Sunday, August 26, 2007

Rencana Khas

Ideologi dan Professionalism Pecahkan Melayu

MSO

ORANG Melayu yang rata-rata mengaku beragama Islam seharusnya mempunyai perpaduan (ukhwah) yang kuat dan teguh. Salah satu ciri yang menguatkan keimanan seseorang Islam itu sendiri adalah persaudaraan. Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan, apabila ditanya apakah tanda-tanda ahli syurga Rasulullah s.a.w. menjawab mereka yang mempunyai tali persaudaraan - ukhwah yang kuat dan kukuh.

Perpaduan di dalam Islam atau kehidupan umpama batu-bata yang saling lengkap melengkapi dan kemas mengemaskan antara satu sama lain untuk membina sebuah gedung tinggi. Hasil daripada perpaduan yang konkrit itulah memungkinkan sebuah bangunan tinggi beratusan tingkat itu tegak mencengkam bumi.

Nah, itulah juga pendekatan yang perlu diambil oleh bangsa Melayu kalau mereka mahu tegak berdiri dan terus berkuasa di negara ini. Kalau masing-masing sudah hidup secara bernasfu- nafsi, - menuruti professionalism masing-masing nescaya tugu Melayu yang terbina 50 tahun kini akan tersembam mencium bumi.

Kemampuan bangsa Melayu mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu juga adalah hasil perpaduan yang jati. Tidak mungkin kalau orang Melayu tidak bersatu pada waktu itu, bendera “Union Jack” akan melabuh ke bumi dan imperialis akan berambus dari ‘tanah sejantung pisang’ ini.Bukankah denai kepada kemerdekaan itu digelombangkan oleh 41 pertubuhan Melayu khususnya golongan penulis!

Mitos

Hari ini jika kita tanya apakah orang Melayu sudah berpecah, ada orang akan menafi dan menjawab cepat dengan mengatakan "tidak"! Mereka yang ghairah mengeksploitasikan tenaga Melayu untuk kepentingan mereka tetap mengatakan Melayu masih padu. Ada yang beranggapan perpecahan Melayu itu sebagai mitos yang sengaja dihebuhkan demi mengukuhkan kekuasaan sesuatu pihak saja dan cuba menafikan terus pihak lain.

Dalam erti kata lain masih ada golongan yang enggan menerima hakikat bahawa kekuatan dan kepaduan Melayu hari ini sudah mula renggang dan tali tradisi yang mengikat bangsa Melayu sudah mula mahu terburai.Sebenarnya mereka ini adalah penipu kepada diri sendiri. Mereka adalah para penilik cermin retak yang tidak melihat muka mereka yang sebenarnya sudah herot.

Mereka akan menekan, bahawa tidak perlu bimbang, orang Melayu tidak akan berpecah dan ia bersifat seperti air yang dicincang tidak akan putus! Benarkah Melayu akan tidak berpecah atau masih kekal dengan sifat demikian? Ataupun sifat itu sudah lama tiada dan pupus dari dalam diri orang Melayu?

Saya ingin menolak tanggapan demikian. Bagi saya orang Melayu hari ini sudah berpecah. Kalau pun keadaanya masih belum parah, tetapi ia sedang menuju ke arah itu. Perpecahan ini tidak sedikit menyebabkan banyak kepentingan-kepentingan Melayu pupus ataupun hilang.

Jika dilihat secara umum atau dalam sudut sosio-politik, orang Melayu hanya berpecah kepada dua puak atau kumpulan besar saja, iaini kumpulan sekular Melayu (Umno) dan kumpulan Islamik yang didokong Pas. Perpecahan ini amat ketara sekali. Kedua kumpulan Melayu ini saling berebut kuasa antara satu sama lain.

Natijah daripada perbalahan itu menyebabkan tanggungjawab mereka ke atas bangsa Melayu terabai tanpa disedari!

Pisau

Jika dianalisa dan diamati orang Melayu yang diasingkan oleh ideologi politik itu sudah dipecahkan kepada beberapa cabang lagi. Hakikatnya orang Melayu sudah semacam dicaing-caingkan menjadi semakin kecil menerusi berbagai ‘professionalism’ yang bertindak menjadi pisau!

Hari ini mungkin kita sedar di sebalik kemajuan dan nikmat kemerdekaan menjadikan orang Melayu terpisah menerusi professionalism masing-masing. Berbagai wadah atau profession yang dianggotai orang Melayu dewasa ini. Kegilaan kepada professionalism inilah yang memecah dan mencaing-caingkan mereka kepada kelompok-kelompok kecil yang setengahnya amat fanatik kepada kumpulan sendiri.

Sekurang-kurang ada empat professionalism selain politik yang memecahkan orang Melayu.

1. NGO yang bersikap liberal.

2. Orang-orang agama.

3. Penulis dan sasterawan.

4. Golong professional seperti doktor, arkitek, cendekiawan, lawyer dan sebagainya.

Empat golongan ini ditambah pula oleh puak yang tidak memihak atau mewakili mana-mana professionalism yang berdiri atas sifat dan rupa dirinya sendiri. Golongan yang boleh dimasukkan dalam kumpulan ini ialah mereka yang tidak ada apa-apa idealisme untuk diri dan bangsanya sendiri.

Walaupun individu atau kelompok ini turut menyertai parti politik, namun mereka lebih cenderung atau pun berbangga dengan professionalism mereka itu. Mereka tidak akan bersedia menyambut apa-apa agenda yang diperjuangkan oleh parti politik bahkan menganggap politik sebagai karut. Misalnya NGO berbangga dengan wadah mereka sehinggakan ada pandangan walhal untuk kepentingan Melayu turut dilihat bercanggah.

Mereka tidak percayai kepada politik dan ada yang menganggap politik itu bukan satu sistem pentadbiran yang baik. Selalunya mereka ukur keadaan ini dengan telatah dan perilaku orang politik yang jelek, huduh dan hipokrit.

Demikian juga dengan professionalism-professionalism lain, sangat berpegang dan bangga kepada professionalism mereka. Disebabkan sikap dan pegangan ini mereka tidak perlu kepada pihak-pihak lain lagi dan jadilah mereka hidup secara nafsu-nafsi berkera sumbang yang professionalism!

Sebenarnya perpecahan inilah memberi ruang kepada musuh Melayu untuk mencelah masuk dan menanamkan bibit-bibit persengketaan sesama sendiri. Ruang untuk mereka kemudian menjadi lebih luas, dan ini menyenangkan untuk mereka menguasai dan mengatur strategi memecah dan perintah dari dalam.

Tegasnya walaupun professionalism itu mampu mengangkat martabat hidup bangsa Melayu tetapi dalam masa sama juga para professionalism itu sendiri yang bertindak menjadi pemecah perpaduan ummah secara senyap.

Menyedari ini maka sudah sampai masanya, para professionalism membuat muhasabah diri dan bersatu tenaga ataupun membawa ahli-ahli dan pengikut masing-masing ke arah berfikir dan menyatu diri secara professionalism untuk kebaikan agama, bangsa dan negara! Percayalah betapa hebatnya golong professionalism itu kalau ia tidak menyatu dengan badan-badan atau organ lain ia tidak membawa banyak keuntungan kepada bangsa Melayu. [wm.kl 26/08/07]

No comments: