Monday, October 22, 2007

Catatan Sebelum Tidur

Politik Rasional Nik Aziz

ANTARA sebab kenapa saya suka kepada Tok Guru Nik Aziz (Tokguruku) ialah beliau banyak menggunakan rasional daripada muslihat dalam berpolitik. Beliau lebih banyak ikhlas daripada hipokrit dalam politik. Tidak menunju-nunjuk atau pun terlalu bereksperimental usaha mendapatkan kuasa seperti setengah orang.

Setengahnya suka sangat bereksprimen sampai tidak kecukupan alat hingga terpaksa guna seluar dalam atau baju tidur, dan orang lain terpaksa tecungap-cungap cuba memahami dan mentafsirkan politiknya.

Mata Nik Aziz sentiasa cerah dan hatinya juga bersih. Beliau tidak akan mengatakan tahu kepada perkara yang dia tidak tahu dan suka berterus terang. Begitu juga tidak akan mudah mengatakan tidak tahu kepada yang tahu. Apa lagilah mempermainkan orang atau bersikap macam kucing timbus tahi, jauh sama sekali.

Sikapnya memuji projek angkasawan menjelaskan akan politik tulus dan ikhlas yang diamalkan. Beliau tidak kira walaupun pandangan berhubung projek itu berbeza dengan sesetengah ahli dan pemimpin Pas lain, tetapi dia tetap dengan pendiriannya. Yang benar tetap benar walaupun siapa melakukannya.

Beliau memuji dan menganggap projek berkenaan tidak membazir bahkan katanya dituntut oleh Islam. Mungkin orang tidak setuju apabila beliau memuji dan tidak mengkritik atas dasar untuk memburukkan Kerajaan.

Kalau tidak silap saya, kenyatan Nik Aziz itu adalah kenyataan pertama dari pemimpin tertinggi Pas. Pemimpin lain nampaknya sedang mencari idea dan mengenal sudut-sudut negatif untuk mengulas berhubung projek berkenaan.

Walaupun ada dua tiga orang pemimpin bilis mengulas dan menyinis projek angkasawan itu saya menganggap ia adalah habit saja atau jenis kanta matanya tidak akan nampak sesuatu yang baik di pihak lain dan senantiasa nampak kebaikan sendiri saja.

Sewajarnya pemimpin Pas dan sesiapa juga belajar berpolitik dan bercakap benar berdasarkan fakta seperti mana Nik Aziz lakukan. Percayalah perjuangan yang haq itu akan menang dengan hujah, pendekatan dan startegi yang menempati syarie' saja. Mana-mana pendekatan atau strategi lain daripada itu ia tidak akan memenangkan perjuangan yang haq.

Sebenarnya kita tidak perlu takut untuk memuji kebaikan orang lain yang menepati apa yang kita perjuangkan. Sebaliknya kita menyokong apa juga kebaikan itu tanpa mengira siapa melakukannya. Seperti saya tegaskan, keburukan bukan saja datang daripada Umno dan bukan semua kebaikan itu datang daripada Pas. [wm. kl 11: 41 pm 22/10/07]


No comments: