Sunday, August 3, 2008

Berita Samar

Pas Pulau Pinang Boikot Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh?

LEWAT tengah malam tadi saya menerima satu pesanan ringkas dari seseorang yang tidak dikenali. Nombornya saya simpan untuk dijadikan bukti dan siasatan kalau perlu. Apa yang diberi tahu sedikit mengejutkan. Katanya Pas Pulau Pinang akan boikot pilihan raya Permatang Pauh. Kenapa?

Mulanya saya ingatkan pemboikotan itu ada kena mengena dengan tindakan Pas semasa pilihan raya kecil Batu Talam, Pahang tidak lama dulu. Pada pilihan raya itu Pas mengambil keputusan bersama PKR memulau pilihan raya berkenaan. Alasannya kerana Pas tidak percaya bahawa pilihan raya itu akan berjalan dengan bersih dan adil.

Gara-gara itu Pas tidak meletakkan calonnya. BN berhadapan dengan calon bebas seorang anak Cina.

Mulanya itulah yang saya fikirkan. Memang pun wajar kalau Pas boikot sebab SPR masih belum berubah. SPR masih juga dipengerusikan oleh orang diragui dan dibenci, Melayu bernama Abdul Rashid Abdul Rahman. Apa guna Pas menyertai pilihan raya kalau ia jelas dan nyata tidak adil.

Jadi apabila Pas juga nampak bersungguh dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh ini mungkin keraguan kepada SPR sudah pun berubah. Ataupun kerana kemenangan besar PKR dalam pilihan raya 8 Mac lalu menyebabkan tiba-tiba saja Pas dan PKR melupai apa yang mereka sumpahkan terhadap SPR dulu?

Tetapi bukan itu alasan pemboikotan itu. Bukan soal pilihan raya telus atau tidak. Tetapi kenapa Pas Pulau Pinang hendak boikot ialah kerana tidak senang dengan kerajaan Pakatan Rakyat di sana.

Pas merasakan diri mereka terpinggir di Pulau Pinang kerana itu mereka merasakan tidak perlu bersusah payah membantu Anwar dalam pilihan raya berkenaan. Begitulah alasannya!

Banyak sebab kenapa Pas Pulau Pinang merasakan diri mereka terpinggir. Pas tidak dibawa berbincang langsung mengenai beberapa perkara termasuk soal perlantikan dalam Majlis Daerah, ataupun tidak diberi tempat dalam agensi-agensi kerajan Pulau Pinang yang sesuai diduduki oleh Pas sebagai parti Islam.

Katanya yang paling mengecewakan Pas berhubung dengan hel ehwal Islam. Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng katanya tidak mempedulikan Pas? Beberapa cadangan dikemukakan Pas untuk kepentingan Islam tidak dilayan sewajarnya oleh Ketua Menteri yang mengambil Umar Ibnu Aziz sebagai model pemerintahan itu.

Tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku di pulau Mutiara itu. Tetapi kalau itulah alasannya ada logik kalau Pas Pulau Pinang memulaukan pilihan raya itu ataupun mengambil sikap hanya sebagai pemerhati saja.

Pun begitu berita ini masih lagi samar dan belum dapat disahkan. Seorang Naib Presiden yang dihubungi sekejap tadi mengatakan belum tahu mengenai perkembangan ini dan beliau berjanji akan membuat pemeriksaan. Beliau yang agak terkejut hanya berkata; ya ke...belum dapat maklumat apa-apa lagi.

Dalam perkembangan lain berita yang agak malang ini sudah sampai ke pengetahuan Setiausaha Agung Pas, Kamarudin Jaaffar. Kamarudin dikatakan gelabah dengan maklumat itu dan terus membuat arahan segera malam tadi untuk berjumpa dengan Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang pagi ini.

Apakah Kamarudin kini sudah bertolak ke Pulau Pinang atau belum tidak dapat dipastikan. Dan apakah sesuai dan layak untuk Kamarudin menyelesaikan masalah itu? Ketika ini Presiden Pas berada di Jakarta. Kalau pun ahli Parlimen Tumpat itu gelabah dan begitu teringin untuk melihat kawannya berada di Parlimen bersamanya apakah tidak sempat menunggu presiden pulang?

Apapun diharap berita ini tidak sahih ataupun kalau ada niat ia tidak akan diteruskan. Pas Pulau Pinang harus membantu dan pedulikan soal ia dipinggirkan dalam kerajaan. Pas kena tunjukkan mereka setiakawan dalam usaha menjatuhkan BN. Lagipun yang bertanding di situ nanti bukan DAP tetapi PKR calonnya bekas Presiden Abim, Anwar Ibrahim. [wm.kl. 9:15 am 03/08/08]

7 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum..

Saudara nak saya komen tentang masalah ini?Boleh,tetapi anggap ia sebagai pandangan peribadi dan bkn pandangan umum.

Tentang boikot, saya telah terasa aura tersebut dr awal2 lg, cuba saudara rujuk di laman web pasbukitbendera.com dan saudara akan temui jawapan dr masalah ini. Hanya satu soalan pokok "Apa faedah yg PAS Pulau Pinang akan dpt drp pilihan raya kecil Pmgt Pauh?".

Soalan itu sudah cukup dan dikuatkan lagi dgn bukti2 lain yang tertanya tiada faedah utk PAS Pulau Pinang dan antara contohnya tentang lantikan JKKK yg dipersoalkan di situ.

Cuba renung dan fikir, keadilan kah ini?

Unknown said...

Awal tahun 80an saya bersekolah di Kedah, pengaruh PAS agak kuat masa tu dan isu kafir mengkafir (PAS kata UMNO Kafir) agak kuat juga masa tu..Saya pun turut terikut ikut dengan gaya sebutan Hj Hadi seperti di muka 'bomi' dan 'toat', (sbb selalu dengar kaset ceramahnya). Bila cuti sekolah saya balik ke kampung di Selatan tanah air, terus mengumukakan isu kafir ini dengan abang yang sulung. Apa lagi berdebat sakan kita dua orang dan abang saya agak terkilan apabila saya katakan (mengikut pandangan PAS pada masa tu) UMNO tu parti kafir sebab mengekalkan perlembagaan jahiliah. Masa tu umur saya 20 tahun. Semenjak dari hari tersebut hubungan saya dengan abang agak renggang dan kita tidak pernah lagi berbincang soal politik. Sehingga ke hari ini, saya masih terkilan sebab abang saya telah meninggal secara mengejut enam bulan selepas isu kafir mengkafir tersebut. Rasanya saya tidak sempat meminta maaf kepada abang sebab pemergiannya secara mengejut. Sehingga ke hari isu tersebut masih menghantui saya, salah saya kah (yang bodoh masa tu) atau salah PAS ?

20 tahun telah berlalu, saya pun kurang berminat dengan politik tetapi masih suka mengambil tahu sebab minat membaca. Jika 20 tahun dahulu PAS begitu tegas mengatakan UMNO kafir tetapi kini telah menjadi sebaliknya. DAP yang nyata secara terang terangan menentang Islam, menjadi rakan sekutu. Tidak kafir kah DAP ? 20 tahun dahulu saya cakap kat my late brother UMNO kafir (PAS yang cakap). Kadang kadang saya terfikir juga, sepatutnya 20 tahun dahulu saya suruh my late brother masuk DAP kalaulah saya tahu begini keadaannya.

Kesimpulannya, PAS jadilah parti Islam yang betul. Jika betul UMNO salah kita lawan dan sudah ternyata DAP memang salah kita WAJIB lawan. Tak perlu PAS bergabung dengan BN dan Pakatan Rakyat sebab pada pandangan PAS dua dua tidak ada niat untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia.

Sekian.

painah said...

satu lagi peluru yg akan digunakan oleh bn.

Maaf cakap ... jangan sesekali mendabik dada (ini yg ada pd segelintir ahli Pas) tanpa pakatan rakyat Pas hanya akan kekal di Kelantan sahaja dan itulah realitinya.

Bila ini berlaku, jangan salahkan org/parti lain tetapi Pas harus berani bertanya pada diri sendiri .... " dimanakah salah dan silap sendiri?"

Anonymous said...

PAS akan tetap menyokong PR selagi PAS tidak dilayan sebagai anak kecil. PR kena serius perkara ini. Kini kami masih 50/50 dalam sokong dan tak sokong. kalau kami difikirkan tidak penting, tak apa, kami pun boleh fikirkan yang pilihanraya kecil ini tak penting buat kami.

Juga untuk perhatian semua: Anwar telah menyakitkan hati kami apabila dulu dia meramps kerusi Permatang Pauh dari PAS dan masa itu kami semua amat terluka dan darahnya masih terasa hingga kini.

Anonymous said...

Sudah dibuat sedemikian rupa masih juga PAS nak ikut PR?! Dah memang nampak sangat Anwar tu cuma nak PAS ikut serta dalam PR sebab nak sokongan rakyat sahaja. Takde maknanya.
Nanti esok-esok Anwar dah takde, siapa yang akan ganti? Perang ribut la nampaknya.

Anonymous said...

Assalamualaikum MSO.....


Saya WAKIL PAS PULAU PINANG, tidak langsung merasai apa yang dinamakan BOIKOT di PERMATANG PAUH, malah semakin ramai berderu-deru RAKYAT PULAU PINANG yang mendaftar menjadi AHLI PAS.

Selain itu, semalam, semasa tatkala HUSSAM MUSA dan ANWAR IBRAHIM datang ke SEBERANG JAYA, kami bertungkus lumus mengutip DERMA BAGI MEMBANTU KEMPEN PILIHANRAYA DI PERMATANG PAUH bersama-sama.

Apa yang saya ingin katakan, hanya ANNUAR MUSA sahaja yang ingin memboikot PILIHANRAYA DI PERMATANG PAUH. Saya harap janganlah percaya dengan agenda dan provokasi BARISAN NASIONAL..... cukuplah, mereka dengan media massa dan SPR yang mereka tunggangi selama ini....


P/S: PAS TETAP MEMIKUL AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA-SAMA PAKATAN RAKYAT (DAP DAN PKR) bagi membangunkan rakyat dan dalam masa yang sama membangunkan satu sistem yang berpandukan kepada AL-QUR'AN dan AL-SUNNAH terutamanya kepada MUSLIMIN dan MUSLIMAT di Malaysia ini.

mrf said...

agaknya terlaksanakah sistem berpandukan al-quran dan sunnah sekiranya bekerjasama dengan DAP dan PKR??

mungkin hanya UMNO sahaja harapan untuk merialisasikan impian tersebut..kerana semua melayu umno beragama islam..

melainkan pas akan terus membulatkan tekad untuk menghapuskan UMNO yang dikatakan hampir lemas walaupun mempunyai kerusi parlimen melebihi 50%, harus difikirkan juga berapa kerat melayu islam yang ada dalam PKR dan DAP yang akan menyokong melaksanakan pentadbiran islam di malaysia sekiranya ingin dilaksanakan