Wednesday, November 7, 2007

Intipati Ucapan Abdullah

Abdullah Menyerlahkan Sedikit Keberanian

PEMBENTANGAN ucapan dasar ke-4, Abdullah Ahmad Badawi selaku presiden Umno tidak banyak berubah dengan tiga ucapan sebelum ini. Aspirasi dan semangatnya masih sama, serdahana dan tidak meremangkan bulu roma.

Kalau boleh dikatakan ucapan kali ini sedikit menarik ialah bersangkutan teguran terbuka Abdullah terhadap rakan dalam parti komponen yang telah menimbulkan dan mensesasikan beberapa isu sebelum ini.

Abdullah nampaknya berani dan tidak menyembunyikan apa yang terpendam di dalam sanubarinya selaku seorang Melayu. Presiden Umno itu menunjukkan kuasa selaku Presiden sebuah parti yang menjadi tulang belakang kerajaan. Sudah lama teguran dan sikap Abdullah yang sebegitu ditunggu-tunggu oleh Umno dan orang Melayu.

Teguran kali ini membuang tuduhan yang beliau lemah dan lembek. Sikap berterus terang dan tegas memberi isyarat kepada kaum lain agar tidak mengungkit dan mensesasikan isu-isu berhubung kepentingan Melayu yang telah dipersrtujui sejak lama dulu.

Beliau juga mengingat agar kaum lain jangan meragui dan sangsi kepada ketulusan dan pendirian Umno dalam membangun negara secara bersama.

Beliau meminta agar parti-parti bukan Melayu memperakui kekujuran Umno dalam merealisasikan perkongsian kuasa demi kesenimbungan pembangunan dan mengekalkan kekuasaan.

Sikap terus terang itu menunjukkan beliau kurang senang dengan gelagat sesetengah parti komponen yang menyentuh soal kepentingan Melayu dan memberi gambaran bahawa tahap kesabarannya juga terhad.

Misalnya mengenai isu hunus keris dilakukan oleh Pemuda Umno menurutnya adat itu adalah budaya orang Melayu turun temurun. Apabila isu itu diungkit ia menggambarkan bahawa kaum bukan Melayu masih tidak faham dan mengerti mengenai budaya dan akal budi orang Melayu termasuk dalam penggunaan keris dalam sesuatu upacara rasmi.

"Keris digunakan bukan untuk menikam kawan tetapi digunakan untuk membela diri dan juga membela kawan," ujarnya disambut dengan tepukan gemuruh. Secara sinis beliau mahu mesej itu disampaikan kepada para pemimpin BN, sedangkan para pemimpin BN berada di bawah semasa beliau mengucapkan itu.

Walaupun begitu nampaknya Ab
dullah berhati-hati membuat teguran. Dalam berani ada penakutnya. Beliau waspada takut perpaduan dan perkongsian kuasa yang wujud dalam BN hati ini terburai.

Untuk mengimbangkan kritikan itu jangan sampai pemimimpin parti komponen terasa hati, Abdullah telah mengusik pembangkang dengan mengingatkan pembangkang agar tidak membuat pentafsiran sempit mengenai agama.

Katanya agama bukan hak eksklusif mana-mana pihak dan jangan sempitkan tafsiran Islam sebagai pegangan politk sesebuah parti. Pesanan itu dituju khas kepada Pas. Pada saya kritikan kecil itu sebagai pemanis mulut sahaja untuk tidak memperlihatkan beliau bersikap ekstrim kepada Melayu.

Kesimpulannya, walaupun Abdullah tidak mempelawa kerjasama langsung orang Melayu berada dalam sebuah parti tetapi apa yang nampak beliau tidak sukar kepada kontroversi dan sangat berpegang kepada kesedarhana seperti mana yang diamalkan dalam Islam Hadhari.

Disepanjang ucapan selama 1 jam 20 minit mungkin kosong kepada sesetengah pihak terutama yang tidak sabar untuk menghadapi pilihan raya umum ke- 12, kerana Abdullah langsung tidak menyebut fasal pilihan raya umum ke-12 akan datang. Dalam hal ini Abdullah bijak membaca keinginan orang dan mengantungkan rasa ingin tahu orang ramai menyebabkan selamanya beliau menjadi perhatian.

Beliau berbuat begitu kerana beliau mahu terus orang berteka teki mengenai tarikh pilihan raya dan selagi orang berada dalam keadaan itu maka selama itulah orang akan mengingatinya. Rupa-rupanya Abdullah ini ada juga nafsu agar orang terus memberi perhatian kepadanya! [wm.kl 12:00 pm 07/10/07]




No comments: