Sunday, June 15, 2008

Ulasan Peristiwa

Apabila Ku Li Menepuk Rostrum

TENGKU Razaleigh Hamzah (Ku Li) adalah antara tokoh dan pemimpin yang sederhana. Walaupun beliau berdarah ningrat, namun sifat-sifat ego sebagai keluarga bangsawan tidak dipamerkan dan seolah beliau tidak sedikipun mempunyai keistimewaan itu.

Ku Li pandai menyesuaikan dirinya dengan masyarakat kebanyakan. Kalau dipangkal namanya tidak ada perkataan “Tengku”, mungkin orang tidak percaya dia adalah seorang putra raja.
Tanyalah siapa yang mengenali dan pernah mendekatinya akan merasai hakikat itu kecuali mereka yang ada masalah personal dengannya. Beliau sangat humble dan bersahaja. Pakaian casualnya sudah boleh menjelaskan kesederhanaan itu. Di majlis-majlis separuh rasmi beliau sering mengenakan baju kemeja bertangan pendek yang lolos dan berseluar longgar.

Demikian juga dengan kenderaanya. Dari dulu sampai kini beliau masih menggunakan kenderaan lama. Tidak mungkin beliau tidak mampu untuk membeli Cyran seperti dimiliki anak-anak Mahathir Mohamad atau Hishamuddin Hussein yang bernilai jutaan ringgit itu.
Beliau boleh makan dan duduk berbicara dengan sesiapa sahaja, di mana dan keadaan apa saja. Beliau juga seorang pendengar yang baik. Tidak mudah mematahkan hujah orang walaupun tidak logik dan menyakinkannya. Perbualannya yang sesekali dibumbui ketawa dan serius itu menjadikan orang mudah terlekat hati dan merasai kemesraannya. Berdiri di hadapan Ku Li kita tidak dipisahkan oleh apa-apa status!
Itulah tanggapan secara umum mengenai Ku Li.

Tetapi pagi tadi ketika berucap pada majlis pertemuan dengan ahli Umno akar umbi di bahagian Gombak, di Taman Melawati benar-benar mengejutkan saya apabila beliau menepuk rostrum lebih dari tiga kali. Saya tidak percaya yang berbuat begitu Ku Li. Selalunya yang suka menempuk rostrum ialah Ibrahim Ali atau pun Muhammad Sabu. Apabila ianya dilakukan Ku Li ia benar-benar merujakan. Mesti ada sesuatu yang serius sehingga Ku Li juga bersikap seperti Ibrahim Ali!
Apa yang menjadikan Ku Li tiba-tiba naik angin pagi tadi ialah apabila membicara soal peralihan kuasa dalam Umno. Kenyataan Abdullah Ahmad Badawi di Kota Bharu kelmarin dan diulangi di Terengganu semalam yang mengatakan tarikh peralihan kuasa dari beliau (Abdullah) kepada Mohd Najib Razak telah pun ditentukan. Kenyataan itu menjengkil dan kurang disenangi Ku Li.
Beliau ada hujah dan alasan kenapa tidak merasa kecewa dengan tindak tanduk Abdullah itu. Bagi Ku Li Abdullah tidak berhak membuat sebarang janji untuk atau pandai-pandai hendak melepaskan kuasa atau jawatan (Perdana Menteri) kepada timbalannya atau sesiapa saja.

Ini kata katanya, apa yang dibuat Abdullah itu tidak pernah menjadi amalan Umno sebelum ini dan bertentangan dengan perlembagaan parti. "Jawatan bukan milik seseorang dan tidak ada dalam perlembagaan Umno tidak ada peruntukan yang boleh berbuat begit," ujarnya.

Tambahnya lagi kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti bukan keistimewaan untuk berbuat demikian. "Walaupun dia Perdana menteri namun dia tidak ada hak untuk bercakap nak serah kuasa pada sipolan sipolan,” katanya dengan kesal sambil melepaskan tumbukan ke rostrum.
Menurut bekas Naib Presiden UmnO itu yang berhak untuk melantik sesiapa juga jadi perdana menteri ialah Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini adalah hak dan kedudukan dalam perlembagaan negara.
Bagi Ku Li tindakan Abdullah itu jelas melanggar peruntukan perlembagaan dan secara tidak langsung ia juga cuba menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Justeru menurutnya kalau ahli-ahli Umno menerima juga peralihan kuasa yang dicadangkan Abdullah itu ini bermakna bodohlah ahli Umno. “Kalau kita menerima juga peralihan kuasa itu maka bodohlah kita,” jelas ahli Parlimen Gua Musang itu.
Bagaimana pun sarannya sekiranya ahli Umno tidak dapat menerima peraturan yang tidak ada dalam peruntukan perlembagaan itu maka ianya hendaklah ditolak.

Ku Li nampak benar-benar serius dalam soal ini. Kalau tidak masakan beliau sampai menepuk rostrum berkali-kali. Topik yang menjadikan beliau naik angin sehingga menepuk rostrum juga ialah semasa menyentuh soal sistem kuota yang diperkenalkan dalam Umno. Sistem itu menurutnya tidak menghormati hak dan kebebasan ahli dan menyekat kebebasan demokrasi di dalam Umno.

Menurut Ku Li sistem itu patut dihapuskan dan mereka yang menerimanya adalah mereka yang pengecut dan takut kepada bayang-bayang sendiri. "Kalau kita benar-benar merasakan kita layak apa hendak ditakutkan kepada perlawan, kita lawan..." ujarnya. Dalam pada itu beliau sekali menegaskan, apa juga halangan namun beliau tetap akan lawan.

Apabila Ku Li menepuk rostrum, tepukan itu bukan kerana dirinya kerana kebetulan beliau hendak bertanding pada Disember hadapan. Tetapi tepukan dan geraman itu ialah untuk kebaikan Umno.

Seperti kata beliau, kalau beliau jadi PM, beliau tidak akan duduk lama di situ beliau hanya sekadar hendak menghabiskan sisa-sisa usianya demi perjuangan.

“Saya tidak bercadang untuk duduk lama, tetapi sekadar menghabiskan sisa-sisa usia untuk perjuangan...” jelas beliau. Beliau juga menyatakan sekiranya beliau jadi presiden parti segala peraturan yang tidak demokratik itu akan dihapuskan dan pemegang jawatan juga akan dihadkan mengikut tempoh tertentu.

Berpandukan kepada track record serta sikap dan sifat Ku Li sebagai pemimpin, jelas bahawa tepukan rostrum yang dilakukan pagi tadi bukan untuk dirinya semata-mata sebaliknya yang lebih penting beliau berbuat demikian bagi menyedarkan ahli Umno yang dilihat sudah begitu lemah dan mudah hanyut dalam arus kebendaan sehingga menerima apa saja keputusan pemimpin meskipun bertentangan dengan perlembagaan parti. [wm.kl 15/06/08]

2 comments:

zeme said...

Salam saudara MSO,

Benar secara jujur saya mengiakan bahawa YBM Ku Li memang seorang insan yang begitu humble tidak terdetik langsung bahawa beliau adalah keturunan raja dan juga bapa saudara kepada raja perempuan Kelantan disebalik perwatakan beliau yang cukup simple. Beliau begitu pandai menyesuaikan diri bila berbicara tanpa mengira peringkat umur tua mahupun muda, kaya atau miskin.

Ketika beliau menghadirkan diri ke majlis perkahwinan kakak saya dulu, pernah terdetik dihati saya berkata benarkan YBM Ku Li dari dahulu tetap kesana kesini dengan Mercedes warna merah WM1 usang beliau. Beliau juga tidak segan silu duduk bersila bersama-sama atas tikar ketika bacaan talkin masa pengebumian arwah datuk saya.

Secara ikhlas dari dahulu perjuangan beliau jelas mengutamakan kebajikan, kebaikan apatah lagi kedaulatan bangsa dan orang Melayu. Malaysia dan orang Kelantan amat bertuah dan tidak kerugian sekiranya mempunyai PM yang berwatakan sebegini malahan satu keuntungan untuk kesejahteraan bersama. Insyallah mungkin ini masa yang Allah tentukan untuk YBM Ku Li setelah mengharungi pelbagai ranjau sebelumnya.

Wasalam.

Anonymous said...

rindu semngat 46..rindu gandingan ku Li & DrM..rindu gandingan Anwar ,mahathir....saat malaysia gemilang era lewat 80an hingga ujung 90an...skrg malaysia 'kabur; bersama paklah...