Thursday, September 6, 2007

Sayang Kelantanku...

Jihad Ternak Jihad Benak
Siri 8 (Baru)

Penjelasan Orang Baju Merah Yang Tidak Jelas

TANGGAL 30 Ogos lalu Pas negeri Kelantan telah mengadakan pertemuan khas dengan jentera parti peringkat tertinggi dari seluruh kawasan Pas di negeri itu. Perjumpaan itu berlangsung secara tertutup dan penuh rahisa di Pusat Terbiah Islamiah Pas (Putik), Pengk
alan Chepa.

Setiap yang hadir juga dikehendaki berba’iah (berjanji) dan bersumpah tidak akan membocorkan rahsia mengenai butiran perjumpaan itu. Bai’ah itu akan menyebabkan seseorang yang membocorkan akan dilaknat Allah s.w.t.! Nauzubilahiminazalik...

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut sama hadir. Apakah Tokguruku itu juga diminta berba’iah dan berjanji tidak akan merahsiakan butiran pada pertemuan itu dan hanya mesti akur dan dengar saja dengan penuh khusyuk dan tawaduh? Atau pun beliau yang merestui ba’iah demikian?

Mengapa sampai bai’ah? Apakah Pas sudah tidak percaya sesama sendiri lagi. Sudah sangsi kepada kejujuran dan ketulusan sahabat? Kalau sesama sendiri tidak boleh dipercayai maka lemahlah Pas sebagai sebuah harakah Islamiah. Dan apakah ahli Pas diminta agar merahsia atau menyembunyikan juga sesuatu itu meskipun ianya tidak benar dan bohong?

Rasanya Islam tidak mengajar pemeluknya berbuat demikian. "Berterus terang itu lebih baik dari segala-galanya", itu falsafah saya. Apa yang diajar oleh syariah Islam ialah katakan sesuatu itu meskipun pahit! Namun di akhir-akhir ini jarang orang sanggup berkata sesuatu yang pahit itu, tetapi lebih untuk mendiamkan sesuatu kemungkaran itu asalkan ia dibayar sedinar dua menjelang hari raya.

Ketelusan kepimpinan

Pertemuan tertutup dan berba’iah itu diadakan untuk menjelaskan beberapa isu atau perkara yang menjadi hangat ketika ini. Isu-isi itu berpotensi dan bakal menjadi modal besar dan boleh mengugat kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada ketelusan kepimpinan Pas di Kelantan. Sekiranya ia tidak dijelas dengan baik, isu ini juga akan menjadi modal pilihan raya oleh Umno nanti.

Isu-isu itu ialah;

  1. Isu projek Jihad Ternak atau dikenali dengan nama projek kambing Jamnapari.
  2. Isu siasatan BPR ke atas Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd, dan
  3. Isu laporan kepada BPR berhubung penyelewengan dalam majlis Daerah Machang yang melibatkan tiga orang Adunnya.

Isu-isu ini muncul selepas meletupnya isu pembotokan di tanah tinggi Lojing Gua Musang tidak lama dulu dan juga isu pemberian kawasan Hutan Simpan di Kuala Krai kepada sebuah syarikat pembalakan milik bangsa Cina daripada parti Gerakan dan juga isu kelulusan hutan simpanan kepada pihak istana!

Bagaimana pun isu tanah Tinggi Lojing bolehlah dianggap sudah reda apabila beberapa syarikat yang terlibat dalam penggodolan tanah tinggi itu yang melanggari peraturan alam sekitar sudah di heret ke mahkamah. Jelas dalam isu tanah tinggi itu ianya adalah rekaan Umno semata-mata?

Isi kambing

Bagaimana pun saya tidak akan mengulas isu-isu lain di sini, dan akan cuba memberi penjelasan berhubung isu kambing jamnapari sahaja. Ini kerana maklumat berhubung isu ini banyak terkumpul dalam kepala saya dan saya tahu cerita dari awal hingga kini (akhir). Saya rasa sayalah orang paling berhak untuk menceritanya dengan seadil-adil dan setelusnya. Isu lain seperti kelulusan hutan simpan kepada orang istana atau kelulusan kawasan balak akan dibincangkan pada kesempatan lain jika sesuai dan perlu.

Kepada mereka yang baru mengetahui isu ini, sila buka balai simpanan rencana saya di blog ini. Sudah tujuh siri saya menulis perihal Jihad Ternak yang saya namakan Jihad Benak ini.

Penjelasan isu kambing di Putik itu dibuat oleh orang berbaju petak-petak merah. Memang wajar orang ini membuat penjelasan kerana beliau terlibat dari awal dengan projek berkenaan. Beliau mengetahui dari segenap celah dan lubang mengenainya. Dialah yang mencetuskan ilham punjangga dan idea kemudian membawa rakan kongsi Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Berhad iaitu Datuk Amin Pipet dan Muhamad Fauzi Daud ke Kelantan bagi mengusahakan projek berkenaan.

Jadi beliau tidak boleh mengelak untuk mengatakan dia tidak tahu menahu berhubung projek berkenaan. Hamis kambing dan juga lemak jamnapari yang beliau telan sudah pun meruap di hidung orang ramai. Di rumahnya sendiri ada beberapa ekor kambing jamnapari yang dibeli dengan harga RM66,400 (Ringgit: Enam puluh enam ribut empat ratus sahaja). (Jangan persoalan di mana wang itu diambil dan bagaimana kaedah dan caranya, nanti beliau marah! Perkara itu juga tidak perlu dibangkit buat masa ini).

Angka kambing miliknya juga mungkin bertambah sebab baru-baru ini tiga daripada lima ekor kambing yang diberikan kepada pencerut rumput untuk kambingnya bernama Ismail dikatakan telah ditarik balik atas sebab-sebab hanya Allah talaa sahaja yang tahu. Macam kereta kena tarik bunyinya! Cerita ini juga ada dimuat dalam blog ini, sila klik dan baca.

Orang baju merah berpetak-petak sebenarnya mahu melarikan diri dari isu kambing berkenaan. Sikap itu tidak menghairankan kerana sudah kerap kali dia bertindak lempar batu sembunyi tangan dan tidak bertanggungjawab atas apa-apa yang boleh menimbulkan risiko dan menjejaskan imejnya. Tetapi seperti kata tadi kerana hamis dan lemaknya sudah melampau, beliau tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa juga bercakap mengenainya walaupun dia sangat membencinya.

Berpuas hati

Betapa pun beliau cuba bercakap dan menjelaskan mengenainya namun orang tidak akan berpuas hati. Kerana penjelasan beliau itu samalah seperti kerja kucing yang menimbus tahinya yang cair. Walaupun keempat-empat kaki digunakan untuk menimbus tahinya, namun ia tidak berhasil kerana ia terlalu banyak dan mencair. Makin cuba ditimbus makin meleleh tahi itu. Nah begitu juga lagak orang baju berpetak-petak merah itu mengenai isu kambing ini.

Kita boleh menyembunyikan rahsia dengan putaran seribu bahasa dan kata-kata, tetapi kita tidak mampu menyembunyikan sesuatu yang terpendam di dalam diri kita. Sebab itulah ada orang yang kelihatan sihat tiba-tiba mati, kerana dia menghadapi sindrom menyembunyikan penyakit (kebenaran) atau mengaku sihat walaupun dia sebenarnya sakit. Lama kelamaan orang itu akan mati kojol begitu sahaja. Begitu juga dengan orang baju petak-petak merah dia banyak ‘penyakit’ yang disembunyikan sebenarnya.

Ada beberapa perkara yang dijelaskan oleh orang baju petak-petak merah mengenai kambing dalam perjumpaan itu.

  1. Dia menafikan dia terlibat dengan projek berkenaan.
  2. Projek berkenaan tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Negeri.
  3. Ianya sengaja dihebuh dan ditimbulkan oleh orang tertentu.

Di sini saya akan menjelaskan satu persatu apakah penjelasan atau kata-kata orang baju merah petak-petak itu benar dan boleh menyelesaikan segala permasalahan berhubung isu berkenaan.

Tidak terlibat dengan projek berkenaan.

Hari ini sesudah projek itu gagal dan memalukan Kerajaan, orang baju merah petak-petak cuba mengalihkan perhatian dengan meletakkan projek itu ke atas bahu Exco Pertanian, Dr. Nik Mazian Nik Mohamed. Menurutnya projek itu ditangani oleh Dr. Nik Mazian dan bukan di bawah bidang kuasanya.

Barangkali dia melupai sejarah dan asal usul projek itu siapa yang mencetus dan mencari hadith-hadith mengenai kambing semata-mata untuk membawa balik projek itu? Memang mengikut bidang kuasa Exco, Dr. Nik Mazian yang bertanggungjawab dengan projek itu. Dalam hal ini Dr. Nik Mazian sebenarnya pelaksana saja mengikut arahan dan suruhan si baju merah petak-petak. Dalam kata lain Dr. Nik Mazian adalah pemikul biawa hidup yang ditangkap oleh orang baju merah petak-petak.

Sewaktu hendak mulakan projek ini si baju merah petak-petak telah membawa Nik Mazian bersama beberapa Exco lain dan juga Pengarah Syarikat milik kerajaan negeri melawat ladang kambing Mohd Amin Pipet di Batang Berjuntai Selangor. Tujuannya, ialah beliau mahu mempengaruhi dan membuka mata Dr. Nik Mazian kemudian melaksanakannya. Hajat beliau itu memang baik sebab orang dungu dan tidak berapa cerdik perlu ditunjuk dan diajar. Sebagai pakar bedah manalah Dr Ni k Mazian tahu sepak terang politik.

Rakan kongsi

Segala urusan dan peracangan mengenai projek itu dia yang uruskan. Dia yang berbincang dengan Mohd Amin dan mencari rakan kongsi bagi pihak Kerajaan Kelantan iaitu Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Berhad. Semua perbelanjaan dan peruntukan kewangan dicari dan dicokeh oleh si baju merah petak-petak. Zulkefli Yaaocb bekas Adun Guchil arif mengenai hal ini.

Sebanyak RM6 juta dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun Akademi yang sebahagian bertujuan digunakan untuk melaksanakan projek berkenaan. Projek itu selain dibantu oleh akademi, ianya dibantu oleh individu lain yang dikenali menjadi proxy si baju merah petak-petak. Seorang proxy telah mengeluarkan wang dari akaunnya sendiri sebanyak RM500,000 untuk tujuan projek itu.

(Saya tidak mahu menyebut proxy berkenaan, dan juga plot bagaimana orang ini memperolehi wang. Jika ada permohonan akan disebut pada masa dan ketika yang sesuai).

Dengan senario itu bagaimana si baju merah petak-petak hendak menafikan yang dia tidak terlibat! Saya yakin dan percaya kalau sekiranya projek berkenaan berjalan lancar dan sukses beliaulah yang mendabit dada dan mengakui bahawa projek itu dialah pencetusnya.

Projek berkenaan tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Negeri.

Memang syarikat Mohd Amin dan Akademi tidak ada sebarang perjanjian langsung dengan Kerajaan Negeri. Tidak ada MoU seperti biasa kita lihat di mana dilakukan penyerahan atau penandatangani yang disaksikan oleh Exo atau MB kemudian di keluarkan dalam akhbar-akhbar pro-Pas. Tidak ada.

Bagaimana pun aktiviti dan hubungkaitnya sangat jelas. Menerusi janji dan hasrat si baju merah petak-petak kemudian diikrarkan pula oleh Dr. Nik Mazian, mereka berjanji akan membeli kambing-kambing dari Jihad Ternak itu untuk dibahagikan kepada rakyat.

Untuk tujuan itu kursus telah diberikan kepada peserta (mentol penternak kambing). Kursus ini berjalan mungkin tidak diketahui oleh si baju merah petak-petak sebab beliau tidak pernah hadir ke Rong Chenak.

Itu mungkin boleh dipertikaikan lagi kerana ianya tidak ada dokumen nyata. Tetapi bagaimana dengan surat tawaran dan tempahan kambing sebanyak 750 ekor menerusi Exco Pertanian kepada Jihad Ternak dan menerusi Mohd Amein? Bukankah tempahan dan jaminan itu menandakan ianya ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri? Cop (rubber stamp) ke atas surat tawaran itu juga ada perkataan Kerajaan Negeri.

Perkara dan kedudukan ini jelas. Mengapa si baju merah petak-petak melarikan isu itu kerana tidak mahu menyusahkan Kerajaan. Dia sudah sedar kerja beliau itu menumpahkan najis kepada orang lain. Seluruh orang Pas menjadi pening kepala dengan tindak tanduknya yang suka membuat keputusan secara bersendirian kemudian dipaksa orang lain turut memikulnya.

Kerana egonya

Dalam isu kambing ini ia mencacatkan kehebatan dan kebijaksanaan orang baju merah petak-petak selama ini. Kerana egonya maka beliau kini terpaksa terperangkap dalam masalah yang diciptanya sendiri itu. Sekiranya beliau mengorbankan sedikit perasaan ego, bongkok dan sombongnya untuk mengadakan sedikit perundingan atau pertemuan isu ini tidak akan berlanjutan. Beliau kena sedar bukan semua orang di Kelantan beliau boleh perkambingkan!

Ianya sengaja dihebuhkan oleh orang tertentu.

Menurut orang baju merah petak-petak itu, isu kambing itu sengaja dihebuhkan oleh orang tertentu. Orang tertentu itu ianya ditujukan kepada saya (Mohd Sayuti Omar). Beliau tidak payah menyembunyikan nama saya, sebut secara terus terang. Tidak perlu takut. Apa perlu takut untuk menyatakan yang haq? Amalan dan prinsip saya, seorang kawan kalau ia sudah bersalah, ia tetap tidak boleh dikatakan benar dan baik!

Apa yang saya hebuhkan? Saya mengaku saya yang menjadi punca segala-galanya. Daripada membawanya berjumpa Mohd Amen atas kehendaknya (orang baju merah petak-petak) kemudian mempersoalkan beberapa perkara yang tidak wajar berlaku sehinggakan isu ini berpanjangan. Terus terang saya katakan, saya jenis manusia yang tidak boleh kompromi dengan kemunkaran. Saya tidak akan peduli siapa. Saya sangat benci dan alergik dengan kemunafikan.

Saya tidak sengaja menghebuhkan tanpa sebarang sebab. Sebab-sebab ini telah disebutkan dalam siri-siri sebelum ini, lihat di balai simpanan rencana di bawah icon “Sayang Kelantanku.” Ia bukan juga kerana wang. Kalau kerana wang sudah lama saya menerima 'pemberian' kawasan balak daripada Tok Guru Nik Aziz.

Masalah kambing ini masih belum selesai. Penjelasan yang dibuat oleh orang baju petak-petak merah itu semakin mengeliru dan menyerabutkan. Kalau ianya sudah tidak betul, ia tidak boleh diperbetulkan. Belok tetap akan menjadi belok tidak usahlah perbetulkannya.

Untuk pengetahuan umum kedudukan Jihad Ternak kini dalam perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Setakat ini Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah memberi kuasa sementara kepada Mohd Amin untuk menguasai ladang berkenaan yang terletak di Rong Chenak, Pasir Mas.

Pada 16 September hadapan Mahkamah sama akan mendengar perbicaraan terhadap kes berkenaan. Pihak Akademi telah membuat injuksi balasnya. Seperkara lagi yang boleh menggegerkan ialah pihak Mohd Amin dikatakan akan mengemukakan satu writ saman ke atas Kerajaan Negeri menerusi Exco Pertanian menuntut sejumlah bayaran ke atas kambing yang dioder tetapi ditolak pada saat-saat akhir.

Alasan penolakannya ialah kambing yang ditawarkan Mohd Amin terlalu mahal. Anih bin ajaib binti pelik dan binti memusykilkan, al massykura... al massyukura... orang baju merah petak-petak sanggup membayar sebanyak RM66,400 untuk beberapa ekor kambingnya, tetapi dianggap mahal untuk diberikan kepada rakyat.

Oh mungkin di sinilah tulus dan jujurnya orang baju merah petak-petak, beliau tidak sanggup membazirkan wang kerajaan tetapi rela menghabiskan wangnya sendiri. Sebab beliau ini adalah seorang yang cukup berhati-hati untuk membaham wang rakyat!

Persoalannya apakah ini bermakna beliau lebih kaya berbanding kerajaan negeri? [seremban, 05/09/07]

No comments: