Saturday, July 21, 2007

Ulasan Semasa

Kunjungan Najib Tanpa Gurauan Pas

MSO

PAS Kelantan nampaknya senyap sendu sahaja dengan kunjungan Najib Razak ke Kelantan kelmarin. Tidak ada gimik dan kejutan yang dibuat oleh Pas dengan kunjungan Timbalan Presiden Umno itu. Najib ke Kelantan bagi merasmikan dua mesyuarat agung perwakilan Umno, bahagian Pasir Mas dan Tumpat.

Bulan lalu ketika Najib melakukan kunjungan sambil kerja ke Kelantan, Pas kalut dengan berita kononnya kedatangan Najib itu adalah untuk menukar Ketua Perhubungan Umno Kelantan. Orang kuatnya telah membuat spekulasi Najib akan umum untuk menukar Annuar Musa sebagai Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan dengan tokoh lain.

Awang Adek Huseein disebut-sebut akan mengganti tempat Annuar. Tetapi spekulasi itu akhirnya menjadi angin dan asap sahaja. Sampai sudah, selama berada di Kelantan Najib tidak mengumumkan pertukaran itu. Annuar pula tidak lekang menuruti buntut Najib ‘menanti rasa’ takut-takut beliau akan ditukar.

Berbeza kunjungan Najib ke Kelantan kelmarin tanpa Annuar Musa (foto) mengiringi pada dua majlis berkenaan. Annuar dikatakan tidak ada di Kelantan dan sedang makan angin di London. Awang Adek Hussein selaku Timbalan Pengerusilah yang menjadi peneman Najib ke Pasir Mas dan ke Tumpat.

Mustapa Mohamed juga turut sama tumpang semangkuk menemani Najib sewaktu Najib mengujungi rumah tentera udara yang mati nahas akibat Nuri terhempas Flait Sarjan Khusnizaim Ariffin di Bunut Payung, Kota Bharu.

Ada dua persoalan ekoran kunjungan Najib ke Kelantan kelmarin. Pertama ialah kenapa Annuar Musa tidak ada di Kelantan walhal beliau diperlu sangat untuk mendampingi Najib.

Keduanya, pada saat Annuar tidak ada bersama Najib itulah sepatutnya parti Pas dan orang besarnya membuat spekulasi untuk menjejaskan imej parti berkenaan dan menganggu minda Annuar.

Annuar perlu mempamirkan yang dia baik dengan Najib. Beliau harus mengambil kesempatan di mana-mana saja bagi menunjukkan dia akrab dengan Najib. Kenapa dia perlu berbuat demikian kerana mereka berdua ada jarak dan jurang yang jauh. Ada tali yang memisahkan mereka berdua. Annuar selama ini dilihat bukan dari kumpulan Najib, sedangkan situasi itu memperlihat Annuar sulit untuk maju di dalam Umno selepas Abdullah Ahmad Badawi kelak.

Jadi apabila Annuar tidak berada sama semasa Najib mengunjungi Kelantan ia memberi berbagai persoalan. Bahawa usaha Annuar untuk mesra dengan Najib selama ini tidak berjaya. Mungkin juga Najib melihat bahawa Annuar masih lagi menerima Muhyiddin Mohd Yassin sebagai taukeh atau tuannya!

Walaupun Muhyiddin bukan lawan Najib dan Najib tidak perlu bimbangkan Muhyiddin, tetapi bila Annuar Musa memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu untuk merasmikan mesyuarat bahagiannya tahun lepas, ia tentu menjadi tanda tanya kepada Najib. Apalah istimewanya Muhyiddin berbanding dengannya?

Tetapi sedikit kontras, tahun ini Umno Ketereh dikatakan memanggil Adnan Yaacob untuk merasmi mesyuarat bahagian itu. Undangan itu menimbul seribu motif lain pula. Barangkali beliau bercadang memanggil Najib, tetapi bimbing pula tidak disenangi oleh Muhyiddin maka dipanggil Adnan saja.

Annuar ada maksud kalau dia memanggil Adnan itu. Adnan ialah pandir kepada Najib di Pahang. Dengan memanggil pandirnya (Najib) setidak-tidak Adnan dapat menjadi penghubung kemesraan antara beliau dengan Najib. Lagipun Adnan itu adalah bapa angkat kepada Umno Ketereh.

Annuar cukup sedar semua itu dan keperluannya, tetapi kenapa bila Najib ke Kelantan beliau pula tidak ada. Apakah urusan di London itu lebih penting dengan percaturan politiknya di Kelantan?

Bagi Pas pula seharusnya mereka mengambil kesempatan memburukkan reputasi Annuar dengan keadaan itu. Sepatutnya pada kunjungan Najib inilah mereka – Pas dan orang besarnya membuat berbagai spekulasi. Tetapi nampaknya apa yang patut dilaku tidak pula dilakukan.

Apakah Pas sudah serit dengan usikan ataupun spekulasinya sebelum ini tidak menjadi? Maksudnya pokok yang digoncang sebelum ini tidak menggurkan buah sebaliknya dahan yang jatuh dan tertimpa kepala mereka! Jadi kerana rasa sakit masih berbekas maka kunjungan Najib tanpa diiringi Annur Musa kali ini dilepaskan begitu saja tanpa apa-apa gurauan politik! [the mall]


No comments: