Monday, August 13, 2007

Luahan Rasa

Pak Sako Terus Dipermainkan?

MSO

KESILAPAN sudah ditemui di mana, namun tidak ada apa-apa pembetulan dan tidak ada sesiapa berani bertindak untuk memperbaikinya. Demikian hidup dan nasib Pak Sako, atau Ishak Mohammad (14 Nov 1909 - 7 Nov 1991). Sejarah, bakti dan jasanya baik kepada perjuangan kemerdekaan dan kesusteraan Malayu tidak pernah dikenang sesetimpalnya.

Kekeliruan mengenai perjuangannya dalam menuntut kemerdekaan sudah dijelaskan. Pro-kontra mengenai perjuangan beliau seharus tidak dipersoalkan lagi. Apa yang Pak Sako (foto) lakukan, dia berjuang untuk membela nusa dan bangsanya. Sepatutnya fitnah penjajah ke atasnya dibuang jauh dan tidak perlu dijadikan alasan untuk mempersoalkan patriotismenya.

Apakah kerana dia mengharung sungai kiri dalam perjuangan maka beliau tidak dilihat sebagai pembela bangsa? Apakah semua mereka yang mengharung di sungai kanan, semuanya jujur dan ikhlas?

Sedang ada penemuan terhadap setengah yang berada di sungai kanan, mereka adalah hipokrit menjadi tali baru dan perkakas penjajah semata-mata. Wahana perjuangan mereka juga jauh terpesong daripada aspirasi dan iltizam Melayu sebenarnya.

Ketajaman pena

Satu hakikat yang kena terima bahawa nasib malang dan persepsi buruk terhadap Pak Sako ialah mainan halus penjajah kerana ketakutan mereka kepada ketajaman pena dan akal politik anak kelahiran Bukit Seguntang, Termerloh Pahang itu.

Sudah… setelah 16 tahun Pak Sako didakap liang lahad dan tidak mendapat apa-apa imbalan atau anugerah setimpal seperti mana orang lain (dan beliau tidak pun mengharapkan), maka kita perlu menjadi bangsa yang cerdik. Bangsa yang berpandangan jauh dan peduli kepada sejarah. Bangsa yang tidak malu untuk mengaku kesilapan dan sedia memperbetulkannya.

Liku-liku dan api perjuangan Pak Sako patut dikenang semula dan dihayati bagi dijadikan baja untuk menambah kekuatan dan kepanasan semangat dalam perjuangan menengakkan kemerdekaan. Perjuangan Pak Sako seharusnya menjadi idola anak-anak muda dan generasi pasca merdeka.

Novelis “Anak Mat Lela Gila Itu” itu bukan tidak dilayani ketika hanyatnya masih ada. Tetapi sesudah mati juga tampaknya beliau terus dipermainkan, dipersendakan dan diabaikan. Seolah sesetengah orang ada dendam tidak sudah dengan Pak Sako. Anugerah akademi tertinggi yang diterimanya ialah, Ijazah Kedoktoran Kehormatan Persuratan, Universiti Malaya.

Petang semalam (Ahad, 12 Julai 2007) khabarnya ada satu majlis memperkatakan tentang Pak Sako hendak diadakan. Tujuan majlis itu ialah bagi mengenang pejuang bangsa itu sempena saat menjelang kemerdekaan ke-50.

Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang disarangi oleh para penulis hebat, muda dan mampan mengambil tanggungjawab itu.

Tribulasi

Majlis itu baik, kerana ia akan mendedahkan siapa dia Pak Sako dalam konteks perjuangan menegakkan maruah bangsa kepada penulis. Majlis dirancangkan itu amat bermanfaat kepada penulis muda bagi mengenali tribulasi perjuangan Pak Sako. Ia diharap dapat ditumpangi oleh generasi ‘beleh’ untuk membangun nusa dan bangsa.

Penulis bernama A Rahim Abdullah dipanggil untuk memperkatakan mengenai Pak Sako.

Bagaimana pun sayang lima puluh kali (50) sayang, selepas melewati satu jam majlis itu sepatut berlangsung (jam 3.00) tidak ada sesiapa yang hadir. Di perkarangan rumah Pena yang sepi, usang dan buruk itu hanya tercokol Setiausaha Pena, SM Zakhir yang menyambut lima orang aktvis Masyarakat Prihatin; Kamal Amir, Mansor Abdullah, Dharmala NS bersama isteri dan anaknya serta Md Radzi Mustapa.

Apa sudah jadi?

Saya yang mengorbankan masa tidur (jam 3 – 4 petang) kerana semata-mata ingin mengikuti majlis itu begitu terasa duka atas apa yang berlaku. Timbul rasa simpati berbuak-buak kepada Pak Sako, kerana beliau terus dipermainkan. Pak Sako bukan saja dihina dan diejek sewaktu hayatnya, namun setelah mati pun beliau terus dipermainkan.

Tidak mengapalah Pak Sako, kerana kau tidak pernah meminta dan hanya tahu memberi; kerana kau bukan pelurut keris tergantung, tapi penghunus keris di medan lawan; aku mengira kau damai-bahagia dalam pembaringan dengan diulit dan diusik ribuan bidadari di syurga kejujuran, ketulusan dan kebenaran yang kau yakini. Al- Fatihah 40 kali. [wm.kl]

No comments: