Friday, February 15, 2008

Bingkisan 2

Perangai 'Tiga Abdul Masih' Terbawa-bawa
(Kemelut Rantau Panjang)

DENGAR pula cerita dari Rantau Panjang, Kelantan. Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang yang kini menjadi Ketua Penerangan Pas, Rushdan Mustafa (foto bawah ) yang sebelum ini dicanang akan bertanding salah satu kerusi di dalam kawasan Parlimen Rantau Panjang (samada DUN atau Parlimen), kini sedang diserang 'gasterik politik'.

Sejak semalam Rushdan diberitakan tidak selera makan kerana beliau dikatakan tidak lekat di mana-mana kerusi dalam kawasan parlimen Rantau Panjang. Khabarnya sudah ada para penyokongnya dan mereka yang mengharap beliau menjadi calon bertindak menurunkan bendera dan sepanduk Pas di sekitar Lubuk Jong kawasan kampung Rushdan.

Mulanya menurut perjanjian (yang memang tidak boleh dipercayai) beliau dijanjikan kerusi Parlimen Rantau Panjang ataupun Bukit Tuku. Janji ini dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Abdul Fatah Haron yang juga Yang Dipertua Pas Rantau Panjang.

Tenggelam air

Maka bekerjalah si Rushdan ini siang dan malam tidak kira di mana. Semasa banjir baru-baru ini beliau dikatakan bersusah payah membantu rakyat yang tenggelam air sampai keluarkan wang saku sendiri untuk membeli beras, gula, kopi, biskut dan sebagainya apabila bantuan daripada Kerajaan atau Pas lewat tiba.

Rushdan sangat percaya kepada janji yang dilapazkan itu. Beliau budak betul dan berjurus tidak sedikit pun menyangka yang beliau terlebih dahulu dikeman (dikulum) sebelum ditelan hidup-hidup.

Katanya Rushdan sudah tahu yang tempatnya Parlimen Rantau Panjang akan bertukar tangan. Saya sendiri telah memberi signal dalam blog ini, bahawa Wan Abdul Rahim Wan Abullah (Cikgu Rahim) akan ke kerusi Rantau Panjang. Namun beliau masih cool dan tidak berbuat apa-apa. Beliau juga khabarnya telah menyediakan sejumlah wang untuk pembiayaan pilihan raya berkenaan.

Semalam katanya hari paling mengejut dan menyedihkan Rushdan apabila nama Cikgu Rahim diumumkan secara 'rasmi' oleh Abdul Fatah di Pejabat Pas Rantau Panjang.

Pengumuman itu bukan saja mengejutkan Rushdan tetapi juga pemimpin Pas di Kuala Lumpur juga turut sama merasakan apa yang dilakukan Abdul Fatah itu tidak tepat dan mendahului parti.

Beliau tidak sepatut membuat kejutan itu kerana hak mengumumkan calon ia adalah kuasa mutlak Presiden ataupun Pesuruhjaya Negeri. Lainlah dengan wartawan atau penulis seperti saya bebas membuat apa juga spekulasi hatta yang tidak enak didengar.

Mungkin Abdul Fatah ada perjanjian dengan Cikgu Rahim, tetapi kalaupun ada tidak sewajanrya beliau bertindak lebih sudu dari kuah. Mungkin juga beliau sengaja mengumumkan untuk memintas dan mamasungkan Cikgu Rahim secepat mungkin di Rantau Panjang.

Nampaknya Abdul Fatah juga terikut sama dengan perangai seorang pemimpin Pas yang bercakap melewati kemampuannya dan adakalanya mendahului Presiden parti. Mungkin kerana akrab dengan pemimpin itu maka Abdul Fatah juga mengambil pendekatan sama.

Mengejek

Yang tambah menyedihkan Rushdan lagi ialah ada orang tertentu mengirimkan SMS ke telefonnya yang mengejeknya kerana gagal menjadi calon. Ejekan inilah yang sukar untuk diterimanya. Seolah-olah ada pihak yang sengaja untuk memalukannya di Rantau Panjang.

Apa yang menimpa diri Rushdan itu sama dengan apa yang menimpa diri Abdul Hamid Abdul Aziz di Tendong. Sesuatu yang dianggap menghina mereka dilakukan sewenang-wenangnya. Sikap dan perilaku ini menyebabkan orang mempertikaikan di manakah akhlak orang-orang Pas.

Kita percaya Rushdan juga sama seperti Abdul Hamid boleh menerima hakikat dan alasan mengapa beliau tidak lekat calon, tetapi biarkan beliau diberitahu secara beradab. Apa salahnya kalau Rushdan atau Abdul Hamid dipanggil secara baik, seeloknya oleh Tok Guru sendiri menjelaskan apa masalah mereka. Kalau Tok Guru sendiri memanggil dan menjelaskan saya yakin kedua mereka tidak akan berani membantahkan.

Menyuruh Rushdan atau Abdul Hamid "dengar dan patuh" terhadap apa yang berlaku adalah tidak adil. Mereka tidak diperdengarkan tiba-tiba minta memathuinya. Cuba pulangkan ayat dan perkataan itu kepada diri sendiri. Kalau Abdul Fatah dan Abdul Rahim duduk di tempat Rushdan atau Abdul Hamid apakah mereka sedia mematuhinya?

Baik Abdul Fatah atau Abdul Rahim kalau mereka ikhlas dan jujur mereka kena patuh kepada kondisi mereka ketika ini. Keduanya sudah lanjut usia. Abdul Fatah sudah dua penggal menjadi calon Parlimen. Manakala Cikgu Abdul Rahim pula sudah dua penggal menjadi speaker. Eloklah kalau mereka patuh kepada realiti itu bahawa mereka sudah mendapat apa yang mereka inginkan menerusi Pas. Jangan sesekali menjadi jawatan wakil rakyat itu sebagai tempat mencari rezeki. Jadikanlah ia sebagai tempat untuk berkhimmat kepada rakyat.

Sebenarnya Rushdan sendiri tidak mengharap untuk menjadi calon kalau tidak ada janji dari Abdul Fatah sendiri. Beliau juga sedar dan insaf siapa dirinya dalam konteks Pas Rantau Panjang. Beliau adalah warga Pas yang baru namun mempunyai komitmen dan semangat tinggi kepada parti.

Meneliti kejadian

Barang kali adalah wajar juga untuk Cikgu Abdul Rahim meneliti kejadian ini. Beliau harus membuat semakan semula sejauh mana kesan ke atasnya sekiranya 'masalah' Rushdan di Rantau Panjang itu tidak dapat diselesaikan. Tidak ada gunanya kalau Cikgu Rahim menjadi calon tetapi beliau akan tewas di Rantau Panjang!

Bukan itu saja kalau masalah itu tidak selesai ia akan memberi impak kepada DUN Bukit Tuku di mana Abdul Fatah disebut-sebut akan bertanding di situ.

Walaupun Abdul Fatah mempunyai ramai waris di DUN Bukit Tuku namun ia adalah kubu Rushdan semasa di dalam Umno dulu. Khabarnya Rushdan mempunyai kira-kira 400 pengikut setia di situ. Apakah kata kalau kira-kira hanya 300 pengikut Rushdan itu tidak mengundi Abdul Fatah ia sudah cukup untuk menewaskan Abdul Fatah di Bukit Tuku.

Abdul Fatah sendiri kenapa ingat beliau pernah tewas di Bukit Tuku ditangan Zakaria Botok tahun 1986. Beliau kalah dengan kekurangan undi sebanyak 372 undi. Kalau tidak kena catur mungkin sejarah itu akan berulang kembali. Kalau Abdul Fatah kalah ditangan Mohd Zain ia sangat memalukan kerana Mohd Zain adalah budaknya suatu masa dulu ketika Mohd Zain dalam Pas. Dalam pilihan ke-11 lalu Mohd Zain menang dengan majoriti 868 mengalah Hussein Ibrahim.

Apapun kepada Rushdan diharapkan jangan begitu emosi. Kalau tertakdir beliau sudah tidak terpilih untuk menjadi calon atas alasan seperti mana diberikan beliau orang baru - (baru masuk Pas) hendaklah menerimanya dengan hati terbuka. Istiqamahlah dalam perjuangan kerana istiqamah itulah kemenangan sebenarnya.

Apa yang kena ingat dan insaf manusia hanya merancang tetapi Tuhan jua yang menentukannya. Jangan letak kepentingan diri di hadapan sebaliknya utamakannya dulu kepentingan perjuangan kerana Allah. Allahuakbar! BERSAMBUNG... Esok cerita dari Kota Bharu. [wm.kl 16/02/08]

No comments: