Sunday, November 25, 2007

Ulasan Peristiwa

Ribuan Masyarakat India Dilapor Keluar Untuk Berhimpun di Kedutaan British
Orang Tidak Endah dan Hormat Lagi Larangan Polis

MSO

PAGI ini saya tidak berada di mana-mana lokasi untuk melihat atau menyertai himpunan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang dirancangkan akan diadakan di hadapan kedutaan Bristish. Kesihatan sejak malam tadi tidak berapa mengizinkan. Namun atas sifat penulis dan wartawan saya memantau dari sumber-sumber tertentu dan menghubungi rakan-rakan penulis wartawan lain yang turun ke lokasi.

Sesuatu yang mengejutkan juga pagi ini bila mana himpunan yang dihalang dan dilarang pihak polis begitu rupa berjaya juga diadakan. Walaupun matlamatnya untuk menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan British tidak kesampaian, namun pihak yang mendalangi himpunan itu boleh berbangga kerana panggilan mereka tetap juga disahut.

Walaupun polis sejak semalam lagi telah membuat kerja yang menyusahkan pengguna jalan raya dan rakyat yang hendak masuk ke Kuala Lumpur dengan 'menyempitkan' jalan menuju ke ibu kota, namun himpunan itu tetap juga berlaku. Kebanyakan jalan menuju ke ibu kota disempitkan menjadi satu atau dua lorong saja.

Laporan beberapa protal berita internet seperti Harakahdaily menyatakan matlamat untuk mensasarkan 10,000 masyarakat Hindu di ibu kota pagi ini berjaya. Mereka datang awal-awal pagi dengan berbagai cara dan sanggup berjalan kaki apabila disekat dan dihalang memasuki jalan terutamanya menunju ke kedutaan Bristish.

Dua tempat dilaporkan menjadi lokasi perhimpunan, di perkarangan bangunan KLCC dan juga di Batu Cave, Selangor. Sekitar Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak (Pekiling) di mana kedutaan Bristish ditempatkan dikawal rapi. Polis dan SB berkubu di situ sejak kelmarin lagi.

Dipetik dari laporan berita NTV7 jam 1:30 petang seramai 200 orang telah ditangkap berhubung himpunan berkenaan.

Persoalan ini timbul kini apakah sudah jadi dengan polis? Polis telah mengarahkan supaya jangan adakan himpunan, nampaknya larangan itu tidak diedahkan. Kelmarin untuk mengagalkan himpunan berkenaan polis telah mengambil tindakan dengan menangkap dan mendakwa sekurang-kurang tiga orang pemimpin Hindraf.

Tiga yang ditangkap ialah Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy, penasihat undang-undang Hidraf P Uthayakumar dan V.S. Ganapathi Rao.

Jelas tangkapan itu tidak menakutkan orang ramai untuk datang berhimpun malah masyarakat India menjadi semakin bersemangat lagi.

Apa yang berlaku semasa himpunan 100,000 lalu nampaknya berulang pada pagi ini. Orang ramai jelas tidak gerun dengan gertakan polis. Bahkan gertakan dan larangan itu disambut dengan rasa penuh semangat dan semakin gila untuk menghadiri himpunan berkenaan.

Sudah sampai masanya pihak polis menyemak tindakan dan cara mereka untuk menangani himpunan seperti itu. Mungkin cara gertak, ugut dan melepaskan gas pemedih mata atau menyembur water cannon tidak ditakuti lagi. Ketua Polis Negara Musa Hassan mungkin perlu mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku ke atas pasukan polis itu. Bahawa kedudukan pasukan polis di mata umum kini begitu buruk sekali.

Mungkin juga rakyat negara ini terutama bagi mereka yang gemar berdemonstrasi sudah mangli dengan segala senjata klasik itu. Fenomena ini membimbangkan lama kelamaan demonstrasi jalanan sudah menjadi budaya dan tradisi pula di negara ini, seperti mana di Jakarta. Di Jakarta demonstrasi diadakan hampir setiap hari.

Justeru untuk memastikan perkara itu tidak menjadi realiti tindakan awal hendaklah diambil. Paling afdal ialah pihak polis jangan terlalu kedekut atau prejudis sangat untuk mengeluarkan permit untuk berhimpun. Kepada Abdullah Ahmad Badawi pula tidak seharusnya mendiamkan diri dan perlu berbuat sesuatu sebelum para demonstran turun ke jalan raya mendesak agar beliau undur! [wm.kl 12:30 t/h 25/11/07]

No comments: