Monday, June 2, 2008

Perhimpuan Umno

Kempen Naib Presiden Umno Sudah Bermula

KALAU boleh diumpamakan persaingan pemilihan kepimpinan Umno yang akan berlangsung pada Disember hadapan seperti perebutan untuk menjadi juara rancangan realiti tv Akademi Fantasia, kini beberapa calon telah mula mendaftarkan diri untuk menjalankan ujian peringkat awal bagi memasuki akademi berkenaan bagi musim hadapan.

Mereka akan mula diuji bakat, suara, personaliti dan kecergasan minda sebelum diterima masuk secara rasmi ke dalam 'akademi' berkenaan menerusi mesyuarat cawangan yang kemudian diikuti oleh mesyuarat bahagian bermula Ogos hadapan. Pemilihan mereka oleh mesyuarat bahagian bolehlah dianggap sebagai pertarungan di suku akhir.

Hari ini sebermulanya mesyuarat agung cawangan Umno boleh dianggap mereka masing-masing mempamerkan diri diperingkat awal untuk dipilih memasuki 'akademi' berkenaan atau memungkinkan diri mereka turut bertarung merebut jawatan dilayer ketiga dalam Umno itu.

Di samping dua pemenang sebelum ini (penahan jawatan) iaitu Muhyiddin Yassin dan Mohd Ali Rustam, kini terdapat sekurang-kurang tujuh yang telah disebut-sebut atau berminat untuk mengambil bahagian dalam 'akademi' berkenaan atau berhajat untuk merebut jawatan berkenaan.

Seorang lagi calon atau juara akademi tahun 2003 dahulu, iaitu Mohd Isa Samad dibatalkan kemenangannya kerana telah didapati bersalah 'merusah para pengirim sms' agar mengundi beliau. Mohd Isa kini digantung daripada bertanding sebarang jawatan di dalam Umno.

Calon-calon yang dikatakan akan memasuki 'akademi' itu untuk merebut tiga kerusi Naib Presiden kali ini ialah Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Hussein, Ahli Majlis Tertinggi, Syed Hamid Albar, bekas MB Perlis Shahidan Kassim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Agama Islam, Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Menteri Pengajian Tinggi, Khalid Nordin dan Menteri Besar Pahang, Adnan Yaacob.

Menunjukkan belang

Masing-maaing telah menyatakan hajat atau menunjukkan belang untuk dicalonkan sebagai Naib Presiden. Annuar Musa yang sebelum ini berhajat besar untuk mencuba nasib dengan harapan Kelatan dimenangi BN dalam pilihan raya lalu nampaknya terpaksa mengigit jari di atas Bukit Marak saja.

Hishamuddin yang nampak bernafsu besar telah dua kali mengumumkan akan meninggalkan kerusi Ketua Pemuda. Beliau sangat berharap pemuda akan memberi laluan kepada beliau untuk menahktai kerusi berkenaan. Dari undi awal para peminat 'akademi' itu nampaknya peluang Hihamuddin cerah.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Syed Hamid dikatakan tokoh yang sesuai untuk mengisi kerusi berkenaan. Kecemerlangan beliau dalam kerajaan serta ketokohan dan personaliti beliau yang bersih dan tidak menimbulkan masalah. Kelebihan itu dikira sesuai untuk menduduki kerusi berkenaan. Dalam situasi hari ini Syed Hamid dikatakan berkemampuan membawa atau memberi semangat untuk memulihkan kepercayaan umum kepada parti Umno.

Anak Singa Umno itu juga dikatakan dapat membantu Abdullah Badawi dalam Umno. Paling penting ialah prinsip Syed HAmid yang dilihat mampan boleh dijadikan aset atau modal untuk beliau berada di barisan ketiga hirarki Umno. Bagaimana pun masalah Syed Hamid ini beliau kurang diminati oleh para pengundi yang licit bermain sms.

Selain daripada Syed Hamid, Ahmad Zaid Hamidi juga yang akan membuat percubaan pertama dan antara calon yang bakal mendapat sokongan ramai. Hubungan Zaid dan sifat mesra beliau dengan ahli-ahli Umno menyebabkan ahli Umno tidak mudah untuk melupai bekas Ketua Pemuda Umno. Zahid tidak sempat menunjukkan kebolehan dan bakatnya semasa dalam pemuda dulu apabila reformasi meletus dan beliau terperangkap dalam kancah berkenaan.

Menawarkan niat

Seorang lagi calon baru untuk merebut jawatan ini ialah bekas MB Perlis, Shahidan Kassim. Shahidan yang kehilangan jawatan MB selepas pilihan raya lalu dikatakan akan mencuba kerusi itu dengan menawarkan niatnya untuk menyuburkan Islam. Beliau dikatakan akan menjadikan misi memperkuatkan Islam sebagai modalnya merebut jawatan berkenaan. Keperluan Shahidan juga beliau seakan terdesak untuk menguakkan diri dalam Umno selepas tidak lagi menjadi CEO Perlis.

Manakala bagi seorang lagi muka baru Khalid Nordin buat masa ini dikatakan sedang mengintai peluang itu. Belum pasti apakah rasional beliau turut sama menawarkan diri memandangkan begitu ramai tokoh dari Johor yang berminat untuk kerusi berkenaan. Lagak tokoh-tokoh dari Johor mendaftarkan diri seolah-oleh Umno hari ini hanya milik Johor saja!

Walaupun Khalid mungkin ada misi dan agendanya tersendiri namun beliau dilihat masih mentah dalam politik dan seterusnya untuk berada di kerusi berkenaan.

Musa Aman yang turut disenaraikan lebih kepada sebagai mewakili Umno di Sabah sahaja. Sekiranya beliau mendapat pencalonan untuk memasuki akademi itu ianya tidak lebih daripada untuk memeriahkan pertandingan itu saja atau untuk tidak mencicirkan Umno dalam dalam pesta pertandingan.

Begitu juga dengan Adnan Yaacob. Kalau beliau benar-benar ingin mencuba nasib di kerusi itu penyertananya boleh menganggui ahli-ahli Umno untuk memilih tokoh lain. Adnan bukan termasuk antara tokoh yang mendapat perhatian dan diberikan keutamaan. Kenyataan dan pandangan beliau yang kontroversi dan agak aneh tidak lebih daripada gimik agar orang tidak melupai beliau saja.

Mengenai penyandang jawatan Muhyiddin atau Mohd Ali Rustam mereka tidak boleh rileks dalam pertandingan kali ini. Lebih-lebih Mohd Ali yang masih belum berjaya melancarkan percakapannya mungkin akan tersingkir kali ini. Keberadaanya di atas kerusi Naib Presiden selama ini pun tidak banyak membawa perubahan kepada Umno.

Biro latihan yang dipangkunya juga nampaknya tidak berjaya membawa apa-apa kepada ahli Umno. Kehadiran Mohd Ali di situ dulu pun bukan kerana ketokohannya sangat tetapi kerana beliau dilihat akrab dan rapat dengan Mohd Najib Razak saja. Kelebihannya untuk merekmenkan pemberian darjah kebesaran juga turut menjadi faktornya.

Manakala bagi Muhyiddin tidak mustahil kalau beliau bakal tercicir dalam pertandingan kelak. Dan tokoh yang dirasakan memberi tentangan sengit kepada Muhyiddin di Johor ialah Hishamuddin Hussein. Siapakah antara sembilan calon itu akan dapat berjaya memasuki ke separuh akhir sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya. [wm.kl 11:00 pm 02/06/08].

No comments: