentingan peribadi.... akan menjadikan perjuangan sebagai matlamat dan bukan kedudukan dan pangkat menjadi buruan.

Ingatlah kepada empat teras yang ditunjangkan sebagai matlamat dan perjuangan Pas takkala ianya ditubuhkan 23 Ogos 1951 dulu, iaitu;

1. Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.

2. Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.

3. Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.

4. Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.

Itulah teras dan asas yang menjadi matlamat perjuangan Pas. Sekiranya semua ahli muktamar berpegang kepada prinsip dan asas demikian insya-Allah semuanya akan selamat dan berjaya. Dan perlu diingatkan yang membawa kemenangan kepada Pas ialah kebenaran bukannya kekuasaan. Yang mengizinkan kemenangan Allah bukannya manusia.

Kepada seluruh para muktamir selamat bersidang kerana Allah s.a.w.! [wm.kl. 11:20 pm 11/08/08]

No comments: