Friday, June 8, 2007

Kabinet Pas Pusat

Perlu Tokoh Sesuai dan Mampu Bekerja.

Esok (9 Jun 2007) dijangka Jawatankuasa Agung Pas sessi 2007-2009 akan bersidang buat pertama kali. Mesyurat itu dijangka akan menumpukan kepada penyusunan dan pengemasan (restructure) kabinet parti berkenaan sesuai dengan semangat dan keputusan yang dicapai dalam muktamar parti baru-baru ini.

Penyusunan itu harus dibuat penuh berhemah dan berstrategi dengan meletakkan orang yang benar-benar layak dan sesuai dengan amanah yang diberikan kepadanya. Janganlah pemilihan itu dibuat berdasarkan selain daripada merit yang sepatutnya.

Kesilapan didalam membuat penyusunan itu ia memberi kesan kepada Pas. Apa lagi dalam tempoh setahun ini pilihan raya umum akan tiba. Penyusunan kabinet itu hendaklah sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya ke-12..

Makanya orang-orang yang dipilih atau dilantik memenuhi kabinet itu boleh dan mampu membawa kemajuan (islah) kepada Pas tanpa melupai aspirasi dan mesej yang dilontarkan oleh muktamar baru-baru ini.

Dalam penyusunan kabinet sebelum ini (sessi 2005-2007) semacam ada sedikit kelompangan dan ketidaktepatan dalam melantik orang-orang tertentu. Pemilihan dibuat bukan berdasarkan kemampuan, pengalaman dan juga semangat tetapi lebih kepada untuk tidak menyakiti hati orang-orang tertentu serta untuk bereksperimental.

Rasanya sikap dan pendirian seperti ini tidak perlu diamalkan sekiranya Pas mahukan parit itu membuat lonjakan dalam pilihan raya akan datang.

Di peringkat Pas Pusat sekurangan-kurang ada empat post penting perlu dirombak ataupun memerlukan perlantikan baru selepas setiap kali selesai muktamar melibatkan pemilihan. Jawatan itu ialah Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Bendahari dan Pengarah Pilihan Raya Pas.

Inilah jawatan-jawatan yang dikira nadi penggerak utama kepada mana-mana badan siasah. Sekiranya penjawat jawatan ini lemah, bersikap sambil lewa, tidak mempunyai idea, lambat dan gagal untuk membuat keputusan cepat maka parti juga akan turut layu dan lemah. Parti tidak akan bergerak maju dan progeresif dan tetap berada ditakuk lama.

Setiausaha Agung pada masa ini dipegang oleh Kamaruddin Jaaffar, ahli parlimen Tumpat. Beliau mula menjawat jawatan ini tahun 2005 setelah Nasharuddin Mat Isa meninggalkan jawatan itu kerana bertanding Naib Presiden.

Kamaruddin Jaaffar merupakan muka baru di dalam Pas. Beliau menyertai Pas selepas timbul isu Anwar Ibrahim 1998. Khabarnya kemasukan beliau di dalam Pas itu juga kerana arahan Anwar Ibrahim. Sebelum ini beliau adalah ahli Umno dan pernah bertanding menentang calon Pas di Tumpat, tetapi kalah.

Kamaruddin menjadi ahli Parlimen Tumpat setelah bertanding atas tikit Pas pada tahun 1999.

Adalah diyakni perlantikan beliau sebagai Setiausaha Agung dilihat kepada dua sebab, pertama kerana pengalaman beliau yang pernah menjadi Setiausaha Agung ABIM dan kedua kerana beliau seorang korporat.

Saya cukup yakin kalau bukan kerana dua track rekod itu, Kamaruddin tidak akan dilantik ataupun berkelayakan menjadi Setiausaha Agung Pas. Sebab bukan sedikit juga terdengar suara bawahan yang mempertikaikan kelayakan dan kesesuaiannya itu.

Setelah menjadi Setiasuasaha Agung Pas selama satu penggal ia telah menguji sejauh mana kemampuan bekas Setiausaha Politik, Tun Ghafar Baba (Allahyarhman) itu dalam menjalankan kerja-kerjanya sebagai setiausaha yang bertindak menjadi penghubung dengan dunia luar dan penggerak ibu pejabat agung.

Dalam tempoh itu tidak banyak rekod yang dicatat oleh Kamaruddin. Malahan beliau dilihat masih meneruskan kerja-kerja lama Pas yang ditinggalkan oleh Nasharuddin Mat Isa. Apa lagi kalau dibanding dengan Hassan Shukeri semasa menjadi Setiausaha Agung dulu, ternyata Hassan lebih perform walaupun ustaz ini bersifiran konservetif

Kemampuan Pas untuk menambah keahlian dalam kadar kira-kira 1,000 sebulan adalah terlalu kecil berbanding dengan apa yang diwar-warkan kononnya Pas semakin mendapat sambutan. Kegagalan ini secara tidak langsung mencerminkan kelemahan Setiausaha Agung dalam melaksanaan tugas dan amanahnya.

Elok berhenti

Justeru adalah elok kalau Kamaruddin dihentikan dan mungkin itu juga amat disukainya kerana beliau dikatakan mempunyai masalah peribadi menyebabkan sukar untuk beliau memberi tumpuan kepada ibu pejabat dan ke atas satu lagi tugasnya selaku Pengarah Urusan Harakah yang memelerukan tumpuan sepenuh masa olehnya.

Salah seorang yang mungkin boleh dipertimbangkan untuk menggantikan Kamaruddin ialah sdr Mujahid Yusuf Rawa. Kebetulan beliau juga seorang yang berpengetahuan luas, mempunyai pemikiran yang moderate, muda serta memiliki ilmu siasah, perhubungan awam dan agama yang luas dan mantap.

Selain jawatan Setiasuaha Agung, jawatan Ketua Penerangan juga perlu ditukar. Sesuai dengan keadaan sekarang di mana ketuanya Ahmad Awang sudah berganjak menjadi Naib Presiden, elok kalau jawatan itu dipenuhi oleh orang lain.

Dalam hal ini mungkin bekas Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar sesuai untuk memenuhi jawatan berkenaan. Kebetulan juga beliau sebelum ini adalah Pengarah Penerangan Pas, jadi kerja-kerja penerangan, saraf dan sebagainya sudah diketahuinya dan ini menyenangkan untuk beliau menggerakan jabatan penerangan atau komunikasi.

Jawatan Bendahari Agung rasanya tidak perlu ditukar dan dirubah. Dr Mohd Hatta Ramli yang diamanahkan menjaga kantung dan mengawal perbelanjaan parti dapat berfungsi dengan sempurna. Bukan itu saja beliau juga nampaknya ada idea dan mempunyai kreativiti bagimana hendak memenuhi tabung Pas.

Lagipun Pas kini sedang berhadapan dengan masalah baru iaitu untuk mencari wang bagi menyelenggarakan bangunan ibu pejabat baru Pas, maka eloklah kalau tugasannya itu tidak diganggu. Beban yang terpikul di bahu Hatta bukan saja itu tetapi dia juga perlu memerahkan otak dan keringatnya bagaimana untuk mendapatkan wang bagi memulakan projek pembinaan kompleks Pas yang sedang dalam perancangan.

Menopause idea

Satu lagi jawatan yang patut difikirkan dan diberi perhatian dalam penyusunan itu ialah Pengarah Pilihan Raya Pas. Jawatan ini dikira paling penting. Pemegang jawatan berkenaan kini Mustafa Ali dirasakan sudah 'menopause idea' dalam berhadapan dengan tribulasi pilihan raya yang dicipta oleh SPR.

Mungkin kerana sudah terlalu usang menyebabkan ideanya sudah kering maka tidak banyak formula atau pendekatan baru bagi mengatasi berbagai masalah bersabit pilihan raya sedangkan kerenah itu makin mencabar.

Tidak ada pendekatan baru yang diperkenalkan bagaimana untuk Pas mendepani berbagai bentuk penipuan yang berlaku dalam pilihan raya menyebabkan Pas sering kali kalah kerana penipuan. Pendekatan yang diguna Mustafa dengan berunding dengan SPR dikira bukan satu tindakan yang tuntas dan memberi keuntungan kepada Pas dan menyelesaikan masalah. Satu-satu kesalahan besar Mustafa dalam hal ini ialah membatalkan perhimpunan untuk memprotes SPR selepas pilihan raya umum 2004.

Kedudukan Mustafa di tempat kini dilihat bukan untuk kemenangan Pas sebaliknya bagi mengekalkan dirinya dalam arus perdana parti itu saja. Atas rasa hormat kepadanya sebagai tokoh veteran, menyebabkan tidak ada yang bernai untuk membuka mulut mencadangkan agar tempatnya itu ditukar dengan tokoh lain yang lebih dinamik sedangkan beliau sendiri tetap merasakan masih relevan.

Dalam hal ini apa yang kena ingat ialah parti bukan milik peribadi atau sesuatu puak dan negeri saja. Pas adalah milik semua mereka yang percaya perjuangan Islam boleh dilaksanakan dan dilestarikan menerusi Pas. Jadi perasaan Pas aku yang punya hendak dilempar jauh dari lubuk hati!

No comments: