Tuesday, October 30, 2007

Pelancaran Ecer 2

Umno Letih Sa'ja Petronas Beri Duit Kepada Pas?

MSO

MAJLIS Perlancaran Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) merangkumi negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Mersing sudah selesai dengan jaya dan sempurnanya. Majlis itu menjadi sejarah terutamanya di Kota Bharu kerana ia menampilkan dua pemimpin dari parti berbeza, Abdullah Ahmad Badawi selaku PM dan Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai MB Kelantan.

Seperti mana diakui Nik Aziz itulah kali pertama beliau diajak untuk duduk dalam majlis rasmi dan diberi peluang berucap selama 17 tahun menjadi MB dan mentadbir Kelantan. Mungkin beliau tidak akan melupainya dan sekaligus menolak tanggapan buruk ke atas Abdullah selama ini yang kurang menghormatinya berbanding Dr Mahathir Mohamad.

Tiada apa yang tidak sempurna pada majlis berkenaan, melainkan seperti yang dicatat sebelum ini berhubung ucapan Nik Aziz yang dianggap kurang manis. Lainnya berjalan dengan lancar. Kira-kira lebih 20,000 yang hadir (3/4 adalah orang Pas) berpuas hati. Rakyat Kelantan bangga dan gembira apabila MB mereka diberi peluang berucap di pentas sama dengan Perdana Menteri walaupun ucapan Nik Aziz tidak disiar kan secara langsung.Pendeknya semua bersurai dan pulang dengan senyum lebar, mulut hingga sampai ke pipi. Setidak-tidak terbetik dalam hati mereka 'selepas ini Kelantan akan maju' dan mereka mengakui janji Abdullah selama ini bahawa beliau adalah PM untuk semua negeri dan tidak akan menyisihkan Kelantan.

Begitulah persepsi dan tanggapan rakyat bawahan. Sepasang suami isteri berusia 60 tahun ketika berjalan pulang berbisik sesama sendiri, apakah Nik Aziz dah berbaik dengan Dollah Badawi?

Boleh berangan

Samada pelan itu akan mencapai sasaran sukar untuk dibayangkan kerana mengambil masa 12 tahun. Jika mengikut pandangan pengkritik yang dengki kepada Abdullah dan senantiasa prejudis, mereka melihat pelan itu hanya sekadar pelan sahaja sedangkan wangnya tidak ada! Namun yang jelasnya rakyat Kelantan kini boleh berangan-angan dengan projek itu sama dengan negeri-negeri lain yang juga mendapat pelan sedemikian.

Rasa puas hati juga nampaknya timbul di kalangan pemimpin Pas. Bagi Pas majlis itu adalah majlis mereka. Apabila Petronas yang menjadi arkiteknya memberi kuasa dan kepercayaan untuk mengatur dan mengundang jemputan kepada kerajaan Kelantan.

Terutamanaya Tok Guru merasakan mereka kali ini dihormatinya dan kejadian itu adalah takdir Allah kepada Pas Kelantan di atas kesabarannya selama ini.

Timbul juga rasa pelik atas apa yang berlaku itu. Apakah kepercayaan Petronas itu kerana mereka bimbang kalau majlis itu diserahkan kepada Umno dari segi jemputan dan undangan majlis itu tidak akan semeriah itu? Kemungkinan ini ada kebenaran apabila kehadiran Abdullah ke Kelantan tidak lama dulu kurang mendapat sambutan.

Jadi bagi mengelakan majlis itu muram dan kurang mendapat sambutan serta tidak mengecewakan Perdana Menteri setiap kali menjejak kaki ke Kelantan, Petronas bijak menyerahkan kepada Kerajaan Kelantan untuk mengundang orang ramai dan membelakangnya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan juga Umno Kelantan.

Dan ternyata tugas kerajaan Kelantan dan Pas itu tidak sia-sia apabila jumlah yang hadir kelmarin adalah jumlah teramai pernah berlaku dalam majlis melibatkan Abdullah di Kelantan. Seluruh pegawai Kerajaan dan Exco juga hadir.

Bagaimana pun bak kata pepatah, pahat tetap akan berbunyi kandatipun rumah sudah siap. Seperti dalam kenduri ada-ada saja orang yang tidak berpuas hati mengatakan dia tidak dapat itu dan tidak dapat ini. Begitu juga dengan majlis semalam terdengar ditelinga saya bahawa apa yang berlaku semalam kurang disenangi oleh pihak Umno.

Umno Kelantan dikatakan merasa terhina dan marah dengan perjalanan majlis dan menganggap ianya telah memberi political mileage percuma kepada Pas Kelantan.

Menjadi kenyataan

Umno Kelantan kesal dengan apa yang berlaku dan menganggapnya ia sepatutnya tidak berlaku. Perkara yang berlaku itu juga khabarnya telah dibimbangi awal-awal lagi yang mana majlis itu akan mendapat political mileage kepada Pas telah menjadi kenyataan.

Kononnya nasihat dan pandangan sudah diberi supaya jangan membabitkan kerajaan Kelantan terlibat begitu jauh. Sewaktu perbicangan dengan pihak Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sudah ada pihak yang tidak senang dengan tindakan Petronas melibatkan Kerajaan Kelantan itu dan mendesak agar Umno yang menguruskannya.

Bagaimana pun desakan itu tidak dipedulikan oleh Petronas kerana Petronas telah mendapat arahan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar Kerajaan Kelantan dibabitkan sama. Sememangnya arahan JPM itu rasional kerana pelan itu melibatkan Kerajaan Kelantan secara langsung.

Khabarnya apa yang menjadi kemarahan dan timbul rasa terkilan Umno apabila MB telah mengambil kesempatan menyinis sebegitu rupa para pemimpin Umno terdahulu di hadapan Prersiden parti mereka, Abdullah.

Dan ada orang Umno menyifatkan majlis pelancaran semalam juga telah merugikan Umno. Umno hanya 'letih saja' (buang tenaga percuma) sementara yang untungnya Pas. Petronas pula turut sama dikecam kerana telah menghabiskan wang berjuta-juta ringgit untuk memberi imej kepada Pas Kelantan dalam saat parti itu sudah mulai diperkatakan ekoran tindak tanduk beberapa kerat pemimpinnya.

Mendengar jeritan pahat ini timbul juga kemusykilan. Kenapa mereka harus mempersoalkan tindakan Ptronas itu? Kalau mereka mendapat arahana dari JPM, bermakna arahan itu adalah atas kehendak PM sendiri. Dan kalau PM sudah berkehendak begitu usahlah pertikai dan terima sahajalah dengan hati terbuka. Lagipun selama ini Umno Kelantan termasuk Annuar Musa serindiri sering melaungkan yang beliau bersedia berkerjasama demi masa depan rakyat Kelantan.

Apa yang penting sekarang ialah buktikan.

Dinasihatklan untuk menyedapkan hati atas ketidaksempurnaan itu bagi Umno anggaplah apa yang berlaku itu sudah tertakdir demikian atau pun tersalah teknik kerana terlalu sangat ingin bermain politik. [perdana.kb 11:30 am 30/10/07]

No comments: