Wednesday, July 4, 2007

Sayang Kelantanku...

Jihad Ternak jadi Jahat Benak.

Siri 1

SKIM bantuan takafur Kifalaah dan Jihad Ternak wujud hampir serentak di negeri Kelantan Darulnaim kira-kira enam bulan lalu. Kedua skim ataupun projek itu diperkenalkan oleh agensi tertentu bagi pihak Kerajaan Kelantan untuk faedah rakyat Kelantan tanpa mengira warna kulit dan ethnik.

Begitulah pada zahirnya. Namun disebalik keuntungan itu hakikat politik (political mileage) ia memberi keuntungan kepada Pas Kelantan terutamanya orang yang memberi idea atau mengilhamkan program berkenaan.

Rakyat menyambut kedua skim itu dengan perasaan gembira. Sekaligus rakyat mula menilai pemimpin muda di Kelantan mampu mencetuskan idea dinamik untuk kelangsungan Kerajaan Kelantan.

Hasad dengki

Dalam masa sama Umno jadi tertekan dan terpukul dengan prgoram berkenaan. Mereka turut gopoh gapah mencari idea untuk melawannya. Umno cuba meremehkan (damage) program itu sebagai lapok dan ketinggalan. Semua itu dilakukan kerana hasad dengki.

Namun usaha itu gagal apabila rakyat termasuk orang Umno sendiri menjadi pelanggan kepada program berkenaan. Pas mendapat nama cukup besar menerusi program kebajikan itu.

Terima kaish kepada pencetus idea kepada kedua skim berkenaan. Skim Kifalaah khabarnya adalah anjalan daripada skim yang diperkenalkan di DUN Melor. Ideanya ditetaskan oleh Wan Ismail Wan Jusoh bekas Adun berkenaan yang telah pun melaksanakan skim itu untuk peringkat kawasan yang diketuainya itu.

Kerana melihat skim itu dapat membantu rakyat dan dalam masa sama memberi keuntungan politik kepada Kerajaan, maka kerajaan negeri bersetuju untuk mengembangkannya ke seluruh negeri Kelantan. Hasilnya kira-kira 130,000 warga tua mendapat manfaat daripada skim berkenaan.

Ternyata skim itu memberi tamparan hebat kepada Umno. Ini terbukti bila mana Umno juga memperkenalkan skim sedemikian menerusi takafur Islam berkelompok. Mulai minggu lalu Umno dikatakan telah mula mendafarkan orang-orang tua yang berhak menyertai skim berkenaan.

Idea lapok dan basi Pas yang didakwakan itu nampaknya turut sama diceduk oleh Umno Kelantan yang kini diketuai oleh Annuar Musa. Ternyata skim takafur anjuran Umno kini adalah satu lagi projek plagiat idea Pas oleh Umno.

Jadi sebutan ramai

Begitu juga dengan projek Jihad Ternak – skim pemberian kambing kepada orang-orang miskin untuk membaiki taraf hidup serta menambahkan pendapatan sampingan keluarga. Skim yang berasaskan pertanian dan pelancongan yang dilaksanakan di atas tanah Jabatan Haiwan seluas 200 ekar Rong Chenak, Pasir Mas itu kini menjadi sebutan ramai.

Bukan saja di Kelantan tetapi Jihad Ternak disebut dalam ceramah-ceramah oleh pemimpin Pas di luar Kelantan dan menjadi satu kebanggaan apabila projek itu mencatatkan Kelantan sebagai negeri terulung melaksanaknnya. Hasrat Menteri Pertanian dan Asas Tani, Muhyuddin Mohd Yassin untuk menjadikan pertanian sebagai perniagaan telah dieksploitasikan oleh Kerajaan Kelantan.

Inilah menunjukan dinamik dan juga kecekapan pemimpinPas Kelantan dalam melaksanakan sesatu untuk faedah dan kepentingan rakyat.

Hari ini Jihad Ternak yang diterima sebagai projek seumpama itu yang terbesar di Pantai Timur kalau pun malu untuk disebutkan yang terbesar di Malaysia. Hakikatnya selepas projek Jihad Ternak itu diledakkan dalam media massa, barulah projek-projek pertanian dan perternakan di tempat lain meledak di media massa penjilat Kerajaan.

Dengan terbangunnya projek itu tanah Jabatan Haiwan yang terbiar sejak lebih 30 tahun lalu ditumbuhi lalang dan pokok gelang tikus kini dapat digunakan untuk tujuan pertanian. Sebahagian daripada tanah Jabatan Haiwan di Rong Chenak itu sudah jadi seperti ladang lembu di Australia.

Perlaksanaan projek pemeliharaan dan pembiakan kambing jenis Jamnapari itu sekali lagi menunjukkan bahawa pemimpin Pas mempunyai idea dan ada otak serta tahu ikhtiar bagaimana untuk membangun negeri untuk faedah rakyat.

Dari konsep projek berkenaan ia bukan saja untuk memberi kesenangan kepada rakyat, tetapi ia juga untuk menggilap politik peribadi orang yang memberi idea dan melaksanakannya.

Demikianlah gahnya projek Jihad Ternak. Dalam sekalip mata sahaja ia menjadi mercutanda khasnya dalam aspek pertanian di Kelantan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Dr Nik Mazian Nik Mohamed sendiri mengakui bahawa projek itu adalah projek terbesar bagi portfolionya dan merupakan projek pertanian terbesar di Kelantan dalam tahun 2007 dan beliau menyifatkan Jihad Ternak sebagai harta intelek.

Siapakah yang punya idea geliga dan bersinar itu membawa dan memperkenalkan Jihad Ternak? Jawabnya, tidak lain dan tidak bukan ialah Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancang Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan.

Roh projek

Siapa pun yang berada di hadapan, mengawal ladang, mernguruskan kewangan, mengeluarkan tander dan segala macam di ladang berkenaan, (Jihad Ternak) tetapi Husam tetap berada di belakang program berkenaan. Roh kepada projek berkenaan ialah Husam.

Jihad Ternak tidak akan wujud tanpa Husam dan kecanggihan ideanya. Bukan itu sahaja sebelum ini Exco itu telah menetaskan beberapa idea bernas dan kondusif yang kesemuanya boleh diletakkan di atas par, namun sedikit kecewa dari segi pelaksanaannya kurang memuaskan kerana kurang pemantauan!

Dinar Emas, penemuan cukai-cukai hasilan negeri yang baru, pendekatan politik Pas yang terbuka, idea membawa juara akademik fantasia ke-3 Asmawi Ani (Mawi), multimedia Pas adalah idea kreatif dan inovatif Husam.

Dan mengenai Jihad Ternak ini mungkin tidak ramai yang mengetahui mengenai susur galurnya dan menerimanya seperti yang wujud hari ini. Hari ini apa yang orang tahu mengetahui Jihad Ternak hanya ia sebagai pusat pemeliharaan kambing jenis Jamnapari di Kaligeseng, Indonesia. Tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa Jihad Ternak kini sedang mengahadapi masalah.

Sebagai orang yang memerhati dari awal perjalanan projek ini saya adalah paling tepat untuk melaporkan dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan juga kontroversi projek ini. Selamat mengikutinya. [klia 16:21]

No comments: